Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Hendaklah Engkau Yakin dan Berani”

“Hendaklah Engkau Yakin dan Berani”

“Hendaklah Engkau Yakin dan Berani”

‘Hendaklah engkau yakin dan berani kerana Yehuwa, Tuhanmu, menyertai engkau.’​—YOS. 1:7-9.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

Bagaimanakah Henokh dan Nuh memperlihatkan iman dan keberanian?

Bagaimanakah sesetengah wanita zaman Bible memperlihatkan iman dan keberanian?

Contoh orang muda yang mana yang menggalakkan anda untuk bersikap berani?

1, 2. (a) Untuk menyenangkan hati Tuhan, apakah yang diperlukan? (b) Apakah yang akan kita pelajari?

BERANI bermaksud tidak takut, gerun, dan gementar. Pada pandangan kebanyakan orang, seseorang yang berani sangat kuat, gagah, dan perkasa. Tetapi dalam kehidupan seharian pun, kita memerlukan keberanian agar dapat menyenangkan hati Tuhan.

2 Sesetengah orang pada zaman Bible memperlihatkan keberanian walaupun menghadapi situasi yang sangat sukar. Yang lain pula berani dalam situasi biasa. Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh Bible tentang keberanian? Bagaimanakah kita dapat memupuk keberanian?

HAMBA TUHAN YANG BERANI DALAM DUNIA FASIQ

3. Apakah nubuat Henokh tentang orang fasiq di bumi?

3 Seseorang yang mahu menjadi penyembah Yehuwa sebelum Banjir Besar mestilah berani kerana dunia pada masa itu penuh dengan orang yang jahat. Henokh, iaitu “keturunan ketujuh daripada Adam,” telah menyatakan nubuat berikut dengan berani: “Lihatlah! Tuhan akan datang dengan beribu-ribu malaikat-Nya yang suci. Dia akan mengadili semua orang. Dia akan menghukum orang derhaka kerana perbuatan derhaka mereka dan kerana semua kata hinaan yang diucapkan mereka terhadap-Nya!” (Yud. 14, 15, ABB) Henokh sangat yakin nubuat itu akan digenapi. Tepat seperti yang dinubuatkan, semua orang fasiq dibinasakan!

4. Gambarkan keadaan di bumi pada zaman Nuh.

4 Banjir berlaku pada tahun 2370 SM, iaitu lebih daripada 650 tahun selepas Henokh mati. Sebelum itu, Nuh dilahirkan, berumah tangga, dan membina bahtera bersama anak-anaknya. Malaikat-malaikat jahat telah membuat tubuh manusia, mengadakan hubungan dengan wanita yang jelita, dan menjadi bapa kepada Nefilim. Tambahan lagi, bumi dibanjiri keganasan dan manusia yang fasiq. (Kej. 6:1-5, 9-11) Namun begitu, Nuh ‘hidup akrab dengan Tuhan’ dan ‘mengisytiharkan cara hidup yang dikehendaki Tuhan’ dengan berani. (Baca 2 Petrus 2:4, 5.) Kita juga harus berani pada hari-hari terakhir ini.

MEREKA BERIMAN DAN BERANI

5. Bagaimanakah Musa menunjukkan bahawa dia beriman dan berani?

5 Kita boleh mencontohi teladan Musa. Dia lelaki yang beriman dan berani. (Ibr. 11:24-27) Dari tahun 1513-1473 SM, Tuhan menggunakan dia untuk memimpin orang Israel semasa mereka keluar dari Mesir dan di padang belantara. Musa menerima tugasan tersebut meskipun berasa tidak layak. (Kel. 6:11) Dia dan abangnya Harun berkali-kali menghadap Firaun yang zalim. Mereka memberitahu Firaun tentang Sepuluh Tulah yang akan digunakan oleh Tuhan untuk memalukan dewa-dewi Mesir dan menyelamatkan umat-Nya. (Kel., bab 7-12) Musa beriman dan berani kerana dia bergantung pada Tuhan. Adakah kita berbuat begitu juga?​—Ul. 33:27.

6. Jika kita disoal siasat oleh pihak berkuasa, bagaimanakah kita dapat memberikan kesaksian dengan berani?

6 Seperti Musa, kita juga perlu bersikap berani. Yesus berkata, ‘Kamu akan diadili di hadapan penguasa dan raja kerana kamu pengikutku. Apabila kamu diadili, janganlah khuatir tentang apa yang hendak kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Apabila tiba masanya, kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan. Kata-kata yang akan kamu ucapkan itu bukan kata-kata kamu sendiri, tetapi kata-kata itu daripada Roh [daya aktif] Bapa.’ (Mat. 10:18-20, ABB) Jika kita disoal siasat oleh pihak berkuasa, daya aktif Yehuwa akan membolehkan kita untuk memberikan kesaksian dengan penuh hormat, yakin, dan berani.​—Baca Lukas 12:11, 12.

