Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kekalkanlah Perasaan Mendesak

Kekalkanlah Perasaan Mendesak

Kekalkanlah Perasaan Mendesak

‘Khabarkan berita daripada Tuhan dan sentiasa bertekun untuk mengisytiharkannya.’​—2 TIM. 4:2.

BOLEHKAH ANDA JELASKAN?

Mengapakah orang Kristian abad pertama menginjil dengan perasaan mendesak?

Bagaimanakah kita boleh mengekalkan perasaan mendesak?

Mengapakah sekaranglah masanya untuk menyerantakan berita baik dengan perasaan mendesak?

1, 2. Apakah soalan-soalan yang timbul mengenai perintah untuk menginjil dengan perasaan mendesak?

ORANG yang bekerja untuk menyelamatkan nyawa orang lain, seperti ahli bomba, perlu memiliki perasaan mendesak. Contohnya, mereka akan bergegas ke tempat kejadian kerana nyawa orang mungkin terancam.

2 Sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, kita mahu menyelamatkan nyawa orang. Maka kita memandang serius perintah untuk menginjil. Tetapi perlukah kita sentiasa berasa cemas? Tidak. Jadi apakah maksud Paulus apabila dia menyuruh orang Kristian untuk menginjil dengan tekun, atau dengan perasaan mendesak? (2 Tim. 4:2) Bagaimanakah kita boleh menginjil dengan perasaan mendesak? Mengapakah kerja menginjil sungguh penting?

MENGAPAKAH MENGINJIL SANGAT PENTING?

3. Apakah kesudahannya bagi orang yang menerima atau menolak kebenaran?

3 Mengapakah kita menginjil dengan perasaan mendesak? Kerana hidup mati orang terlibat. (Rm. 10:13, 14) Tuhan berfirman, “Aku mungkin memberikan amaran kepada orang jahat bahawa mereka akan mati. Tetapi jika mereka berhenti berdosa lalu melakukan apa yang baik dan benar . . . mereka tidak akan mati tetapi akan hidup. Aku akan mengampunkan dosa-dosa yang telah dilakukan mereka.” (Yeh. 33:14-16, ABB) Ya, Bible memberitahu penyebar berita baik, “Engkau akan menyelamatkan baik dirimu sendiri mahupun orang yang mendengar engkau.”​—1 Tim. 4:16; Yeh. 3:17-21.

4. Apakah kaitan perasaan mendesak dengan kemunculan orang murtad pada abad pertama?

4 Untuk memahami mengapa Paulus menggesa Timotius untuk menginjil dengan perasaan mendesak, mari kita lihat konteks ayat tema rencana ini: ‘Khabarkan berita daripada Tuhan dan sentiasa bertekun untuk mengisytiharkannya, baik masanya tepat atau tidak. Hendaklah engkau meyakinkan orang, menunjukkan kesalahan mereka dan memberikan galakan kepada mereka. Ajarlah orang dengan segala kesabaran. Akan tiba masanya apabila orang tidak mahu mendengar ajaran yang benar. Mereka akan menuruti keinginan sendiri dan mengumpulkan banyak guru yang mahu mengajar perkara-perkara yang ingin didengar oleh mereka. Mereka akan menutup telinga terhadap apa yang benar.’ (2 Tim. 4:2-4, ABB) Sebelum ini, Yesus telah bernubuat tentang kemunculan orang murtad. (Mat. 13:24, 25, 38) Sekarang Timotius perlu ‘mengkhabarkan berita daripada Tuhan’ dengan perasaan mendesak kepada mereka di dalam sidang agar tidak digoda oleh ajaran murtad. Ya, hidup mati orang terlibat. Bagaimana pula dewasa ini?

5, 6. Apakah antara ajaran popular hari ini?

5 Hari ini, ajaran murtad semakin menular. (2 Tes. 2:3, 8) Apakah ajaran murtad yang suka didengari orang? Walaupun evolusi merupakan teori sains, evolusi sangat digalakkan dan umpama agama yang mempengaruhi tanggapan orang terhadap Tuhan dan orang lain. Satu lagi ajaran popular ialah: Tuhan tidak mengambil berat tentang manusia, maka kita tidak perlu mengendahkan-Nya. Mengapakah kedua-dua ajaran ini begitu berkesan sehingga menyebabkan ribuan orang tidur secara rohani? Kerana mesej tersiratnya ialah, “Kita boleh melakukan apa sahaja yang diinginkan kerana Tuhan tidak peduli.”​—Baca Mazmur 10:4.

