Kisah Hidup
Berpegang pada Jubah Seorang Yahudi Selama Tujuh Puluh Tahun
Diceritakan oleh Leonard Smith
Semasa saya berusia awal belasan tahun, dua petikan Bible telah meninggalkan kesan yang mendalam pada saya. Lebih daripada 70 tahun kemudian, saya masih ingat perasaan saya semasa memahami Zakharia 8:23. “Sepuluh orang” akan “datang kepada satu orang Yahudi dan berkata, ‘Kami juga mahu diberkati seperti kamu kerana kami mendengar bahawa Tuhan menyertai kamu.’”
ORANG Yahudi itu melambangkan orang Kristian terurap, dan “sepuluh orang” itu melambangkan “domba-domba lain” atau “golongan Yonadab.” * (Yoh. 10:16) Kebenaran itu menyedarkan saya bahawa saya perlu menyokong kaum terurap jika saya ingin hidup kekal di bumi.
Perumpamaan Yesus tentang domba dan kambing di Matius 25:31-46 juga meninggalkan kesan yang mendalam pada saya. Domba melambangkan mereka yang diperkenankan Tuhan kerana mereka berbuat baik kepada saudara terurap Kristus yang masih di bumi. Sebagai anggota muda dalam golongan Yonadab, saya berkata kepada diri saya, “Len, kalau kamu mahu menjadi domba Kristus, kamu harus menyokong saudaranya yang terurap dan mengikut pimpinan mereka, kerana Tuhan menyertai mereka.” Itulah yang menjadi pedoman hidup saya untuk lebih daripada tujuh puluh tahun.
“APAKAH PERANAN SAYA?”
Ibu saya dibaptiskan pada tahun 1925 di dewan perjumpaan di Bethel. Dewan itu dipanggil London Tabernacle dan digunakan oleh sidang tempatan. Saya dilahirkan pada 15 Oktober 1926. Pada Mac 1940, saya dibaptiskan di sebuah perhimpunan di Dover, England. Kasih saya terhadap kebenaran Bible semakin bertambah. Memandangkan Mak seorang Kristian terurap, dialah “orang Yahudi” pertama yang saya ikuti. Kami menyertai Sidang Gillingham di tenggara England. Kebanyakan anggotanya merupakan Kristian terurap. Pada masa itu, bapa dan kakak saya tidak menyembah Yehuwa. Mak menyediakan teladan yang baik kerana menginjil dengan bersemangat.
Semasa menghadiri konvensyen di Leicester pada September 1941, saya telah mendengar ceramah bertajuk “Integriti” yang membincangkan isu kedaulatan alam semesta. Buat kali pertama, saya faham bahawa kita terlibat dalam isu antara Yehuwa dan Syaitan. Maka, kita perlu berpihak kepada Yehuwa dan memelihara integriti kita kepada-Nya sebagai Pemerintah Yang Berdaulat.
Konvensyen itu banyak menegaskan pentingnya khidmat perintis dan menggalakkan kaum muda untuk menceburinya. Ceramah yang bertajuk “Peranan Perintis dalam Organisasi Tuhan” membuat
saya terfikir: “Apakah peranan saya?” Konvensyen itu meyakinkan saya bahawa sebagai ahli golongan Yonadab, saya perlu berusaha sebaik-baiknya untuk membantu kaum terurap dalam kerja penyebaran. Di situ juga, saya telah memohon untuk menjadi perintis.MERINTIS PADA MASA PERANG
Pada 1 Disember 1941, saya dilantik sebagai perintis khas pada usia 15 tahun. Mak merupakan teman perintis saya yang pertama, tetapi kira-kira setahun kemudian, dia terpaksa berhenti kerana masalah kesihatan. Pejabat cawangan di London telah menghantar Ron Parkin sebagai rakan perintis saya. Kini, dia menganggotai Jawatankuasa Cawangan di Puerto Rico.
Kami ditugaskan ke Broadstairs dan Ramsgate, pekan-pekan di persisiran pantai wilayah Kent. Elaun perintis khas pada masa itu ialah 40 syiling (kira-kira 8 dolar Amerika) setiap bulan. Selepas membayar sewa bilik, kami tidak pasti sama ada kami masih mampu membeli makanan. Tetapi Yehuwa sentiasa menjaga keperluan kami.
Kami selalu menunggang basikal yang membawa muatan berat sambil melawan angin kencang dari Laut Utara. Kami juga perlu berjaga-jaga kerana adanya serangan udara dan misil V-1 dari Jerman yang melintasi langit Kent untuk mengebom London. Pernah sekali, saya terpaksa terjun dari basikal dan meniarap di parit apabila sebutir bom menuju ke arah saya lalu meletup di padang yang berdekatan. Sungguhpun begitu, merintis di Kent telah membawa kenangan manis.
