Tetap Bersukacita meskipun Sakit
Tetap Bersukacita meskipun Sakit
BAYANGKAN bahawa anda baru bangun dari tidur tetapi seluruh badan anda sudah pun mula “memberontak.” Anda berasa resah kerana perlu menderita kesakitan fizikal atau emosi untuk satu hari lagi! Anda mungkin berasa seperti Ayub yang berkata, ‘Aku lebih suka mati daripada hidup dalam tubuh penuh derita ini.’ (Ayb. 7:15) Tetapi, bagaimana pula jika keadaan yang sedih ini berterusan buat bertahun-tahun lamanya?
Hal yang sama dialami oleh Mefiboset, anak Yonatan, iaitu kawan baik Raja Daud. Apabila Mefiboset berumur lima tahun, dia “terjatuh lalu menjadi tempang.” (2 Sam. 4:4) Kemudian, dia dituduh mengkhianati raja dan kehilangan harta bendanya. Penderitaan emosi yang dialami tentu telah menambah kesakitan fizikalnya. Walaupun difitnah serta menghadapi kelemahan fizikal dan kekecewaan, dia tetap bersukacita. Maka dia merupakan teladan yang baik bagi kita.—2 Sam. 9:6-10; 16:1-4; 19:24-30.
Rasul Paulus juga merupakan contoh yang baik. Dia menulis bahawa dia mengalami “duri dalam daging.” (2 Kor. 12:7, NW) Hal ini mungkin merujuk kepada kelemahan fizikal jangka panjang yang dialaminya, ataupun orang yang mempersoalkan kelayakannya sebagai rasul. Masalah Paulus tidak hilang dan dia terpaksa berdepan dengan kesakitan fizikal atau emosi.—2 Kor. 12:9, 10.
Penyakit kronik atau tekanan emosi merundung sesetengah hamba Tuhan hari ini. Pada usia 18 tahun, Magdalena didiagnosis dengan lupus eritematosus sistemik, penyakit yang mana sistem imun menyerang organ dalam badan. “Saya berasa sangat takut,” katanya. “Dengan berlalunya masa, keadaan saya semakin merosot dan saya mengalami masalah pencernaan, ulser mulut, dan masalah tiroid.” Izabela pula mengalami penyakit yang tidak begitu ketara. Dia menjelaskan, “Sejak kecil lagi saya mengalami kemurungan. Oleh itu saya menghadapi serangan panik, masalah pernafasan, dan kekejangan perut. Selalunya, saya berasa amat letih.”
Menerima Hakikatnya
Masalah kesihatan boleh membuat hidup anda tunggang terbalik. Memang, perubahan yang dihadapi tidak mudah untuk diterima. Oleh itu, adalah baik untuk mengambil masa dan merenungkan situasi anda. Magdalena berkata, “Penyakit saya makin lama makin teruk. Saya sering kali terlalu letih sehingga tidak dapat bangun dari katil. Setiap hari saya tidak pasti sama ada saya sihat atau tidak, jadi saya tidak dapat menjadualkan waktu saya. Saya berasa susah hati kerana tidak dapat berkhidmat kepada Yehuwa seperti dahulu.”
Zbigniew yang menghidap penyakit artritis reumatoid berkata, “Dengan berlalunya masa, sendi saya semakin teruk. Saya berasa sangat
penat. Semasa sendi-sendi saya bengkak, saya tidak dapat melakukan perkara yang senang pun. Saya berasa sangat tawar hati.”Beberapa tahun dahulu, Barbara didiagnosis dengan tumor otak. “Tiba-tiba badan saya mengalami banyak perubahan,” katanya. “Saya berasa lesu, sering sakit kepala, dan tidak dapat berfokus. Penyakit ini mengubah seluruh hidup saya.”
Semua individu ini merupakan penyembah Yehuwa yang setia. Melakukan kehendak Yehuwa sangat penting bagi mereka. Jadi mereka bergantung sepenuhnya pada Yehuwa dan Dia membantu mereka.—Ams. 3:5, 6.
