Harapan yang Membawa Sukacita
Harapan yang Membawa Sukacita
‘[Kita memiliki] harapan untuk menerima hidup sejati dan kekal. Tuhan yang tidak berdusta, telah menjanjikan hidup itu sebelum permulaan zaman.’—TIT. 1:2.
ULANG KAJI
Bagaimanakah kita tahu bahawa kegembiraan akan dirasai di syurga apabila seorang daripada golongan terurap mengekalkan integritinya sampai mati?
Apakah kaitan antara harapan biri-biri lain dengan harapan kaum terurap?
Bagaimanakah kita boleh “hidup suci” dan hidup ‘khas untuk Tuhan’?
1. Bagaimanakah harapan yang diberikan Yehuwa membantu kita tabah menghadapi masalah?
YEHUWA ialah ‘Tuhan yang memberikan harapan,’ kata rasul Paulus. Dan Tuhan ‘memenuhi hati kita dengan kegembiraan dan kedamaian kerana kita percaya kepada-Nya, supaya dengan kuasa Roh [daya aktif] Tuhan kita semakin berharap kepada Tuhan.’ (Rm. 15:13, ABB) Jika kita mempunyai harapan kukuh, kita dapat menghadapi segala cabaran dengan tabah, tenang, dan sukacita. Seperti orang Kristian terurap, harapan kita juga “seperti sauh yang menjadi pegangan hidup yang kuat dan aman.” (Ibr. 6:18, 19) Semasa dilanda ribut hidup, kita boleh berpegang erat pada harapan ini supaya tidak kehilangan iman atau mengalami keraguan.—Baca Ibrani 2:1; 6:11.
2. Apakah dua harapan yang mungkin diraih oleh orang Kristian hari ini? Mengapakah “biri-biri lain” patut mengambil tahu tentang harapan yang akan diraih oleh golongan terurap?
2 Terdapat dua harapan yang mungkin diraih oleh orang Kristian hari ini. “Kawanan kecil” yang masih di bumi merupakan orang Kristian terurap yang mempunyai harapan untuk menjadi raja dan imam bersama Yesus dan menikmati hidup yang tidak boleh mati di syurga. (Luk. 12:32; Why. 5:9, 10) “Biri-biri lain” yang bilangannya jauh lebih besar boleh menikmati harapan untuk hidup kekal di bumi dan menjadi rakyat Kerajaan Mesias. (Yoh. 10:16; Why. 7:9, 10) Harapan golongan terurap pasti akan menjadi kenyataan, begitu juga dengan harapan biri-biri lain. (Baca Ibrani 11:39, 40.) Namun jika “biri-biri lain” mahu diselamatkan, mereka perlu menyokong “saudara” Kristus terurap yang masih berada di bumi. (Mat. 25:34-40) Sekarang, mari kita bincangkan harapan golongan terurap.
HARAPAN KAUM TERURAP “YANG KUKUH”
3, 4. Bagaimakah golongan terurap mengalami “hidup yang baru,” dan apakah harapan mereka?
3 Rasul Petrus menulis dua pucuk surat kepada ‘umat pilihan Tuhan,’ iaitu kaum terurap. (1 Ptr. 1:1) Dia menulis tentang harapan mereka dengan terperinci, ‘Marilah kita bersyukur kepada Tuhan, Bapa Tuan kita Yesus Kristus! Kerana Dia sangat mengasihani kita, Dia mengurniai kita hidup yang baru, dengan membangkitkan Yesus Kristus daripada kematian. Hal ini memberikan harapan yang kukuh kepada kita. Oleh itu, kita berharap untuk memiliki berkat-berkat yang disediakan oleh Tuhan bagi umat-Nya. Berkat-berkat itu disimpan-Nya di syurga, supaya tidak dapat rosak, reput, ataupun musnah. Berkat-berkat itu untuk kamu kerana kamu percaya kepada Tuhan. Oleh itu kamu dipelihara oleh kuasa Tuhan supaya kamu menerima penyelamatan yang siap dinyatakan pada akhir zaman. Oleh itu hendaklah kamu bersukacita.’—1 Ptr. 1:3-6, ABB.