PEMUDA YANG BERKHIDMAT DI BETHEL
Ibu saya menyanjung khidmat Bethel. Dia sering berkata, “Mak harap kamu boleh berkhidmat di Bethel.” Pada Januari 1946, saya menerima jemputan untuk berkhidmat selama tiga minggu di Bethel London. Saya sangat gembira dan teruja. Pada hujung tiga minggu itu, penyelia cawangan, iaitu Pryce Hughes, menjemput saya untuk menetap di Bethel. Latihan yang saya terima di situ telah membawa manfaat sepanjang hidup saya.
Ketika itu, terdapat 30 anggota Bethel di London. Ramai merupakan saudara bujang yang muda, dan terdapat beberapa saudara terurap termasuk Pryce Hughes, Edgar Clay, dan Jack Barr. Jack Barr kemudiannya menganggotai Badan Pimpinan. Saya sangat berbesar hati kerana berpeluang untuk menyokong saudara-saudara Kristus dan bekerja di bawah penyeliaan mereka!—Gal. 2:9.
Suatu hari semasa saya di Bethel, saya diberitahu bahawa seorang saudari ingin berjumpa dengan saya. Rupa-rupanya Mak yang berdiri di luar. Dia membawa sebuah bungkusan untuk saya, tetapi dia tidak ingin mengganggu kerja saya lalu beredar setelah menyerahkan bungkusan itu. Ibu saya yang pengasih telah memberi saya sehelai baju tebal. Saya teringatkan Hana yang membawakan Samuel jubah semasa dia di khemah Tuhan.—1 Sam. 2:18, 19.
GILEAD—PENGALAMAN YANG SUKAR DILUPAKAN
Pada tahun 1947, lima anggota Bethel telah dijemput untuk menghadiri kelas Gilead yang ke-11 yang akan berlangsung pada tahun 1948 di Amerika Syarikat. Tempat itu sangat sejuk semasa kami
tiba. Mujurlah saya ada baju tebal yang diberikan oleh ibu saya!Enam bulan di Gilead memang sukar dilupakan. Pandangan saya bertambah luas kerana bergaul dengan pelajar-pelajar dari 16 negara lain. Semasa di sekolah Gilead, saya bukan sahaja bertambah akrab dengan Yehuwa, malah saya juga dapat bergaul dengan rakan-rakan Kristian yang matang. Seorang rakan sekelas, Lloyd Barry; seorang jurulatih, Albert Schroeder; dan penyelia Kingdom Farm, John Booth, kemudiannya telah menjadi anggota Badan Pimpinan. Saya sangat menghargai nasihat daripada mereka. Mereka sangat setia kepada Yehuwa dan organisasi-Nya.
KERJA LITAR DAN DI BETHEL SEMULA
Selepas tamat sekolah Gilead, saya ditugaskan sebagai penyelia litar di Ohio, A.S. Meskipun saya hanya berumur 21 tahun, saudara saudari telah menyambut saya dengan mesra. Banyak yang saya pelajari daripada saudara yang berpengalaman di litar itu.
Beberapa bulan kemudian, saya pulang ke Bethel di Brooklyn untuk latihan selanjutnya. Sepanjang masa itu, saya berpeluang mengenal Milton Henschel, Karl Klein, Nathan Knorr, T.J. (Bud) Sullivan, dan Lyman Swingle. Mereka semua tonggak rohani yang pernah menganggotai Badan Pimpinan. Saya berpeluang melihat bagaimana mereka bekerja dan menunjukkan sifat-sifat Kristian. Hasilnya, keyakinan saya terhadap organisasi Yehuwa telah bertambah kukuh. Selepas itu, saya ditugaskan untuk berkhidmat di Eropah.
Ibu telah meninggal pada Februari 1950. Selepas pengebumiannya, saya telah bertanya kepada bapa dan kakak saya, Dora apa pendirian mereka dalam kebenaran. Ibu sudah tiada dan saya pula tidak tinggal dengan mereka lagi. Mereka mengenal dan menghormati seorang saudara terurap, Harry Browning, dan setuju untuk mempelajari Bible dengannya. Kira-kira selepas setahun, mereka telah dibaptis. Ayah kemudiannya dilantik sebagai pembantu sidang dalam Sidang Gillingham. Selepas kematian Ayah, Dora telah berkahwin dengan seorang penatua yang bernama Roy Moreton. Dora menyembah Yehuwa dengan setia sehingga kematiannya pada tahun 2010.
BERKHIDMAT DI PERANCIS
Antara tiga bahasa yang pernah saya belajar di sekolah, iaitu bahasa Perancis, Jerman, dan Latin, bahasa Perancis saya yang paling teruk. Jadi saya kurang yakin semasa diminta untuk berkhidmat di Bethel Paris di Perancis. Saya berpeluang bekerja bersama Henri Geiger, seorang saudara terurap yang lanjut usia. Dia penyelia cawangan di situ. Tugas saya mencabar dan saya membuat banyak kesilapan. Namun, banyak yang saya belajar tentang hubungan kemanusiaan.
