Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Penduduk Sementara Dalam Dunia yang Fasiq

Penduduk Sementara Dalam Dunia yang Fasiq

Penduduk Sementara Dalam Dunia yang Fasiq

“Semua orang ini beriman . . . Mereka mengaku dengan terang-terang bahawa mereka hanyalah orang asing dan pengembara di bumi ini.”​—IBR. 11:13.

1. Apakah yang dikatakan oleh Yesus tentang pendirian pengikutnya yang sejati?

“MEREKA masih di dunia,” kata Yesus tentang pengikutnya. Tetapi ‘mereka bukan milik dunia, sebagaimana aku pun bukan milik dunia.’ (Yoh. 17:11, 14) Dengan demikian, Yesus jelas menyatakan pendirian pengikutnya yang sejati sehubungan sistem dunia ini yang diperintah oleh Syaitan. (2 Kor. 4:4) Walaupun mereka perlu hidup dalam dunia yang fasiq ini, mereka tidak menjadi sebahagian daripadanya. Mereka akan hidup seperti “orang asing dan orang pelarian [“penduduk sementara,” NW] di dunia ini.”​—1 Ptr. 2:11.

Mereka Hidup sebagai Penduduk Sementara

2, 3. Mengapakah kita boleh mengatakan bahawa Henokh, Nuh, dan Abraham dan Sara hidup sebagai orang asing dan penduduk sementara di dunia ini?

2 Dari dahulu lagi, hamba Yehuwa yang setia berbeza daripada orang lain. Sebelum Banjir, Henokh dan Nuh ‘hidup akrab dengan Tuhan.’ (Kej. 5:22-24; 6:9, 10) Mereka menyebarkan berita penghakiman Yehuwa terhadap dunia Syaitan dengan berani. (Baca 2 Petrus 2:5; Yudas 14, 15.) Oleh sebab mereka hidup akrab dengan Tuhan dalam dunia yang fasiq, Henokh ‘menyenangkan hati Tuhan’ dan Nuh dianggap “tidak berbuat salah.”​—Ibr. 11:5; Kej. 6:9, 10.

3 Selepas disuruh oleh Tuhan, Abraham dan Sara meninggalkan kehidupan yang selesa di kota Ur di Babilonia. Mereka rela hidup sebagai pengembara di negara asing. (Kej. 11:27, 28; 12:1) Rasul Paulus menulis, ‘Kerana beriman, Abraham mentaati Tuhan ketika Tuhan memanggilnya dan menyuruhnya pergi ke negeri yang dijanjikan oleh Tuhan kepadanya. Abraham meninggalkan negerinya tanpa mengetahui ke mana dia akan pergi. Kerana beriman, Abraham tinggal sebagai orang asing di negeri yang dijanjikan oleh Tuhan kepadanya. Dia tinggal di khemah dengan Ishak dan Yakub, yang menerima janji yang sama daripada Tuhan.’ (Ibr. 11:8, 9, ABB) Mengenai hamba-hamba Yehuwa ini, Paulus berkata, ‘Semua orang ini beriman sampai mati. Mereka tidak menerima perkara-perkara yang dijanjikan oleh Tuhan, tetapi dari jauh mereka nampak dan menyambutnya. Mereka mengaku dengan terang-terang bahawa mereka hanyalah orang asing dan pengembara di bumi ini.’​—Ibr. 11:13, ABB.

Amaran bagi Orang Israel

4. Apakah amaran yang diberikan kepada umat Israel sebelum mereka menetap di negeri mereka?

4 Keturunan Abraham, iaitu orang Israel, menjadi banyak dan akhirnya menjadi sebuah bangsa dengan sistem undang-undang dan negeri sendiri. (Kej. 48:4; Ul. 6:1) Orang Israel tidak sepatutnya lupa bahawa Pemilik negeri mereka ialah Yehuwa. (Im. 25:23) Mereka adalah seperti penyewa dan harus menghormati kehendak Pemilik. Tambahan lagi, “manusia tidak hidup dengan roti sahaja.” Jadi, mereka tidak patut lupa akan Yehuwa apabila mereka menikmati kehidupan yang selesa. (Ul. 8:1-3) Sebelum menetap di negeri mereka, orang Israel diberikan amaran berikut: ‘Yehuwa, Tuhan kamu telah berjanji kepada nenek moyang kamu, Abraham, Ishak, dan Yakub bahawa Dia akan memberi kamu tanah yang mempunyai kota-kota besar dan makmur, yang tidak kamu bina. Rumah-rumah di situ penuh dengan barang-barang baik, yang tidak kamu simpan. Terdapat juga perigi-perigi yang tidak kamu gali, serta ladang anggur dan kebun zaitun, yang tidak kamu tanam. Apabila Yehuwa membawa kamu ke tanah itu dan kamu mempunyai segala sesuatu yang kamu ingin makan, berhati-hatilah supaya kamu tidak lupa akan Yehuwa.’​—Ul. 6:10-12, ABB.

