Orang Setia Dahulukala Dibimbing Daya Aktif Tuhan
Orang Setia Dahulukala Dibimbing Daya Aktif Tuhan
‘Raja Yehuwa mengutus aku dan memberi aku kuasa-Nya [“daya aktif-Nya,” NW].’—YES. 48:16.
1, 2. Apakah yang diperlukan untuk menunjukkan iman? Apakah galakan yang boleh kita peroleh jika kita mempelajari tentang orang setia dahulukala?
SEJAK zaman Habel, terdapat orang yang beriman. Tetapi Bible juga berkata bahawa “tidak semua orang percaya” atau beriman. (2 Tes. 3:2) Jadi mengapakah sesetengah orang beriman? Apakah yang membolehkan mereka untuk menunjukkan iman? Sebenarnya, iman adalah berdasarkan pengetahuan daripada Firman Tuhan. (Rm. 10:17) Iman merupakan satu aspek buah daya aktif Tuhan. (Gal. 5:22, 23) Maka, untuk menunjukkan iman, kita memerlukan daya aktif Tuhan.
2 Iman bukanlah sifat yang wujud secara semula jadi sejak lahir. Orang setia yang disebut dalam Bible ialah “orang biasa seperti kita.” (Yak. 5:17) Mereka mempunyai kelemahan dan keraguan. Mereka mungkin tidak berapa yakin dalam kebolehan sendiri. Tetapi mereka “menjadi kuat” kerana daya aktif Tuhan membantu mereka menempuh cabaran. (Ibr. 11:34) Dengan mempelajari cara daya aktif Yehuwa membantu mereka, kita pun digalakkan untuk tetap setia kepada Tuhan, biarpun iman kita dicabar.
Daya Aktif Tuhan Menguatkan Musa
3-5. (a) Bagaimanakah kita tahu bahawa Musa mendapat bantuan daya aktif Tuhan? (b) Menerusi contoh Musa, apakah yang boleh kita pelajari tentang cara Yehuwa memberikan daya aktif-Nya?
3 Dalam kalangan semua manusia yang hidup pada tahun 1513 SM, Musa merupakan lelaki yang paling “rendah hati.” (Bil. 12:3) Dia diberikan tanggungjawab yang sangat besar, iaitu untuk menjaga umat Israel. Daya aktif Tuhan memberikan kekuatan kepada Musa untuk bernubuat, menghakimi, menulis firman-Nya, memimpin, dan melakukan mukjizat. (Baca Yesaya 63:11-14.) Walaupun begitu, Musa pernah mengeluh bahawa tanggungjawabnya terlalu berat. (Bil. 11:14, 15) Jadi, Tuhan memberi 70 lelaki lain sebahagian daya aktif yang diberikan kepada Musa agar mereka dapat membantu Musa. (Bil. 11:16, 17) Walaupun Musa berasa bahawa tanggungjawabnya terlalu berat, dia sebenarnya tidak memikulnya seorang diri; begitu juga dengan 70 orang lelaki itu.
4 Musa diberikan daya aktif yang mencukupi supaya dia dapat menjalankan tugasnya. Selepas Yehuwa memberi 70 orang tua-tua itu daya aktif, Musa masih mempunyai daya aktif yang diperlukan. Musa tidak kekurangan daya aktif, dan lelaki lain tidak diberi terlalu banyak daya aktif. Tuhan membekalkan daya aktif “dengan sepenuhnya,” berdasarkan keperluan dan situasi kita.—Yoh. 1:16; 3:34.
5 Adakah anda sedang menghadapi masalah? Adakah tanggungjawab anda semakin banyak dan memakan banyak masa? Adakah anda sedang bekerja keras untuk menjaga keperluan rohani dan fizikal keluarga sementara kos hidup semakin meningkat? Adakah anda berasa bimbang tentang kesihatan anda? Adakah anda perlu memikul tanggungjawab yang besar di sidang? Yakinlah bahawa Tuhan boleh memberikan kekuatan yang anda perlukan menerusi daya aktif-Nya.—Rm. 15:13.
Daya Aktif Tuhan Melengkapi Bezaleel
6-8. (a) Bagaimanakah daya aktif Tuhan membantu Bezaleel dan Oholiab? (b) Apakah satu lagi bukti yang menunjukkan bahawa Bezaleel dan Oholiab dibimbing oleh daya aktif Tuhan? (c) Mengapakah contoh Bezaleel menggalakkan kita hari ini?