Konvensyen antarabangsa yang pertama selepas Perang Dunia Kedua diadakan di Paris pada tahun 1951, dan saya terlibat dalam kerja persiapan. Léopold Jontès, seorang penyelia lawatan yang muda telah membantu saya. Pada kemudian hari dia telah dilantik sebagai penyelia cawangan. Konvensyen itu diadakan di Palais des sports berdekatan Eiffel Tower. Terdapat hadirin dari 28 negara. Pada hari terakhir, sebanyak 10,456 orang hadir dan terdapat 6,000 Saksi dari Perancis!
Semasa saya baru sampai di Perancis, saya tidak fasih berbahasa Perancis. Lebih teruk lagi, saya membuat satu kesilapan besar: Saya hanya bercakap
apabila saya yakin saya tidak silap. Tetapi kalau tidak berbuat silap, macam mana saya hendak belajar?Jadi, saya telah menyertai sekolah bahasa Perancis yang disediakan untuk orang asing. Pada malam yang tiada perjumpaan, saya mengikut kelas bahasa. Saya semakin mencintai bahasa Perancis dan kemudian berpeluang untuk membantu dalam kerja penterjemahan di cawangan Perancis. Kami menterjemahkan bahasa Inggeris ke dalam bahasa Perancis. Saya besar hati kerana berpeluang menyampaikan makanan rohani daripada golongan hamba kepada saudara saudari di serata dunia yang berbahasa Perancis.—Mat. 24:45-47.
BERKAHWIN DAN LEBIH BANYAK TANGGUNGJAWAB
Pada tahun 1956, saya berkahwin dengan Esther, seorang perintis dari Switzerland. Kami berkahwin di Dewan Perjumpaan yang terletak di sebelah Bethel London (tempat ibu saya dibaptis dahulu). Saudara Hughes telah menyampaikan ceramah perkahwinan kami. Ibu Esther, seorang Kristian terurap, turut hadir. Perkahwinan ini bukan sahaja menyatukan saya dengan teman hidup yang setia, malah memberi saya banyak peluang untuk bergaul dengan ibu mentua yang berfikiran rohani. Ibu mentua saya telah menghembuskan nafas terakhir di bumi pada tahun 2000.
Selepas berkahwin, Esther dan saya tinggal di luar Bethel. Saya terus berkhidmat sebagai penterjemah di Bethel, sementara Esther ditugaskan sebagai perintis khas di kawasan luar bandar Paris. Dia telah membantu sebilangan orang untuk menjadi penyembah Yehuwa. Pada tahun 1964, kami dijemput ke Bethel. Semasa aturan Jawatankuasa Cawangan bermula pada tahun 1976, saya dilantik sebagai seorang ahli. Sepanjang masa ini, Esther sentiasa menyokong saya.
“AKU TIDAK SELAMANYA BERSAMA-SAMA KAMU”
Dari semasa ke semasa, saya berpeluang mengunjungi ibu pejabat sedunia di New York. Di situ, saya telah menerima nasihat yang baik daripada ahli-ahli Badan Pimpinan. Pernah sekali, saya menyatakan bahawa saya khuatir suatu tugas tidak dapat disiapkan pada masa yang ditentukan. Saudara Knorr senyum lalu berkata, “Jangan risau, kerja saja!” Sejak itu, apabila tugasan saya melambak, saya tidak akan panik. Sebaliknya, saya akan menghabiskannya satu demi satu, biasanya sebelum tarikh akhir.
Sebelum kematiannya, Yesus memberitahu pengikutnya, “Aku tidak selamanya bersama-sama kamu.” (Mat. 26:11) Domba-domba lain juga sedar bahawa saudara terurap Kristus tidak akan bersama kita di bumi untuk selamanya. Saya sangat bersyukur kerana dapat bergaul rapat dengan ramai Kristian terurap untuk lebih daripada 70 tahun. Alangkah besarnya penghormatan saya kerana berpeluang berpegang pada jubah seorang Yahudi!
[Nota kaki]
^ per. 5 Untuk keterangan tentang istilah “Yonadab,” sila rujuk buku Jehovah’s Witnesses—Proclaimers of God’s Kingdom, muka 83, 165, 166.
[Petikan daripada perenggan pada muka surat 21]
Saudara Knorr senyum lalu berkata, “Jangan risau, kerja saja!”
[Gambar pada muka surat 19]
(Kiri) Ayah dan Ibu
(Kanan) Di sekolah Gilead, tahun 1948. Saya sedang memakai baju tebal yang diberikan Ibu
[Gambar pada muka surat 20]
Menterjemah untuk Saudara Lloyd Barry semasa pembaktian cawangan Perancis, tahun 1997
[Gambar pada muka surat 21]
(Kiri) Bersama Esther pada hari perkahwinan kami
(Kanan) Menginjil bersama-sama