5. Mengapakah Yehuwa menolak bangsa Israel, dan siapakah yang dipilih untuk menggantikan mereka?

5 Amaran ini bukannya tidak berasas. Pada zaman Nehemia, sekumpulan orang Lewi dengan sedihnya mengimbas kembali apa yang berlaku kepada orang Israel setelah mereka memasuki Tanah yang Dijanjikan. Selepas orang Israel tinggal di rumah yang selesa dan mempunyai makanan dan wain yang melimpah, “mereka makan sepuas hati sehingga menjadi gemuk.” Mereka memberontak menentang Tuhan, bahkan membunuh nabi-nabi yang memberikan amaran kepada mereka. Oleh itu, Yehuwa telah mengizinkan musuh-musuh untuk menakluki mereka. (Baca Nehemia 9:25-27; Hos. 13:6-9) Semasa di bawah kuasa Roma, orang Yahudi yang tidak beriman membunuh Mesias yang dijanjikan! Oleh itu, Yehuwa menolak mereka. Yehuwa tidak lagi berkenan pada mereka dan memilih sebuah bangsa baru, iaitu Israel rohani.​—Mat. 21:43; Kis. 7:51, 52; Gal. 6:16.

“Bukan Lagi Milik Dunia”

6, 7. (a) Apakah yang dikatakan oleh Yesus tentang pendirian pengikutnya? Jelaskan. (b) Menurut Petrus, mengapakah orang Kristian sejati tidak patut menjadi sebahagian daripada sistem Syaitan?

6 Seperti yang ditunjukkan di awal rencana ini, Yesus Kristus, selaku Kepala sidang Kristian jelas menunjukkan bahawa pengikutnya tidak patut menjadi sebahagian daripada sistem dunia Syaitan yang fasiq. Tidak lama sebelum kematian Yesus, dia memberitahu murid-muridnya, ‘Jika kamu milik dunia, dunia akan mengasihi kamu seolah-olah kamu anak-anaknya sendiri. Tetapi aku sudah memilih kamu supaya tidak menjadi milik dunia, dan kamu sekarang bukan lagi milik dunia. Itulah sebabnya dunia membenci kamu.’​—Yoh. 15:19, ABB.

7 Walaupun orang Kristian tersebar ke banyak tempat di bawah empayar Roma, mereka masih bukan sebahagian daripada dunia. Mereka harus menolak gaya hidup orang di sekitar mereka. Tidak kira di mana mereka berada, mereka patut membezakan diri daripada orang dalam sistem Syaitan. Kira-kira 30 tahun selepas kematian Kristus, rasul Petrus menulis kepada rakan Kristiannya, ‘Sahabat-sahabatku, kamu seperti orang asing dan orang pelarian [“penduduk sementara,” NW] di dunia ini! Oleh itu, aku menggesa kamu supaya tidak menuruti hawa nafsu manusia, yang sentiasa berlawanan dengan jiwa. Kelakuan kamu antara orang yang tidak mengenal Tuhan, hendaklah baik.’​—1 Ptr. 1:1; 2:11, 12, ABB.

8. Apakah yang dikatakan oleh seorang sejarawan yang menunjukkan bahawa orang Kristian masa awal bukan sebahagian daripada dunia?

8 Sejarawan Kenneth Scott Latourette mengesahkan bahawa orang Kristian masa awal di bawah kuasa Roma hidup sebagai orang asing dan penduduk sementara. Dia menulis, “Sudah diketahui umum bahawa pada tiga abad yang pertama dalam sejarah orang Kristian, mereka sering kali dianiaya dengan teruk . . . Bermacam-macam tuduhan dilemparkan. Orang Kristian digelar ateis kerana mereka enggan menyertai upacara kafir.” Mereka dipersendakan sebagai “pembenci umat manusia” kerana mereka tidak mengambil bahagian dalam perayaan dan hiburan yang sarat dengan ibadat palsu dan perbuatan seksual yang tidak bermoral.

Jangan Terlalu Sibuk dengan Hal-hal Dunia

9. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita bukan “pembenci umat manusia”?

9 Seperti orang Kristian masa awal, kita juga bukan sebahagian daripada “zaman yang jahat ini.” (Gal. 1:4) Oleh itu, ramai orang tidak memahami pendirian Kristian kita. Ada juga yang membenci kita. Namun, kita bukan “pembenci umat manusia.” Kita mengasihi orang. Itulah sebabnya kita pergi dari rumah ke rumah untuk menyebarkan ‘berita baik tentang bagaimana Tuhan memerintah.’ (Mat. 22:39; 24:14) Kita menjalankan kerja penyebaran kerana kita berasa yakin bahawa tidak lama lagi Kerajaan Tuhan, yang dipimpin oleh Kristus, akan memusnahkan semua pemerintahan manusia dan membawa dunia baru yang adil benar.​—Dan. 2:44; 2 Ptr. 3:13.

