Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Janganlah “Menoleh ke Belakang”

Janganlah “Menoleh ke Belakang”

Janganlah “Menoleh ke Belakang”

‘Orang yang mula membajak, tetapi selalu menoleh ke belakang, tidak layak menikmati Pemerintahan Tuhan.’​—LUK. 9:62.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

Mengapakah kita mesti ‘ingat akan apa yang sudah berlaku terhadap isteri Lot’?

Kita tidak patut memusatkan fikiran pada tiga perkara. Namakannya.

Bagaimanakah kita boleh maju seiring organisasi Yehuwa?

1. Apakah amaran yang diberikan Yesus, dan apakah soalan yang timbul?

“INGATLAH akan apa yang sudah berlaku terhadap isteri Lot!” (Luk. 17:32, ABB) Amaran ini diberikan oleh Yesus Kristus kira-kira 2,000 tahun dahulu dan adalah sangat penting bagi kita hari ini. Tetapi, apakah maksud sebenar Yesus? Pendengar Yesus merupakan orang Yahudi dan mereka tahu apa yang telah berlaku kepada isteri Lot. Semasa melarikan diri dari Sodom bersama keluarganya, isteri Lot telah mengingkari Tuhan dan menoleh ke belakang lalu menjadi tiang garam.​—Baca Kejadian 19:17, 26.

2. Mengapakah isteri Lot menoleh ke belakang, dan apakah yang berlaku kepadanya?

2 Jadi mengapakah isteri Lot menoleh ke belakang? Adakah dia ingin melihat apa yang sedang berlaku? Atau adakah dia kurang percaya terhadap apa yang berlaku? Mungkinkah imannya lemah? Mungkinkah dia menoleh untuk melihat benda-benda yang terpaksa ditinggalkannya? (Luk. 17:31) Tidak kira apa jawapannya, keingkarannya telah menyebabkan dia kehilangan nyawa. Dia telah mati pada hari yang sama orang fasiq di Sodom dan Gomora mati! Itulah sebabnya Yesus berkata, “Ingatlah akan apa yang sudah berlaku terhadap isteri Lot!”

3. Bagaimanakah Yesus menegaskan bahawa kita tidak patut “menoleh ke belakang”?

3 Hari ini, adalah sangat penting supaya kita tidak “menoleh ke belakang.” Yesus telah menegaskan perkara ini semasa menjawab seorang lelaki yang ingin mengucapkan selamat tinggal kepada keluarganya sebelum menjadi pengikut Yesus. Yesus berkata, ‘Orang yang mula membajak, tetapi selalu menoleh ke belakang, tidak layak menikmati Pemerintahan Tuhan.’ (Luk. 9:62) Adakah jawapan Yesus kasar atau tidak munasabah? Tidak, kerana dia tahu bahawa lelaki itu hanya bertangguh-tangguh dan mencari alasan untuk mengelakkan tanggungjawab. Yesus menerangkan bahawa tindakannya bagaikan seorang yang “menoleh ke belakang” semasa membajak. Ya, kerja seorang pembajak akan terjejas, tidak kira sama ada dia hanya menoleh ke belakang buat sementara waktu atau menghentikan kerjanya lalu berpaling ke belakang.

4. Kita perlu berfokus pada apa?

4 Kita sepatutnya berfokus pada masa depan, bukannya pada masa lampau. Amsal 4:25 menggalakkan kita, “Pandanglah ke hadapan dengan keyakinan yang sungguh-sungguh.”

5. Mengapakah kita tidak patut menoleh ke belakang?

5 Mengapakah kita tidak patut menoleh ke belakang? Kerana kita sekarang hidup pada “hari-hari terakhir”! (2 Tim. 3:1) Tidak lama lagi, bukan dua kota sahaja yang akan musnah, tetapi seluruh dunia yang fasiq ini akan dibinasakan! Kita tidak mahu mengikut jejak isteri Lot. Jadi, apakah yang perlu kita lakukan? Pada mulanya, kita perlu mengenal pasti beberapa perkara yang boleh menggoda kita untuk menoleh ke belakang. (2 Kor. 2:11) Apakah perkara-perkara ini? Bagaimanakah kita boleh mengelakkannya? Mari kita bincangkannya.