6 Ajaran lain yang digalakkan ialah: Tuhan Maha Pengasih, jadi kita dapat membuat apa sahaja. Paderi dan pastor juga mengajar bahawa upacara, Misa, pesta, dan penggunaan imej atau lambang akan membawa berkat. Malangnya, orang yang percaya ajaran sebegini tidak sedar bahawa nyawa mereka terancam. (Mzm. 115:4-8) Namun jika mereka mengetahui kebenaran Bible dan bangun daripada tidur rohani, mereka berpeluang untuk menikmati berkat Kerajaan Tuhan.

CARA MENUNJUKKAN PERASAAN MENDESAK

7. Bagaimanakah kita menunjukkan perasaan mendesak semasa menginjil?

7 Seorang pakar bedah mesti memberikan perhatian penuh pada kerjanya. Kita juga perlu memberikan perhatian penuh pada kerja penyebaran. Bagaimana? Kita boleh merenungkan isu-isu, soalan, atau maklumat lain yang akan membangkitkan minat penghuni rumah. Perasaan mendesak juga akan mendorong kita untuk menyelaraskan jadual agar dapat mengunjungi orang semasa mereka lebih rela mendengar.​—Rm. 1:15, 16; 1 Tim. 4:16.

8. Apakah satu lagi cara kita boleh menunjukkan perasaan mendesak?

8 Perasaan mendesak juga mendorong kita untuk mengkaji keutamaan hidup kita. (Baca Kejadian 19:15.) Bayangkanlah anda berada dalam bilik doktor selepas menerima keputusan ujian kesihatan. Dia berkata, “Kamu menghidap penyakit yang serius. Kamu harus melakukan sesuatu dalam jangka masa sebulan supaya kamu pulih!” Adakah anda akan bergegas keluar dari bilik doktor seperti seorang ahli bomba yang mendapat panggilan kecemasan? Tidak. Besar kemungkinan anda akan meminta nasihat doktor dan berfikir dengan serius tentang keutamaan hidup anda.

9. Bagaimanakah kita tahu bahawa Paulus menginjil dengan perasaan mendesak apabila dia berada di Efesus?

9 Kata-kata Paulus kepada para penatua di Efesus menunjukkan bahawa dia mempunyai perasaan mendesak. (Baca Kisah 20:18-21.) Nampaknya sejak hari pertama dia tiba di daerah Asia, dia sibuk menginjil dari rumah ke rumah. Tambahan lagi, selama dua tahun dia telah ‘mengadakan perbincangan di dewan syarahan Tiranus setiap hari.’ (Kis. 19:1, 8-10) Ya, perasaan mendesak telah mempengaruhi jadual harian Paulus. Bagaimana pula dengan kita? Walaupun kita tidak perlu diselubungi perasaan cemas, kita perlu mengutamakan kerja penyebaran.

10. Bagaimanakah orang Kristian yang menunjukkan perasaan mendesak kira-kira 100 tahun lalu mempengaruhi hidup kita hari ini?

10 Pelajar Bible (nama lama Saksi-Saksi Yehuwa) yang menyerantakan berita baik sebelum tahun 1914 jelas menunjukkan bagaimana mereka memperlihatkan perasaan mendesak. Walaupun jumlah mereka kecil, mereka menginjil dengan bersemangat. Mereka telah menyiarkan mesej Bible dalam lebih daripada 2,000 surat khabar dan menayangkan “Drama Foto Penciptaan” yang menggunakan slaid berwarna serta filem. Dengan ini, mereka telah menginjil kepada jutaan orang. Jika mereka tidak menunjukkan perasaan mendesak, mungkinkah kita berpeluang untuk memeluk kebenaran?​—Baca Mazmur 119:60.