10, 11. (a) Bagaimanakah kita “berurusan dengan hal-hal dunia”? (b) Bagaimanakah orang Kristian tidak terlalu sibuk dengan hal-hal dunia?

10 Sistem dunia Syaitan seolah-olah sedang menghembuskan nafasnya yang terakhir. Jadi sebagai hamba Yehuwa, kita tahu bahawa sekarang bukanlah masanya untuk membina kehidupan yang selesa dalam dunia ini. Kita mengikut nasihat rasul Paulus, “Kita tidak mempunyai banyak masa. Mulai sekarang . . . orang yang membeli barang hendaklah bersikap seolah-olah tidak memiliki barang yang dibeli; orang yang berurusan dengan hal-hal dunia, hendaklah hidup seolah-olah tidak sibuk dengan hal-hal itu. Kamu harus berbuat demikian kerana dunia dalam keadaan yang sekarang, akan segera lenyap.” (1 Kor. 7:29-31, ABB) Tetapi, bagaimanakah orang Kristian hari ini “berurusan dengan hal-hal dunia”? Mereka menggunakan teknologi moden dan media massa untuk menyebarkan pengetahuan Bible dalam beratus-ratus bahasa di serata dunia. Mereka juga menggunakan dunia untuk menampung kehidupan. Mereka membeli barang keperluan dan menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh dunia. Tetapi mereka tidak “sibuk dengan hal-hal itu”; wang dan kerja bukanlah keutamaan hidup mereka.​—Baca 1 Timotius 6:9, 10.

11 Orang Kristian yang berjaga-jaga tidak terlalu sibuk dengan hal-hal dunia, bahkan dalam soal pendidikan tinggi. Ramai orang menganggap pendidikan tinggi sebagai batu loncatan kepada kekayaan dan kemasyhuran. Tetapi sebagai orang Kristian, kita penduduk sementara di dunia ini dan mengejar cita-cita yang berbeza. Kita menghindari “sikap yang sombong.” (Rm. 12:16; Yer. 45:5) Oleh sebab kita merupakan pengikut Yesus, kita mendengarkan amarannya, “Berjaga-jagalah dan berwaspadalah! Janganlah tamak! Hidup seseorang tidak terdiri daripada kekayaannya, walaupun hartanya banyak sekali.” (Luk. 12:15) Ya, pemuda-pemudi Kristian digalakkan untuk mengejar matlamat rohani. Mereka mendapatkan pendidikan agar dapat menjaga keperluan asas hidup dan berkhidmat kepada Yehuwa ‘dengan sepenuh hati, jiwa, kekuatan, dan akal mereka.’ (Luk. 10:27) Jika mereka berbuat demikian, mereka boleh menjadi ‘kaya di sisi Tuhan.’​—Luk. 12:21; baca Matius 6:19-21.

Jangan Dibebani Kekhuatiran Hidup

12, 13. Jika kita mematuhi kata-kata Yesus di Matius 6:31-33, bagaimanakah sikap kita akan berbeza daripada orang di dunia?

12 Sikap hamba Yehuwa terhadap kekayaan dan kebendaan adalah berbeza dengan sikap orang di dunia. Yesus berkata, ‘Jangan khuatir tentang apa yang akan kamu makan, atau apa yang akan kamu minum, atau apa yang akan kamu pakai. Semua perkara itu sentiasa dikhuatiri orang yang tidak mengenal Tuhan. Bapa kamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua itu. Sebaliknya utamakanlah Pemerintahan Tuhan dan lakukanlah kehendak-Nya, lalu Tuhan akan memberikan semua itu kepada kamu.’ (Mat. 6:31-33, ABB) Ramai rakan seiman kita telah merasai kebenaran kata-kata ini. Yehuwa memang memberi mereka apa yang diperlukan.

13 Kita harus berpuas hati dengan apa yang kita miliki. (1 Tim. 6:6) Orang di dunia mempunyai pandangan yang berlawanan. Sebagai contoh, ramai pasangan muda yang baru berkahwin mahu memiliki rumah, perabot, kereta mewah, dan peralatan elektronik terkini dengan serta-merta. Walau bagaimanapun orang Kristian yang merupakan penduduk sementara di dunia ini bersifat munasabah; mereka tidak berbelanja di luar kemampuan. Mereka patut dipuji kerana sanggup membuat pengorbanan agar dapat menggunakan masa dan tenaga untuk menjalankan kerja penyebaran. Yang lain berkhidmat sebagai perintis, anggota Bethel, perintis seberang laut, dan dalam kerja lawatan. Kita tentu menghargai rakan seiman kita yang berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuh jiwa raga!

