Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Anda Mencerminkan Kemuliaan Yehuwa?

Adakah Anda Mencerminkan Kemuliaan Yehuwa?

Adakah Anda Mencerminkan Kemuliaan Yehuwa?

“Kita memantulkan kemuliaan Tuhan.”​—2 KOR. 3:18.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

Meskipun kita berdosa, bagaimanakah kita dapat memuliakan Tuhan?

Bagaimanakah doa dan perjumpaan membantu kita memantulkan kemuliaan Tuhan?

Apakah yang dapat membantu kita untuk terus memuliakan Yehuwa?

1, 2. Mengapakah kita berupaya meniru sifat-sifat Yehuwa?

BAK kata pepatah, “Bapa borek, anak rintik.” Itulah sebabnya kita tidak berasa hairan semasa orang berkata kepada seorang budak, “Kamu mirip bapamu,” atau “Kamu macam ibumu.” Lagipun, kanak-kanak cenderung meniru tingkah laku ibu bapa mereka. Bagaimana pula dengan kita? Dapatkah kita meniru Bapa kita yang di syurga? Walaupun kita tidak pernah melihat Dia, kita dapat menghayati sifat-sifat-Nya dengan mempelajari Firman-Nya, mengamati ciptaan-Nya, dan merenungkan tutur kata dan kelakuan Yesus Kristus. (Yoh. 1:18; Rm. 1:20) Ya, kita dapat mencerminkan kemuliaan Yehuwa.

2 Sebelum menciptakan manusia, Tuhan tahu bahawa mereka berupaya untuk melakukan kehendak-Nya, mencerminkan sifat-Nya, dan memuliakan-Nya. (Baca Kejadian 1:26, 27.) Dalam ibadat kita, kita harus mencerminkan sifat Pencipta. Jika kita berbuat demikian, kita berpeluang untuk mencerminkan kemuliaan-Nya, tidak kira apa jua latar belakang kita. Mengapa? Kerana ‘Tuhan memperlakukan semua orang dengan sama rata. Sesiapa yang menghormati Tuhan dan berbuat apa yang benar, diterima oleh Tuhan, walau apa pun bangsanya.’​—Kis. 10:34, 35, ABB.

3. Apakah perasaan anda semasa berkhidmat kepada Yehuwa?

3 Orang Kristian terurap mencerminkan kemuliaan Tuhan. Paulus pun begitu. Dia berkata, “Sekarang muka kita tidak berselubung dan kita memantulkan kemuliaan Tuhan. . . . Kita semakin menjadi seperti Dia dan semakin memiliki kemuliaan-Nya.” (2 Kor. 3:18) Apabila Musa turun dari Gunung Sinai sambil membawa Sepuluh Hukum, mukanya bercahaya kerana Yehuwa telah bercakap kepada dia. (Kel. 34:29, 30) Walaupun muka orang Kristian tidak bercahaya seperti Musa, wajah mereka berseri-seri dan mereka berasa gembira semasa memberitahu orang lain tentang Yehuwa, sifat-sifat-Nya, dan tujuan-Nya bagi umat manusia. Seperti logam berkilat yang digunakan sebagai cermin pada masa kuno, mereka mencerminkan kemuliaan Yehuwa menerusi kerja penyebaran dan kehidupan kita. (2 Kor. 4:1) Adakah anda mencerminkan kemuliaan Yehuwa menerusi perbuatan anda serta melalui kerja penyebaran?

KITA MAHU MENCERMINKAN KEMULIAAN YEHUWA

4, 5. (a) Seperti Paulus, apakah masalah yang kita alami? (b) Apakah kesan dosa ke atas kita?

4 Sebagai hamba Yehuwa, kita mahu menghormati dan memuliakan Pencipta dalam segala-gala yang kita lakukan. Tetapi kita sering melakukan perkara yang salah walaupun kita mahu melakukan apa yang betul. Paulus pun mengalami masalah yang sama. (Baca Roma 7:21-25.) Dia menjelaskan mengapa kita harus melawan kecenderungan untuk berdosa. ‘Semua orang sudah berdosa dan jauh daripada Tuhan yang menyelamatkan mereka,’ katanya. (Rm. 3:23, ABB) Manusia mewarisi ketidaksempurnaan Adam, dan dosa menjadi raja keji yang memerintah kita.​—Rm. 5:12; 6:12.