4 Orang Kristian yang terhad bilangannya akan mengalami “hidup yang baru” sebagai anak-anak Tuhan yang diurapi oleh daya aktif-Nya. Mereka dipilih oleh Yehuwa untuk menjadi raja dan imam bersama Kristus di syurga. (Why. 20:6) Petrus menyatakan bahawa “hidup yang baru” ini membolehkan mereka menikmati “harapan yang kukuh” di syurga, iaitu harapan yang “tidak dapat rosak, reput, ataupun musnah.” Sudah tentu golongan terurap bersukacita! Tetapi harapan ini dapat diraih hanya jika mereka tetap setia.
5, 6. Apakah gesaan Petrus kepada orang Kristian terurap, dan mengapa?
5 Dalam suratnya yang kedua, Petrus menggesa orang Kristian terurap, ‘Berusahalah lebih keras lagi supaya panggilan Tuhan dan pilihan-Nya atas diri kamu itu menjadi suatu pengalaman yang kekal.’ (2 Ptr. 1:10) Mereka perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memupuk iman, kasih mendalam kepada Tuhan, dan kasih terhadap saudara seiman. Petrus berkata, “Jika kamu memilikinya dengan berlimpah-limpah, hidup kamu akan bermakna dan berguna.”—Baca 2 Petrus 1:5-8.
6 Selepas Yesus dibangkitkan, dia berkata kepada para penatua terurap di Filadelfia, Asia Kecil, ‘Kerana kamu menurut perintahku supaya tabah ketika menanggung penderitaan, aku pun akan menyelamatkan kamu daripada masa kesusahan yang akan menimpa seluruh dunia untuk menguji semua orang di bumi. Aku akan segera datang! Jagalah baik-baik apa yang kamu miliki, supaya tidak seorang pun merampas hadiah kemenangan kamu.’ (Why. 3:10, 11, ABB) Seorang Kristian terurap hanya akan menerima “mahkota yang mulia dan kekal” jika dia tetap setia kepada Tuhan hingga akhir hayatnya di bumi.—1 Ptr. 5:4; Why. 2:10.
JALAN MASUK KE SYURGA
7. Apakah yang dinyatakan Yudas tentang harapan bagi golongan terurap?
7 Sekitar tahun 65 M, Yudas, iaitu saudara Yesus menulis kepada “mereka yang telah dipanggil,” atau orang terurap. (Yud. 1; bandingkan Ibrani 3:1.) Dia berniat untuk menulis kepada mereka tentang penyelamatan yang mereka “alami bersama.” (Yud. 3) Tetapi dia terpaksa menulis tentang banyak isu penting yang lain. Pada akhir suratnya yang pendek, dia berkata tentang harapan orang terurap, ‘Tuhan, yang dapat menjaga kamu supaya tetap beriman, dan yang dapat membawa kamu ke hadirat-Nya yang mulia dengan sukacita dan tanpa cela, Dialah satu-satunya Tuhan, Penyelamat kita melalui Yesus Kristus Tuan kita. Dialah Tuhan yang mulia, agung, berkuasa, dan berwibawa sejak dahulu kala sehingga sekarang dan selama-lamanya!’—Yud. 24, 25, ABB.
8. Selaras dengan apa yang dinyatakan di Yudas 24, bagaimanakah kita tahu bahawa “di syurga ada kegembiraan” semasa orang terurap membuktikan integritinya?
8 Sudah tentu, orang terurap ingin tetap beriman dan tidak dibinasakan. Harapan mereka adalah untuk dibangkitkan ke syurga selepas mereka mati dan menghadap takhta Tuhan dalam keadaan sempurna. Apabila seorang Kristian terurap yang setia mati, dia pasti dihidupkan semula dalam “tubuh rohani,” dan akan “hidup selama-lamanya.” (1 Kor. 15:42-44) Jika ‘di syurga ada kegembiraan yang besar kerana seorang berdosa bertaubat,’ bayangkanlah kegembiraan di syurga apabila seorang saudara Kristus menghabiskan hayatnya di bumi dengan setia! (Luk. 15:7) Apabila seorang Kristian terurap menerima harapannya di syurga “dengan sukacita,” Yehuwa dan malaikat akan turut bersukacita.—Baca 1 Yohanes 3:2.
