Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Berusahalah untuk Mengukuhkan Perkahwinan Anda

Berusahalah untuk Mengukuhkan Perkahwinan Anda

Berusahalah untuk Mengukuhkan Perkahwinan Anda

“Kepada mereka yang sudah berkahwin, beginilah perintahku. Sebenarnya bukan aku yang memberikan perintah ini, tetapi Tuhan.”​—1 KOR. 7:10.

DAPATKAH ANDA JELASKAN?

Mengapakah kita boleh mengatakan bahawa Tuhanlah yang menyatukan suami isteri?

Bagaimanakah para penatua boleh membantu orang Kristian yang mempunyai masalah perkahwinan?

Apakah seharusnya pandangan kita terhadap perkahwinan?

1. Apakah pandangan orang Kristian terhadap perkahwinan, dan mengapa?

SEMASA orang Kristian berkahwin, mereka melafazkan ikrar perkahwinan di hadapan Tuhan dan mula memikul tanggungjawab yang berat. (Pkh. 5:3-5) Yehuwa, selaku Pengasas perkahwinan, telah menyatukan mereka. (Mrk. 10:9) Tidak kira apa pandangan pihak berkuasa, hubungan mereka sudah termeterai dalam pandangan Tuhan. Sama ada mereka dalam kebenaran semasa berkahwin atau tidak, hamba Yehuwa patut memandang ikatan perkahwinan mereka sebagai ikatan yang kekal.

2. Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

2 Perkahwinan yang bahagia boleh membawa sukacita. Tetapi bagaimana pula jika perkahwinan seseorang renggang? Dapatkah perkahwinan yang retak dibaiki? Apakah bantuan yang tersedia bagi mereka yang mengalami masalah perkahwinan?

MEMBAWA SUKACITA ATAU DUKACITA?

3, 4. Apakah yang mungkin berlaku jika seseorang membuat keputusan yang kurang bijak semasa memilih pasangan?

3 Perkahwinan yang berjaya dapat membawa sukacita dan memuliakan Yehuwa. Perkahwinan yang gagal pula akan membawa dukacita. Orang bujang yang mahu berkahwin dan memilih untuk mengikut bimbingan Tuhan akan menikmati perkahwinan yang bahagia. Sebaliknya, orang yang membuat pilihan yang kurang bijak mungkin mengalami keperitan dan ketidakpuasan. Sebagai contoh, sesetengah orang muda mula berpacaran walaupun mereka tidak cukup matang untuk memikul tanggungjawab keluarga. Ada juga yang mencari pasangan di Internet lalu berkahwin dengan tergesa-gesa, tetapi merana pula pada kemudian hari. Yang lain terjebak dalam perbuatan cabul semasa berpacaran dan kemudian berkahwin. Tetapi rasa hormat antara mereka berdua mungkin sudah terhakis.

4 Sesetengah penyembah Yehuwa tidak berkahwin dengan orang seiman, dan akhirnya terpaksa menderita. (1 Kor. 7:39) Jika anda berhadapan dengan masalah yang sama, bertaubatlah dan berdoa untuk pengampunan dan bantuan Tuhan. Walaupun masalah anda tidak akan hilang, Tuhan akan membantu anda menanganinya. (Mzm. 130:1-4) Berusahalah dengan sebulat hati untuk menyenangkan hati Tuhan sekarang dan untuk selama-lamanya. Dengan demikian, ‘kesukaan yang diberikan oleh Yehuwa kepada kamu akan menguatkan kamu.’​—Neh. 8:10.

APABILA IKATAN PERKAHWINAN MENJADI RENGGANG

5. Apakah fikiran yang patut dihindari jika seseorang mengalami masalah perkahwinan?

5 Mereka yang mengalami masalah perkahwinan mungkin berfikir, “Berbaloikah saya menyelamatkan perkahwinan saya? Alangkah bagusnya jika saya telah memilih teman hidup yang lain!” Mereka mungkin mahu memutuskan ikatan perkahwinan, “Ah, cerai sajalah! Saya mahu bebas semula! Kalau tak jadi cerai secara sah, pisah pun boleh!” Sebenarnya, fikiran atau impian sebegini tidak patut dilayan. Orang Kristian patut membaiki keadaan rumah tangga sendiri dengan mengikut pedoman Tuhan.