6 Contoh Bezaleel, seorang lelaki yang hidup Keluaran 35:30-35.) Bezaleel dilantik untuk mengetuai kerja membuat peralatan yang digunakan dalam khemah suci. Barangkali dia tahu sedikit sebanyak tentang kerja sebegini. Tetapi kemungkinan besar selama ini dia hanya seorang pembuat bata di Mesir. (Kel. 1:13, 14) Jadi bagaimanakah Bezaleel dapat melaksanakan tugas yang mencabar ini? Yehuwa telah mengurniai Bezaleel daya aktif-Nya dan ‘memberi dia kemahiran, kebolehan, dan pengertian dalam segala jenis karya seni, untuk merancang reka bentuk yang memerlukan kemahiran dan untuk membuat segala jenis karya seni yang lain.’ Bezaleel mungkin mempunyai bakat, tetapi kemahirannya telah ditingkatkan dengan adanya daya aktif Tuhan. Begitu juga dengan Oholiab. Tentu Bezaleel dan Oholiab telah belajar dengan baik kerana mereka dapat menjalankan kerja mereka, dan juga mengajar orang lain apa yang harus dilakukan.
sezaman dengan Musa, juga menunjukkan cara daya aktif Tuhan berfungsi. (Baca7 Hasil kerja Bezaleel dan Oholiab tahan lasak dan masih digunakan kira-kira 500 tahun kemudian. (2 Taw. 1:2-6) Hal ini juga membuktikan bahawa daya aktif Tuhan telah membimbing mereka. Biasanya apabila seseorang menghasilkan sesuatu, dia menginginkan kemuliaan. Tetapi Bezaleel dan Oholiab bukan seperti itu. Mereka mahu Yehuwa dimuliakan.—Kel. 36:1, 2.
8 Dewasa ini, kita mungkin diberikan tugas mencabar yang memerlukan kemahiran yang khusus seperti kerja membina, mencetak, mengorganisasikan konvensyen, membantu mangsa bencana, dan menjelaskan kepada doktor dan kakitangan hospital tentang pendirian kita dalam soal darah. Adakalanya kerja sebegini dilaksanakan oleh pekerja mahir, tetapi sering kali kerja ini dilakukan oleh sukarelawan yang tidak pernah menceburi bidang tersebut. Daya aktif Tuhanlah yang membantu mereka. Pernahkah anda menolak tugas tertentu kerana berfikir bahawa orang lain lebih layak melakukannya? Ingatlah, daya aktif Yehuwa boleh mempertingkat pengetahuan dan kebolehan anda untuk melaksanakan apa sahaja tugas yang diberikan-Nya kepada anda.
Daya Aktif Tuhan Membantu Yosua Memimpin Umat-Nya
9. Apakah situasi yang dihadapi orang Israel selepas mereka keluar dari Mesir? Apakah soalan yang timbul?
9 Daya aktif Tuhan juga memimpin seorang lagi hamba Tuhan yang hidup sezaman dengan Musa dan Bezaleel. Tidak lama selepas orang Israel meninggalkan Mesir, orang Amalek telah menyerang umat Tuhan. Orang Israel memang tidak biasa berperang. Inilah kali pertama mereka akan berperang sebagai umat yang bebas. (Kel. 13:17; 17:8) Jadi mereka memerlukan seorang pemimpin. Tetapi, siapakah yang akan dilantik?
10. Mengapakah orang Israel yang dipimpin Yosua dapat menewaskan musuh?
10 Yosua telah dipilih. Tetapi apakah kelayakannya? Yosua hanya mempunyai pengalaman sebagai buruh paksa, tukang campur jerami, dan pengutip manna. Memang, datuk Yosua, Elisama ialah pemimpin suku Efraim. Elisama juga mengetuai tentera yang terdiri daripada 108,100 orang. (Bil. 2:18-24; 1 Taw. 7:26, 27) Walaupun begitu, Yehuwa telah melantik Yosua, bukannya Elisama atau anak Elisama, Nun untuk memimpin umat Israel. Pertempuran itu berterusan hampir sehari suntuk. Oleh sebab Yosua mematuhi Tuhan dan bergantung pada bimbingan daya aktif-Nya, Israel berjaya menewaskan musuh.—Kel. 17:9-13.
11. Bagaimanakah kita boleh berkhidmat kepada Tuhan dengan baik?
11 Setelah Musa meninggal, Yosua telah menggantikannya. Bible berkata, “Tuhan mengurniakan kebijaksanaan kepada Yosua.” (Ul. 34:9) Daya aktif tidak membolehkan Yosua untuk bernubuat atau melakukan mukjizat seperti yang dilakukan Musa. Tetapi dengan bantuan daya aktif, Yosua dapat mengetuai bala tentera Israel dan menakluki negeri Kanaan. Hari ini, kita mungkin berasa kurang berpengalaman atau tidak layak untuk melakukan sesetengah perkara dalam khidmat suci kita. Namun, seperti Yosua kita tentu boleh berjaya jika kita berpegang erat pada arahan-arahan Tuhan.—Yos. 1:7-9.
