Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mereka Menyebarkan Firman Tuhan dengan Berani!

Mereka Menyebarkan Firman Tuhan dengan Berani!

Mereka Menyebarkan Firman Tuhan dengan Berani!

Orang Kristian sejati memperlihatkan keberanian semasa menghadapi tentangan. Contohnya, bahan bacaan kita menyebut tentang keberanian orang Kristian abad pertama dan dewasa ini. Seperti mereka, kita juga meminta daya aktif dan bantuan Tuhan untuk memperlihatkan keberanian.​—Kis. 4:23-31.

Mengenai kerja penyebaran semasa Perang Dunia Pertama, seorang saudara menulis, “Hamba Tuhan giat mengedarkan jilid ke-7 Studies in the Scriptures, yang bertajuk The Finished Mystery. Pengedarannya sangat meluas. Kingdom News No. 1 diterbitkan pada tahun 1918. Seterusnya Kingdom News No. 2 menjelaskan sebab buku The Finished Mystery dilarang oleh pihak berkuasa dan diikuti dengan Kingdom News No. 3. Semua bahan bacaan ini diedarkan secara meluas oleh golongan hamba yang setia. Mereka perlu berani dan beriman semasa mengedarkan risalah Kingdom News.”

Hari ini, penyiar baru sering kali diberikan latihan untuk menjalankan kerja penyebaran. Tetapi dahulu, hal ini tidak berlaku. Seorang saudara berbangsa Poland di Amerika Syarikat menceritakan pengalaman pertamanya semasa menginjil pada tahun 1922, “Saya tidak tahu cara untuk menawarkan bahan bacaan dan tidak fasih berbahasa Inggeris. Saya berdiri seorang diri depan pintu seorang doktor dan mengetuk. Seorang jururawat membuka pintu. Saya berasa takut dan gembira pada masa yang sama. Saya membuka beg tetapi semua buku jatuh berselerak dekat kakinya. Saya tak ingat apa yang saya katakan tapi dia menerima sebuah buku. Selepas beredar dari sana, saya berasa berani dan diberkati Yehuwa. Saya telah menawarkan banyak buku kecil di kawasan perniagaan berkenaan pada hari itu.”

“Sekitar tahun 1933, ramai saudara menggunakan kereta bunyi untuk menyebarkan berita baik,” kata seorang saudari. Pernah sekali, dia dan sepasang suami isteri menginjil di kawasan pergunungan di California, A.S. “Saudara itu memandu kereta bunyi ke kawasan yang tinggi, dan kami menunggu di pekan di bawah,” katanya. “Apabila rakaman dimainkan, bunyinya seolah-olah datang dari syurga. Orang di pekan bertungkus lumus untuk mencari saudara itu tetapi tidak berjaya. Selepas rakaman itu tamat, kami menginjil kepada mereka. Saya juga menginjil bersama dua buah kereta bunyi yang lain dan saya tahu bahawa kebanyakan orang tidak mahu mendengarkan mesej Bible. Tetapi mereka tiada pilihan kerana rakaman daripada kereta bunyi jelas kedengaran dalam rumah mereka. Yehuwa memastikan cara yang terbaik selalu digunakan. Walaupun kami mesti berani, penggunaan kereta bunyi amat berkesan dan nama Yehuwa telah dimuliakan.”

Pada tahun 1930-an dan awal 1940-an, peti nyanyi (gramofon) dan rakaman ceramah Bible digunakan semasa menginjil. Seorang saudari berkata, “Seorang saudari muda bekerja dari rumah ke rumah dengan sebuah peti nyanyi. Selepas dia mula memainkan rakaman di salah sebuah rumah, penghuni rumah begitu marah sehingga menendang peti nyanyi tersebut. Namun, tiada piring hitam yang pecah. Tiga orang lelaki yang sedang makan dalam sebuah lori nampak apa yang berlaku. Mereka menjemput saudari itu untuk memainkan rakamannya dan menerima bahan bacaan yang ditawarkan. Dia berasa lega sikit selepas itu.” Ya, keberanian diperlukan untuk mengharungi tentangan sedemikian.

Saudari yang sama menyambung, “Pada tahun 1940, kerja menawarkan majalah di tempat umum bermula. Sebelum ini, perarakan beramai-ramai dilakukan. Saudara saudari akan berjalan dalam satu baris di tepi jalan sambil membawa tanda yang membaca ‘Agama Itu Jerat dan Dusta’ dan ‘Berkhidmatlah kepada Tuhan dan Raja Kristus.’ Risalah yang percuma juga diedarkan kepada orang ramai. Memang keberanian diperlukan untuk menjalankan kerja ini, tetapi tujuan untuk memasyhurkan nama Yehuwa dan umat-Nya tercapai.”

“Kerja mengedarkan majalah dalam pekan-pekan kecil amat susah,” kata seorang saudari. “Pada masa itu, tentangan terhadap Saksi sangat kuat. . . . Kami benar-benar perlu berani untuk berdiri di tepi jalan sambil memegang majalah dan melaungkan cogan kata yang disarankan. Namun, kami tetap keluar pada hari Sabtu. Ada masanya orang bersikap ramah; masa lain orang yang marah berkumpul dan kami terpaksa beredar.”

Walaupun menghadapi penganiayaan semasa Perang Dunia Kedua, Saksi-Saksi Yehuwa menginjil dengan berani. Dalam suatu kempen khas yang menjangkau 43 hari, iaitu dari 1 Disember 1940 sehingga 12 Januari 1941, kira-kira 50,000 orang penyiar di Amerika Syarikat mengedarkan hampir 8 juta buku kecil.

Ramai saudara saudari yang tua dalam organisasi Tuhan jelas mengingati keberanian yang perlu diperlihatkan semasa menghadapi cabaran pada masa lampau. Selama bertahun-tahun, keberanian mereka dicerminkan dengan semangat untuk menginjil sampai akhir. Apakah kaedah lain yang akan digunakan untuk menginjil sebelum sistem fasiq ini dimusnahkan? Kami tidak tahu. Tetapi dengan bantuan Tuhan, kita akan terus menyerantakan firman Yehuwa dengan beriman dan berani.

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 9]

Dari dahulu lagi, keberanian diperlukan untuk menjalankan kerja penyebaran