9. Apakah maksud kata-kata Petrus di 2 Petrus 1:10, 11? Bagaimanakah harapan ini mempengaruhi tekad orang terurap yang masih di bumi?
9 Seperti Yudas, Petrus menulis kepada orang Kristian terurap tentang berkat yang boleh dinikmati oleh mereka. Jika mereka setia, mereka ‘akan diberikan hak sepenuhnya untuk menikmati Pemerintahan kekal daripada Tuan dan Penyelamat kita Yesus Kristus.’ (2 Ptr. 1:10, 11) Apakah maksud kata-kata Petrus? Mungkin Petrus merujuk kepada harapan mulia apabila mereka pergi ke syurga. Atau dia sedang merujuk kepada berkat melimpah yang akan diterima mereka di syurga. Ketika itu orang terurap pasti bergembira dan berasa bangga kerana mereka telah mengekalkan kesetiaan kepada Tuhan. Harapan inilah yang menguatkan tekad mereka untuk tetap setia semasa mereka masih di bumi.—1 Ptr. 1:13.
HARAPAN UNTUK BIRI-BIRI LAIN
10, 11. (a) Apakah harapan bagi biri-biri lain? (b) Apakah kaitan antara penggenapan harapan ini dengan Kristus dan masanya ‘Tuhan menunjukkan anak-anak-Nya’?
10 Rasul Paulus menulis tentang harapan ‘anak-anak Tuhan’ yang akan memerintah ‘bersama Kristus.’ Kemudian mengenai harapan bagi biri-biri lain, dia menulis, ‘Dengan penuh kerinduan, alam semesta [umat manusia] menanti-nantikan masanya Tuhan menunjukkan anak-anak-Nya [golongan terurap]. Alam semesta sudah dibiarkan menjadi sia-sia, bukan kerana kehendak sendiri, tetapi kerana Tuhan menetapkannya demikian. Meskipun demikian ada juga harapan bahawa pada suatu hari alam semesta akan dibebaskan daripada kuasa yang menghancurkannya, lalu menikmati kebebasan dan kemuliaan dengan anak-anak Tuhan.’—Rm. 8:14-21, ABB.
11 Umat manusia ‘ada harapan’ kerana Yehuwa menjanjikan pembebasan daripada “ular tua,” iaitu Syaitan Si Iblis, melalui benih yang dijanjikan. (Why. 12:9; Kej. 3:15) Bahagian utama benih itu ialah Yesus, dan bahagian sekunder merujuk kepada kaum terurap. (Gal. 3:16) Yesus telah menyediakan dasar bagi harapan manusia untuk dibebaskan dari dosa dan kematian melalui korban tebusannya. Penggenapan harapan ini ada kaitan dengan masanya ‘Tuhan menunjukkan anak-anak-Nya.’ Hal ini akan berlaku semasa ‘anak-anak Tuhan’ membantu Kristus untuk membinasakan sistem Syaitan yang fasiq. (Why. 2:26-28) Dengan itu, biri-biri lain dapat selamat mengharungi kesengsaraan besar.—Why. 7:9, 10, 14.
12. Apakah manfaatnya bagi umat manusia semasa ‘Tuhan menunjukkan anak-anak-Nya’?
12 Alangkah besarnya kelegaan yang akan dinikmati oleh biri-biri lain semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus! Pada masa itu, ‘Tuhan akan menunjukkan anak-anak-Nya’ sekali lagi apabila mereka menjadi imam bersama Kristus dan umat manusia akan memanfaatkan korban tebusan Kristus. Sebagai rakyat Kerajaan Tuhan, umat manusia akan secara beransur-ansur “dibebaskan daripada kuasa yang menghancurkannya,” dan tidak lagi dibelenggu dosa dan kematian. Jika mereka tetap setia kepada Yehuwa dan setia menghadapi ujian terakhir pada hujung Seribu Tahun, nama mereka akan terukir buat selama-lamanya pada “Kitab Orang Hidup.” Mereka akan berpeluang untuk menikmati kebebasan dan kemuliaan sebagai anak-anak Tuhan. (Why. 20:7, 8, 11, 12) Inilah harapan sejati yang dinantikan!
