Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Meneladani Para Rasul yang Berjaga-jaga

Meneladani Para Rasul yang Berjaga-jaga

‘Berjagalah dengan aku.’​—MAT. 26:38.

1-3. Apakah kesilapan para rasul pada malam terakhir Yesus di bumi? Apakah yang menunjukkan bahawa mereka mengambil pengajaran daripada kesilapan sendiri?

BAYANGKAN apa yang berlaku pada malam terakhir Yesus di bumi. Yesus pergi ke Taman Getsemani, salah satu tempat kesukaannya di timur Yerusalem. Rasul-rasul Yesus yang setia juga bersamanya. Hati dan minda Yesus dibelenggu kerisauan. Dia perlu mencari sebuah tempat yang sunyi untuk berdoa.​—Mat. 26:36; Yoh. 18:1, 2.

2 Tiga orang rasul​—Petrus, Yakobus, dan Yohanes—​menemani Yesus jauh ke dalam taman. ‘Tinggallah di sini dan berjagalah dengan aku,’ kata Yesus sebelum dia beredar untuk berdoa. Semasa dia kembali, sahabatnya sudah terlelap. Sekali lagi dia merayu kepada mereka, “Berjaga-jagalah.” Namun, mereka tertidur dua kali lagi! Pada malam yang sama, semua rasul lain gagal untuk berjaga-jaga secara rohani. Mereka bahkan meninggalkan Yesus lalu melarikan diri!​—Mat. 26:38, 41, 56.

3 Sudah pasti para rasul menyesal kerana tidak berjaga-jaga. Mereka cepat mengambil pengajaran daripada kesilapan sendiri. Buku Kisah menunjukkan bahawa mereka kemudiannya telah menjadi teladan yang menonjol dalam soal berjaga-jaga. Kesetiaan mereka tentunya mendorong rakan seiman agar turut berbuat demikian. Kita perlu tetap berjaga-jaga, terutamanya pada masa kini! (Mat. 24:42) Mari kita bincangkan tiga pengajaran daripada buku Kisah tentang cara untuk berjaga-jaga.

PEKA TERHADAP ARAHAN TENTANG TEMPAT MENGINJIL

4, 5. Bagaimanakah daya aktif membimbing Paulus dan rakan-rakannya?

4 Mula-mula, para rasul peka terhadap arahan tentang tempat menginjil. Kita akan mengkaji bagaimana Yesus menggunakan daya aktif Tuhan untuk membimbing rasul Paulus dan rakannya dalam sebuah perjalanan yang luar biasa. (Kis. 2:33) Mari kita ikut jejak mereka.​—Baca Kisah 16:6-10.

5 Paulus, Silas, dan Timotius telah meninggalkan kota Listra di selatan Galatia. Beberapa hari kemudian, mereka tiba di jalan besar Roma. Jalan tersebut akan membawa mereka ke arah barat, kawasan yang mempunyai paling ramai penduduk di wilayah Asia. Mereka bercadang mengkhabarkan berita tentang Kristus kepada ribuan penduduk di situ. Namun, mereka tidak dapat meneruskan perjalanan. Ayat 6 menyatakan, ‘Kerana roh [daya aktif] Tuhan tidak membenarkan mereka memberitakan firman Tuhan di wilayah Asia, mereka menjelajah daerah Frigia dan Galatia.’ Daya aktif Tuhan menghalang mereka daripada menginjil di wilayah Asia. Ya, Yesus telah menggunakan daya aktif Tuhan untuk membimbing Paulus dan rakan-rakannya ke tempat yang lain.

6, 7. (a) Apakah yang berlaku kepada Paulus dan rakan-rakannya semasa mereka menghampiri Bitinia? (b) Apakah keputusan mereka? Apakah hasilnya?

6 Mereka pergi ke mana? Ayat 7 berkata, ‘Apabila mereka tiba di perbatasan Misia, mereka mencuba masuk ke wilayah Bitinia, tetapi Yesus [dengan menggunakan daya aktif Tuhan] tidak membenarkan mereka.’ Setelah Paulus dan rakan-rakannya tidak diizinkan untuk menjalankan kerja penyebaran di Asia, mereka bertolak ke arah utara dan ingin menginjil di kota-kota Bitinia. Namun, apabila mereka menghampiri Bitinia, sekali lagi Yesus menggunakan daya aktif untuk menghalang mereka. Mereka pasti berasa bingung. Mereka tahu apa yang harus dikhabarkan dan cara untuk melakukannya. Namun, mereka tidak tahu di mana mereka harus menginjil. Mereka mencuba menjejakkan kaki ke Asia, tetapi tidak berjaya. Mereka mencuba menjejakkan kaki ke Bitinia, tetapi gagal lagi. Adakah mereka putus asa? Tidak!

