Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Dibimbing Daya Aktif pada Abad Pertama dan Sekarang

Dibimbing Daya Aktif pada Abad Pertama dan Sekarang

Dibimbing Daya Aktif pada Abad Pertama dan Sekarang

“Semuanya dilakukan oleh Roh [daya aktif] yang sama juga.”​—1 KOR. 12:11.

1. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

PENTAKOSTA 33 Masihi. Peristiwa yang cukup mendebarkan! (Kis. 2:1-4) Tuhan telah mencurahkan daya aktif-Nya pada masa itu. Peristiwa ini menandakan detik bersejarah dalam hubungan Tuhan dengan hamba-hamba-Nya. Dalam rencana sebelumnya, kita telah membincangkan beberapa cara daya aktif Tuhan membantu hamba-hamba-Nya pada masa lampau untuk melaksanakan tugas yang mencabar. Namun, cara daya aktif Tuhan membimbing hamba-Nya sebelum dan selepas sidang Kristian ditubuhkan adalah berbeza. Apakah perbezaannya? Bagaimanakah orang Kristian dewasa ini dibantu oleh daya aktif Tuhan? Mari kita kaji.

“Aku Hamba Tuhan”

2. Apakah yang diketahui Maria tentang daya aktif Tuhan?

2 Semasa daya aktif Tuhan dicurahkan ke atas pengikut-pengikut Yesus di Yerusalem, Maria juga berada di situ. (Kis. 1:13, 14) Sebelum ini, Maria sudah mengetahui kehebatan daya aktif Yehuwa. Lebih daripada tiga puluh tahun lalu, Yehuwa telah memindahkan nyawa Anak-Nya dari syurga ke rahim Maria. “Kerana kuasa Roh [daya aktif] Tuhan,” Maria telah mengandung walaupun masih dara.​—Mat. 1:20.

3, 4. Apakah sikap yang ditunjukkan Maria? Bagaimanakah kita boleh meneladaninya?

3 Mengapakah Maria diberikan penghormatan yang begitu besar? Selepas malaikat memberitahu Maria tentang kehendak Yehuwa baginya, dia berkata, “Aku hamba Tuhan; biarlah berlaku kepadaku seperti yang engkau katakan.” (Luk. 1:38) Kata-kata Maria menunjukkan sifatnya. Dia bersedia menerima kehendak Tuhan baginya. Dia tidak bertanya bagaimana orang akan memandang kehamilannya atau bagaimana hal ini akan mempengaruhi hubungannya dengan tunangnya. Maria menganggap dirinya sebagai hamba Tuhan. Hal ini menunjukkan bahawa dia yakin sepenuhnya pada Yehuwa.

4 Semasa berkhidmat kepada Tuhan, pernahkah anda diberi tanggungjawab yang nampaknya terlalu berat atau mencabar? Kita masing-masing harus bertanya, “Adakah saya mempercayai sepenuhnya bahawa Yehuwa akan mengambil tindakan selaras dengan kehendak-Nya? Adakah saya benar-benar sudi melakukan kerja yang diberikan Yehuwa?” Janganlah bimbang. Tuhan akan memberikan daya aktif kepada mereka yang percaya kepada-Nya dengan sepenuh hati dan menjunjung kedaulatan-Nya.​—Kis. 5:32.

Daya Aktif Tuhan Membantu Petrus

5. Sebelum Pentakosta 33 M, bagaimanakah daya aktif Tuhan membantu Petrus?

5 Seperti Maria, rasul Petrus pernah merasai kuasa daya aktif Tuhan sebelum Pentakosta 33 M. Yesus telah memberi dia dan rasul-rasul lain kuasa untuk mengusir roh jahat. (Mrk. 3:14-16) Meskipun tidak banyak yang diceritakan dalam Bible, nampaknya Petrus telah menggunakan kekuasaan itu. Petrus juga menyaksikan kuasa Tuhan semasa Yesus menyuruhnya berjalan di atas Tasik Galilea. (Baca Matius 14:25-29.) Jelaslah, Petrus bergantung pada daya aktif Tuhan untuk melakukan banyak mukjizat. Tidak lama lagi, daya aktif Tuhan akan membantu Petrus dan pengikut Yesus yang lain dalam cara yang baru.

