Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Yehu Memperjuangkan Ibadat Sejati

Yehu Memperjuangkan Ibadat Sejati

Yehu Memperjuangkan Ibadat Sejati

YEHU menyokong ibadat sejati dengan bersemangat, tangkas, gigih, cekap, dan berani. Yehu telah menetapkan contoh baik yang boleh kita teladani.

Yehu menerima sebuah amanat semasa keadaan di Israel amat teruk. Israel berada di bawah pengaruh Izebel yang fasiq. Izebel merupakan balu kepada Ahab dan ibu kepada Raja Yoram. Izebel tidak mendukung ibadat Yehuwa sebaliknya menggalakkan ibadat Baal, membunuh nabi-nabi Tuhan, dan merosakkan akhlak orang dengan ilmu sihir dan pencabulan rohani. (1 Raj. 18:4, 13; 2 Raj. 9:22) Yehuwa memilih Yehu dan memberinya perintah untuk membinasakan keluarga Ahab, termasuk Yoram dan Izebel.

Bible memperkenalkan watak Yehu semasa dia bersama para panglima tentera. Pada masa itu, Israel sedang melawan orang Siria di Ramot, di kawasan Gilead. Yehu merupakan seorang pegawai berpangkat tinggi, mungkin ketua tentera Israel. Nabi Elisa menyuruh seorang nabi untuk mengurapi Yehu sebagai raja, dan mengarahkan Yehu untuk membunuh semua kaum lelaki dalam keluarga Ahab yang murtad.​—2 Raj. 8:28; 9:1-10.

Apabila para panglima yang lain bertanya mengapa nabi itu melawat dia, Yehu keberatan untuk memberitahu mereka. Tetapi setelah didesak, dia memberitahu mereka apa yang berlaku, dan dia dan sahabat-sahabatnya mula berkomplot melawan Raja Yoram. (2 Raj. 9:11-15) Kemungkinan terdapat askar-askar yang tidak menyukai Ahab dan Izebel. Walau apa pun keadaannya, Yehu merancang dengan teliti cara terbaik untuk melaksanakan amanatnya.

Raja Yoram berada di Yizreel untuk sembuh daripada lukanya akibat pertempuran di Ramot. Yehu sedar bahawa jika dia mahu berjaya, rancangannya tidak boleh sampai ke telinga orang di Yizreel. Yehu berkata, “Jangan seorang pun keluar dari Ramot untuk memberitahukan rahsia itu kepada penduduk Yizreel.” (2 Raj. 9:14, 15) Yehu tahu bahawa sesetengah askar mungkin masih setia kepada Yoram, dan dia tidak mahu memberi mereka peluang untuk melawan dia.

SECEPAT KILAT!

Agar dia dapat menyerang lawannya secara mengejut, Yehu memandu kereta kudanya dari Ramot ke Yizreel (jaraknya 72 km). Apabila dia bergegas ke destinasinya, pengawal yang bertugas di menara nampak “Yehu dan anak buahnya datang.” (2 Raj. 9:17) Kemungkinan besar, Yehu membawa rombongan yang besar agar dapat melaksanakan amanatnya.

Pengawal itu berseru, “Pemimpin rombongan itu memandu kereta kudanya seperti orang gila, seolah-olah dia itu Yehu!” (2 Raj. 9:20) Jika Yehu biasa memandu kereta kudanya dengan pantas, kelajuannya kali ini boleh dikatakan secepat kilat!

Yehu enggan memberitahu apa-apa kepada dua orang utusan Raja Yoram. Yehu bertemu dengan Raja Yoram dan sekutunya, Ahazia, iaitu raja Yehuda, dalam kereta kuda masing-masing. Raja Yoram bertanya kepada Yehu, “Adakah kamu datang sebagai sahabat?” Yehu membalas, ‘Mana mungkin sebagai sahabat selama di sini masih berlaku ilmu sihir dan penyembahan berhala yang dimulakan oleh Izebel, bonda raja itu?’ Yoram terkejut dengan kata-kata Yehu dan cuba melarikan diri dari situ. Tetapi Yehu bertindak dengan pantas. Yehu mengambil busurnya dan memanah Raja Yoram. Anak panah itu menusuk jantung Yoram lalu dia mati di dalam kereta kudanya. Walaupun Ahazia berjaya melarikan diri, Yehu telah memastikan bahawa dia juga dibunuh.​—2 Raj. 9:22-24, 27.