Cara Yehuwa Membantu
Kita tidak patut berfikir bahawa masalah peribadi menunjukkan bahawa Tuhan murka kepada kita. (Rat. 3:33) Fikirlah apa yang terpaksa dihadapi oleh Ayub walaupun dia “setia dan baik.” (Ayb. 1:8) Tuhan tidak menguji orang dengan hal-hal yang jahat. (Yak. 1:13) Semua penyakit, termasuk penyakit kronik atau gangguan emosi, diwariskan oleh pasangan manusia yang pertama, Adam dan Hawa.—Rm. 5:12.
Yehuwa dan Yesus tentu akan membantu orang yang salih. (Mzm. 34:16) Kita menghargai bantuan Yehuwa sebagai ‘pembela dan pelindung’ kita terutamanya pada saat-saat genting dalam hidup. (Mzm. 91:2) Jadi, apabila menghadapi masalah yang tiada penyelesaian buat masa ini, apakah yang dapat membantu anda tetap bersukacita?
Doa: Anda boleh meniru teladan penyembah Yehuwa dahulukala yang menyerahkan kekhuatiran mereka kepada Tuhan melalui doa. (Mzm. 55:23) Jika anda berbuat demikian, anda akan mengalami ‘kesejahteraan daripada Tuhan yang menjaga hati dan fikiran’ anda. (Flp. 4:6, 7) Magdalena bergantung pada Tuhan dan berdoa kepada-Nya supaya dapat menghadapi penyakitnya dengan tabah. Dia berkata, “Selepas mencurahkan isi hati kepada Yehuwa, saya berasa lega dan gembira. Sekarang saya benar-benar faham ertinya untuk bergantung pada Yehuwa setiap hari.”—2 Kor. 1:3, 4.
Yehuwa akan mengabulkan doa anda dengan memberi anda kekuatan melalui daya aktif-Nya, Firman-Nya, dan saudara saudari kita. Tuhan tidak akan melakukan mukjizat dan menyembuhkan kita. Tetapi, anda boleh mengharapkan pertolongan-Nya. Dia tentu akan memberikan kebijaksanaan dan kekuatan yang anda perlukan!—Keluarga: Suasana yang penuh kasih sayang boleh membantu anda menanggung penderitaan. Ingatlah bahawa anggota keluarga anda juga sedang menderita. Seperti anda, mereka juga mungkin berasa tidak terdaya. Namun mereka tetap di sisi anda semasa anda menghadapi kesusahan. Dengan berdoa bersama-sama, anda dapat berasa tenteram.—Ams. 14:30.
Tentang anak perempuannya dan saudari muda lain di sidang, Barbara berkata, “Mereka membantu saya untuk menyebarkan berita baik. Semangat mereka menggalakkan dan menggembirakan saya.” Zbigniew amat menghargai pertolongan isterinya. “Dia melakukan hampir semua kerja di rumah. Dia juga membantu saya memakai baju dan sering kali membawa beg saya ke perjumpaan dan kerja penyebaran.”
Saudara saudari: Apabila kita bersama saudara saudari, kita digalakkan dan berasa lega. Tetapi bagaimana pula jika anda tidak dapat menghadiri perjumpaan? Magdalena berkata, “Sidang saya memastikan bahawa saya diberikan rakaman audio. Saudara saudari sering menelefon saya dan bertanya sama ada saya memerlukan bantuan. Mereka juga menulis surat yang menaikkan semangat saya. Saya tahu bahawa mereka mengambil berat tentang saya, dan oleh itu saya dapat bertahan.”
Izabela yang mengalami kemurungan berkata, “Di dalam sidang, ada ramai ‘ibu’ dan ‘bapa’ yang mengambil berat tentang saya dan cuba memahami saya. Sidang saya ialah keluarga saya. Di situlah saya berasa tenteram dan gembira.”