6. Dengan bantuan daya aktif Tuhan, apakah yang dapat dilakukan Petrus semasa dan selepas Pentakosta 33 M?

6 Semasa Perayaan Pentakosta tahun 33 M, Petrus dan pengikut Kristus lain diberi kebolehan untuk bertutur dalam bahasa orang yang sedang melawat Yerusalem. Selepas itu, Petrus telah berucap kepada orang ramai yang berkumpul di situ. (Kis. 2:14-36) Ya, Petrus adakalanya telah bertindak terburu-buru atau bersikap penakut. Tetapi dengan bantuan daya aktif Tuhan dia dapat memberikan kesaksian dengan berani meskipun diancam dan dianiaya. (Kis. 4:18-20, 31) Daya aktif Tuhan telah membantu Petrus untuk mengetahui perkara yang tersembunyi. (Kis. 5:8, 9) Dia bahkan diberikan kuasa untuk membangkitkan orang mati.​—Kis. 9:40.

7. Apakah ajaran-ajaran Yesus yang difahami oleh Petrus hanya selepas dia diurapi?

7 Sebelum Pentakosta, Petrus sudah pun memahami banyak kebenaran yang diajarkan oleh Yesus. (Mat. 16:16, 17; Yoh. 6:68) Namun, terdapat sesetengah aspek ajaran Yesus yang masih tidak jelas baginya sebelum Pentakosta. Misalnya, Petrus tidak faham bahawa Kristus akan dibangkitkan sebagai roh pada hari ketiga. Dia juga tidak sedar bahawa Kerajaan Tuhan berada di syurga. (Yoh. 20:6-10; Kis. 1:6) Petrus tidak faham bahawa manusia dapat menjadi makhluk roh dan memerintah di syurga. Hanya selepas dia dibaptis dengan daya aktif Tuhan dan diberi harapan untuk ke syurga, barulah dia memahami ajaran Yesus tentang hal-hal tersebut.

8. Daya aktif Tuhan menyingkapkan pengetahuan apa kepada kaum terurap dan biri-biri lain?

8 Selepas murid Yesus menerima daya aktif, mereka dapat memahami ajaran Kristus yang tidak difahami sebelum itu. Daya aktif Tuhan telah mengilhami para penulis Kitab Yunani Kristian untuk menjelaskan kebenaran-kebenaran menakjubkan sehubungan tujuan Tuhan. (Ef. 3:8-11, 18) Hari ini, kaum terurap dan biri-biri lain juga menerima kebenaran ini yang berupa makanan rohani. (Yoh. 10:16) Daya aktif Tuhan telah membantu anda memahami dan mengetahui Firman Tuhan. Adakah anda menghargainya?

Paulus Dikuasai Daya Aktif Tuhan

9. Daya aktif Tuhan membolehkan Paulus melakukan apa?

9 Lebih kurang setahun selepas Pentakosta 33 M, Saulus, yang kemudiannya dikenali sebagai Paulus, telah dikurniai daya aktif Tuhan. Daya aktif Tuhan membolehkannya melakukan perkara-perkara yang tetap bermanfaat untuk kita sampai hari ini. Contohnya, rasul Paulus telah menulis 14 buku Bible. Sepertimana daya aktif membantu Petrus, daya aktif juga membantu Paulus agar memahami dan menulis tentang harapan ke syurga dan hidup yang tidak boleh mati dan tidak boleh musnah. Paulus menggunakan kuasa daya aktif untuk menyembuhkan orang, mengusir roh jahat, dan bahkan membangkitkan orang mati! Hari ini, daya aktif Tuhan tidak memberi kita kuasa untuk melakukan mukjizat. Namun, semua hamba Tuhan dewasa ini telah diberi kekuatan daripada daya aktif-Nya untuk tujuan yang jauh lebih penting.

10. Bagaimanakah daya aktif Tuhan membantu Paulus memberikan kesaksian?

10 Setelah Paulus “dikuasai oleh Roh [daya aktif] Tuhan,” dia dengan berani telah menegur seorang ahli sihir. Kata-katanya telah meninggalkan kesan yang mendalam pada Gabenor Siprus yang turut hadir. Dia “sangat mengagumi ajaran Tuhan” lalu menerima kebenaran. (Kis. 13:8-12) Paulus sedar betapa pentingnya bantuan daya aktif Tuhan semasa mengkhabarkan kebenaran. (Mat. 10:20) Dia kemudian merayu sidang di Efesus agar berdoa untuknya supaya ‘Tuhan memberitahunya apa yang harus dikatakan.’​—Ef. 6:18-20.