14. Apakah yang dapat kita pelajari melalui cerita ibarat yang diberikan oleh Yesus?

14 Dalam sebuah cerita ibarat, Yesus menyatakan bahawa “kekhuatiran tentang hidup dan keinginan untuk hidup mewah” boleh menjejaskan khidmat kita kepada Yehuwa. (Mat. 13:22) Jika kita belajar untuk berpuas hati dan hidup sebagai penduduk sementara dalam sistem dunia ini, kita tidak akan terjebak dalam perangkap ini. Kita akan mengutamakan Kerajaan Tuhan dan menumpukan perhatian pada khidmat Tuhan.​—Mat. 6:22.

‘Dunia Tidak Kekal’

15. Apakah yang dikatakan oleh rasul Yohanes tentang dunia ini?

15 Salah satu sebab penting mengapa orang Kristian sejati menganggap diri sebagai orang asing dan penduduk sementara di dalam dunia ini adalah kerana kita tahu bahawa akhir sudah berada di ambang pintu. (1 Ptr. 2:11; 2 Ptr. 3:7) Hal ini akan mempengaruhi keputusan, hasrat, dan cita-cita kita. Rasul Yohanes menasihati orang Kristian agar tidak mengasihi dunia atau segala sesuatu di dunia kerana ‘dunia dan segala sesuatu di dunia yang diingini oleh manusia tidak kekal. Tetapi orang yang melakukan kehendak Tuhan, akan hidup selama-lamanya.’​—1 Yoh. 2:15-17, ABB.

16. Bagaimanakah kita boleh menunjukkan bahawa kita merupakan umat pilihan Tuhan?

16 Yehuwa memberitahu orang Israel bahawa jika mereka mematuhi-Nya, mereka akan ‘menjadi umat pilihan-Nya.’ (Kel. 19:5) Semasa mereka setia kepada Yehuwa, gaya hidup dan ibadat mereka berbeza daripada bangsa-bangsa lain. Hari ini, umat Yehuwa juga sangat berbeza daripada orang di dunia Syaitan. Bible menggalakkan kita untuk ‘hidup salih dan tidak mengejar hal-hal keduniaan. Di dalam dunia ini kita harus hidup dengan mengawal diri, jujur, dan menghormati Tuhan. Sekarang kita sedang menantikan Hari yang kita harap-harapkan itu, apabila keagungan Tuhan Maha Besar dan Yesus Kristus Penyelamat kita akan kelihatan. Dia sudah mengorbankan nyawa untuk membebaskan kita daripada segala kejahatan, menyucikan kita, dan menjadikan kita miliknya sahaja, serta menjadikan kita rajin berbuat baik.’ (Tit. 2:11-14, ABB) Umat pilihan Yehuwa terdiri daripada kaum terurap dan jutaan ‘biri-biri lain’ yang membantu dan menyokong mereka.​—Yoh. 10:16.

17. Mengapakah orang Kristian terurap dan biri-biri lain tidak akan menyesali keputusan mereka untuk hidup sebagai penduduk sementara dalam dunia yang fasiq ini?

17 Golongan terurap mempunyai harapan untuk memerintah bersama Kristus di syurga. (Why. 5:10) Harapan bagi biri-biri lain pula ialah kehidupan kekal di bumi. Pada masa itu, mereka tidak perlu menjadi penduduk sementara dalam dunia yang fasiq. Mereka akan mempunyai tempat kediaman yang indah nian dan banyak makanan dan minuman. (Mzm. 37:10, 11; Yes. 25:6; 65:21, 22) Tidak seperti orang Israel yang lupa akan Tuhan, mereka tidak akan lupa bahawa segala yang dimiliki mereka berasal daripada Yehuwa, ‘Tuhan penguasa seluruh dunia.’ (Yes. 54:5) Orang Kristian terurap dan biri-biri lain tidak akan menyesali keputusan mereka untuk hidup sebagai penduduk sementara dalam dunia yang fasiq ini!

Apakah Jawapan Anda?

• Bagaimanakah orang setia dahulukala hidup sebagai penduduk sementara?

• Apakah pendirian orang Kristian abad pertama berhubungan dunia masa itu?

• Bagaimanakah orang Kristian tidak terlalu sibuk dengan hal-hal dunia?

• Mengapakah kita tidak akan menyesali keputusan untuk hidup sebagai penduduk sementara dalam dunia yang fasiq ini?

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 18]

Orang Kristian masa awal menjauhkan diri daripada hiburan yang ganas dan tidak bermoral