Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Janganlah Diracuni Rasa Iri Hati

Janganlah Diracuni Rasa Iri Hati

Janganlah Diracuni Rasa Iri Hati

Di dunia ini wujud sejenis racun yang amat berbisa. Napoleon Bonaparte diracuninya. Begitu juga dengan Julius Caesar dan Iskandar Agung. Mereka lelaki yang sangat perkasa dan terkenal, namun mereka tetap diracuni rasa iri hati.

“Napoleon cemburu pada Caesar, Caesar cemburu pada Iskandar [Agung], dan Iskandar, saya yakin, cemburu pada Hercules, yang tidak wujud,” tulis ahli falsafah Inggeris yang bernama Bertrand Russell. Rasa iri hati boleh membelenggu sesiapa pun, tanpa mengira kekayaan, bakat, atau kejayaan.

Seseorang yang iri hati tidak gembira apabila orang lain memiliki harta benda, kekayaan, kelebihan, dan sebagainya. Sebuah buku rujukan menyatakan bahawa seseorang yang iri hati adakalanya mahu memiliki apa yang dimiliki oleh orang lain. Tetapi, adakalanya dia berasa dengki dan ingin merampas apa yang dimiliki orang lain.

Bagaimanakah rasa iri hati boleh timbul dalam hati kita? Apakah kesannya? Bagaimanakah kita dapat memastikan bahawa rasa iri hati tidak mengawal hidup kita? Mari kita bincangkan.

APA YANG BOLEH MENGIPAS BAHANG IRI HATI?

Manusia cenderung memperlihatkan sikap iri hati. (Pkh. 4:4) Namun, pelbagai faktor boleh mengipas atau memarakkan rasa iri hati. Paulus menyebut tentang salah satu faktor. Dia berkata bahawa kita tidak patut membandingkan diri dengan orang lain. (Gal. 5:26; 6:4) Semangat suka bersaing, iaitu sikap suka membanding dan menunjuk-nunjuk boleh menguatkan kecenderungan untuk berasa iri hati. Mari kita lihat contoh Cristina dan José. *

Cristina, seorang perintis biasa, berkata, “Saya sering kali berasa iri hati terhadap orang lain. Saya suka membandingkan apa yang mereka ada dengan apa yang saya tidak ada.” Pernah sekali, Cristina menjamu selera dengan sepasang suami isteri yang berkhidmat dalam kerja lawatan. Selepas menyedari bahawa dia dan suaminya, Eric, hampir sebaya dengan pasangan tersebut dan pernah mempunyai tugas teokratik yang sama sebelum ini, Cristina berkata, “Suami saya seorang penatua juga! Macam mana kamu dalam kerja lawatan sedangkan kami tidak?” Sikap suka bersaing menyebabkannya berasa iri hati sehingga lupa bahawa dia dan suaminya juga sedang berkhidmat kepada Yehuwa. Hal ini juga menyebabkan dia tidak puas dengan kehidupannya.

José ingin berkhidmat sebagai pembantu sidang. Tetapi apabila orang lain dilantik sedangkan dia tidak, dia mula berasa iri hati. José mengaku bahawa dia membenci koordinator badan penatua. Dia juga berfikir bahawa penatua itu tidak mahu dia memikul tanggungjawab di sidang. José berkata, “Apabila rasa iri hati menguasai seseorang, dia akan mementingkan diri dan tidak dapat berfikir dengan jelas.”

CONTOH-CONTOH BIBLE

Bible mengandungi banyak contoh tentang orang yang bersikap iri hati; ada contoh yang menunjukkan bagaimana sikap ini berputik, ada juga yang menunjukkan bagaimana sikap ini meracuni mereka.​—1 Kor. 10:11.

Sebagai contoh, anak sulung Adam dan Hawa, iaitu Kain, berasa marah apabila Yehuwa menerima korban Habel tetapi tidak menerima korbannya. Kain boleh memilih untuk melakukan apa yang betul tetapi dia begitu iri hati sehingga membunuh adiknya. (Kej. 4:4-8) Itulah sebabnya Bible menyatakan bahawa Kain “menjadi anak Iblis”!​—1 Yoh. 3:12.

Abang-abang Yusuf cemburu kerana Yakub sangat menyayangi Yusuf. Kebencian mereka meluap-luap semasa Yusuf memberitahu mereka mimpinya. Mereka bahkan mahu membunuhnya. Akhirnya mereka menjualnya sebagai seorang hamba dan membuat bapa mereka sangka bahawa Yusuf sudah mati. (Kej. 37: 4-11, 23-28, 31-33) Bertahun-tahun kemudian, mereka mengakui kesalahan mereka dan berkata, “Sekarang kita dihukum kerana kesalahan kita terhadap adik kita dahulu; dia meminta tolong tetapi kita tidak mempedulikannya, walaupun kita nampak dia sangat menderita.”​—Kej. 42:21; 50:15-19.

Korah, Datan, dan Abiram mula iri hati kerana membandingkan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka dengan Musa dan Harun. Mereka mendakwa bahawa Musa mahu memerintah mereka. (Bil. 16:13) Tuduhan ini langsung tidak berasas. (Bil. 11:14, 15) Yehuwa telah melantik Musa. Tetapi penentang-penentang ini mencemburui kedudukan Musa. Akhirnya, sikap iri hati mereka mengundang kemurkaan Tuhan dan mereka dihukum mati.​—Mzm. 106:16, 17.

