Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Natan—Pendukung Ibadat Sejati yang Setia

Natan—Pendukung Ibadat Sejati yang Setia

Natan​—Pendukung Ibadat Sejati yang Setia

Bayangkan anda disuruh untuk memberitahu seorang raja bahawa dia telah berdosa dan perlu bertaubat. Yang merumitkan keadaan, raja ini telah membunuh seorang lelaki yang tidak bersalah sekadar untuk menjaga air mukanya. Apakah perasaan anda?

Raja Daud telah berzina dengan Batsyeba. Batsyeba kemudiannya menjadi hamil. Untuk menyembunyikan dosa mereka, Daud merancang pembunuhan suami Batsyeba lalu mengahwini Batsyeba. Bulan berganti bulan, Daud hidup bermuka dua dan menjalankan tugasnya sebagai raja. Tetapi Yehuwa tidak berdiam diri. Dia mengutus nabi Natan untuk menegurnya.

Tugas yang mencabar menantikan Natan. Kesetiaan kepada Yehuwa dan prinsip-Nya tentu telah mendorong Natan untuk menegur Daud atas dosanya. Bagaimanakah nabi Natan dapat meyakinkan Raja Daud bahawa dia perlu bertaubat?

GURU YANG BIJAK

Sila baca 2 Samuel 12:1-25. Bayangkan anda ialah Natan semasa dia memberitahu Daud kisah ini: “Ada dua orang lelaki yang tinggal di sebuah kota; yang seorang kaya dan yang seorang lagi miskin. Si kaya itu mempunyai banyak lembu dan domba, tetapi si miskin itu hanya mempunyai seekor anak domba yang dibelinya. Dia memelihara anak domba itu di dalam rumahnya bersama dengan anak-anaknya. Anak domba itu diberi makan daripada makanan orang itu, minum daripada cawannya, dan tidur di pangkuannya. Pendek kata, anak domba itu diperlakukan seperti anak perempuannya sendiri. Pada suatu hari, ada tetamu tiba di rumah si kaya. Si kaya tidak mahu menyembelih domba atau lembunya sendiri supaya dimasak untuk menjamu tetamu itu. Sebaliknya, dia mengambil anak domba si miskin itu supaya dimasak untuk tetamunya.”​—2 Sam. 12:1-4, ABB.

Daud yang dulu seorang gembala nampaknya menyangka bahawa cerita Natan ialah sebuah kisah benar. Seorang pengulas Bible menjelaskan bahawa hal ini mungkin berlaku kerana Natan sering kali menghadap Raja Daud untuk menceritakan kesusahan yang dihadapi rakyat. Selepas mendengar cerita itu, Daud sangat marah dan berkata, “Beta bersumpah demi Tuhan yang hidup bahawa si kaya itu mesti dihukum mati!” Keberanian dan kesetiaan kepada Tuhan telah mendorong Natan untuk berkata, “Tuanku adalah orang itu!”​—2 Sam. 12:5-7.

Mengapakah Natan menggunakan kaedah ini? Daud tidak dapat berfikir dengan waras kerana emosi dan perasaannya terlibat. Kita semua cenderung mencari seribu satu alasan untuk membela diri semasa melakukan kesalahan. Tetapi cerita Natan menyebabkan Daud mengutuk perbuatan sendiri tanpa disedari. Selepas Daud nampak dengan jelas bahawa apa yang dilakukan oleh si kaya adalah jahat, barulah Natan menyatakan bahawa perbuatan Daud mirip dengan apa yang dilakukan oleh si kaya dalam ceritanya. Hal ini telah membantu Daud sedar bahawa kesalahannya sangat serius dan dia memerlukan disiplin. Daud mengaku bahawa perbuatannya dengan Batsyeba telah menghina Yehuwa dan dia menerima disiplin Yehuwa dengan rendah hati.​—2 Sam. 12:9-14; Mzm. 51:1, 2.

Apakah yang boleh kita pelajari daripada hal ini? Objektif seorang guru Bible adalah untuk membantu pendengarnya mencapai kesimpulan yang betul. Natan menghormati Daud dan tidak menghiris perasaan Daud. Dia tahu bahawa Daud cintakan keadilbenaran. Jadi dia menggunakan perumpamaan yang mendorong Daud untuk berubah. Kita juga boleh membantu individu yang berhati jujur untuk memahami pandangan Yehuwa. Bagaimana? Orang biasanya dapat membezakan apa yang baik daripada apa yang buruk. Maka, kita tidak boleh membantu mereka jika kita memandang rendah pada mereka atau mengagung-agungkan kebaikan sendiri. Pandangan Bible lebih penting daripada pandangan kita.

Apakah yang membantu Natan memupuk keberanian untuk menegur Raja Daud? Kesetiaannya kepada Tuhan. (2 Sam. 12:1) Kita juga dapat menjunjung prinsip Yehuwa dengan berani jika kita setia kepada-Nya.