KENANGAN MANIS

6. Mengapakah ingatan kita tidak boleh diharapkan dengan sepenuhnya?

6 Satu bahaya ialah pandangan bahawa masa lampau adalah sangat “indah.” Ingatan kita tidak boleh diharapkan dengan sepenuhnya. Tanpa disedari, kita mungkin melupakan masalah yang pernah dihadapi dan membesar-besarkan sukacita yang dinikmati. Oleh itu, masa silam dianggap lebih manis daripada hakikatnya. Tetapi pandangan ini salah. Bible memberikan amaran berikut: “Jangan sekali-kali bertanya, ‘Mengapakah keadaan dahulu lebih baik daripada sekarang?’ Pertanyaan itu bodoh!” (Pkh. 7:10, ABB) Mengapakah pemikiran sebegini sangat bahaya?

7-9. (a) Apakah yang berlaku kepada orang Israel di Mesir? (b) Mengapakah orang Israel boleh bergembira? (c) Mengapakah orang Israel mula bersungut?

7 Fikirlah tentang apa yang berlaku kepada orang Israel pada zaman Musa. Pada mulanya mereka dianggap sebagai tetamu di Mesir, tetapi selepas kematian Yusuf, orang Mesir telah “melantik beberapa orang pengerah abdi untuk menindas orang Israel dengan kerja paksa.” (Kel. 1:11) Bahkan Firaun telah mengeluarkan arahan untuk membunuh semua bayi lelaki supaya bilangan mereka tidak bertambah. (Kel. 1:15, 16, 22) Yehuwa berkata kepada Musa, “Aku telah melihat betapa kejamnya umat-Ku dianiaya di Mesir; Aku telah mendengar seruan mereka mohon dibebaskan daripada pengerah-pengerah abdi. Sesungguhnya, Aku tahu akan segala penderitaan mereka.”​—Kel. 3:7, ABB.

8 Bolehkah anda bayangkan betapa gembiranya umat Israel seraya mereka keluar dari Mesir? Mereka tidak perlu menjadi hamba lagi. Yehuwa telah membawa mereka keluar dalam cara yang sungguh menakjubkan. Mereka telah menyaksikan kuasa Yehuwa semasa Sepuluh Tulah menimpa Firaun dan orang Mesir. (Baca Keluaran 5:23; 6:5, 6.) Sebenarnya, orang Mesir bukan sahaja membenarkan orang Israel pergi. Tetapi mereka mendesak orang Israel untuk meninggalkan Mesir, serta memberi mereka banyak barang emas dan perak sehingga boleh dikatakan bahawa umat Tuhan telah “merampas kekayaan orang Mesir.” (Kel. 12:33-36) Orang Israel juga telah bersukacita apabila melihat Firaun dan angkatan tenteranya mati lemas di Laut Merah. (Kel. 14:30, 31) Bukankah iman orang Israel diperkukuh apabila melihat semua kejadian ini?

9 Tetapi tidak lama kemudian, orang Israel berasa tidak gembira dan mula bersungut-sungut. Mengapa? Kerana makanan! Mereka tidak puas dengan makanan yang diberikan Yehuwa. Jadi mereka merungut, “Di Mesir, kita dapat makan ikan sebanyak yang kita mahu tanpa membayar apa-apa. Kita masih ingat akan timun, tembikai, bawang kucai, bawang merah, dan bawang putih di sana. Tetapi sekarang kita kehabisan tenaga kerana tidak ada makanan lain kecuali manna tiap-tiap hari.” (Bil. 11:5, 6, ABB) Ya, pandangan dan pemikiran yang salah mula menguasai mereka sehinggakan mereka ingin kembali ke Mesir sebagai hamba! (Bil. 14:2-4) Mereka telah “menoleh ke belakang,” lalu tidak lagi diperkenankan Yehuwa.​—Bil. 11:10.

10. Apakah pengajaran yang boleh kita ambil daripada contoh orang Israel?

10 Apakah pengajarannya bagi kita? Apabila menghadapi masalah, janganlah berkhayal tentang betapa indahnya masa silam, mungkin masa sebelum kita memeluk kebenaran. Memang tidak salah untuk mengenang dan mengambil pelajaran daripada pengalaman masa silam, namun kita perlu seimbang dan mempunyai pandangan yang realistik. Kalau tidak, kita mungkin jelak dengan situasi yang dihadapi sekarang dan digoda untuk kembali kepada gaya hidup lama.​—Baca 2 Petrus 2:20-22.