Daya Aktif Yehuwa Menguasai Gideon
12-14. (a) Tiga ratus orang askar Gideon dapat mengalahkan angkatan tentera Midian yang sangat besar. Apakah pengajarannya? (b) Bagaimanakah Yehuwa menguatkan iman Gideon? (c) Bagaimanakah Tuhan membantu kita hari ini?
12 Selepas kematian Yosua, Yehuwa terus menguatkan hamba-Nya yang setia dengan daya aktif-Nya. Buku Hakim-Hakim mengandungi banyak kisah tentang orang yang “lemah, tetapi menjadi kuat.” (Ibr. 11:34) Menerusi daya aktif-Nya, Tuhan mendorong Gideon untuk berperang bagi pihak umat-Nya. (Hak. 6:34) Tetapi, bilangan askar Gideon adalah kecil berbanding dengan askar orang Midian; setiap askar Gideon perlu melawan empat askar Midian. Namun dari pandangan Yehuwa, bilangan askar Israel masih terlalu ramai. Dia dua kali menyuruh Gideon untuk mengurangkan bilangan askarnya. Akhirnya setiap askar Gideon perlu melawan 450 askar Midian. (Hak. 7:2-8; 8:10) Itulah yang diingini Yehuwa. Jika tentera Israel yang kecil bilangannya dapat menumpaskan angkatan tentera musuh yang begitu besar, sudah pasti kejayaan itu bukan hasil kekuatan atau kebijaksanaan manusia.
13 Bayangkan askar-askar Gideon sedang bersiap sedia dan anda berada dalam angkatan kecil itu. Adakah anda akan berasa yakin kerana mereka yang takut dan tidak berjaga-jaga sudah dihantar pulang? Atau adakah anda berasa sedikit gentar semasa memikirkan kesudahan pertempuran ini? Kita dapat yakin bahawa Gideon telah mempercayai Tuhan. Dia melakukan apa sahaja yang diingini Yehuwa! (Baca Hakim-Hakim 7:9-14.) Yehuwa tidak murka kerana Gideon meminta bukti sokongan-Nya. (Hak. 6:36-40) Sebaliknya, Yehuwa menguatkan imannya.
14 Yehuwa mempunyai kuasa yang tidak terhingga untuk menyelamatkan umat-Nya dalam situasi apa pun. Dia bahkan boleh menggunakan orang yang nampaknya lemah dan tidak berdaya untuk membantu umat-Nya. Sesekali, kita mungkin berasa bahawa penentang kita banyak, dan situasi yang dihadapi mungkin sangat mencabar. Memang kita tidak mengharapkan Yehuwa untuk melakukan mukjizat bagi kita seperti yang dilakukan-Nya untuk Gideon. Tetapi Yehuwa akan membimbing dan melegakan hati kita melalui Firman-Nya dan sidang yang dipimpin oleh daya aktif-Nya. (Rm. 8:31, 32) Yehuwa telah berjanji untuk membantu kita. Tidakkah hal ini menguatkan iman dan keyakinan kita terhadap-Nya?
Daya Aktif Yehuwa “Menguasai Yefta”
15, 16. Mengapakah anak perempuan Yefta mempunyai sikap yang sangat baik? Bagaimanakah hal ini boleh menggalakkan ibu bapa?
15 Fikirkanlah satu lagi contoh. Semasa orang Israel perlu bertempur dengan orang Amon, daya aktif Tuhan telah “menguasai Yefta.” Yefta ingin sekali meraih kemenangan demi memuji Yehuwa. Maka, Yefta telah berjanji kepada Tuhan bahawa sekiranya Tuhan membantu dia mengalahkan orang Amon, orang pertama yang menyambut kepulangannya akan menjadi milik Yehuwa. Untuk menunaikan janjinya, Yefta perlu membuat pengorbanan yang besar. Sebaik sahaja dia pulang selepas menewaskan orang Amon, anak perempuannya datang menyambutnya. (Hak. 11:29-31, 34) Adakah hal ini menghairankan Yefta? Tidak semestinya, kerana Yefta hanya mempunyai seorang anak. Dia menunaikan janjinya dengan mengizinkan anak perempuannya menghabiskan seumur hidup di khemah suci Yehuwa di Silo. Sebagai penyembah Yehuwa yang setia, anak perempuan Yefta juga rela menunaikan janji bapanya. (Baca Hakim-Hakim 11:36.) Daya aktif Yehuwa memberi mereka kekuatan yang diperlukan.
