Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Perkahwinan—Anugerah Tuhan yang Perlu Dihargai

Perkahwinan—Anugerah Tuhan yang Perlu Dihargai

Perkahwinan​—Anugerah Tuhan yang Perlu Dihargai

‘Semoga Yehuwa berkenan memberikan jodoh kepada kamu supaya kamu berumah tangga.’​—RUT 1:9.

CARILAH JAWAPANNYA:

Bagaimanakah hamba Tuhan dahulukala menghargai perkahwinan sebagai anugerah Tuhan?

Bagaimanakah kita tahu bahawa Tuhan mengambil berat tentang pilihan teman hidup kita?

Apakah nasihat Bible mengenai perkahwinan yang mahu anda terapkan dalam hidup?

1. Gambarkan reaksi Adam selepas mendapat isterinya.

“INILAH dia, orang yang sama dengan aku—tulang daripada tulangku, dan daging daripada dagingku. Aku namakan dia perempuan, kerana dia diambil daripada lelaki.” (Kej. 2:23) Ya, perasaan gembira telah menggerakkan Adam untuk berpantun! Selepas Yehuwa membuat Adam tidur nyenyak, Dia mengeluarkan satu tulang rusuk Adam lalu membentuk seorang wanita yang jelita. Yehuwa telah menyatukan mereka. Adam kemudiannya menamakan isterinya Hawa. Memandangkan Yehuwa menggunakan tulang rusuk Adam untuk menciptakan Hawa, hubungan Adam dan Hawa jauh lebih akrab daripada mana-mana pasangan suami isteri hari ini.

2. Mengapakah lelaki dan wanita tertarik kepada satu sama lain?

2 Yehuwa Yang Maha Bijaksana telah menciptakan manusia dengan keupayaan untuk bercinta, dan itulah sebabnya lelaki dan wanita tertarik kepada satu sama lain. Menurut The World Book Encyclopedia, “Seorang lelaki dan wanita yang berkahwin menginginkan hubungan seksual dan tarikan romantik yang berkekalan.” Hakikat ini terbukti benar dalam kalangan umat Yehuwa juga.

MEREKA MENGHARGAI INSTITUSI PERKAHWINAN

3. Bagaimanakah Ishak mendapat isterinya?

3 Abraham memandang tinggi institusi perkahwinan. Dia telah menghantar hambanya yang paling berpengalaman ke Mesopotamia untuk mendapatkan seorang isteri bagi Ishak. Hamba itu telah berdoa dan usahanya diberkati Tuhan. Akhirnya, Ribka menjadi isteri Ishak dan dia berpeluang meneruskan keturunan Abraham. (Kej. 22:18; 24:12-14, 67) Hal ini tidak bermaksud bahawa kita patut menjodohkan orang dengan sesuka hati. Dalam norma masyarakat hari ini, banyak orang memilih pasangan sendiri. Walaupun Tuhan tidak menentukan jodoh kita di syurga, Dia akan memimpin orang Kristian, baik dalam soal ini mahupun dalam aspek kehidupan yang lain jika mereka berdoa dan mengikut bimbingan daya aktif-Nya.​—Gal. 5:18, 25.

4, 5. Apakah yang menunjukkan bahawa gadis Sulam dan gembala muda itu saling mencintai?

4 Seorang gadis Sulam yang menawan tidak mahu orang lain mendesak dia untuk menjadi salah seorang isteri Raja Salomo. Dia tidak mahu mereka mengganggu cintanya dengan kekasihnya, seorang gembala yang muda. (Kid. 8:4) Mereka berdua saling mencintai. Dengan rendah hati, gadis Sulam berkata, “Aku bunga mawar di Saron, bunga bakung di lembah gunung.” Kekasihnya membalas, “Seperti bunga bakung antara semak berduri, demikianlah sayangku antara puteri.” (Kid. 2:1, 2, ABB) Mereka sememangnya dilamun cinta.

5 Gadis Sulam dan gembalanya mempunyai kasih yang mendalam terhadap Tuhan. Oleh itu, ikatan perkahwinan mereka akan menjadi sangat kuat. Gadis Sulam ini berkata kepada kekasihnya, “Jadikanlah aku meterai pada hatimu dan meterai pada lenganmu; kerana cinta itu sekuat maut, dan menuntut kesetiaan yang tidak berbelah bahagi seperti yang dituntut Sheol. Nyalanya seperti nyala api yang berkobar-kobar, nyala api Yah. Air yang banyak tidak dapat memadamkan cinta, dan sungai-sungai pun tidak dapat menghanyutkannya. Jika seseorang menggadaikan semua harta dalam rumahnya demi cinta, orang lain pasti akan menghinanya.” (Kid. 8:6, 7, NW) Kasih mereka kepada Tuhan dan satu sama lain begitu setia dan teguh. Tidakkah sifat sedemikian patut dimiliki oleh hamba-hamba Tuhan yang ingin berkahwin?

TUHAN MENGAMBIL BERAT TENTANG PILIHAN ANDA

6, 7. Bagaimanakah kita tahu bahawa Tuhan mengambil berat tentang pilihan teman hidup kita?

6 Yehuwa prihatin terhadap pilihan teman hidup anda. Tuhan mengarahkan orang Israel, “Jangan berkahwin dengan mereka [penduduk Kanaan], dan jangan biar anak-anak kamu berkahwin dengan mereka, kerana mereka akan menjauhkan anak-anak kamu daripada Tuhan, sehingga anak-anak kamu itu menyembah tuhan-tuhan lain. Jika hal itu berlaku, Tuhan akan murka terhadap kamu dan membinasakan kamu dengan serta-merta.” (Ul. 7:3, 4, ABB) Berabad-abad kemudian, imam Ezra berkata, “Kamu telah berdosa dan menambah kesalahan Israel kerana berkahwin dengan perempuan asing.” (Ezr. 10:10) Dan rasul Paulus berkata kepada orang Kristian, “Seorang wanita yang sudah berkahwin, terikat kepada suaminya hanya selama suaminya hidup. Setelah suaminya meninggal, wanita itu bebas berkahwin lagi dengan orang yang disukainya; tetapi lelaki itu haruslah seorang Kristian.”​1 Kor. 7:39, ABB.

