Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kisah Hidup

‘Hadirat-Mu Sentiasa Membahagiakan Aku’

‘Hadirat-Mu Sentiasa Membahagiakan Aku’

Diceritakan oleh Lois Didur

Pernahkah anda menyesali keputusan yang dibuat? Selepas menceburi khidmat sepenuh masa selama 50 tahun, saya tidak pernah menyesal. Biarlah saya menceritakan mengapa hadirat Tuhan sentiasa membahagiakan saya.

SAYA dilahirkan pada 1939 di Saskatchewan, Kanada. Saya dan lima orang adik-beradik dibesarkan di sebuah ladang di padang rumput prairie. Kehidupan kami sungguh gembira. Pada suatu hari, Saksi-Saksi Yehuwa melawat ayah saya. Saya menanya sama ada Tuhan mempunyai nama, lalu mereka menunjukkan nama Yehuwa daripada Bible. Hasilnya, saya ingin lebih mengenali Tuhan dan Firman-Nya.

Pada masa itu, budak-budak yang tinggal di ladang menunggang kuda atau berjalan ke sekolah yang jauh dari rumah. Sekolah itu hanya mempunyai satu kelas setiap darjah sehingga pelajar berumur kira-kira 13 tahun. Keperluan harian dan tempat tinggal guru sekolah disediakan oleh keluarga tempatan. Suatu tahun, tiba giliran ibu bapa saya untuk menyediakan tempat tinggal bagi guru baru, John Didur.

Saya tidak tahu bahawa lelaki muda ini pun berminat dalam Bible. Pernah sekali, saya memuji kerajaan komunisme dan sosialisme yang disokong oleh ayah saya. John berkata dengan perlahan, “Tiada orang yang berhak memerintah manusia kecuali Tuhan.” Kata-katanya mencetuskan banyak perbualan yang menarik.

John dilahirkan pada 1931 dan tahu tentang kesusahan yang disebabkan oleh peperangan. Apabila Perang Korea tercetus pada 1950, dia telah menanya paderi daripada pelbagai gereja sama ada orang Kristian boleh berperang. Mereka semua berkata bahawa hal itu tidak salah. Kemudian, dia menanya Saksi-Saksi Yehuwa soalan yang sama. Mereka membuka Alkitab dan menunjukkan pendirian orang Kristian masa awal terhadap perang. John dibaptiskan pada 1955, dan saya dibaptiskan pada tahun berikutnya. Kami berdua ingin berkhidmat kepada Yehuwa seumur hidup. (Mzm. 37:3, 4) Kami berkahwin pada Julai 1957.

Ulang tahun perkahwinan kami selalunya jatuh pada hari konvensyen. Kami bergembira kerana dikelilingi ribuan orang yang menghormati perkahwinan. Pada 1958, kami menghadiri konvensyen antarabangsa buat pertama kali. Kami berlima memandu dari Saskatchewan ke kota New York. Selama seminggu kami memandu pada siang hari dan tidur dalam khemah pada waktu malam. Kami bersyukur kerana seorang saudara yang baik hati menjemput kami untuk bermalam di rumahnya di Bethlehem, Pennsylvania. Oleh itu, kami kelihatan bersih dan kemas apabila tiba di kota New York. Konvensyen besar itu mengingatkan kami tentang berkat menyembah Yehuwa. Seperti yang ditulis pemazmur, ‘Hadirat-Mu sentiasa membahagiakan aku’!​—Mzm. 16:11.

MERINTIS

Setahun kemudian, pada tahun 1959, kami merintis di Saskatchewan dan tinggal dalam sebuah rumah treler di atas bukit. Dari situ kami dapat melihat kawasan sekeliling yang terbentang luas, termasuk kawasan penyebaran kami.

Pada suatu hari, sepucuk surat daripada pejabat cawangan tiba. Tanpa berlengah-lengah, saya keluar mencari John. Surat itu menjemput kami untuk menjadi perintis khas di Red Lake, Ontario. Dengan segera kami mencari tempat itu dalam peta.

Betapa bezanya tempat itu dengan padang rumput prairie! Kini kami dikelilingi hutan tebal dan pekan-pekan kecil yang didirikan berdekatan lombong emas. Pada hari pertama, semasa kami mencari tempat tinggal, seorang gadis kecil terdengar perbualan kami dengan jirannya. Dia berlari pulang dan memberitahu ibunya, lalu ibunya menjemput kami untuk bermalam dalam sebuah bilik bawah tanah di rumahnya. Keesokan hari, kami menjumpai sebuah rumah kayu dua bilik. Rumah itu tidak mempunyai sistem paip atau perabot, kecuali alat pemanas yang menggunakan kayu sebagai bahan api. Kami telah melengkapinya dengan beberapa barang terpakai dari sebuah kedai.