PENDUKUNG IBADAT SEJATI

Nampaknya, Natan dan Daud merupakan kawan baik. Daud bahkan telah menamakan seorang anak lelakinya Natan. (1 Taw. 3:1-3, 5) Kali pertama Natan disebut dalam Bible, dia ada bersama Daud. Mereka berdua cinta akan Yehuwa. Daud mempercayai pendapat Natan dan memberitahu Natan hasratnya untuk membina tempat ibadat. Daud berkata, ‘“Lihatlah, beta tinggal di dalam istana yang diperbuat daripada kayu sedar, sedangkan Tabut Perjanjian Tuhan disimpan di dalam khemah!” Selepas itu, Natan menjawab, “Lakukanlah apa saja kehendak tuanku, kerana Yehuwa menolong tuanku.”’​—2 Sam. 7:2, 3, ABB.

Sebagai penyembah Yehuwa yang setia, Natan menyokong cadangan Daud untuk membina pusat penyembahan sejati yang pertama di bumi. Tetapi pada masa itu, Natan menyatakan pendapat sendiri dan bukannya pandangan Yehuwa. Malam itu, Tuhan menyuruh Natan untuk menyampaikan pesanan lain kepada raja, iaitu bahawa Rumah Tuhan akan dibina oleh anak Daud, bukannya Daud sendiri. Natan juga mengumumkan janji Tuhan yang berikut: “Kerajaanmu [Daud] tidak akan berkesudahan.”​—2 Sam. 7:4-16.

Kata-kata Natan tentang pembinaan Rumah Tuhan tidak selaras dengan kehendak Tuhan. Namun, Natan tidak merungut. Dia rendah hati dan bertindak selaras dengan tujuan Yehuwa. Semasa ditegur Tuhan, kita juga patut meniru sikap Natan. Bible menunjukkan bahawa Yehuwa terus berkenan pada Natan. Yehuwa telah menggunakan dia dan Gad, seorang nabi lain, untuk membantu Daud mengaturkan 4,000 orang pemain muzik di Rumah Tuhan.​—1 Taw. 23:1-5; 2 Taw. 29:25.

MEMPERTAHANKAN WARIS TAKHTA

Natan tahu bahawa Salomo ialah pewaris takhta Daud. Apabila Adonia merancang untuk menjadikan dirinya raja, Natan sekali lagi memperlihatkan kebijaksanaan dan kesetiaan. Dia telah bertindak dengan segera. Mula-mula dia menggesa Batsyeba untuk mengingatkan Daud akan janjinya untuk menjadikan Salomo raja. Kemudian Natan sendiri bertanya kepada Daud sama ada Daud memilih Adonia sebagai raja. Apabila Daud sedar bahawa dia sekarang mengalami masalah besar, dia menyuruh Natan dan orang setia lain untuk mengurapi Salomo dan mengisytiharkannya sebagai raja. Maka, rancangan Adonia telah gagal.​—1 Raj. 1:5-53.

SEJARAWAN YANG RENDAH HATI

Ramai setuju bahawa Natan dan Gad telah menulis 1 Samuel bab 25 hingga 31 serta buku 2 Samuel. Bible menyatakan, “Riwayat hidup Raja Daud dari mula sampai akhir telah dicatat di dalam kitab tiga orang nabi: Nabi Samuel, Nabi Natan, dan Nabi Gad.” (1 Taw. 29:29, ABB) Natan juga telah menulis tentang “perbuatan Raja Salomo.” (2 Taw. 9:29) Maka, kita boleh menyimpulkan bahawa Natan masih berkhidmat di istana raja selepas kematian Daud.

Kebanyakan mengenai Natan hanya diketahui menerusi catatannya. Tetapi dia tidak mengisahkan banyak tentang dirinya. Natan merupakan seorang sejarawan yang rendah hati. Dia tidak ingin memasyhurkan diri. Menurut sebuah kamus, Bible tidak menyebutkan asal usul Natan. Kita tidak tahu apa-apa mengenai keluarganya ataupun kehidupan peribadinya.

SETIA KEPADA YEHUWA

Daripada apa yang tercatat dalam Bible, kita tahu bahawa Natan rendah hati dan menjunjung aturan Tuhan dengan sungguh-sungguh. Yehuwa telah memberikannya tanggungjawab yang besar. Renungkanlah sifat Natan seperti kesetiaannya kepada Tuhan serta cara dia berpaut erat pada aturan Yehuwa. Bolehkah anda meniru teladannya?

Besar kemungkinan anda tidak perlu menasihati raja yang berzina mahupun menentang orang yang mahu merampas takhta. Tetapi dengan bantuan Yehuwa, anda boleh setia kepada-Nya dan menjunjung prinsip-Nya yang adil benar. Seperti Natan, anda pasti boleh mengajarkan kebenaran dengan berani dan bijak, serta mempertahankan ibadat sejati.

[Gambar pada muka surat 25]

Natan menggesa Batsyeba demi mempertahankan waris takhta