11. Bagaimanakah daya aktif Tuhan membimbing Paulus?

11 Daya aktif Tuhan tidak sahaja membolehkan Paulus untuk bercakap, adakalanya daya aktif Tuhan juga melarang dia daripada memberitakan firman Tuhan di wilayah tertentu. (Kis. 13:2; baca Kisah 16:6-10.) Dewasa ini, Yehuwa masih memimpin kerja penyebaran menerusi daya aktif-Nya. Seperti Paulus, semua hamba Yehuwa berikhtiar untuk menghebahkan kebenaran dengan berani dan bersemangat. Cara Yehuwa membimbing kita memang berbeza berbanding dengan Paulus. Namun, dewasa ini, kita dapat yakin bahawa Yehuwa menggunakan daya aktif-Nya untuk membantu orang yang berhati jujur untuk mendengar kebenaran.​—Yoh. 6:44.

“Ada Berbagai-bagai Cara”

12-14. Adakah daya aktif Tuhan memberikan kebolehan yang sama kepada semua hamba Tuhan? Jelaskan.

12 Adakah anda digalakkan setelah membaca kisah tentang berkat Yehuwa ke atas sidang kaum terurap pada abad pertama? Sudah pasti! Ingatlah kata-kata Paulus kepada sidang di Korintus. Dia berkata bahawa ada berbagai-bagai kurniaan, tetapi semuanya diberikan menerusi daya aktif yang sama; ada berbagai-bagai khidmat, tetapi untuk Tuan yang sama; ada berbagai-bagai kebolehan, tetapi diberikan oleh Tuhan yang sama. (1 Kor. 12:4-6, 11) Daya aktif boleh membawa kesan yang berbeza dalam hamba-hamba Tuhan mengikut kehendak-Nya. Baik “kawanan kecil” mahupun “biri-biri lain” dibimbing oleh daya aktif Tuhan. (Luk. 12:32; Yoh. 10:16) Namun, setiap ahli sidang mungkin dibimbing oleh daya aktif Tuhan dalam cara yang berbeza.

13 Sebagai contoh, para penatua dilantik oleh daya aktif Tuhan. (Kis. 20:28) Tetapi bukan semua orang Kristian terurap berkhidmat sebagai penatua. Apakah kesimpulannya? Daya aktif Tuhan menggerakkan hamba-hamba Tuhan dalam cara yang berbeza-beza.

14 Daya aktif yang “menjadikan [kaum terurap] anak-anak Tuhan” juga digunakan oleh Yehuwa untuk membangkitkan Anak Tunggal-Nya ke syurga. (Baca Roma 8:11, 15.) Dengan menggunakan daya aktif yang sama, Yehuwa mencipta seluruh alam semesta. (Kej. 1:1-3) Daya aktif itu juga melengkapi Bezaleel untuk melakukan kerja di khemah suci, memberi Simson kekuatan yang luar biasa, dan membolehkan Petrus berjalan di atas air. Namun, jika seseorang dibimbing dengan daya aktif, adakah dia juga diurapi daya aktif? Tidak semestinya. Hanya orang tertentu yang dipilih oleh Tuhan akan diurapi oleh daya aktif-Nya.

15. Adakah pembaptisan dengan daya aktif akan kekal selama-lamanya?

15 Sejak beribu-ribu tahun dahulu, Tuhan telah menggunakan daya aktif-Nya yang suci untuk memberikan pelbagai kebolehan kepada hamba-hamba-Nya yang setia. Tetapi pada Pentakosta 33 M, pembaptisan dengan daya aktif telah bermula. Namun, aturan baru ini tidak akan berterusan untuk selamanya. Walaupun pembaptisan dengan daya aktif akan berakhir, daya aktif Tuhan akan terus membimbing umat-Nya. Dengan ini, mereka dapat melaksanakan kehendak-Nya buat selama-lamanya.