7. Apakah yang membolehkan Yosua berani dan berjaya?

7 Pembelajaran Hukum Tuhan secara tetap telah membina iman dan keberanian Yosua. Pada 1473 SM, Israel bersedia untuk memasuki Tanah yang Dijanjikan. Tuhan memberitahu Yosua, “Hendaklah engkau yakin dan berani.” Jika Yosua menurut Hukum Yehuwa, dia akan menjadi bijak dan berjaya. Yosua juga diberitahu, ‘Jangan takut ataupun tawar hati kerana, Yehuwa, Tuhanmu, menyertai engkau ke mana sahaja engkau pergi.’ (Yos. 1:7-9) Kata-kata Tuhan pasti menguatkan semangat Yosua! Hasilnya, dia berjaya menakluki sebahagian besar Tanah yang Dijanjikan dalam masa 6 tahun sahaja, iaitu sebelum tahun 1467 SM.

WANITA YANG BERANI

8. Bagaimanakah Rahab memperlihatkan iman dan keberanian?

8 Bible mengandungi banyak contoh wanita yang menyembah Tuhan dengan berani. Sebagai contoh, Rahab dari Yeriko beriman terhadap Tuhan, menyembunyikan dua orang pengintip Israel dengan berani, dan kemudian mengelirukan orang suruhan raja Yeriko. Dia dan keluarganya diselamatkan apabila Yeriko ditawan. Selepas itu, Rahab tidak lagi menjadi pelacur tetapi menyembah Yehuwa dengan setia dan kemudiannya menjadi nenek moyang Mesias. (Yos. 2:1-6; 6:22, 23; Mat. 1:1, 5) Iman dan keberaniannya telah mendatangkan berkat!

9. Bagaimanakah Debora, Barak, dan Yael memperlihatkan keberanian?

9 Selepas kematian Yosua sekitar 1450 SM, hakim-hakim dilantik untuk menjaga orang Israel. Raja Yabin dari Kanaan telah menindas orang Israel untuk 20 tahun. Oleh itu, Tuhan mengutus seorang nabi wanita yang bernama Debora untuk menggalakkan Hakim Barak agar bertindak. Barak mengumpulkan 10,000 orang lelaki di Gunung Tabor dan bersedia untuk menyerang angkatan tentera Yabin yang diketuai Sisera. Apabila Sisera dan 900 buah kereta kudanya berada di Sungai Kishon, Tuhan mendatangkan banjir kilat dan kereta kuda mereka tersekat dalam lumpur. Tentera Barak menang dan “seluruh angkatan tentera Sisera dibunuh.” Sisera melarikan diri dan cuba berlindung di khemah Yael, tetapi Yael membunuhnya semasa dia tidur. Seperti yang dinubuatkan oleh Debora, “kehormatan daripada kemenangan itu” diberikan kepada seorang wanita, Yael. Oleh sebab Debora, Barak, dan Yael bertindak dengan berani, bangsa Israel “aman selama empat puluh tahun.” (Hak. 4:1-9, 14-22; 5:20, 21, 31) Ramai lelaki dan wanita lain juga telah meniru iman dan keberanian mereka.

KATA-KATA MENYUNTIK KEBERANIAN

10. Apakah yang menunjukkan bahawa kata-kata kita boleh memberanikan orang lain?

10 Kata-kata kita dapat memberanikan rakan seiman. Pada abad ke-11 SM, Raja Daud memberitahu anaknya Salomo, ‘Engkau harus yakin dan berani. Mulakanlah pekerjaan itu dan jangan gentar terhadap apa-apa pun. Tuhan Yehuwa yang beta sembah akan menolong engkau. Dia tidak akan meninggalkan engkau, tetapi Dia akan menyertai engkau sampai semua pekerjaan bagi rumah-Nya itu selesai.’ (1 Taw. 28:20) Salomo telah bertindak dengan berani dan membina Rumah Yehuwa di Yerusalem.