Anggota keluarga Ahab yang menjadi sasaran seterusnya ialah Permaisuri Izebel. Yehu dengan tepat sekali memanggil dia ‘perempuan jahanam.’ Apabila Yehu tiba di Yizreel, Yehu nampak Izebel melihat ke bawah dari jendela istana. Yehu mengeluarkan perintah yang jelas kepada pegawai istana untuk melemparkannya ke bawah. Yehu kemudiannya menggelek mayat Izebel dengan kudanya. Selepas itu, Yehu juga membunuh anggota keluarga Ahab lain yang fasiq.​—2 Raj. 9:30-34; 10:1-14.

Walaupun pembunuhan bukanlah sesuatu yang menyenangkan, kita patut ingat bahawa pada masa kuno, Yehuwalah yang mengarahkan hamba-hamba-Nya untuk menjatuhkan hukuman bagi pihak-Nya. Bible memberitahu kita, ‘Tuhan telah menentukan agar Raja Ahazia menemui kejatuhannya apabila baginda melawat Raja Yoram. Ketika Raja Ahazia berada di situ, baginda dan Raja Yoram dicabar oleh seorang yang bernama Yehu anak Nimsi, yang telah dipilih Yehuwa untuk membinasakan keluarga Raja Ahab.’ (2 Taw. 22:7, ABB) Apabila Yehu memberikan perintah untuk mencampakkan mayat Yoram dari kereta kudanya, dia sedar bahawa tindakannya menggenapi janji Yehuwa untuk menghukum Ahab kerana membunuh Nabot. Yehu juga diarahkan untuk ‘menghukum Izebel yang telah membunuh nabi-nabi dan hamba-hamba’ Tuhan.​—2 Raj. 9:7, 25, 26; 1 Raj. 21:17-19.

Hari ini, hamba Yehuwa tidak akan menggunakan kekerasan fizikal untuk melawan musuh ibadat sejati. “Aku akan membalas dendam,” kata Tuhan. (Ibr. 10:30) Tetapi untuk melindungi sidang daripada pengaruh buruk, para penatua mungkin perlu bertindak dengan berani, seperti Yehu. (1 Kor. 5:9-13) Dan semua anggota sidang harus bertekad untuk menghindari pergaulan dengan orang yang telah disingkirkan.​—2 Yoh. 9-11.

YEHU GIAT MENGABDIKAN DIRI KEPADA TUHAN

Motif yang menggerakkan Yehu untuk melaksanakan amanatnya jelas kelihatan daripada kata-katanya kepada Yonadab, “Ikutlah beta dan lihatlah sendiri betapa giatnya beta mengabdi kepada Tuhan.” Yonadab menerima undangan itu dan naik ke atas kereta kuda Yehu, lalu mereka bersama-sama pergi ke Samaria. Di sana, Yehu menggunakan muslihat “untuk membunuh semua orang yang menyembah Baal.”​—2 Raj. 10:15-17, 19.

Yehu mengumumkan bahawa dia mahu “mempersembahkan korban yang besar” kepada Baal. (2 Raj. 10:18, 19) Seorang cendekiawan mengatakan bahawa Yehu bijak memilih kata-katanya. Istilah “korban” juga boleh bermaksud “menyembelih” atau membunuh para murtad. Oleh sebab Yehu tidak mahu mana-mana penyembah Baal terlepas daripada menyertai upacara khas ini, dia mengumpulkan semua penganut Baal dan memastikan bahawa mereka memakai jubah khas. Sebaik sahaja korban dipersembahkan, Yehu mengarahkan 80 orang lelaki untuk membunuh penganut Baal. Dia kemudiannya merobohkan kuil Baal lalu menjadikannya tandas. Jadi, tempat itu tidak lagi sesuai untuk dijadikan tempat ibadat.​—2 Raj. 10:20-27.