16. Apakah yang sedang dilakukan oleh hamba-hamba Tuhan yang dibimbing oleh daya aktif Tuhan?

16 Apakah yang dilaksanakan oleh daya aktif Yehuwa di bumi sekarang? Jawapannya terdapat di Wahyu 22:17 (ABB), ‘Roh [daya aktif] Tuhan dan Pengantin Perempuan berkata, “Marilah!” Tiap-tiap orang yang mendengarnya juga mesti berkata, “Marilah!” Marilah, sesiapa yang dahaga! Terimalah pemberian air yang memberikan hidup, hai kamu yang menginginkannya!’ Daya aktif Tuhan mendorong orang Kristian kini untuk menyeru agar sesiapa “yang menginginkannya” menyambut jemputan Yehuwa untuk menerima air yang memberikan hidup. Kaum Kristian terurap sedang menerajui kerja ini, dan biri-biri lain juga melakukan kerja ini. Kedua-dua golongan ini dibimbing oleh daya aktif yang sama. Kedua-dua golongan telah melambangkan pembaktian mereka dengan dibaptis “atas nama Bapa dan Anak dan daya aktif Tuhan.” (Mat. 28:19, NW) Mereka semua menerima bimbingan daya aktif Tuhan dan memperlihatkan buah daya aktif dalam kehidupan seharian. (Gal. 5:22, 23) Seperti kaum terurap, biri-biri lain memohon bantuan daya aktif Tuhan. Dengan itu, mereka berusaha seboleh-bolehnya untuk hidup suci agar menyenangkan Yehuwa.​—2 Kor. 7:1; Why. 7:9, 14.

Teruslah Minta Daya Aktif Tuhan

17. Apakah bukti bahawa daya aktif Tuhan sedang membimbing kita?

17 Tidak kira anda diberi harapan untuk hidup abadi di syurga atau di bumi, Yehuwa boleh memberi anda kekuatan yang luar biasa. Dia ingin anda memelihara integriti sampai akhir. (2 Kor. 4:7) Anda mungkin diejek kerana terus menginjil. Namun, Bible menyatakan, ‘Berbahagialah kamu jika kamu dihina kerana kamu pengikut Kristus. Hal ini bererti bahawa Roh [daya aktif] yang mulia, iaitu Roh [daya aktif] Tuhan ada pada kamu.’​—1 Ptr. 4:14, ABB.

18, 19. Bagaimanakah Yehuwa akan menggunakan daya aktif-Nya untuk membantu anda? Apakah tekad anda dalam hal ini?

18 Tuhan mengurniakan daya aktif dengan melimpah kepada mereka yang memohon kepada-Nya dengan ikhlas. Daya aktif bukan sahaja boleh memantapkan kemahiran anda, malah dapat menguatkan hasrat anda untuk berkhidmat kepada Tuhan dengan sedaya-upaya. ‘Tuhan sentiasa bekerja di kalangan kamu untuk membuat kamu mahu dan sanggup melakukan apa yang dikehendaki-Nya.’ Bantuan daya aktif berserta usaha gigih untuk berpaut erat pada Firman Tuhan akan membolehkan kita meraih penyelamatan.​—Flp. 2:12, 13, 15, 16, ABB.

19 Maka, percayalah sepenuhnya pada daya aktif Tuhan, lakukanlah setiap tugas anda dengan segenap hati, laksanakan tanggungjawab anda dengan mahir, dan mohonlah bantuan Yehuwa. (Yak. 1:5) Dia akan membantu anda supaya memahami Firman-Nya, menangani masalah hidup, dan menyebarkan berita baik. ‘Mintalah sesuatu daripada Tuhan, maka kamu akan menerimanya. Carilah sesuatu daripada Tuhan, maka kamu akan mendapatnya. Ketuklah pintu, maka Tuhan akan membukanya bagi kamu.’ (Luk. 11:9, 13, ABB) Jadi, teruslah memohon Yehuwa supaya anda dapat dibimbing oleh daya aktif-Nya, seperti hamba setia dahulu dan kini.

Cuba Jelaskan

• Bagaimanakah kita boleh meniru sikap Maria dan menikmati berkat?

• Bagaimanakah Paulus dibimbing oleh daya aktif Tuhan?

• Bagaimanakah daya aktif Tuhan membimbing hamba-Nya dewasa ini?

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 24]

Daya aktif Tuhan membantu Paulus melawan pengaruh roh-roh jahat

[Gambar pada muka surat 26]

Daya aktif Tuhan dapat membantu orang Kristian terurap dan biri-biri lain