Sidang yang paling dekat terletak 209 km dari situ. Ramai pekerja lombong emas berasal dari Eropah dan meminta Bible dalam bahasa mereka. Dalam masa yang singkat, kami mempunyai 30 orang pelajar Bible. Dalam enam bulan, sebuah sidang kecil ditubuhkan.

Suami seorang pelajar Bible kami meminta paderi untuk membetulkan pandangan isterinya. Semasa paderi itu menemui kami, dia berkata bahawa kami patut mengajarkan Tritunggal dan ajaran lain. Pelajar Bible kami mengeluarkan Bible gereja Katolik dan meminta paderi itu membuktikan kata-katanya. Tetapi paderi itu melemparkan Bible ke atas meja dan berkata bahawa dia tidak perlu membuktikan apa-apa. Semasa dia beredar, dia berkata dalam bahasa Ukraine bahawa kami harus dihalau keluar. Dia tidak sedar bahawa John memahami bahasa Ukraine!

Tidak lama kemudian kami meninggalkan Red Lake kerana John perlu dilatih untuk kerja litar. Tetapi kira-kira setahun kemudian, semasa John memberikan ceramah pembaptisan di konvensyen distrik, dia nampak suami pelajar Bible itu. Pengalaman dengan paderi mendorongnya untuk menyelidiki Bible, dan kini dia bakal dibaptiskan!

SIBUK MENJALANKAN KERJA LAWATAN

Semasa menjalankan kerja litar, kami berpeluang untuk tinggal dengan banyak keluarga. Mereka sangat ramah dan kami pun menjadi sangat rapat dengan mereka. Pernah sekali pada musim sejuk, kami tinggal di tingkat atas rumah seorang saudari yang lanjut usia. Pagi-pagi lagi dia akan memasuki bilik kami dengan senyap dan menyalakan api dalam alat pemanas yang kecil. Selepas itu, dia akan membawa sebuah besen dan air suam agar kami dapat menyiapkan diri. Banyak yang saya belajar daripada perwatakannya yang lemah lembut.

Kerja litar mengeratkan lagi hubungan saya dengan Yehuwa. Salah satu litar di Alberta merangkumi sebuah pekan lombong yang terletak jauh di utara. Pekan itu hanya ada seorang saudari. Apakah pandangan organisasi Yehuwa terhadap saudari itu? Setiap enam bulan, kami menaiki kapal terbang untuk melawatnya selama seminggu. Kami mengadakan perjumpaan dan menginjil bersamanya, seperti yang dilakukan di sidang yang besar. Kami diingatkan bahawa Yehuwa mengasihi setiap biri-biri-Nya.

Kami masih berhubung dengan keluarga yang menyediakan tempat tinggal bagi kami. John pernah menghadiahi saya sebuah kotak berwarna-warni yang dipenuhi kertas. Kami sangat suka menggunakan kertas itu untuk menulis surat kepada kawan-kawan. Sampai hari ini, saya masih menyimpan kotak itu.

Semasa kami melawat litar di Toronto, seorang saudara dari Bethel Kanada menelefon kami. Dia bertanya sama ada kami sudi untuk berkhidmat di Bethel. Bilakah kami harus memberikan jawapannya? Esok hari! Kami pun menerima jemputan itu.

KHIDMAT BETHEL

Setiap tugas baru mengajar kami bahawa hadirat Yehuwa sentiasa membawa kebahagiaan. Kami turut merasainya semasa berpindah ke Bethel pada 1977. Kami dapat bergaul dengan beberapa orang Kristian terurap. Mereka mempunyai perwatakan yang berbeza dan menyanjung tinggi Firman Tuhan.

Saya menyukai kehidupan di Bethel. Contohnya, pakaian kami disimpan dalam laci dan bukannya dalam beg, dan kami ditugaskan ke satu sidang sahaja. Selain tugas saya, saya gemar membawa pelawat melihat sekeliling Bethel. Saya akan menjelaskan kerja yang dilakukan di Bethel, mendengar pandangan mereka, dan menjawab soalan yang diajukan.

Tahun silih berganti, dan pada 1997, John dijemput untuk menghadiri Sekolah untuk Ahli Jawatankuasa Cawangan di Paterson, New York. Kemudian kami ditanya sama ada kami sudi berkhidmat di Ukraine. Kami digalakkan untuk berdoa dan berfikir masak-masak. Pada petang itu, kami sudah memutuskan untuk menerima jemputan tersebut.