5 Apa itu dosa? Dosa merupakan apa sahaja yang bertentangan dengan sifat, keinginan, piawaian, dan kehendak Yehuwa. Dosa merosakkan hubungan seseorang dengan Tuhan. Seperti pemanah yang tidak mengena sasaran, dosa menghalang kita daripada mencerminkan kemuliaan Tuhan. Kadangkala kita tidak sengaja melakukan dosa. Tetapi ada masanya kita mungkin sengaja berdosa. (Bil. 15:27-31) Dosa yang berurat berakar dalam diri manusia mewujudkan jurang antara diri kita dengan Pencipta kita. (Mzm. 51:7; Yes. 59:2; Kol. 1:21) Gaya hidup ramai orang menyebabkan hubungan mereka dengan Tuhan renggang. Oleh itu, mereka tidak dapat mencerminkan kemuliaan Tuhan. Sememangnya, dosa merupakan penyakit yang paling parah di dunia.

6. Meskipun kita berdosa, bagaimanakah kita dapat memuliakan Tuhan?

6 Walaupun kita tidak sempurna, Yehuwa merupakan ‘Tuhan yang memberi kita harapan.’ (Rm. 15:13) Dia telah memberi kita Anak-Nya sebagai korban untuk menebus dosa kita. Dengan menaruh kepercayaan terhadap korban Kristus, kita tidak lagi “diperhamba oleh dosa” tetapi berupaya memantulkan kemuliaan Yehuwa. (Rm. 5:19; 6:6; Yoh. 3:16) Jika kita mengekalkan hubungan baik dengan Tuhan, Dia tentu akan memberkati kita sekarang, dan mengurniakan kesempurnaan dan kehidupan abadi pada masa depan. Alangkah besarnya berkat kita kerana Tuhan memberi kita peluang untuk mencerminkan kemuliaan-Nya meskipun kita berdosa!

MENCERMINKAN KEMULIAAN TUHAN

7. Jika kita mahu mencerminkan kemuliaan Tuhan, apakah yang harus kita akui tentang diri kita?

7 Sebagai manusia yang berdosa, kita memiliki banyak kelemahan. Jika kita mahu mencerminkan kemuliaan Tuhan, kita mesti mengakui kelemahan sendiri. (2 Taw. 6:36) Kemudian, kita mesti bergelut untuk melawannya. Misalnya, jika kita mempunyai tabiat melihat pornografi, kita mesti mengakui bahawa kita memerlukan bantuan rohani dan meminta pertolongan para penatua. (Yak. 5:14, 15) Inilah langkah pertama untuk menjalankan kehidupan yang memuliakan Yehuwa. Kita mesti selalu memeriksa diri untuk melihat sama ada kita sedang memenuhi piawaian Tuhan. (Ams. 28:18; 1 Kor. 10:12) Tidak kira apa jua kelemahan kita, kita harus terus melawan kelemahan sendiri agar dapat mencerminkan kemuliaan Tuhan.

8. Walaupun kita tidak sempurna, apakah yang harus kita lakukan?

8 Yesus merupakan satu-satunya manusia di bumi yang sentiasa menyenangkan hati Tuhan dan memantulkan kemuliaan Tuhan dengan sempurna. Walaupun kita tidak sempurna, kita harus berikhtiar untuk meniru teladan Yesus. (1 Ptr. 2:21) Tidak kira sejauh mana kemajuan kita, Yehuwa menghargai kita dan akan memberkati usaha yang telah kita curahkan untuk memuliakan-Nya.

9. Bagaimanakah Bible membantu kita untuk mencerminkan kemuliaan Yehuwa?

9 Bible boleh menerangi jalan kita supaya kita dapat mencerminkan kemuliaan Yehuwa dengan lebih baik. Oleh itu, adalah penting untuk mengkaji dan merenungi Bible secara mendalam. (Mzm. 1:1-3) Kita dapat membuat kemajuan dengan membaca Bible tiap-tiap hari. (Baca Yakobus 1:22-25.) Pengetahuan Bible merupakan asas iman kita dan dapat menguatkan tekad kita untuk menghindari dosa. Dengan ini, kita dapat menyenangkan hati Yehuwa.​—Mzm. 119:11, 47, 48.