16 Mengapakah anak perempuan Yefta begitu rela membuat pengorbanan untuk berkhidmat kepada Yehuwa? Semangat ayahnya yang berkobar-kobar serta kasih ayahnya yang mendalam terhadap Yehuwa tentu telah menguatkan imannya. Maka ibu bapa, ketahuilah bahawa teladan anda sangat penting. Keputusan anda menunjukkan sama ada anda benar-benar percaya apa yang anda katakan. Anak-anak anda akan mempelajari erti menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati melalui doa, cara mengajar, dan teladan baik anda. Maka mereka juga akan memupuk keinginan untuk berkhidmat kepada-Nya dengan sepenuh hati. Tidakkah anda berasa gembira jika hal ini berlaku?
Daya Aktif Tuhan Menguatkan Simson
17. Apakah yang dapat dilakukan oleh Simson dengan bantuan daya aktif Yehuwa?
17 Mari kita lihat satu lagi contoh. Apabila orang Israel ditawan orang Filistin, daya aktif Tuhan “mula menguatkan” Simson untuk membebaskan umat-Nya. (Hak. 13:24, 25) Tuhan memberi Simson kekuatan yang luar biasa dan menakjubkan. Semasa orang Filistin mendapatkan orang Israel lain untuk menangkap Simson, daya aktif Tuhan menguatkannya, lalu “dia memutuskan tali yang mengikat lengan dan tangannya, seolah-olah tali itu benang terbakar.” (Hak. 15:14) Biarpun Simson kemudiannya kehilangan kekuatannya kerana membuat keputusan yang salah, dia menjadi kuat semula “kerana beriman.” (Ibr. 11:32-34; Hak. 16:18-21, 28-30) Daya aktif Yehuwa membantu Simson dalam cara yang luar biasa kerana situasinya pada masa itu. Kisah ini dapat menggalakkan kita. Bagaimana?
18, 19. (a) Apakah galakan yang kita peroleh daripada kisah Simson? (b) Bagaimanakah contoh-contoh dalam rencana ini membantu anda?
18 Kita bergantung pada daya aktif sama yang membantu Simson. Kita yakin bahawa daya aktif Tuhan akan membantu kita untuk melaksanakan kerja yang diberikan oleh Yesus, iaitu kerja ‘mengkhabarkan Berita Baik kepada semua orang.’ (Kis. 10:42) Hal ini mungkin susah, tetapi kita boleh berasa gembira kerana Tuhan membekalkan daya aktif-Nya supaya kita dapat melakukan semua tugas yang diamanahkan oleh Yehuwa. Kita bersetuju dengan nabi Yesaya yang berkata, ‘Raja Yehuwa mengutus aku dan memberi aku kuasa-Nya [“daya aktif-Nya,” NW].’ (Yes. 48:16) Ya, Tuhanlah yang mengutus kita! Kita akan melaksanakan kerja penyebaran dengan sepenuh hati kerana Yehuwa pasti memberikan daya aktif-Nya, sebagaimana Dia telah membantu Musa, Bezaleel, dan Yosua. Kita memegang ‘firman Tuhan sebagai pedang daripada Roh [daya aktif] Tuhan,’ dan berasa yakin bahawa Tuhan akan memberi kita kekuatan sepertimana Dia memberikan kekuatan kepada Gideon, Yefta, dan Simson. (Ef. 6:17, 18) Jika kita bergantung pada Yehuwa semasa menghadapi masalah, kita akan menjadi kuat secara rohani sebagaimana Simson menjadi kuat secara fizikal.
19 Sememangnya, Yehuwa memberkati umat-Nya yang berpegang teguh pada ibadat sejati. Iman kita akan menjadi semakin kukuh jika kita mengizinkan daya aktif Tuhan untuk membimbing kita. Selain itu, Kitab Yunani juga mengandungi banyak kisah tentang cara daya aktif Tuhan membimbing orang Kristian pada abad pertama, baik sebelum mahupun selepas Pentakosta 33 M. Kita tentu akan menikmati rencana berikut yang akan mengupas kisah-kisah ini.
Mengapakah anda digalakkan setelah mengetahui bagaimana daya aktif Tuhan membantu . . .
• Musa?
• Bezaleel?
• Yosua?
• Gideon?
• Yefta?
• Simson?
[Soalan Pembelajaran]
[Petikan daripada perenggan pada muka surat 22]
Daya aktif Tuhan dapat menjadikan kita kuat secara rohani sebagaimana Simson menjadi kuat secara fizikal
[Gambar pada muka surat 21]
Ibu bapa, teladan baik anda mempunyai pengaruh besar terhadap anak-anak