JANGAN HILANG PERASAAN MENDESAK

11. Mengapakah sesetengah orang hilang perasaan mendesak?

11 Gangguan boleh menghalang kita daripada mengutamakan kerja penyebaran. Syaitan mahu kita bertumpu pada hal peribadi dan isu sampingan. (1 Ptr. 5:8; 1 Yoh. 2:15-17) Sesetengah orang yang dahulunya mengutamakan khidmat Tuhan telah kehilangan perasaan mendesak mereka. Contohnya, Demas, ‘rakan sekerja’ Paulus pada abad pertama hilang perasaan mendesak kerana digoda oleh sistem dunia ini. Demas meninggalkan Paulus semasa Paulus amat memerlukan bantuan.​—Flm. 23, 24; 2 Tim. 4:10.

12. Apakah peluang istimewa yang terbuka kepada kita sekarang, dan apakah peluang yang boleh dinikmati pada masa depan?

12 Jika kita ingin mengekalkan perasaan mendesak, kita perlu melawan godaan untuk melakukan kegiatan yang akan mengalihkan perhatian kita daripada kerja menginjil. Di dunia baru, kita berpeluang menceburi kegiatan-kegiatan yang digemari. Pada masa itu, kita akan menikmati “hidup sejati” buat selama-lamanya. (1 Tim. 6:18, 19) Tetapi sekarang kita mempunyai peluang untuk membantu orang selamat mengharungi Armagedon.

13. Sebagai orang Kristian, bagaimanakah kita dapat mengekalkan perasaan mendesak?

13 Memandangkan kebanyakan orang sedang tidur secara rohani, apakah yang dapat membantu kita mengekalkan perasaan mendesak? Ingatlah bahawa dulu kita tidur dalam kegelapan rohani, tetapi ‘Kristus telah menyinari kita.’ Jadi kini, kita berpeluang untuk bersinar sebagai penerang dalam dunia. (Baca Efesus 5:14.) Paulus berkata, “Perhatikanlah cara hidup kamu dengan baik. Janganlah hidup seperti orang bodoh, tetapi hiduplah seperti orang bijak. Setiap kali kamu berpeluang melakukan apa yang baik, gunakanlah peluang itu, kerana masa ini masa yang jahat.” (Ef. 5:15, 16, ABB) Semoga kita menggunakan setiap peluang untuk menjalankan aktiviti rohani yang membantu kita mengekalkan perasaan mendesak!

KITA HIDUP PADA MASA BERSEJARAH

14-16. Mengapakah kerja penyebaran amat penting sekarang?

14 Kerja penyebaran sangat penting, terutamanya sekarang. Sejak tahun 1914, tanda majmuk yang dinubuatkan dalam Bible menjadi semakin jelas. (Mat. 24:3-51) Meskipun banyak perjanjian damai telah dibuat, kuasa-kuasa besar di dunia masih memiliki lebih kurang 2,000 senjata nuklear yang boleh digunakan pada bila-bila masa. Ratusan laporan menyatakan bahawa bahan nuklear telah “hilang.” Mungkinkah pengganas memilikinya? Ada orang yang berkata bahawa umat manusia boleh lenyap binasa akibat perang yang dicetuskan oleh pengganas. Namun bukan perang sahaja yang menggugat kewujudan manusia.

15 “Perubahan cuaca merupakan ancaman kesihatan yang terbesar bagi orang yang hidup pada abad ke-21,” menurut laporan 2009 yang diterbitkan oleh The Lancet dan University College London. “Kesan buruk terhadap kesihatan akan dirasai oleh kebanyakan orang pada dekad-dekad yang berikut dan kesejahteraan hidup berbilion-bilion orang akan terjejas.” Antara masalah yang mungkin berlaku ialah aras laut yang semakin tinggi, kemarau, banjir, penyakit, taufan, dan perang akibat kekurangan sumber asas. Ya, peperangan dan bencana mengancam kesinambungan manusia.

16 Sesetengah orang percaya bahawa ancaman perang nuklear menandakan kemunculan “tanda majmuk.” Namun, sangkaan sebegini tidak tepat. Sebenarnya, tanda majmuk sudah kelihatan semenjak dekad-dekad yang lalu. Hal ini membuktikan bahawa kehadiran Kristus sudah bermula, dan akhir bakal menimpa. (Mat. 24:3) Ciri-ciri tanda majmuk kini jelas kelihatan. Inilah masanya untuk mengejutkan orang daripada tidur rohani! Bagaimana? Dengan menginjil kepada mereka.