10. Bagaimanakah doa dapat membantu kita untuk memperbaik khidmat kita kepada Yehuwa?

10 Untuk mencerminkan kemuliaan Tuhan, kita juga perlu sentiasa berdoa. (Rm. 12:12) Kita harus berdoa agar Yehuwa membantu kita untuk menyembah-Nya dalam cara yang menyenangkan hati-Nya. Kita boleh memohon untuk daya aktif, iman yang lebih mantap, kekuatan untuk melawan godaan, dan kemahiran untuk “mengajar kebenaran dengan betul.” (2 Tim. 2:15, nota kaki; Mat. 6:13; Luk. 11:13; 17:5) Sepertimana seorang anak perlu bergantung pada bapanya, kita juga perlu bersandar pada Yehuwa, Bapa kita di syurga. Jika kita ingin menyembah Tuhan dengan lebih baik dan memohon bantuan-Nya, kita boleh yakin bahawa Dia akan membantu kita. Jangan sekali-kali berasa bahawa kita menyusahkan Yehuwa! Sebaliknya, mari kita memuji Tuhan, mengucapkan syukur, memohon bimbingan-Nya semasa mengalami cubaan, dan memohon bantuan agar kita dapat menyembah-Nya dan memuliakan nama-Nya dengan lebih baik.​—Mzm. 86:12; Yak. 1:5-8.

11. Bagaimanakah perjumpaan membantu kita untuk mencerminkan kemuliaan Tuhan?

11 Tuhan telah mengamanahkan tanggungjawab untuk menjaga domba-Nya kepada ‘hamba yang setia dan bijaksana.’ (Mat. 24:45-47; Mzm. 100:3) Golongan hamba mahu membantu kita untuk mencerminkan kemuliaan Yehuwa. Salah satu sarana yang digunakan ialah perjumpaan. Seorang tukang jahit dapat mengubahsuai pakaian kita supaya pakaian kita kelihatan lebih elok. Begitu juga, perjumpaan dapat “mengubahsuai” sifat Kristian kita agar menjadi lebih baik. (Ibr. 10:24, 25) Jika kita selalu datang lewat, kita tidak akan mendapat manfaat yang sepenuhnya.

MARILAH KITA MENIRU TUHAN

12. Bagaimanakah kita dapat meniru Tuhan?

12 Jika kita ingin mencerminkan kemuliaan Tuhan, kita “mesti berusaha mengikut teladan-Nya.” (Ef. 5:1) Kita ingin mempunyai pandangan yang sama dengan Tuhan. Kita tidak mahu menjalankan hidup yang akan membawa aib kepada nama-Nya. Dunia sekarang di bawah pengaruh Syaitan, jadi kita mesti berusaha keras untuk membenci apa yang dibenci Tuhan. Pada masa yang sama, kita mesti mencintai apa yang dicintai Tuhan. (Mzm. 97:10; 1 Yoh. 5:19) Ya, kita perlu yakin bahawa cara yang terbaik untuk menyembah Tuhan adalah dengan melakukan semuanya untuk memuliakan-Nya.​—Baca 1 Korintus 10:31.

13. Mengapakah kita mesti membenci dosa, dan apakah yang harus kita lakukan?

13 Yehuwa membenci dosa. Jadi kita pun mesti membenci dosa dan menjauhinya dengan sedaya upaya. Contohnya, kita harus menghindari orang murtad yang memilih untuk tidak memuliakan Tuhan. (Ul. 13:6-9) Jadi kita perlu menjauhi orang murtad atau sesiapa sahaja yang mengaku diri sebagai orang Kristian tetapi merosakkan nama Yehuwa. Walaupun dia seorang ahli keluarga, kita mesti menjauhkan diri daripadanya. (1 Kor. 5:11) Jika ada orang yang selalu mengkritik organisasi Yehuwa, usahlah bertikam lidah dengannya. Sebenarnya, adalah sangat berbahaya jika kita membaca bahan bacaan mereka kerana hal ini boleh memudaratkan kerohanian kita.​—Baca Yesaya 5:20; Matius 7:6.

14. Kita boleh memuliakan Tuhan dengan memupuk sifat apa? Mengapakah sifat ini sangat penting?

14 Kasih merupakan sifat Yehuwa yang paling utama. Maka kita harus meniru kasih-Nya. (1 Yoh. 4:16-19) Sebenarnya, kasih merupakan tanda pengenal pengikut-pengikut Yesus dan penyembah Yehuwa. (Yoh. 13:34, 35) Oleh sebab kita tidak sempurna, sangat susah untuk menunjukkan kasih. Namun kita harus bertekad untuk menunjukkan kasih pada setiap masa. Dengan memupuk kasih dan sifat-sifat Tuhan yang lain, kita dapat menghindari perbuatan salah dan tindakan yang akan menyakiti hati orang lain.​—2 Ptr. 1:5-7.