7 Sekarang, mereka membuat keputusan yang nampaknya aneh. Ayat 8 berkata, “Mereka terus pergi ke Troas melalui Misia.” Mereka bertolak ke arah barat dan berjalan kira-kira 550 km tanpa singgah di kota-kota sehingga tiba di Troas, pintu masuk ke Makedonia. Di situ, Paulus dan rakan-rakannya mencuba menjejakkan kaki di bumi Makedonia. Kali ini, Makedonia menyambut mereka dengan tangan terbuka! Ayat 9 melaporkan, “Dalam suatu penglihatan Paulus melihat seorang Makedonia berdiri di hadapannya dan memohon, ‘Marilah datang ke Makedonia dan tolonglah kami!’” Akhirnya, Paulus tahu di mana dia harus menjalankan kerja penyebaran. Mereka serta-merta berlayar ke Makedonia.

8, 9. Apakah iktibar yang boleh diambil daripada pengembaraan Paulus?

8 Apakah iktibar yang dapat diambil daripada kisah ini? Perhatikan bahawa hanya selepas Paulus bertolak ke Asia, barulah daya aktif Tuhan mula membimbingnya. Kemudian, Yesus memberikan arahan kepada Paulus hanya selepas dia menghampiri Bitinia. Dan akhirnya, hanya selepas Paulus sampai ke Troas, barulah Yesus menyuruhnya ke Makedonia. Selaku Kepala sidang, Yesus mungkin membimbing kita dalam cara yang sama. (Kol. 1:18) Misalnya, anda mungkin sedang merancang untuk menjadi perintis atau berpindah ke kawasan yang memerlukan bantuan. Namun, barangkali hanya selepas anda mengorak langkah untuk mencapai matlamat anda, barulah Yesus menggunakan daya aktif untuk membimbing anda. Fikirkan contoh ini: Seorang pemandu hanya dapat membelok ke kiri atau ke kanan jika keretanya sedang bergerak. Begitu juga, Yesus boleh membimbing kita untuk memperluas aktiviti penyebaran hanya jika kita sedang “bergerak,” iaitu berusaha dengan gigih untuk mencapai matlamat kita.

9 Bagaimana pula jika usaha anda tidak segera membuahkan hasil? Patutkah anda berputus asa kerana menyimpulkan bahawa daya aktif Tuhan tidak membimbing anda? Ingatlah bahawa Paulus juga menghadapi halangan. Namun, dia terus mencari peluang dan berusaha sehingga berjaya. Demikian juga, jika anda berusaha mencari “peluang untuk melakukan kerja yang bermanfaat,” anda akan diberkati.​—1 Kor. 16:9.

BERDOA SUPAYA DAPAT BERJAGA-JAGA

10. Mengapakah orang yang ingin berjaga-jaga mesti tekun berdoa?

10 Sekarang, mari kita lihat pengajaran kedua yang boleh diambil daripada saudara saudari pada abad pertama: Mereka berdoa supaya dapat berjaga-jaga. (1 Ptr. 4:7) Orang yang ingin berjaga-jaga mesti tekun berdoa. Ingatkah anda kata-kata Yesus kepada tiga orang rasulnya di Taman Getsemani? Yesus berkata, “Berjaga-jagalah dan berdoalah.”​Mat. 26:41.

11, 12. Mengapa dan bagaimana Herodes menindas orang Kristian, termasuk Petrus?

11 Petrus, yang turut hadir di Taman Getsemani, kemudiannya menyaksikan betapa besarnya kuasa doa. (Baca Kisah 12:1-6.) Ayat-ayat pembukaan kisah ini memberitahu kita bahawa Herodes menganiaya orang Kristian kerana ingin mengambil hati orang Yahudi. Agaknya Herodes tahu bahawa Yakobus ialah seorang rasul yang sangat akrab dengan Yesus. Maka, Herodes memerintahkan agar Yakobus “dipenggal kepalanya.” (Ayat 2) Jadi, sidang telah kehilangan seorang rasul yang dikasihi. Dugaan yang cukup besar!

12 Apakah yang dilakukan oleh Herodes seterusnya? Ayat 3 menjelaskan, “Apabila Raja Herodes melihat bahawa perkara itu menyenangkan hati orang Yahudi, Raja Herodes . . . menangkap Petrus.” Barangkali, Herodes tahu bahawa penjara bukannya selalu dapat mengurung para rasul, termasuk Petrus. (Kis. 5:17-20) Raja yang licik itu enggan mengambil risiko. Dia memastikan Petrus “dijaga oleh empat kumpulan askar, dan setiap kumpulan terdiri daripada empat orang askar” supaya dia dapat “mengadili Petrus di hadapan umum apabila perayaan Paska berakhir.” (Ayat 4) Cuba bayangkan! Atas perintah Herodes, Petrus dirantai kepada dua orang askar. Terdapat 16 askar yang bergilir siang dan malam untuk memastikan agar rasul ini tidak melarikan diri. Herodes ingin menjatuhkan hukuman mati kepada Petrus selepas perayaan Paska untuk menyenangkan hati orang Yahudi. Bagaimanakah rakan seiman Petrus berhadapan dengan kemelut ini?

