Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Meraih Berkat kerana Rela Membuat Perubahan

Meraih Berkat kerana Rela Membuat Perubahan

Meraih Berkat kerana Rela Membuat Perubahan

Diceritakan oleh James A. Thompson

Saya lahir pada tahun 1928 di selatan Amerika Syarikat. Pada masa itu, undang-undang mengasingkan orang berkulit putih daripada yang berkulit hitam. Sesiapa yang melanggar undang-undang itu boleh dipenjarakan atau dijatuhkan hukuman yang lebih teruk.

DI SESETENGAH tempat di Amerika Syarikat, Saksi-Saksi Yehuwa yang berkulit hitam dan putih perlu mempunyai sidang, litar, dan distrik yang berasingan. Pada tahun 1937, ayah saya menjadi hamba sidang (kini dipanggil koordinator badan penatua) dalam sidang orang hitam di Chattanooga, Tennessee manakala Henry Nichols berkhidmat sebagai hamba sidang orang berkulit putih.

Saya memiliki kenangan manis tentang zaman kanak-kanak saya. Pada waktu malam, saya biasa duduk di belakang rumah sambil mendengar perbualan Ayah dengan Saudara Nichols. Saya tidak memahami segala yang dibualkan, tetapi saya suka duduk di sisi Ayah semasa mereka membincangkan cara terbaik untuk menjalankan kerja penyebaran pada masa itu.

Sebelum itu, pada tahun 1930, tragedi menimpa keluarga kami. Ibu meninggal semasa dia hanya berumur 20 tahun. Ayah terpaksa menjaga saya dan kakak saya Doris. Pada masa itu, kami masing-masing berumur dua dan empat tahun. Walaupun Ayah baru dibaptis, dia membuat kemajuan rohani yang baik.

Teladan Baik bagi Saya

Pada tahun 1933, Ayah menemui seorang saudari yang bernama Lillie Mae Gwendolyn Thomas. Mereka berkahwin dan berkhidmat kepada Yehuwa dengan setia. Mereka telah menetapkan teladan yang baik bagi saya dan Doris.

Pada tahun 1938, sidang Saksi-Saksi Yehuwa diminta menyokong satu resolusi: Para penatua sidang tidak akan dipilih menerusi undi, sebaliknya akan dilantik oleh ibu pejabat di Brooklyn, New York. Walaupun sesetengah orang di Chattanooga teragak-agak, Ayah menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada organisasi. Kesetiaan Ayah dan kerjasama yang ditunjukkan oleh Ibu membantu saya sampai hari ini.

Pembaptisan dan Aktiviti Penyebaran Sepenuh Masa

Pada tahun 1940, beberapa orang dalam sidang menyewa sebuah bas untuk menghadiri konvensyen di Detroit, Michigan. Sesetengah orang yang pergi bersama kami dibaptiskan di sana. Ada yang mula bertanya mengapa saya tidak dibaptiskan walaupun saya bergiat dalam kerja penyebaran sejak berumur lima tahun.

Saya menjawab, “Saya tidak faham segala yang berkaitan dengan pembaptisan.” Ayah hairan mendengar jawapan saya. Selepas itu, dia mencurahkan usaha untuk membantu saya memahami erti dan kepentingan pembaptisan. Empat bulan kemudian, pada 1 Oktober 1940, saya dibaptiskan di sebuah kolam di luar Chattanooga meskipun hari itu sangat sejuk.

Pada umur 14 tahun, saya mula merintis semasa cuti musim panas. Saya menginjil di pekan-pekan kecil di Tennessee dan di Georgia. Saya bangun awal, menyiapkan bekalan makanan tengah hari, dan menaiki kereta api atau bas pukul 6 pagi ke kawasan penyebaran. Kira-kira pukul 6 petang, saya akan pulang. Biasanya saya kehabisan makanan sebelum tengah hari. Walaupun saya ada wang, saya tidak boleh memasuki kedai untuk membeli makanan kerana saya berkulit hitam. Pernah sekali saya ingin membeli aiskrim tetapi disuruh beredar. Namun seorang wanita putih yang baik hati mendapatkannya untuk saya.

Semasa di sekolah menengah, orang di Selatan mula giat menyokong gerakan hak sivil. Organisasi seperti NAACP (National Association for the Advancement of Colored People) menggalakkan pelajar untuk menyertai mereka. Sesetengah sekolah orang berkulit hitam, termasuk sekolah saya, menghendaki semua pelajar menyertainya. Saya didesak untuk “menyokong kaum kita.” Tetapi saya tidak berganjak. Saya menjelaskan bahawa Tuhan tidak pilih kasih. Saya percaya Tuhan akan membanteras semua ketidakadilan.—Yoh. 17:14; Kis. 10:34, 35.

Selepas tamat sekolah menengah, saya membuat keputusan untuk berpindah ke kota New York. Dalam perjalanan, saya singgah di Philadelphia, Pennsylvania untuk berjumpa dengan kawan-kawan yang ditemui semasa konvensyen. Buat pertama kali saya menghadiri sidang di mana saudara putih dan hitam berkumpul bersama. Penyelia lawatan memberitahu saya bahawa saya diberi tugasan pada perjumpaan seterusnya. Hal ini memberi saya alasan untuk tinggal di sini.