15. Apakah yang akan kita lakukan jika kita mengasihi orang lain? Berikan contoh.

15 Kasih mendorong kita untuk berbuat baik kepada orang lain. (Rm. 13:8-10) Contohnya, jika suami isteri saling mengasihi, mereka akan menjauhi apa sahaja perbuatan cabul. Jika kita mengasihi dan menghormati para penatua, kita akan mengikut arahan mereka. Anak-anak yang mengasihi ibu bapa akan mentaati dan menghormati ibu bapa serta tidak bercakap buruk tentang mereka. Jika kita mengasihi orang lain, kita tidak akan memandang rendah atau bersikap biadab kepada mereka. (Yak. 3:9) Para penatua akan mengasihi kawanan Tuhan dan memperlakukan mereka dengan lembut.​—Kis. 20:28, 29.

16. Bagaimanakah kasih boleh membantu kita dalam kerja penyebaran?

16 Kasih juga harus diperlihatkan semasa kerja penyebaran. Kasih yang mendalam terhadap Yehuwa akan membantu kita menginjil tanpa putus asa meskipun sesetengah penghuni rumah bersikap dingin. Kasih juga akan mendorong kita untuk membuat persediaan supaya menjadi lebih mahir dalam kerja penyebaran. Jika kita memiliki kasih sejati terhadap Tuhan dan orang lain, kita tidak akan menganggap kerja menginjil sebagai sesuatu yang membebankan. Sebaliknya kita akan bersukacita dan menganggapnya sebagai suatu penghormatan.​—Mat. 10:7.

TERUS MEMULIAKAN YEHUWA

17. Memandangkan kita berdosa, apakah yang harus kita lakukan?

17 Kebanyakan orang di dunia tidak sedar bahawa dosa merupakan masalah yang serius. Tetapi kita sedar akan hakikat ini. Oleh itu kita akan melawan godaan dosa dan berusaha untuk melakukan apa yang betul. Untuk berbuat demikian, kita perlu melatih hati nurani sendiri untuk menolak apa sahaja keinginan salah yang terlintas di minda. (Rm. 7:22, 23) Ada kalanya kita berasa lemah, tetapi Tuhan boleh memberi kita kekuatan untuk melakukan apa yang benar.​—2 Kor. 12:10.

18, 19. (a) Bagaimanakah kita boleh berjaya melawan roh-roh jahat? (b) Apakah sepatutnya tekad anda?

18 Kita juga perlu melawan roh-roh jahat jika kita mahu memuliakan Tuhan. Kita boleh berjaya berbuat demikian dengan mengenakan perlengkapan senjata rohani. (Ef. 6:11-13) Baik lelaki mahupun wanita, tua ataupun muda, kita dan jutaan manusia yang tidak sempurna boleh memelihara integriti dan memuliakan Tuhan. Apabila kita berbuat demikian, Syaitan bagaikan diberikan tamparan besar. Segala yang dilakukannya untuk merampas kemuliaan Tuhan dan merosakkan hubungan kita dengan Yehuwa akan terbukti gagal. Oleh itu marilah kita bersama-sama memuji Yehuwa, “Engkau sahaja yang layak menerima kemuliaan, penghormatan, dan kekuasaan, kerana Engkaulah yang menciptakan segala sesuatu, dan dengan kehendak-Mu juga segala sesuatu itu wujud dan hidup.”​—Why. 4:11, ABB.

19 Tidak kira apa pun yang berlaku, bertekadlah untuk memuliakan Tuhan. Tuhan pasti gembira kerana ramai yang cuba sedaya upaya untuk meniru-Nya dan mencerminkan kemuliaan-Nya. (Ams. 27:11) Seperti Daud, biarlah kita berkata, ‘Aku akan memuji Engkau dengan sepenuh hati, ya Yehuwa, Tuhanku; aku akan mengisytiharkan kebesaran-Mu selama-lamanya.’ (Mzm. 86:12, ABB) Kita menanti-nantikan masanya kita boleh mencerminkan kemuliaan Tuhan dengan sempurna. Alangkah baiknya harapan ini. Semoga kita memuliakan Tuhan sekarang dan selama-lamanya!

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 27]

Adakah anda juga memantulkan kemuliaan Yehuwa?