6. Jelaskan kata-kata Yesus di Matius 19:9.

6 Jika seorang Kristian bercerai, dia tidak semestinya boleh berkahwin semula. Yesus berkata, “Ketahuilah, sesiapa menceraikan isterinya, kecuali kerana perzinaan, orang itu berzina jika dia berkahwin lagi dengan wanita lain.” (Mat. 19:9) Jika suami atau isteri tidak terlibat dalam perzinaan atau hubungan seks yang tidak bermoral, mereka harus berdoa dan berfikir masak-masak sebelum mempertimbangkan perceraian.

7. Apakah yang mungkin bermain di fikiran orang lain jika perkahwinan orang Kristian gagal?

7 Keadaan rohani seseorang mungkin dipersoalkan kalau perkahwinannya gagal. Rasul Paulus menanyakan soalan yang serius ini, ‘Jika seseorang tidak tahu mengurus rumah tangganya sendiri, bagaimanakah dia dapat mengurus jemaah Tuhan?’ (1 Tim. 3:5, ABB) Sebenarnya, apabila perkahwinan antara dua orang Kristian gagal, orang lain mungkin tertanya-tanya sama ada mereka menerapkan apa yang diajarkan oleh mereka.​—Rm. 2:21-24.

8. Apakah punca masalahnya apabila dua orang yang sudah dibaptis bercadang untuk berpisah?

8 Jika dua orang yang sudah dibaptis bercadang untuk berpisah atau bercerai tanpa alasan yang berlandaskan Bible, sudah tentu keadaan rohani mereka perlu diperiksa. Mungkin satu atau kedua-dua pihak tidak menerapkan prinsip Bible. Jika mereka benar-benar ‘percaya kepada Yehuwa dengan sepenuh hati,’ mereka akan berasa yakin bahawa perkahwinan mereka dapat diselamatkan.​—Baca Amsal 3:5, 6.

9. Apakah berkat yang boleh diraih oleh orang Kristian yang tidak cepat putus asa dalam perkahwinan mereka?

9 Banyak perkahwinan yang umpama retak menanti belah akhirnya dapat diselamatkan. Orang Kristian yang tidak cepat putus asa sering kali berpeluang menikmati buah usaha mereka. Misalnya perhatikan apa yang dikatakan oleh Petrus, ‘Demikian juga kamu, isteri-isteri harus taat kepada suami, supaya jika ada antara suami kamu yang tidak percaya kepada firman Tuhan, kelakuan kamu akan menyebabkan mereka menjadi percaya. Kamu tidak perlu mengatakan apa-apa kepada mereka, kerana mereka boleh melihat kelakuan kamu yang murni dan penuh hormat.’ (1 Ptr. 3:1, 2, ABB) Ya, teman yang tidak seiman mungkin memeluk kebenaran akibat kelakuan pasangannya yang terpuji. Perkahwinan yang pulih bahagia memuliakan Tuhan dan membawa berkat kepada suami, isteri, serta anak-anak mereka.

10, 11. Apakah masalah yang mungkin timbul dalam perkahwinan, tetapi kita boleh yakin akan apa?

10 Kebanyakan orang bujang yang mahu menyenangkan hati Tuhan memilih rakan seiman sebagai teman hidup. Walaupun begitu, masalah yang tidak terduga mungkin timbul. Selepas berkahwin, seorang teman mungkin mengalami masalah mental yang serius atau menjadi penyiar yang tidak aktif. Contohnya Linda, * seorang saudari dan ibu yang baik tidak dapat membuat apa-apa apabila suaminya disingkirkan daripada sidang kerana mengikut haluan yang salah dan enggan bertaubat. Apakah yang patut dilakukan oleh seorang Kristian jika perkahwinannya tergugat?

11 “Haruskah saya terus berusaha untuk menyelamatkan perkahwinan saya?” anda mungkin bertanya. Keputusan ini terletak dalam tangan anda. Namun, anda tidak patut berputus asa kerana ikatan perkahwinan anda sedang terlerai. Ramai saudara saudari terus mengekalkan hati nurani yang murni walaupun mereka menghadapi masalah perkahwinan. Tuhan menghargai usaha mereka. (Baca 1 Petrus 2:19, 20.) Seorang Kristian yang berikhtiar untuk menyelamatkan perkahwinannya boleh berasa yakin bahawa Yehuwa akan membantunya melalui Firman dan daya aktif-Nya.