Memang, Yehu telah membunuh banyak orang. Namun begitu, Bible menggambarkan Yehu sebagai seorang lelaki gagah yang telah membebaskan umat Israel daripada penindasan Izebel dan keluarganya. Yehu berjaya melaksanakan amanatnya kerana dia berani, bersemangat, dan mempunyai tekad yang kuat. Sebuah kamus Bible menyatakan, “Kerja yang dilakukannya sukar tetapi dilaksanakan dengan baik sekali. Jika kaedah drastik tidak digunakan, ibadat Baal di Israel mungkin tidak dapat dibanteras.”

Hari ini juga, kita akan mengalami situasi hidup yang memerlukan kita memperlihatkan sifat-sifat yang sama seperti Yehu. Sebagai contoh, apakah reaksi kita semasa digoda untuk menyertai aktiviti yang dikutuk oleh Yehuwa? Kita seharusnya menolak godaan dengan pantas, berani, dan bersungguh-sungguh. Kita harus giat mengabdikan diri kepada Yehuwa sahaja.

TAAT KEPADA HUKUM TUHAN DENGAN SEGENAP HATI

Kesudahan cerita ini mengandungi suatu amaran. Yehu membenarkan penyembahan lembu emas yang didirikan di Betel dan di Dan. (2 Raj. 10:29) Bagaimanakah seseorang yang memperjuangkan ibadat sejati boleh membiarkan penyembahan berhala berlaku?

Yehu mungkin percaya bahawa kemerdekaan kerajaan Israel akan berkekalan jika ibadat mereka terasing daripada kerajaan Yehuda. Maka, dia mengikut jejak raja-raja sebelumnya yang membenarkan penyembahan lembu emas di kerajaan Israel. Tetapi, hal ini mencerminkan iman yang tipis terhadap Yehuwa, Tuhan yang telah menjadikannya raja.

Yehuwa memuji Yehu kerana dia ‘melaksanakan semua perintah Tuhan.’ Tetapi, Yehu ‘tidak taat kepada Hukum Yehuwa dengan segenap hatinya.’ (2 Raj. 10:30, 31) Adakah anda berasa hairan atau sedih kerana Yehu yang begitu setia pada mulanya tidak memperjuangkan ibadat sejati sehingga ke akhir hayat? Sebenarnya, kita boleh mengambil iktibar daripada hal ini. Kita tidak patut sekali-kali meremehkan hubungan kita dengan Yehuwa. Setiap hari, kita harus memupuk kesetiaan dengan mempelajari Bible, membuat perenungan, dan berdoa secara tulus kepada Bapa kita di syurga. Semoga kita sentiasa taat kepada hukum Yehuwa dengan segenap hati!​—1 Kor. 10:12.

[Kotak pada muka surat 4]

Yehu dalam Sejarah Sekular

Para pengkritik sering kali mempersoalkan kewujudan watak-watak yang disebut dalam Bible. Maka, selain Bible adakah sumber lain juga menawarkan bukti tentang kewujudan Yehu?

Sekurang-kurangnya tiga dokumen dari Asyur kuno menyebut nama raja Israel ini. Salah satu dokumen menunjukkan Yehu, atau salah seorang utusannya, bersujud kepada raja Asyur, Salmaneser III, dan memberi ufti kepadanya. Terdapat inskripsi yang berbunyi, “Ufti dari Yehu (Ia-ú-a), anak Omri (Hu-um-ri); aku menerima daripadanya perak, emas, mangkuk saplu emas, pasu emas yang runcing di bawah, cawan emas, timba emas, tin, tongkat raja, (dan) puruhtu kayu [erti puruhtu tidak diketahui].” Sebenarnya, Yehu bukan “anak Omri,” tetapi ungkapan ini merujuk kepada raja-raja Israel yang memerintah selepas Omri, mungkin kerana Omri masyhur dan telah membangunkan Samaria, ibu kota Israel.

Dakwaan raja Asyur tentang ufti yang kononnya dibayar oleh Yehu tidak dapat disahkan. Namun begitu, raja ini tiga kali menyebut tentang Yehu—pada batu bersurat (stela), pada patung Salmaneser, dan dalam catatan diraja sejarah orang Asyur. Sumber-sumber ini memberi kita keyakinan bahawa Yehu memang wujud.