Salah seorang kawan saya di Philadelphia ialah seorang saudari muda yang bernama Geraldine White. Saya memanggil dia Gerri. Dia mahir menggunakan Bible dan bercakap dengan penghuni rumah. Yang paling penting, seperti saya, dia juga bermatlamat untuk menjadi perintis. Kami telah berkahwin pada 23 April 1949.

Undangan ke Gilead

Dari dahulu lagi, kami bermatlamat untuk menghadiri Sekolah Gilead dan berkhidmat sebagai perintis seberang laut. Kami sedia membuat perubahan agar layak menyertai Gilead. Tidak lama kemudian, kami diminta untuk berpindah ke Lawnside, New Jersey; kemudian ke Chester, Pennsylvania; dan akhirnya ke Atlantic City, New Jersey. Semasa di Atlantic City, iaitu setelah berkahwin selama dua tahun, kami telah memenuhi syarat untuk menyertai Gilead. Tetapi undangan kami ditangguhkan. Sebabnya?

Pada awal tahun 1950-an, ramai pemuda dikerah menyertai khidmat tentera untuk berperang dalam konflik di Korea. Lembaga kerahan di Philadelphia nampaknya berprasangka terhadap Saksi-Saksi Yehuwa kerana kami bersikap neutral. Akhirnya, saya dimaklumkan oleh seorang hakim bahawa pendirian neutral saya disahkan setelah disiasat oleh pihak FBI. Jadi pada 11 Januari 1952, saya dikecualikan daripada khidmat tentera kerana saya merupakan seorang penginjil.

Pada bulan Ogos tahun itu, saya dan Gerri diundang ke kelas Gilead yang ke-20, yang bermula pada bulan September. Kami yakin bahawa kami akan dihantar ke negara lain. Kakak saya Doris telah lulus kelas Gilead yang ke-13 dan dihantar ke Brazil. Saya dan Gerri berasa amat terkejut kerana ditugaskan untuk melawat sidang-sidang orang berkulit hitam di Alabama, selatan Amerika Syarikat. Kami berasa sedikit kecewa kerana tidak dapat berkhidmat di negara lain.

Sidang pertama yang kami kunjungi terletak di Huntsville. Setibanya di sana, kami pergi ke rumah seorang saudari. Semasa kami mengambil beg-beg, dia menelefon seorang kawan dan kami terdengar dia berkata, “Anak-anak sudah sampai.” Pada masa itu, kami berumur 24 tahun dan kelihatan lebih muda daripada umur kami. Kami digelar “Anak-Anak” sepanjang masa kami berkhidmat di litar itu.

Kawasan di bahagian Selatan dipanggil Lingkaran Bible kerana kebanyakan orang menjunjung tinggi Bible. Jadi, kami sering memulakan perbualan dengan menyebut tiga perkara:

(1) Keadaan dunia.

(2) Harapan Bible.

(3) Nasihat Bible.

Kemudian, kami menawarkan bahan bacaan yang sesuai untuk memulakan pembelajaran Bible. Kaedah ini membuahkan hasil yang baik dan saya diminta untuk menunjukkan penyampaian ini semasa Perhimpunan New World Society di New York pada tahun 1953.

Pada musim panas 1953, saya ditugaskan sebagai penyelia distrik bagi sidang orang hitam. Kawasan kami meliputi Virginia ke Florida dan sejauh barat ke Alabama dan Tennessee. Penyelia lawatan perlu pandai menyesuaikan diri. Sebagai contoh, kami banyak kali tinggal di rumah yang tiada paip air. Walaupun kami perlu mandi dalam tab di belakang dapur, kami berasa gembira kerana itulah bahagian rumah yang paling hangat.

Kesusahan Akibat Masalah Perkauman

Semasa di Selatan, kami terpaksa memikirkan kaedah cerdik untuk melakukan sesetengah perkara. Orang berkulit hitam tidak dibenarkan untuk mencuci pakaian di kedai dobi. Jadi Gerri akan menjelaskan bahawa pakaian tersebut adalah untuk “Puan Thompson.” Banyak orang sangka dia orang gaji “Puan Thompson.” Semasa saya perlu menggunakan skrin yang besar untuk menayangkan filem The New World Society in Action, saya akan menelefon kedai berkenaan dan membuat tempahan atas nama “Encik Thompson.” Kemudian, saya akan ke kedai untuk mendapatnya. Kami selalu bersifat sopan dan dapat menjalankan kerja penyebaran tanpa gangguan.

Terdapat satu lagi jenis prasangka yang wujud. Ramai orang di Selatan tidak suka orang dari Utara. Pernah sekali sebuah akhbar menyiarkan bahawa James A. Thompson, Jr., dari Pertubuhan Bible dan Risalah Watchtower New York akan memberikan ceramah di sebuah perhimpunan. Ada yang sangka bahawa saya berasal dari New York dan dengan demikian membatalkan kontrak sewa dewan sekolah. Jadi saya pergi ke lembaga sekolah itu dan menjelaskan bahawa saya telah bersekolah di Chattanooga. Kemudian kami dibenarkan menggunakan dewan itu.