13, 14. (a) Setelah Petrus diberkas, apakah yang dilakukan oleh sidang? (b) Apakah iktibar yang boleh diambil daripada rakan seiman Petrus?

13 Sidang itu tahu benar apa yang harus dilakukan. Ayat 5 menyatakan, “Oleh itu Petrus ditahan di penjara, tetapi jemaah tekun berdoa.” Ya, mereka merayu dengan sungguh-sungguh bagi saudara mereka yang dikasihi. Kematian Yakobus tidak menyebabkan mereka terjunam ke dalam jurang kehampaan atau memandang remeh kuasa doa. Sebaliknya, mereka tahu bahawa doa para penyembah Yehuwa yang setia amat penting dalam mata-Nya. Doa yang selaras dengan kehendak-Nya akan dikabulkan.​—Ibr. 13:18, 19; Yak. 5:16.

14 Apakah yang dapat kita pelajari daripada rakan seiman Petrus? Jika kita ingin berjaga-jaga, kita bukan sahaja perlu berdoa bagi diri sendiri tetapi juga bagi saudara saudari kita. (Ef. 6:18) Adakah anda mengenali saudara saudari yang ditimpa cubaan? Ada yang mungkin menderita kerana penganiayaan, bencana alam, atau kerana kerja penyebaran diharamkan. Berdoalah bagi mereka dengan ikhlas. Mungkin anda juga mengenali mereka yang sedang mengalami kesusahan yang kurang ketara seperti masalah keluarga, rasa tawar hati, atau masalah kesihatan. Cuba fikirkan individu-individu yang dapat anda sebutkan semasa berdoa kepada Pendengar Doa, Yehuwa.​—Mzm. 65:3.

15, 16. (a) Bagaimanakah malaikat Yehuwa membebaskan Petrus? (Lihat gambar di bawah.) (b) Mengapakah iman kita dikuatkan setelah merenungkan cara Yehuwa menyelamatkan Petrus?

15 Apakah yang berlaku kepada Petrus kemudian? Pada malam terakhirnya di penjara, semasa Petrus tertidur di antara dua orang askar, beberapa peristiwa yang menakjubkan telah berlaku. (Baca Kisah 12:7-11.) Bilik penjaranya tiba-tiba disinari cahaya yang terang. Satu malaikat berdiri di situ. Namun, askar-askar tidak dapat melihatnya. Malaikat itu bergegas membangunkan Petrus. Rantai yang mengikat tangan Petrus terbuka dan jatuh dari tangannya begitu sahaja! Kemudian, malaikat itu membawa Petrus keluar dari bilik penjara, berlalu di hadapan askar-askar yang mengawal di luar, dan melalui pintu besi besar yang “terbuka dengan sendirinya.” Sebaik sahaja mereka di luar penjara, malaikat itu hilang. Petrus sudah bebas!

16 Setelah merenungkan bagaimana Yehuwa menyelamatkan hamba-hamba-Nya, tidakkah iman kita bertambah kuat? Memang, hari ini kita tidak mengharapkan Yehuwa untuk menyelamatkan kita secara mukjizat. Namun, kita yakin bahawa Dia akan menggunakan kuasa-Nya untuk membantu umat-Nya hari ini. (2 Taw. 16:9) Melalui daya aktif-Nya, Dia boleh menguatkan kita untuk mengatasi apa sahaja dugaan. (2 Kor. 4:7; 2 Ptr. 2:9) Tidak lama lagi, Yehuwa akan memberi Yesus kuasa untuk membebaskan tahanan yang tidak terhitung banyaknya daripada cengkaman maut. (Yoh. 5:28, 29) Iman kita terhadap janji-janji Yehuwa dapat memberi kita keberanian yang luar biasa untuk berhadapan dengan cubaan dewasa ini.

KHABARKAN BERITA BAIK MESKIPUN MENGHADAPI CABARAN

17. Apakah teladan baik Paulus dari segi menginjil dengan bersemangat dan perasaan mendesak?

17 Pengajaran ketiga yang boleh diambil daripada para rasul yang berjaga-jaga ialah: Mereka mengkhabarkan berita baik dengan sepenuhnya meskipun menghadapi cabaran. Jika kita ingin tetap berjaga-jaga, kita mesti menginjil dengan perasaan mendesak dan bersemangat. Rasul Paulus merupakan teladan yang baik. Dia berkhidmat tanpa mengenal lelah, mengadakan perjalanan yang jauh, dan menubuhkan banyak sidang. Meskipun dia terpaksa menempuh onak dan duri, semangat dan perasaan mendesaknya tidak pernah pudar.​—2 Kor. 11:23-29.