Raja Salomo nampak dengan mata sendiri kesan buruk yang dibawa oleh sikap iri hati. Bayi seorang wanita telah mati dan dia cuba untuk memperdaya seorang wanita lain untuk berfikir bahawa bayi yang mati itu miliknya. Semasa mereka menghadap Salomo untuk menyelesaikan masalah mereka, penipu itu bahkan menyokong tindakan untuk membunuh bayi yang hidup. Tetapi Salomo memastikan bahawa bayi yang hidup dikembalikan kepada ibu yang sebenar.​—1 Raj. 3:16-27.

Seperti yang ditunjukkan dalam contoh-contoh di atas, sikap iri hati boleh membawa kepada kebencian, ketidakadilan, dan pembunuhan. Yang sedihnya, mangsa dalam setiap contoh tidak bersalah. Jadi, bagaimanakah kita dapat memastikan bahawa sikap iri hati tidak menguasai hidup kita? Apakah penawarnya?

PENAWAR YANG SUNGGUH BERKESAN!

Pupuklah kasih sesama saudara. Petrus berkata, ‘Kerana kamu mentaati ajaran benar daripada Tuhan, kamu menjadi suci dan kamu mengasihi sesama saudara seiman dengan ikhlas. Oleh itu, hendaklah kamu saling mengasihi dengan sepenuh hati.’ (1 Ptr. 1:22, ABB) Apakah itu kasih? Rasul Paulus berkata, “Sesiapa yang mengasihi orang lain, sabar dan baik hati; dia tidak iri hati, tidak bercakap besar, dan tidak sombong. Dia tidak berkasar, tidak mementingkan diri sendiri.” (1 Kor. 13:4, 5) Jika kita memupuk kasih sedemikian, kecenderungan untuk berasa iri hati dapat dicegah. (1 Ptr. 2:1) Yonatan tidak mencemburui Daud kerana dia “mengasihinya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.”​—1 Sam. 18:1.

Bergaul dengan orang yang takut akan Tuhan. Penggubah Mazmur 73 berasa iri hati terhadap orang fasiq yang hidup mewah tanpa masalah. Tetapi, dia mengatasi perasaan iri hati semasa dia ‘masuk ke dalam Rumah Tuhan.’ (Mzm. 73:3-5, 17) Pergaulan dengan rakan seiman membantu pemazmur untuk ingat bahawa dia diberkati kerana ‘berada di samping Tuhan.’ (Mzm. 73:28) Kita juga akan berasa begitu jika kita bergaul secara tetap dengan saudara saudari di sidang.

Berusaha berbuat baik. Selepas melihat sikap iri hati dan benci bercambah di hati Kain, Tuhan menggalakkannya untuk ‘melakukan apa yang benar.’ (Kej. 4:7) Apakah yang terangkum dalam hal-hal yang benar dan baik? Yesus berkata bahawa kita mesti mengasihi ‘Tuhan Yehuwa dengan sepenuh hati, dengan segenap jiwa dan dengan seluruh akal.’ Dia juga berkata, “Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” (Mat. 22:37-39) Cara yang baik untuk mengasihi Tuhan dan orang lain adalah dengan mengutamakan kerja penyebaran dan membantu orang menjadi murid Kristus. Kepuasan yang diraih daripada usaha ini dapat mengubati sikap iri hati. Kita juga akan menikmati berkat yang melimpah daripada Yehuwa.​—Ams. 10:22.

“Bersukacitalah dengan mereka yang bersukacita.” (Rm. 12:15) Yesus bersukacita atas kejayaan muridnya, dan menunjukkan bahawa apa yang akan dilaksanakan oleh mereka adalah lebih banyak daripada apa yang dilakukan olehnya. (Luk. 10:17, 21; Yoh. 14:12) Sebagai Saksi-Saksi Yehuwa yang bersatu padu, kejayaan seorang menggembirakan semua. (1 Kor. 12:25, 26) Tidakkah kita bersukacita apabila rakan seiman diberikan lebih banyak tanggungjawab?

LAWANLAH BERSUNGGUH-SUNGGUH!

Pergelutan untuk melawan sikap iri hati tidaklah senang. Cristina mengaku, “Saya masih cenderung berasa iri hati. Walaupun saya membenci sikap ini, sikap ini tetap timbul, dan saya terpaksa bergelut untuk menentangnya.” José berkata, “Yehuwa telah membantu saya untuk melihat sifat baik koordinator badan penatua. Hubungan baik dengan Tuhan telah banyak membantu saya.”

Sikap iri hati merupakan salah satu “keinginan tabiat manusia” yang harus dilawan oleh setiap orang Kristian. (Gal. 5:19-21) Dengan terus melawan sikap iri hati, kita dapat hidup dengan lebih bahagia dan menyenangkan hati Yehuwa.

[Nota kaki]

^ per. 7 Nama telah diubah.

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 17]

“Bersukacitalah dengan mereka yang bersukacita”