BERPINDAH KE UKRAINE

Kami pernah menghadiri satu konvensyen antarabangsa di St. Petersburg, Rusia, pada 1992, dan satu lagi di Kiev, Ukraine, pada 1993. Pengalaman ini mencetuskan kasih kami terhadap saudara saudari di Eropah Timur. Tempat tinggal baru kami di Lviv, Ukraine, terletak di tingkat dua sebuah rumah lama. Dari jendela, kami dapat melihat laman rumah yang mempunyai taman kecil, seekor ayam jantan, dan sekawan ayam betina. Rasanya seperti berada di ladang Saskatchewan. Dua belas orang tinggal dalam rumah itu, dan awal setiap pagi, kami merentasi bandar untuk bekerja di Bethel.

Apakah perasaan kami semasa di Ukraine? Kami sangat tersentuh kerana dapat bergaul dengan mereka yang pernah mengalami cubaan, larangan, dan pemenjaraan. Namun iman mereka tetap kukuh. Semasa dipuji, mereka akan berkata, “Kami lakukannya untuk Yehuwa.” Mereka yakin Yehuwa sentiasa di sisi mereka. Sehingga kini, apabila anda mengucapkan terima kasih kepada seseorang, dia akan meminta anda berterima kasih kepada Yehuwa kerana Dialah Sumber segala yang baik.

Ramai saudara saudari di Ukraine berjalan kira-kira sejam atau lebih ke perjumpaan. Maka mereka berpeluang untuk berbual dan saling menggalakkan. Terdapat lebih daripada 50 sidang di Lviv, dan 21 daripadanya berjumpa di kompleks Dewan Perjumpaan yang besar. Betapa indahnya melihat saudara saudari berpusu-pusu ke perjumpaan setiap Ahad!

Kami selesa bergaul dengan saudara saudari yang lemah lembut dan sangat prihatin. Meskipun saya tidak memahami bahasa mereka dengan baik, mereka tetap sabar dengan saya. Mereka bukan sahaja dapat meluahkan isi hati melalui kata-kata, tetapi juga melalui raut wajah.

Saudara saudari juga saling mempercayai. Contohnya, semasa konvensyen antarabangsa 2003 di Kiev, kami baru sahaja turun ke platform kereta api bawah tanah apabila seorang gadis kecil datang dan berkata, “Saya tak dapat cari nenek saya.” Gadis itu nampak lencana konvensyen kami dan tahu bahawa kami ialah Saksi. Dia berani dan tidak menangis. Isteri penyelia litar yang ada bersama kami membawa gadis itu ke Bahagian Hilang dan Jumpa. Tidak lama kemudian gadis itu berjumpa semula dengan neneknya. Hati saya tersentuh kerana gadis itu begitu mempercayai saudara saudarinya walaupun dikelilingi ribuan orang yang tidak dikenali.

Saudara saudari dari banyak negara datang ke Ukraine pada Mei 2001 untuk pentahbisan bangunan Bethel yang baru. Selepas ceramah istimewa di sebuah stadium pada pagi Ahad, sekumpulan besar saudara saudari datang berduyun-duyun untuk melawat Bethel. Peristiwa itu sukar dilupakan! Saya terharu melihat saudara saudari yang begitu teratur. Sekali lagi saya berasa bersyukur kerana khidmat kepada Tuhan membawa kebahagiaan.

PERUBAHAN YANG BESAR

Malangnya, John diberitahu bahawa dia menghidap kanser pada 2004, dan kami pulang ke Kanada untuk rawatannya. Selepas menjalankan kemoterapi buat kali pertama, dia sakit tenat dan dimasukkan ke unit rawatan rapi selama beberapa minggu. Tetapi kemudiannya dia sedar semula. Walaupun dia tidak dapat bertutur, matanya menunjukkan bahawa dia menghargai semua pelawatnya.

Namun, keadaannya semakin tenat dan dia meninggal pada musim luruh tahun itu. Saya berasa kekosongan kerana selama ini saya gembira berkhidmat kepada Yehuwa bersama John. Apakah yang akan saya lakukan? Saya memutuskan untuk kembali ke Ukraine. Saya sangat menghargai kasih sayang yang ditunjukkan oleh keluarga Bethel dan sidang saya.

Kami tidak pernah menyesali keputusan yang kami buat. Kami telah menikmati kehidupan bahagia dan pergaulan yang terbaik. Saya tahu bahawa masih banyak yang perlu saya belajar tentang kebaikan Yehuwa. Dan saya ingin berkhidmat kepada-Nya buat selama-lamanya kerana ‘hadirat Yehuwa sentiasa membahagiakan saya.’

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 6]

“Kami tidak pernah menyesali keputusan yang kami buat”

[Gambar pada muka surat 3]

Semasa saya dan John berkahwin

[Gambar pada muka surat 4]

Berkhidmat sebagai perintis khas di Red Lake, Ontario

[Gambar pada muka surat 5]

Saya dan John di Ukraine, 2002