Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Bolehkah seorang Kristian yang terjebak dalam tabiat melihat pornografi, atau bahan lucah, disingkirkan daripada sidang?

▪ Ya, hal ini boleh berlaku. Itulah sebabnya kita mesti menghindari semua bentuk pornografi, sama ada dalam bentuk tulisan atau gambar, yang terdapat dalam majalah, filem, video, atau di Internet.

Pornografi terdapat di mana-mana sahaja. Internet memudahkan orang untuk melihat pornografi sehingga bilangan orang yang diserang wabak ini semakin meningkat. Orang dari pelbagai lapisan usia mungkin pernah melihat pornografi di Internet dengan tidak sengaja. Yang lain pula sengaja melihatnya dan mereka tidak malu berbuat demikian kerana mereka boleh melakukannya di rumah atau pejabat tanpa diketahui orang lain. Mengapakah pornografi berbahaya kepada orang Kristian?

Satu sebab yang penting terdapat dalam amaran Yesus: “Sesiapa memandang seorang wanita dengan perasaan berahi, orang itu sudah berzina dengan dia di dalam hati.” (Mat. 5:28) Hubungan seks antara suami isteri memang tidak salah dan membawa nikmat. (Ams. 5:15-19; 1 Kor. 7:2-5) Namun, pornografi berfokus pada seks tidak bermoral dan merangsang cara pemikiran yang dikutuk Yesus. Jelaslah, melihat atau membaca bahan lucah bertentangan dengan perintah Tuhan: “Matikanlah keinginan duniawi yang menguasai diri kamu, seperti perbuatan cabul, perkara yang tidak senonoh, hawa nafsu, keinginan yang jahat, dan ketamakan.”​—Kol. 3:5.

Apakah yang boleh berlaku jika seorang Kristian melihat pornografi sekali dua? Dia berada dalam situasi yang berbahaya seperti pemazmur Asaf. Katanya, “Hatiku bimbang, imanku hampir hilang.” Jika seorang Kristian melihat gambar orang bogel serta orang yang berbuat cabul, bolehkah dia mempunyai hati nurani yang bersih dan hubungan yang baik dengan Tuhan? Dia akan berasa seperti Asaf yang berkata, “Sepanjang hari aku menderita; setiap pagi aku diseksa.”​—Mzm. 73:2, 14, ABB.

Seorang Kristian yang terjebak dalam tabiat buruk ini harus sedar dan mengakui bahawa dia memerlukan bantuan rohani. Penatua sidang boleh membantunya. ‘Jika seseorang didapati melakukan sesuatu yang salah, hendaklah kamu yang hidup menurut pimpinan Roh [daya aktif] Tuhan, membimbing orang itu kembali kepada jalan benar. Tetapi kamu harus melakukannya dengan lemah lembut. Berwaspadalah, supaya kamu sendiri tidak tergoda untuk berbuat hal yang sama.’ (Gal. 6:1) Satu atau dua orang penatua boleh berdoa bagi orang Kristian itu dan berasa yakin bahawa Yehuwa akan ‘memulihkan kesihatannya dan dosanya akan diampunkan.’ (Yak. 5:13-15) Asaf meraih manfaat kerana mendekati Yehuwa. Jadi mereka yang menerima bantuan untuk menghentikan tabiat buruk ini dapat menikmati hubungan yang lebih baik dengan Tuhan.​—Mzm. 73:28.

Walau bagaimanapun, rasul Paulus berkata bahawa sesetengah pendosa “tidak bertaubat daripada perbuatan yang cabul [“najis,” NW], lucah, dan tidak senonoh.” * (2 Kor. 12:21) Menurut Profesor Marvin R. Vincent, perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “najis” bermaksud kotor atau menjijikkan. Sesetengah pornografi jauh lebih teruk daripada gambar orang bogel atau orang yang berbuat cabul. Pornografi yang menjijikkan dan meluat ini merangkumi hubungan sejenis, seks berkumpulan, seks dengan binatang, pornografi kanak-kanak, rogol beramai-ramai, kekejaman terhadap wanita, dan perbuatan menyeksa serta mengikat orang untuk kepuasan seksual. Sesetengah orang pada zaman Paulus “jahil dan degil,” dan “mereka tidak mempunyai perasaan malu lagi. Mereka menuruti segala hawa nafsu dan terus-menerus melakukan segala perkara yang tidak senonoh [“najis,” NW].”​—Ef. 4:18, 19, ABB.

Dalam bahasa asal, Paulus telah menggunakan perkataan “kenajisan” di Galatia 5:19. Seorang cendekiawan Inggeris berkata bahawa “kenajisan” dalam ayat ini merujuk kepada nafsu yang tidak normal. Sebagai orang Kristian, tidakkah anda setuju bahawa pornografi yang dinyatakan di atas sungguh menjijikkan dan menggalakkan keinginan yang tidak normal? Paulus berkata di Galatia 5:21 bahawa “orang yang melakukan” kenajisan sebegini ‘tidak akan menikmati Pemerintahan Tuhan.’ Maka, jika seseorang mempunyai tabiat melihat pornografi yang menjijikkan buat suatu jangka masa yang lama, dan tidak ingin bertaubat, dia akan disingkirkan daripada sidang. Dengan itu kemurnian dan kerohanian sidang akan terpelihara.​—1 Kor. 5:5, 11.

Beberapa orang yang pernah ketagih pornografi telah mendapatkan bantuan penatua dan membuat perubahan besar. Yesus menggesa orang Kristian di Sardis, ‘Perkuatlah apa yang masih ada pada kamu sebelum semuanya mati sama sekali. Ingatlah kembali apa yang telah diajarkan kepada kamu dan apa yang telah kamu dengar. Taatilah semuanya dan bertaubatlah daripada dosa kamu. Jika kamu tidak bangun, kamu tidak akan mengetahui saatnya aku datang.’ (Why. 3:2, 3) Ya, seseorang boleh bertaubat dan mengelakkan bahaya pornografi.​—Yud. 22, 23.

Adalah jauh lebih baik untuk tidak menjejakkan kaki ke dalam perangkap ini. Jadi bertekadlah dengan bersungguh-sungguh untuk menghindari segala bentuk pornografi!

[Nota kaki]

^ per. 8 Untuk penjelasan mengenai istilah-istilah ini, sila lihat The Watchtower 15 Julai 2006, muka surat 29-31.

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 30]

Seorang Kristian yang terjebak dalam tabiat melihat pornografi harus sedar dan mengakui bahawa dia memerlukan bantuan rohani