Orang yang menghadapi dugaan tidak patut “menyingkirkan diri daripada orang lain.” Sebaliknya, mereka menghargai pergaulan dengan rakan seiman. (Ams. 18:1) Maka, mereka dapat menggalakkan saudara saudari lain. Anda mungkin tidak berasa selesa untuk memberitahu rakan seiman tentang keperluan anda. Namun, saudara saudari lain akan menghargainya jika anda berterus terang dengan mereka. Dengan ini, anda akan memberi mereka peluang untuk “mengasihi sesama saudara seiman dengan ikhlas.” (1 Ptr. 1:22) Beritahulah mereka jika anda memerlukan pertolongan untuk ke perjumpaan, ingin menginjil bersama mereka, atau perlu meluahkan isi hati. Sudah tentu kita tidak harus mendesak tetapi harus sentiasa menghargai bantuan mereka.
Fikiran yang positif: Kunci untuk menanggung derita penyakit dengan sukacita terletak dalam tangan kita. Jika kita muram selalu, tentu fikiran kita akan bersifat negatif. Bible berkata, “Kemahuan untuk hidup dapat menanggung derita penyakit tetapi jika lenyap kemahuan itu, hilanglah segala harapan.”—Ams. 18:14, ABB.
Magdalena berkata, “Saya perlu bekerja keras supaya tidak menumpukan perhatian pada masalah saya. Jika saya berasa sihat, saya cuba menikmatinya. Saya digalakkan semasa membaca kisah hidup orang yang setia kepada Yehuwa meskipun menghidapi penyakit kronik.” Izabela pula berasa gembira kerana tahu bahawa Yehuwa mengasihi dan menghargainya. Dia berkata, “Saya rasa dihargai, dan hidup saya bermakna kerana Yehuwa mengasihi saya. Masa depan saya pun sangat cerah.”
Zbigniew berkata, “Penyakit saya mengajar saya supaya bersifat rendah diri dan patuh. Saya belajar untuk mempunyai daya penilaian yang baik dan untuk memahami serta memaafkan orang secara tulus. Saya juga belajar cara untuk berkhidmat kepada Yehuwa dan tidak terlalu mengasihani diri. Sebenarnya, saya didorong untuk membuat kemajuan rohani.”
Ingatlah bahawa ketabahan anda penting di mata Yehuwa. Dia berbelas kasihan dan mengambil berat tentang anda. Dia “tidak melupakan apa yang sudah kamu lakukan bagi-Nya.” (Ibr. 6:10) Yehuwa berjanji, “Aku tidak akan membiarkan kamu; Aku tidak akan meninggalkan kamu.”—Ibr. 13:5.
Jika anda berasa sedih, ingatlah bahawa anda mempunyai harapan untuk tinggal di dunia baru. Ya, tidak lama lagi anda akan menjejakkan kaki ke bumi yang melimpah dengan berkat Tuhan!
[Kotak/Gambar pada muka surat 28, 29]
Menginjil meskipun Menghidap Penyakit Kronik
“Saya kini tidak dapat berjalan tanpa bantuan orang. Jadi isteri saya atau saudara saudari menyertai saya dalam kerja penyebaran. Saya menghafal penyampaian dan ayat-ayat Bible.”—Jerzy, menghadapi masalah penglihatan.
“Saya menulis surat secara tetap kepada sebilangan orang yang berminat. Semasa di hospital, saya selalu meletakkan Bible dan bahan bacaan kita dekat katil saya. Jadi saya dapat memulakan banyak perbualan yang baik.”—Magdalena, menghidap lupus eritematosus sistemik.
“Saya suka menginjil dari rumah ke rumah, tetapi jika saya tidak berupaya melakukannya, saya memberikan kesaksian menerusi telefon.”—Izabela, mengalami kemurungan klinikal.
“Saya suka membuat kunjungan kembali dan menyertai pembelajaran Bible saudara saudari. Jika saya berasa sihat, saya suka menjalankan aktiviti penyebaran dari rumah ke rumah.”—Barbara, didiagnosis dengan tumor otak.
“Saya membawa beg yang sangat ringan. Jika sendi tulang saya tidak terlalu sakit, saya akan menginjil seberapa lama yang boleh.”—Zbigniew, pesakit artritis reumatoid.
[Gambar pada muka surat 30]
Tua muda boleh menjadi sumber galakan