MEREKA SEDIA MEMBANTU

12. Adakah para penatua akan memandang rendah pada kita jika kita mendapatkan bantuan mereka?

12 Jika anda menghadapi masalah perkahwinan, janganlah teragak-agak untuk mendapatkan bantuan rohani daripada orang Kristian yang matang. Sebagai gembala sidang, para penatua rela menghulurkan bantuan dan mengarahkan perhatian kita kepada nasihat terilham dalam Bible. (Kis. 20:28; Yak. 5:14, 15) Janganlah berasa malu jika anda perlu mendapatkan bantuan mereka semasa menghadapi masalah perkahwinan yang serius. Para penatua akan lebih mengasihi dan menghormati anda semasa mereka melihat usaha yang anda curahkan untuk menyenangkan hati Tuhan.

13. Apakah nasihat yang diberikan oleh Paulus di 1 Korintus 7:10-16?

13 Apabila para penatua diminta untuk memberikan nasihat kepada orang Kristian yang mempunyai pasangan yang tidak seiman, mereka merujuk kepada Bible. Contohnya, Paulus menulis, “Kepada mereka yang sudah berkahwin, beginilah perintahku. Sebenarnya bukan aku yang memberikan perintah ini, tetapi Tuhan. Seorang isteri tidak boleh meninggalkan suaminya. Tetapi jika seorang isteri meninggalkan suaminya, dia harus tetap tidak bersuami, atau dia kembali kepada suaminya. Seorang suami tidak boleh menceraikan isterinya. . . . Hai isteri yang sudah percaya kepada Kristus, bagaimana kamu boleh tahu dengan pasti bahawa kamu tidak akan menyelamatkan suami kamu? Begitu juga, hai suami yang sudah percaya kepada Kristus, bagaimana kamu boleh tahu dengan pasti bahawa kamu tidak akan menyelamatkan isteri kamu?” (1 Kor. 7:10-16, ABB) Betapa besarnya berkat yang dapat dinikmati jika seorang suami atau isteri yang bukan seiman memeluk kebenaran!

14, 15. Bilakah seorang Kristian boleh membuat keputusan untuk berpisah? Namun mengapakah dia perlu berdoa dan mempertimbangkan hal ini dengan jujur?

14 Apakah keadaan yang mungkin mengizinkan seorang isteri untuk meninggalkan suaminya? Ada yang memilih untuk berpisah kerana suami mereka sengaja enggan menyara keluarga. Yang lain pula berbuat demikian kerana mengalami penderaan fizikal yang teruk atau langsung tidak dapat menyembah Yehuwa.

15 Keputusan untuk berpisah merupakan keputusan peribadi. Namun, seorang Kristian harus berdoa dan berfikir tentang keadaannya secara jujur. Sebagai contoh, tanyalah diri, “Adakah kemerosotan keadaan rohani saya disebabkan semata-mata oleh teman saya? Atau adakah saya sendiri yang mula mengabaikan pembelajaran Bible, dan jarang ke perjumpaan serta menyertai kerja penyebaran?”

16. Apakah yang patut menghalang orang Kristian daripada tergesa-gesa mempertimbangkan perceraian?

16 Hubungan kita dengan Tuhan serta penghargaan bagi kurniaan perkahwinan patut menghalang kita daripada tergesa-gesa untuk mendapatkan perceraian. Sebagai hamba Yehuwa, kita mengambil berat tentang kekudusan nama-Nya. Sudah tentu kita tidak mahu memikirkan muslihat untuk menamatkan perkahwinan sendiri supaya dapat memulakan kehidupan baru dengan orang lain.​—Yer. 17:9; Mal. 2:13-16.