PASTIKAN HARAPAN KITA KUKUH
13. Apakah dasar harapan kita, dan apakah akan berlaku apabila “Kristus datang kembali”?
13 Surat-surat Petrus menawarkan banyak pedoman kepada kaum terurap dan biri-biri lain untuk memastikan harapan mereka kukuh dan terang menyala. Dia mengingatkan mereka bahawa dasar harapan mereka ialah berkat daripada Tuhan dan bukannya perbuatan sendiri. Paulus juga berkata, “Berwaspadalah dan berharaplah dengan sepenuhnya akan berkat yang diberikan kepada kamu apabila Yesus Kristus datang kembali.” (1 Ptr. 1:13) Semasa “Kristus datang kembali” dia akan memberikan ganjaran kepada pengikutnya yang setia dan menghukum orang yang fasiq dan ingkar.—Baca 2 Tesalonika 1:6-10.
14, 15. (a) Untuk memastikan bahawa harapan kita kukuh, tumpuan kita harus berpusat pada apa? (b) Apakah nasihat yang diberikan Petrus?
14 Untuk memastikan bahawa harapan kita kukuh, tumpuan kita harus berpusat pada ‘Hari apabila Tuhan mengadili dunia.’ Kehidupan kita harus mencerminkan hal ini. Hari itu akan membawa pemusnahan “langit,” iaitu pemerintahan manusia sekarang, dan 2 Ptr. 3:10-12.
pemusnahan “bumi,” masyarakat yang fasiq serta “benda-benda” dalamnya. Petrus menulis, “Bagaimanakah seharusnya kamu hidup? . . . Sementara kamu menantikan Hari apabila [Tuhan] mengadili dunia. Hendaklah kamu berusaha sebaik-baiknya . . . Pada Hari itu langit akan terbakar dan musnah, dan benda-benda di langit akan lebur kerana bahangnya.”—15 “Langit” dan “bumi” sekarang akan digantikan dengan “langit baru [Kerajaan Kristus] dan bumi baru [masyarakat baru di bumi].” (2 Ptr. 3:13) Kepada mereka yang sedang “menantikan” dunia baru yang dijanjikan, Petrus memberikan nasihat berikut: ‘Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, sementara kamu menantikan Hari itu, berusahalah sebaik-baiknya supaya kamu hidup suci dan tidak bercela di sisi Tuhan.’—2 Ptr. 3:14, ABB.
HIDUP SELARAS DENGAN HARAPAN KITA
16, 17. (a) Bagaimanakah kita dapat “hidup suci” dan hidup ‘khas untuk Tuhan’? (b) Bagaimanakah harapan kita akan menjadi kenyataan?
16 Kita bukan sahaja perlu memastikan bahawa harapan kita kukuh, tetapi kita perlu hidup selaras dengan harapan itu. Kita harus menjaga kerohanian kita. Ungkapan “hidup suci” bermaksud kita perlu ‘berkelakuan baik’ dari segi moral. (2 Ptr. 3:11; 1 Ptr. 2:12) Kita mesti “saling mengasihi.” Hal ini merangkumi usaha untuk mengekalkan perpaduan Kristian sedunia, dan perpaduan dalam sidang sendiri. (Yoh. 13:35) Kita juga harus hidup ‘khas untuk Tuhan’ dengan mempererat hubungan dengan-Nya. Bagaimana? Dengan memeriksa mutu doa, membaca Bible setiap hari, melakukan pembelajaran peribadi dan perenungan, mengadakan penyembahan keluarga, dan menyertai kerja penyebaran.—Mat. 24:14.
17 Tentu kita ingin menjadi orang yang disenangi dan diselamatkan Yehuwa semasa sistem fasiq ini “terbakar dan musnah.” Memandangkan ‘Tuhan tidak berdusta,’ harapan kita untuk “menerima hidup sejati dan kekal” tentu akan menjadi kenyataan!—Tit. 1:2.
[Soalan Pembelajaran]
[Gambar pada muka surat 22]
Orang Kristian terurap dikurniai “hidup yang baru” untuk menikmati harapan mereka
[Gambar pada muka surat 24]
Pastikan harapan keluarga anda kukuh dan terang menyala