PENGORBANAN MASA LAMPAU

11. Apakah pandangan sesetengah orang terhadap pengorbanan yang dibuat pada masa lampau?

11 Malangnya, ada yang berasa rugi kerana telah membuat pengorbanan pada masa silam. Mungkin anda telah menolak peluang untuk mendapatkan pendidikan tinggi, menjadi masyhur, atau menjadi kaya. Ramai saudara saudari telah meninggalkan pekerjaan dalam bidang perniagaan, hiburan, pendidikan, atau sukan yang membayar gaji lumayan. Masa telah berlalu, tetapi akhir dunia masih belum tiba. Adakah anda menyesali pengorbanan yang telah dibuat?

12. Apakah perasaan Paulus tentang perkara-perkara yang telah ditinggalkannya?

12 Rasul Paulus telah membuat banyak pengorbanan untuk menjadi pengikut Kristus. (Flp. 3:4-6) Apakah perasaannya terhadap pengorbanan yang dibuat? Dia berkata, “Kerana apa yang sudah dilakukan oleh Kristus bagiku, semua yang dahulu aku anggap sebagai menguntungkan, kini merugikan.” Mengapa? Katanya, ‘Aku mendapat apa yang jauh lebih menguntungkan, iaitu mengenal Kristus Yesus sebagai Tuanku. Kerana Kristus, aku telah meninggalkan segala perkara yang biasa aku lakukan. Aku menganggap semua itu sebagai sampah sahaja, supaya aku boleh mendapat Kristus.’ * (Flp. 3:7, 8, ABB) Sebagaimana kita tidak rindu akan sampah yang telah dibuang, Paulus juga tidak rindu akan peluang-peluang yang ditawarkan dunia. Baginya, semua itu seperti sampah yang tidak bernilai.

13, 14. Bagaimanakah kita boleh meniru teladan Paulus?

13 Apakah yang dapat membantu kita jika kita mula berkhayal dan berasa kesal kerana telah melepaskan peluang “keemasan” pada masa lampau? Ikutlah contoh Paulus. Fikirkanlah perkara-perkara yang anda nikmati sekarang, seperti hubungan baik dengan Tuhan dan kesetiaan anda selama bertahun-tahun. (Ibr. 6:10) Apa yang ditawarkan oleh dunia ini tidak boleh dibandingkan dengan berkat rohani yang dinikmati sekarang dan pada masa hadapan!​—Baca Markus 10:28-30.

14 Seterusnya Paulus menyatakan bahawa dia “melupakan apa yang di belakang dan berusaha dengan gigih untuk mencapai apa yang di hadapan.” (Flp. 3:13) Paulus menyebut dua langkah yang penting. Pertama kita mesti melupakan perkara yang ditinggalkan. Maksudnya kita tidak akan menghabiskan masa dan tenaga memikirkan perkara-perkara lampau. Kedua, kita mesti gigih mencapai apa yang di hadapan, seperti seorang pelari yang menumpukan perhatian pada garisan penamat.

15. Apakah manfaatnya jika kita merenungkan contoh hamba Tuhan yang setia?

15 Jika kita merenungkan contoh-contoh hamba Tuhan yang hidup sekarang atau pada masa dahulu, kita akan dibantu untuk menumpukan perhatian pada apa yang bakal berlaku, bukan pada apa yang telah pun berlaku. Sebagai contoh, jika Abraham dan Sara asyik berfikir tentang Ur, mereka mungkin “kembali ke negeri itu.” Tetapi mereka tidak berbuat demikian. (Ibr. 11:13-15) Apa yang ditinggalkan oleh Musa di Mesir jauh lebih bernilai daripada apa yang ditinggalkan oleh orang Israel lain. Namun, Musa tidak merindukan perkara-perkara itu. Sebaliknya Bible memberitahu kita, ‘Musa berpendapat bahawa jauh lebih berharga menanggung hinaan bagi Penyelamat yang diutus oleh Tuhan daripada mendapat segala harta negeri Mesir, kerana Musa mengharapkan pahala pada masa yang akan datang.’​—Ibr. 11:26, ABB.

PENGALAMAN BURUK

16. Bagaimanakah pengalaman buruk pada masa lampau boleh mempengaruhi kita?

16 Bukan semua pengalaman lampau merupakan kenangan manis. Mungkin kita masih dihantui dosa atau kesalahan yang dilakukan dahulu. (Mzm. 51:5) Atau kita mungkin masih susah hati kerana pernah ditegur. (Ibr. 12:11) Kita juga mungkin masih memikirkan masanya kita tidak dilayan dengan adil. (Mzm. 55:3) Bagaimanakah kita boleh memastikan bahawa kita tidak memusatkan fikiran pada pengalaman sebegini? Mari kita bincangkan tiga contoh.