17. Dalam situasi apakah seorang Kristian tidak perlu berasa bersalah?

17 Seorang Kristian yang temannya tidak seiman patut berikhtiar untuk mengukuhkan ikatan perkahwinannya. Tetapi, dia tidak perlu berasa bersalah jika temannya yang tidak seiman mahu meninggalkannya. Paulus menulis, ‘Jika seorang yang bukan Kristian ingin meninggalkan isteri atau suaminya yang Kristian, biarlah dia berbuat demikian. Dalam hal yang demikian, suami atau isteri yang Kristian itu bebas membuat pilihan, tetapi Tuhan mahu kamu hidup damai.’​—1 Kor. 7:15, ABB. *

BERGANTUNG PADA YEHUWA

18. Walaupun usaha untuk menyelamatkan perkahwinan gagal, apakah hasil baik lain yang dapat diraih?

18 Apabila menangani masalah perkahwinan, bergantunglah pada Yehuwa untuk keberanian dan berharap pada-Nya. (Baca Mazmur 27:14.) Adakah anda masih ingat Linda? Perkahwinannya gagal walaupun dia telah berusaha selama bertahun-tahun untuk menyelamatkannya. Adakah dia berasa bahawa usahanya sia-sia sahaja? “Tidak sama sekali,” katanya. “Usaha saya memberikan kesaksian yang baik kepada orang lain. Saya juga mempunyai hati nurani yang bersih. Yang paling penting, anak perempuan saya dibantu untuk berpaut erat pada kebenaran. Dia menjadi penyembah Yehuwa yang bersemangat dan penuh dedikasi.”

19. Apakah yang boleh berlaku jika seseorang berusaha untuk menyelamatkan perkahwinannya?

19 Seorang saudari yang bernama Marilyn bersyukur kerana dia telah bergantung pada Tuhan dan menggandakan usaha untuk menyelamatkan perkahwinannya. “Saya mahu berpisah daripada suami saya kerana dia tidak menyara keluarga dan menyebabkan saya tidak dapat menyembah Yehuwa,” katanya. “Suami saya pernah berkhidmat sebagai penatua sebelum dia terlibat dalam urus niaga yang kurang bijak. Lambat-laun, dia jarang menghadiri perjumpaan dan kami berhenti berkomunikasi. Selain itu, serangan pengganas di kota kami telah menakutkan saya sehingga saya mengasingkan diri. Kemudian saya sedar bahawa saya pun perlu berubah. Kami mula berkomunikasi sekali lagi, mengadakan pembelajaran keluarga, dan menghadiri perjumpaan dengan tetap. Para penatua baik hati dan banyak membantu kami. Perkahwinan kami mula bahagia kembali. Suami saya kemudiannya layak semula untuk memikul tanggungjawab di sidang. Pengajaran yang pahit ini telah menghasilkan kesudahan yang baik.”

20, 21. Berhubung perkahwinan, apakah azam kita?

20 Tidak kira kita masih bujang atau sudah berkahwin, kita perlu bertindak dengan berani dan berharap pada Yehuwa. Jika anda sedang mengalami masalah perkahwinan, berusahalah sedaya upaya untuk menyelesaikannya. Ingatlah, orang yang berkahwin, “bukan lagi dua orang, tetapi satu.” (Mat. 19:6) Dan ingatlah bahawa jika kita tetap tabah, teman yang tidak seiman mungkin memeluk kebenaran.

21 Dalam apa jua situasi hidup, semoga tindakan kita memberikan kesaksian yang baik kepada orang di luar sidang. Jika kebahagiaan perkahwinan anda tergugat, doalah secara sungguh-sungguh, periksalah niat hati secara jujur, carilah nasihat Bible, dan dapatkanlah bantuan para penatua. Semoga kita berazam untuk sentiasa menyenangkan hati Tuhan dan memperlihatkan penghargaan yang mendalam bagi perkahwinan!

[Nota kaki]

^ per. 10 Nama telah diubah.

[Soalan Pembelajaran]

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 9]

Yehuwa memberkati orang yang berikhtiar untuk mengukuhkan ikatan perkahwinan yang renggang

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 10]

Orang Kristian yang tidak cepat putus asa selalunya menikmati hasil yang baik

[Gambar pada muka surat 11]

Sidang boleh menjadi sumber kelegaan dan bantuan rohani

[Gambar pada muka surat 12]

Jadikanlah Yehuwa harapan dan sumber keberanian anda