18. Bagaimanakah Paulus terus memberikan kesaksian semasa dia ditahan di Roma?

18 Fikirkan kali terakhir kita “berjumpa” dengan Paulus di Kisah bab 28. Dia tiba di Roma dan akan menghadap Maharaja Nero. Dia ditahan dan barangkali dirantai kepada seorang askar. Namun, rantai besi pun tidak dapat membungkam rasul yang bersemangat itu! Paulus terus berikhtiar untuk memberikan kesaksian. (Baca Kisah 28:17, 23, 24.) Selepas tiga hari, Paulus memanggil para pemimpin Yahudi dan memberikan kesaksian kepada mereka. Beberapa lama kemudian, Paulus memberikan kesaksian yang lebih hebat kepada orang Yahudi tempatan. Ayat 23 berkata, ‘Mereka dan Paulus menetapkan satu hari untuk bertemu. Pada hari itu banyak orang datang ke tempat tinggal Paulus. Dari pagi hingga petang Paulus menjelaskan ajarannya tentang Pemerintahan Tuhan. Dia berusaha untuk meyakinkan mereka tentang Yesus dengan menggunakan ayat-ayat dari Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi.’

19, 20. (a) Mengapakah Paulus dapat memberikan kesaksian yang berkesan? (b) Meskipun bukan semua orang menyambut berita baik, apakah reaksi Paulus?

19 Mengapakah kesaksian Paulus begitu berkesan? Ayat 23 menyoroti beberapa sebab: (1) Dia bertumpu pada Kerajaan Tuhan dan Yesus Kristus. (2) Dia ‘berusaha untuk meyakinkan para pendengarnya.’ (3) Dia menaakul berdasarkan ayat-ayat Bible. (4) Paulus tidak mementingkan diri tetapi memberikan kesaksian “dari pagi hingga petang.” Kesaksian Paulus cukup bagus, tetapi bukan semua orang menyambutnya. Ayat 24 menyatakan, “Ada orang yang percaya kepada apa yang dikatakan oleh Paulus, tetapi ada juga yang tidak percaya.” Perselisihan faham tercetus, dan mereka telah bersurai.

20 Adakah Paulus tawar hati kerana bukan semua orang menerima berita baik? Tidak sama sekali! Kisah 28:30, 31 memberitahu kita, ‘Selama dua tahun Paulus tinggal di Roma, di rumah yang disewanya sendiri. Dia menyambut sesiapa sahaja yang datang melawatnya. Dengan kebebasan dan keberanian, Paulus mengkhabarkan ajaran tentang Pemerintahan Tuhan, dan memberikan ajaran tentang Tuan Yesus Kristus.’ Dengan itu, berakhirlah lembaran-lembaran buku Kisah yang terilham.

21. Apakah yang dapat dipelajari daripada teladan Paulus semasa dia ditahan?

21 Apakah yang dapat dipelajari daripada teladan Paulus? Semasa dikurung, Paulus tidak dapat menginjil dari rumah ke rumah. Namun, dia tetap berfikiran positif dan memberikan kesaksian kepada sesiapa sahaja yang melawatnya. Seperti Paulus, ramai umat Tuhan dewasa ini tetap bersukacita dan meneruskan kerja penyebaran meskipun dipenjarakan demi iman mereka. Sesetengah saudara saudari kita tidak berupaya meninggalkan rumah. Bahkan ada yang menetap di rumah penjagaan kerana sakit atau lanjut usia. Namun, mereka berusaha memberikan kesaksian kepada doktor, kakitangan, pelawat, dan orang lain. Mereka ingin sekali mengkhabarkan berita Kerajaan Tuhan dengan sepenuhnya. Teladan mereka patut dipuji!

22. Sambil menantikan akhir sistem lama ini, apakah tekad anda?

22 Banyak sekali pengajaran yang boleh kita timba daripada buku Kisah tentang para rasul dan orang Kristian abad pertama yang tetap berjaga-jaga. Memberikan kesaksian dengan sepenuhnya tentang Kerajaan Tuhan ialah penghormatan tertinggi bagi kita sekarang. Sambil menantikan akhir sistem lama ini, marilah kita bertekad untuk meneladani mereka dan memberikan kesaksian dengan berani dan bersemangat!​—Kis. 28:23.

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 12]

Malaikat membebaskan Petrus dari penjara