11. Bagaimanakah kata-kata seorang gadis yang berani mengubah hidup Naaman?

11 Pada abad ke-10 SM, kata-kata seorang gadis Israel yang berani telah membawa berkat kepada Naaman, tuannya yang menghidap penyakit kusta. Gadis itu ditawan oleh orang Siria dan menjadi hamba Naaman. Gadis ini tahu bahawa Elisa dapat melakukan mukjizat dengan bantuan Yehuwa, jadi dia memberitahu isteri Naaman bahawa jika Naaman pergi berjumpa dengan Elisa di Israel, penyakitnya dapat disembuhkan. Naaman telah pergi ke Israel, disembuhkan, dan menjadi penyembah Yehuwa. (2 Raj. 5:1-3, 10-17) Kaum muda, jika anda juga mengasihi Yehuwa, Dia akan memberanikan anda untuk memberikan kesaksian kepada guru, rakan sekolah, dan orang lain.

12. Apakah kesan kata-kata Raja Hizkia ke atas rakyatnya?

12 Semasa dilanda kesusahan, kata-kata perangsang semangat boleh menyuntik keberanian. Semasa tentera Asyur mara untuk menyerang Yerusalem pada abad ke-8 SM, Raja Hizkia menguatkan hati rakyatnya dengan berkata, ‘Hendaklah kamu yakin dan tabah hati. Jangan takut kepada raja negeri Asyur ataupun tentera yang dipimpinnya. Kita mempunyai kuasa yang lebih besar di pihak kita daripada apa yang di pihak raja itu. Raja Asyur mempunyai kuasa manusia, tetapi kita mempunyai Yehuwa, Tuhan kita, yang menolong dan berperang bagi kita.’ Apakah kesannya? Bible menyatakan, “Rakyat digalakkan oleh titah raja mereka.” (2 Taw. 32:7, 8, ABB) Semasa mengalami penganiayaan, kata-kata sebegini boleh menguatkan semangat kita dan saudara saudari kita.

13. Bagaimanakah Obaja menunjukkan bahawa dia seorang yang berani?

13 Keberanian adakala diperlihatkan tanpa mengucapkan sepatah kata pun. Pada abad ke-10 SM, hamba Raja Ahab yang bernama Obaja telah bertindak dengan berani. Dia menyembunyikan 100 orang nabi Yehuwa supaya mereka tidak dibunuh oleh Permaisuri Izebel. (1 Raj. 18:4) Seperti Obaja, ramai hamba Yehuwa hari ini melindungi rakan seiman dengan tidak mendedahkan maklumat kepada orang yang menindas kita.

ESTER​—PERMAISURI YANG BERANI

14, 15. Bagaimanakah Permaisuri Ester memperlihatkan iman dan keberanian? Apakah hasilnya?

14 Pada abad ke-5 SM, Permaisuri Ester memperlihatkan iman dan keberanian yang menonjol semasa menentang muslihat Haman untuk melenyapkan semua orang Yahudi di empayar Persia. Itulah sebabnya orang Yahudi meratap, berpuasa, dan berdoa dengan sungguh-sungguh! (Est. 4:1-3) Ester sangat susah hati. Setelah memberinya salinan surat raja yang mengandungi perintah untuk membunuh semua orang Yahudi, sepupu Ester, Mordekhai mengarahkannya menghadap raja untuk merayu bagi pihak bangsanya. Namun, sesiapa yang menghadap raja tanpa diundang akan dihukum bunuh.​—Est. 4:4-11.

15 Mordekhai juga memberitahu Ester, ‘Jika kamu berdiam diri, orang Yahudi pasti akan mendapat pertolongan dari syurga. Siapa tahu, mungkin justeru untuk saat-saat seperti inilah kamu sudah dipilih menjadi permaisuri!’ Ester berkata bahawa dia akan berpuasa dan menggesa Mordekhai untuk meminta orang Yahudi di Susan berpuasa baginya. “Setelah itu saya akan menghadap raja, walaupun perbuatan itu melanggar undang-undang. Jika saya harus mati kerana hal itu, biarlah saya mati!” kata Ester. (Est. 4:12-17) Ester bertindak dengan berani dan Tuhan telah menyelamatkan umat-Nya. Dewasa ini, orang Kristian terurap dan biri-biri lain juga memperlihatkan keberanian semasa dicuba. Dan Yehuwa sentiasa mendengar doa mereka.​—Baca Mazmur 65:3; 118:6.

