Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Khazanah Rohani Kita

“Banyak Orang Memandang Saya”

“Banyak Orang Memandang Saya”

Pada tahun 1908, Charlotte White, seorang penginjil sepenuh masa, membawa beg besarnya yang beroda ke Louisville, Kentucky, A.S. Penduduk tempatan memandangnya dengan mata terbeliak.

DAWN-MOBILE kepunyaan Saudari White memang menarik perhatian. Dia berkata, “Orang lain bercakap-cakap tentangnya dan banyak orang memandang saya.” Inilah reka cipta baru yang digunakan untuk mengangkut buku-buku Millenial Dawn.

Ramai Pelajar Bible (nama Saksi-Saksi Yehuwa pada masa itu) telah menggunakan siri buku Millennial Dawn (kemudiannya dipanggil Studies in the Scriptures) untuk mempelajari Bible. Kerana sedar bahawa kebenaran Bible perlu disebarkan, mereka telah berusaha mengedarkan buku-buku ini di kawasan bandar, pekan, dan pedalaman. Buku ini juga dikenali sebagai “Bantuan bagi Pelajar Bible” dan telah diterima dengan tangan terbuka.

Pada tahun 1908, Saudari White dan penyiar lain yang bersemangat menawarkan enam siri buku yang berkulit kain ini pada harga $1.65 (A.S.) untuk menampung kos cetakan. Jika seseorang berminat, penyiar akan mengambil tempahan dahulu dan menghantar buku ini kepadanya pada hari gaji. Seorang penentang kebenaran pernah mengadu bahawa wang yang disumbangkan untuk buku tersebut terlalu sikit!

Siri buku Dawn disambut hangat. Malinda Keefer pernah menerima tempahan untuk dua hingga tiga ratus buah buku seminggu. Tetapi hal ini menimbulkan satu masalah. Jilid keenam sahaja mengandungi 740 muka surat! The Watch Tower menyatakan, “Berat 50 buku ialah 18 kg.” Jadi amat sukar, khasnya bagi saudari, untuk menghantarnya kepada mereka yang berminat.

Bagi menyelesaikan masalah ini, Saudara James Cole telah mereka bingkai beroda dua yang mana beg besar boleh dipasang padanya dengan menggunakan skru. Kini dia tidak perlu mengangkat kotak berisi buku yang berat. “Saya tak nak tulang bahu saya patah,” katanya. Dia memperkenalkan ciptaan ini pada konvensyen 1908 di Cincinnati, Ohio. Memandangkan alat ini digunakan untuk mengangkut buku-buku Millennial Dawn, nama “Dawn-Mobile” ditulis padanya. Alat ini mudah digunakan dan penyiar dapat membawa berpuluh-puluh buku ke merata tempat dengan menggunakan sebelah tangan sahaja. Ketinggiannya boleh dilaraskan, dan rodanya boleh digunakan di atas jalan yang tidak berturap. Selepas menghantar buku, bahagian rodanya boleh dilipat semasa pemiliknya berjalan atau menaiki kenderaan awam untuk pulang ke rumah.

Saudari dalam khidmat sepenuh masa boleh memiliki Dawn-Mobile tanpa dikenakan bayaran. Tetapi bagi orang lain Dawn-Mobile dijual pada harga $2.50 (A.S.). Saudari Keefer (lihat gambar) telah menjadi begitu mahir sehingga dapat menggunakan Dawn-Mobile pada sebelah tangan dan mengangkat buku-buku dalam beg pada tangan yang satu lagi. Oleh sebab ramai orang di pekan lombong Pennsylvania, A.S. berminat, dia biasanya berulang-alik sebanyak tiga atau empat kali sehari untuk menghantar buku-buku itu.

Pada akhir tahun 1980-an, seorang juruterbang telah mereka beg beroda yang sering kali dapat dilihat di lapangan terbang serta di bandar besar. Tetapi kira-kira seratus tahun dahulu, Pelajar Bible yang bersemangat telah pun menarik banyak perhatian dengan menggunakan Dawn-Mobile untuk menyebarkan benih kebenaran.

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 32]

Saudari Keefer berulang-alik di atas jambatan sebanyak tiga atau empat kali sehari untuk menghantar buku-buku itu

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 32]

Masalah penghantaran siri buku Dawn diselesaikan