17, 18. (a) Memandangkan kita hidup pada hari-hari terakhir, apakah yang perlu kita lakukan? (b) Apakah perkara-perkara yang mungkin mempengaruhi pandangan orang terhadap berita baik?

17 Kita hanya mempunyai masa yang singkat untuk membuktikan kasih kita kepada Yehuwa dan melaksanakan kerja menginjil pada hari-hari terakhir ini. Kata-kata Paulus kepada orang Kristian di Roma penting bagi kita hari ini. Dia berkata, “Kamu tahu bahawa inilah masanya kamu bangun daripada tidur. Hal itu demikian kerana masa kita diselamatkan lebih dekat sekarang ini daripada masa kita mula percaya.”​—Rm. 13:11.

18 Perkara yang berlaku pada hari-hari terakhir ini boleh merangsang orang untuk menyedari keperluan rohani mereka. Ada orang yang berminat dalam berita baik setelah memikirkan kegagalan kerajaan dunia untuk mengatasi masalah seperti kemerosotan ekonomi, ancaman nuklear, keganasan, jenayah, dan kemusnahan alam. Yang lain pula sedar akan keperluan rohani mereka apabila menghadapi masalah kesihatan, perceraian, dan kematian orang tersayang. Dengan menyertai kerja penyebaran, kita boleh membantu individu-individu sebegini.

DIDORONG OLEH PERASAAN MENDESAK

19, 20. Bagaimanakah perasaan mendesak mendorong ramai orang Kristian untuk menukar gaya hidup mereka?

19 Perasaan mendesak telah mendorong ramai orang Kristian untuk meningkatkan usaha mereka dalam kerja penyebaran. Contohnya, sepasang suami isteri di Ecuador telah membuat keputusan untuk menyederhanakan hidup mereka selepas menghadiri sebuah perhimpunan pada tahun 2006. Mereka menyenaraikan barang yang tidak diperlukan, dan dalam masa tiga bulan, mereka telah berpindah dari pangsapuri tiga bilik ke pangsapuri satu bilik, menjual sesetengah barang, dan melangsaikan semua hutang. Tidak lama kemudian mereka menjadi perintis sokongan. Seperti yang dicadangkan oleh penyelia litar, mereka juga berpindah ke sebuah sidang yang memerlukan lebih banyak penyiar.

20 Seorang saudara di Amerika Utara menulis, “Kami sudah dibaptis selama 30 tahun apabila kami menghadiri sebuah perhimpunan pada tahun 2006. Semasa memandu pulang dari perhimpunan itu, kami membincangkan cara menerapkan cadangan yang diberikan untuk menyederhanakan hidup kami. (Mat. 6:19-22) Pada masa itu, kami memiliki tanah, 3 buah rumah, beberapa kereta mewah, sebuah bot, dan sebuah rumah bergerak. Kami berasa bahawa kami telah membuang banyak masa dan tenaga. Jadi, kami memutuskan untuk menyertai khidmat sepenuh masa kerana tidak mahu menjadi seperti orang Kristian yang tidak bijak. Pada tahun 2008 kami menyertai anak perempuan kami sebagai perintis biasa. Kami sangat gembira kerana dapat meluangkan lebih banyak masa dengan saudara saudari dan menjadi lebih rapat dengan Yehuwa. Kami juga berpeluang untuk berkhidmat di tempat yang memerlukan lebih banyak bantuan. Kami berasa sangat gembira apabila melihat wajah orang berseri-seri semasa mereka mendengar dan memahami kebenaran Bible.”

21. Apakah yang mendorong kita untuk bertindak?

21 Kita tahu bahawa tidak lama lagi, “orang derhaka [akan] dihukum dan dibinasakan.” (2 Ptr. 3:7) Pengetahuan Bible mendorong kita untuk menginjil dengan bersemangat tentang kedatangan kesengsaraan besar yang akan disusuli dunia baru. Semoga kita menyebarkan harapan Kerajaan Tuhan dengan perasaan mendesak. Dengan berusaha sedaya-upaya dalam kerja penyebaran, kita membuktikan bahawa kita mengasihi Tuhan dan orang lain!

[Soalan Pembelajaran]