“TEGUHKANLAH HATIMU”

16. Bagaimanakah teladan Yesus dapat membantu kaum muda hari ini?

16 Pada abad pertama Masihi, iaitu semasa Yesus berumur 12 tahun, dia “duduk [di Rumah Tuhan] mendengarkan guru-guru agama Yahudi dan mengajukan soalan.” Tambahan lagi, ‘semua orang yang mendengar Yesus hairan kerana jawapannya bijak.’ (Luk. 2:41-50, ABB) Walaupun Yesus muda, dia beriman dan berani mengajukan soalan kepada guru-guru agama. Teladan Yesus dapat membantu kaum muda di sidang untuk menggunakan setiap kesempatan bagi ‘memberikan jawapan kepada sesiapa sahaja yang meminta mereka menjelaskan harapan yang dimiliki.’​—1 Ptr. 3:15.

17. Mengapakah Yesus menggalakkan pengikutnya untuk berteguh hati, dan mengapakah kita perlu bertindak dengan berani?

17 Yesus berkata: “Teguhkanlah hatimu.” (Mat. 9:2, 22) Dia memberitahu pengikutnya, ‘Saatnya akan datang, malah sudah tiba, apabila kamu akan dicerai-beraikan. Kamu akan pulang ke rumah masing-masing dan meninggalkan aku seorang diri. Meskipun demikian, aku tidak sendirian, kerana Bapa bersama-sama aku. Aku mengatakan semua ini supaya kamu beroleh kesejahteraan kerana bersatu dengan aku. Di dunia kamu akan menderita, tetapi tabahkanlah hati kamu, kerana aku sudah mengalahkan dunia!’ (Yoh. 16:32, 33, ABB) Seperti pengikut Yesus yang awal, kita juga berdepan dengan kebencian dunia tetapi kita tidak mahu dipengaruhi oleh dunia. Jika kita merenungkan keberanian Yesus, kita pun dapat bersikap berani dan tidak dicemari oleh dunia. Seperti Yesus, kita boleh mengalahkan dunia.​—Yoh. 17:16; Yak. 1:27.

“TABAHKANLAH HATIMU!”

18, 19. Apakah yang menunjukkan bahawa Paulus beriman dan berani?

18 Rasul Paulus mengharungi banyak cubaan. Pernah sekali, orang Yahudi hampir-hampir membunuhnya. Tetapi askar Roma telah menyelamatkannya. Malam berikutnya, Yesus berdiri di sisi Paulus dan berkata, ‘Tabahkanlah hatimu! Engkau sudah memberikan kesaksianmu tentang aku di Yerusalem. Engkau harus memberikan kesaksian di Roma juga.’​—Kis. 23:11.

19 Paulus juga berani menegur “rasul-rasul” yang berusaha untuk mencemari sidang di Korintus. (2 Kor. 11:5; 12:11) Sebagai rasul yang dilantik Tuhan, Paulus mengharungi perjalanan yang bahaya dan ancaman lain. Dia dipenjarakan dan dipukul. Dia pernah kelaparan, dahaga, dan tidak cukup tidur. Dia juga sangat prihatin terhadap rakan seiman. (Baca 2 Korintus 11:23-28.) Ya, iman dan keberanian Paulus menunjukkan bahawa dia mendapat sokongan Tuhan.

20, 21. (a) Berikan contoh yang menunjukkan bahawa kita mesti sentiasa berani. (b) Bilakah kita perlu bersikap berani, dan bagaimanakah Yehuwa membantu kita?

20 Bukan semua orang Kristian mengalami penganiayaan yang teruk. Tetapi, kita mesti memupuk keberanian untuk mengharungi cabaran hidup. Terdapat seorang pemuda di Brazil yang merupakan gengster. Selepas mempelajari Bible, dia tahu dia mesti berubah, tetapi orang yang meninggalkan geng tersebut selalunya dibunuh. Dia berdoa, dan menunjukkan ayat Bible kepada ketua geng dan menjelaskan bahawa dia mesti meninggalkan geng itu. Akhirnya, pemuda itu tidak dicederakan dan dapat menjadi seorang penyiar.

21 Keberanian diperlukan untuk menginjil, mengekalkan integriti di sekolah, memohon cuti untuk menghadiri semua sesi konvensyen, dan sebagainya. Tetapi tidak kira apa sahaja cabaran yang dihadapi, Yehuwa mendengar “doa [kita] yang diucapkan dengan iman.” (Yak. 5:15) Dia pasti memberikan daya aktif-Nya agar kita tetap “yakin dan berani.”

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 11]

Henokh menginjil dengan berani dalam dunia yang fasiq

[Gambar pada muka surat 12]

Yael beriman dan berani