“Macam Mana Saya nak Menginjil?”
“Macam Mana Saya nak Menginjil?”
Di merata dunia, ada saudara saudari yang terpaksa menanggung masalah kesihatan yang serius. Namun, mereka tetap menginjil dengan setia. Perhatikan contoh saudari Dalia. Dia tinggal di Vilnius, ibu kota Lithuania.
Dalia berusia pertengahan 30-an. Sejak lahir, dia menderita penyakit apopleksi serebrum. Penyakit itu menyebabkannya lumpuh dan susah bertutur. Hanya ahli keluarga Dalia yang dapat memahami semua kata-katanya. Dalia tinggal bersama ibunya Galina yang menjaganya. Meskipun kehidupan Dalia penuh kesusahan dan kegelisahan, dia tetap berpandangan positif. Bagaimana?
Galina menjelaskan, “Pada tahun 1999, sepupu saya Apolonija melawat kami. Dia seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Kami mendapati Apolonija sangat pandai menggunakan Bible, dan Dalia mula menanyakan banyak soalan. Tidak lama kemudian, Dalia mula mempelajari Bible. Kadangkala, saya juga ikut pembelajaran mereka untuk membantu menterjemahkan kata-kata Dalia. Saya perhatikan bahawa apa yang dipelajari Dalia memang bermanfaat baginya. Jadi, saya pun mula mempelajari Bible.”
Apabila Dalia semakin memahami kebenaran Bible, satu soalan sering timbul di mindanya. Akhirnya dia bertanya kepada Apolonija, “Saya lumpuh, macam mana saya nak menginjil?” (Mat. 28:19, 20) Apolonija menenangkan hati Dalia, “Jangan takut, Yehuwa akan membantu kamu.”
Bagaimanakah Dalia menginjil? Ada beberapa cara. Saudari-saudari Kristian membantunya menulis surat yang mengandungi mesej Bible. Mula-mula, Dalia akan memberitahu saudari-saudari buah fikiran sendiri. Kemudian, mereka akan menuliskannya pada sepucuk surat. Dalia juga menghantar SMS menerusi telefon bimbitnya untuk memberikan kesaksian. Semasa cuaca baik, ahli-ahli sidang membawanya keluar untuk bercakap kepada pejalan kaki atau orang yang ditemui di taman.
Dalia dan ibunya terus membuat kemajuan rohani. Mereka membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptiskan pada bulan November 2004. Pada bulan September 2008, kumpulan bahasa Poland telah ditubuhkan di Vilnius. Memandangkan kumpulan itu memerlukan lebih banyak penyiar, Dalia dan ibunya telah menyertai mereka. Dalia berkata, “Sesetengah bulan, saya risau kerana belum keluar menginjil. Tapi selepas berdoa kepada Yehuwa, tidak lama kemudian ada orang yang mengajak saya untuk menyertai aktiviti penyebaran bersamanya.” Apakah perasaan Dalia tentang situasinya? “Penyakit ini melumpuhkan badan saya, tetapi tidak melumpuhkan minda saya. Saya gembira sekali kerana dapat memberitahu orang lain tentang Yehuwa!”