Pada tahun 1950-an, bahang perkauman semakin terasa, dan adakalanya orang bertindak ganas. Pada tahun 1954, ada Saksi yang tersinggung kerana tiada penceramah yang berkulit hitam di sebilangan konvensyen distrik. Kami menggalakkan mereka untuk bersabar. Musim panas yang berikutnya, saya ditugaskan sebagai seorang penceramah. Selepas tahun itu, lebih ramai saudara berkulit hitam di Selatan diberikan tugasan sebagai penceramah.

Secara beransur-ansur, masalah perkauman reda dan sidang-sidang mulai bergabung. Sesetengah penyiar diminta untuk menyertai sidang lain dan kawasan penyebaran sidang juga perlu diubah. Para penatua juga diberikan tanggungjawab baru. Ada saudara saudari berkulit putih serta yang berkulit hitam yang tidak menyukai aturan baru ini, tetapi kebanyakan saudara meniru Yehuwa yang tidak pilih kasih. Sebenarnya, ramai orang hitam dan orang putih berkawan baik. Keluarga saya mengalami keadaan sedemikian ketika saya sedang membesar pada tahun 1930-an dan 1940-an.

Tugasan Baru

Pada Januari 1969, saya dan Gerri dengan gembiranya menerima undangan untuk berkhidmat di Guyana, Amerika Selatan. Mula-mula, kami ke Brooklyn, New York dan saya dilatih untuk menyelia kerja penyebaran di Guyana. Kami tiba di Guyana pada bulan Julai 1969. Kami terpaksa membuat perubahan yang besar. Setelah melawat sidang-sidang selama 16 tahun, kini kami perlu menetap di satu tempat. Gerri meluangkan kebanyakan masa dalam kerja penyebaran sebagai mubaligh, dan saya bekerja di pejabat cawangan.

Saya melakukan pelbagai kerja: memotong rumput, menghantar bahan bacaan kepada 28 sidang di situ, menghubungi ibu pejabat di Brooklyn, dan sebagainya. Saya bekerja 14 hingga 15 jam setiap hari. Tugas kami tidak senang, tetapi kami menyukainya. Semasa kami tiba di Guyana, terdapat 950 penyiar di sana; hari ini angkanya menjangkau 2,500.

Cuaca di Guyana sederhana dan selesa. Buah dan sayur di sana pun menyelerakan. Namun, perkara yang benar-benar membuat kami sukacita ialah orang Guyana yang rendah hati dan yang mendahagakan kebenaran tentang Kerajaan Tuhan. Selalunya, Gerri mengadakan 20 pembelajaran Bible setiap minggu dan kebanyakan pelajar kami membuat kemajuan sehingga dibaptiskan. Ada yang menjadi perintis, penatua, bahkan ada yang menyertai Gilead dan menjadi mubaligh.

Cabaran dan Masalah Kesihatan

Pada tahun 1983, ibu bapa saya di Amerika Syarikat memerlukan bantuan. Saya, Doris, dan Gerri berbincang tentang apa yang patut dilakukan. Doris yang telah berkhidmat di Brazil sebagai mubaligh selama 35 tahun membuat keputusan untuk menjaga mereka. Dia berkata, “Buat apa dua orang mubaligh perlu berhenti jika seorang saja yang diperlukan untuk menjaga ibu bapa.” Selepas kematian ibu bapa kami, Doris menetap di Chattanooga dan berkhidmat sebagai perintis khas.

Pada tahun 1995, saya diberitahu bahawa saya menghidap kanser prostat dan terpaksa pulang ke Amerika Syarikat. Kami menetap di Goldsboro, Carolina Utara, kerana Goldsboro terletak di antara tempat keluarga saya di Tennessee dan tempat keluarga Gerri di Pennsylvania. Gejala penyakit kanser saya semakin berkurang dan kami kini berkhidmat di sidang Goldsboro sebagai perintis khas yang uzur.

Semasa mengimbas kembali lebih daripada 65 tahun yang dihabiskan dalam kerja sepenuh masa, saya amat bersyukur kerana Yehuwa telah memberkati saya dan Gerri kerana kami rela membuat perubahan untuk berkhidmat kepada-Nya. Kata-kata Daud memang benar, ‘Ya Yehuwa, Engkau setia kepada orang yang setia kepada-Mu’!​—2 Sam. 22:26.

[Gambar pada muka surat 3]

Ayah dan Saudara Nichols menetapkan teladan yang baik bagi saya

[Gambar pada muka surat 4]

Bersama Gerri, sedia untuk menyertai Gilead, 1952

[Gambar pada muka surat 5]

Selepas Gilead, kami melawat sidang-sidang di Selatan

[Gambar pada muka surat 6]

Penyelia lawatan bersama isteri sebelum konvensyen distrik bergabung, 1966

[Gambar pada muka surat 7]

Menjadi mubaligh di Guyana membawa sukacita