17. (a) Mengapakah Paulus memanggil dirinya ‘orang yang paling hina antara umat Tuhan’? (b) Apakah yang membantu Paulus untuk tidak berfokus pada masa lampau yang buruk?

17 Dosa lampau. Paulus berkata mengenai dirinya, ‘Akulah yang paling hina antara umat Tuhan.’ (Ef. 3:8) Mengapa? ‘Kerana aku sudah menganiaya jemaah Tuhan,’ katanya. (1 Kor. 15:9) Bolehkah anda bayangkan perasaan Paulus semasa dia berjumpa dengan orang yang pernah dianiayainya? Walaupun begitu, Paulus tidak berputus asa akibat masa lampau yang buruk. Sebaliknya dia bertumpu pada belas kasihan Tuhan. (1 Tim. 1:12-16) Rasa syukur yang bertumbuh di hati menggerakkannya untuk menjalankan kerja penyebaran dengan bersemangat. Ya, dia telah bertekad untuk melupakan haluan hidupnya yang lama. Kesilapan pada masa silam tidak boleh diubah. Kita hanya membuang tenaga jika asyik memikirkannya. Sebaliknya kita boleh berfokus pada belas kasihan Tuhan dan kerja penyebaran.

18. (a) Apakah yang mungkin berlaku jika kita memendam perasaan negatif terhadap teguran yang pernah diterima? (b) Bagaimanakah kita boleh menerapkan nasihat Salomo?

18 Teguran yang menusuk hati. Bagaimana pula jika kita pernah menerima teguran yang menusuk hati? Kita mungkin masih berasa susah hati atau “kecil hati.” (Ibr. 12:5) Tidak kira sama ada kita tidak mengendahkan nasihat yang diberikan atau berasa kecil hati lalu berputus asa, hasilnya sama sahaja—kita tidak dapat meraih manfaat daripada nasihat yang dapat “mengasah” kita. Adalah lebih baik untuk mengikut kata-kata Salomo, “Hendaklah kamu sentiasa ingat akan ajaran yang telah kamu terima daripadaku. Jagalah ajaran itu baik-baik, kerana dengan ajaran itu hidupmu akan berhasil.” (Ams. 4:13, ABB) Seperti seorang pemandu yang mematuhi papan tanda, terimalah teguran, terapkannya, dan maralah ke depan.​—Ams. 4:26, 27; baca Ibrani 12:12, 13.

19. Bagaimanakah kita boleh meniru iman Habakuk dan Yeremia?

19 Ketidakadilan​—yang dibayangkan atau yang sebenar. Kadangkala kita mungkin berasa seperti nabi Habakuk yang menyeru kepada Yehuwa untuk meminta keadilan. Dia tidak memahami mengapa Yehuwa mengizinkan ketidakadilan untuk berlaku. (Hab. 1:2, 3) Namun dia tetap beriman dan berkata, ‘Aku akan bersukacita dan bergembira selalu, kerana Engkau Yehuwa, Tuhan yang menyelamatkan aku.’ (Hab. 3:18) Seperti nabi Yeremia, kita juga boleh “berharap kepada-Nya” dan percaya bahawa Tuhan akan membetulkan semua perkara pada masa yang sesuai.​—Rat. 3:19-24.

20. Bagaimanakah kita ‘ingat akan apa yang sudah berlaku terhadap isteri Lot’?

20 Kita hidup pada masa yang sungguh mendebarkan. Banyak perkara yang menakjubkan sedang berlaku dan akan berlaku! Untuk maju seiring organisasi Yehuwa, marilah kita terapkan nasihat Bible untuk terus mara ke depan dan tidak menoleh ke belakang. Dengan berbuat demikian, kita membuktikan bahawa kita ‘ingat akan apa yang sudah berlaku terhadap isteri Lot!’

[Nota kaki]

^ per. 12 Dalam bahasa asal, perkataan yang diterjemahkan sebagai “sampah” juga bererti apa yang “dibuang kepada anjing,” “tinja,” “tahi.” Menurut seorang cendekiawan Bible, perkataan ini menunjukkan “tekad seseorang untuk berpaling daripada sesuatu yang tidak bernilai. Dia begitu membenci perkara itu sehingga tidak mahu mempunyai apa-apa kaitan dengannya.”

[Soalan Pembelajaran]