7 Seorang penyembah Yehuwa yang mengahwini orang tidak seiman mengingkari Tuhan. Orang Israel pada zaman Ezra tidak setia kepada Tuhan kerana mereka “berkahwin dengan perempuan asing.” Hari ini juga, perintah Tuhan masih berkuat kuasa dan tidak boleh diremehkan. (Ezr. 10:10; 2 Kor. 6:14, 15) Seorang saudara atau saudari yang mengahwini orang tidak seiman gagal menyediakan teladan yang baik dan tidak mengikut perintah Tuhan tentang perkahwinan. Dia juga boleh kehilangan tanggungjawab tertentu dalam organisasi Tuhan. Lagipun tidak masuk akal jika kita berdoa, “Yehuwa, saya sengaja mengingkari-Mu. Tetapi tolong berkati saya!”

YEHUWA MEMBERIKAN BIMBINGAN YANG TERBAIK

8. Jelaskan mengapa kita patut mengikut bimbingan Tuhan dalam soal perkahwinan.

8 Lazimnya, seorang pencipta mesin benar-benar mengenal ciptaannya. Dia dapat menyediakan buku panduan pengguna yang terperinci. Bagaimana pula jika kita sengaja tidak menghiraukan arahan dalam buku panduan itu? Mesin itu tidak akan berfungsi atau akan rosak sama sekali. Yehuwa ialah Pengasas perkahwinan, dan jika kita mahu menikmati perkahwinan yang bahagia, kita mesti mengikut bimbingan yang diberikan-Nya.

9. Bagaimanakah Tuhan menunjukkan bahawa Dia memahami perasaan sunyi dan mengetahui nikmat yang dibawa oleh perkahwinan?

9 Yehuwa mempunyai pengetahuan yang sempurna tentang manusia dan perkahwinan. Yehuwa menciptakan manusia dengan keupayaan untuk menikmati hubungan seks agar mereka “mempunyai anak cucu yang banyak.” (Kej. 1:28) Tuhan juga memahami kita apabila kita kesunyian. Sebelum menciptakan wanita pertama, Tuhan berkata, “Tidak baik manusia hidup seorang diri. Aku akan menjadikan seorang teman yang sesuai untuk menolong dia.” (Kej. 2:18) Yehuwa juga tahu benar akan kebahagiaan yang dapat dinikmati dalam perkahwinan.​—Baca Amsal 5:15-18.

10. Apakah faktor-faktor yang harus diambil kira dalam soal keintiman dalam perkahwinan?

10 Semua perkahwinan hari ini tidak sempurna kerana kita mewarisi dosa dan ketidaksempurnaan daripada Adam. Tetapi, hamba-hamba Yehuwa yang mematuhi Firman-Nya boleh menikmati perkahwinan yang bahagia. Sebagai contoh, mari kita lihat nasihat Paulus tentang hubungan seks antara suami dan isteri. (Baca 1 Korintus 7:1-5.) Bible tidak menyatakan bahawa hubungan seks hanya untuk meneruskan zuriat. Keintiman sebegini dapat memenuhi keperluan emosi dan fizikal. Namun suami isteri harus mengelakkan amalan seks yang tidak diperkenankan Tuhan. Sebaliknya, mereka mahu bersikap lemah lembut dan memperlihatkan kasih sayang yang tulen antara satu sama lain.

11. Apakah berkat yang diterima oleh Rut kerana dia menurut aturan Yehuwa?

11 Perkahwinan seharusnya dipenuhi sukacita dan bukannya kepedihan atau keperitan. Keluarga Kristian patut berupa tempat yang damai dan aman. Mari kita lihat contoh Naomi dan Rut yang hidup kira-kira 3,000 tahun dahulu. Naomi dan dua orang menantunya, Orpa dan Rut sedang dalam perjalanan dari Moab ke Yehuda. Naomi yang sudah tua menggalakkan mereka untuk kembali ke pangkuan keluarga memandangkan suami mereka telah meninggal. Tetapi Rut setia kepada Naomi dan Tuhan, dan dia dijamin bahawa ‘Yehuwa akan membalas segala kebaikannya kerana dia telah datang untuk berlindung kepada-Nya.’ (Rut 1:9; 2:12) Rut menghargai aturan perkahwinan dan sudi menjadi isteri Boas, walaupun Boas sudah lanjut usia. Semasa Rut dibangkitkan pada masa depan, dia tentu akan berasa gembira setelah mendapat tahu bahawa dia merupakan moyang Yesus Kristus. (Mat. 1:1-6a; Luk. 3:23, 32) Alangkah besarnya berkat Rut kerana dia telah menurut aturan Yehuwa!

NASIHAT YANG BIJAK UNTUK MENJAYAKAN PERKAHWINAN

12. Nasihat yang bijak tentang perkahwinan harus berasaskan apa?

12 Pengasas perkahwinan memberitahu kita apa yang diperlukan untuk menjayakan perkahwinan. Pengetahuan manusia dalam soal ini amatlah dangkal. Sebaliknya Firman Tuhan tidak pernah silap. Maka, hanya nasihat yang berasaskan Bible yang dapat menjayakan perkahwinan. Sebagai contoh, Paulus diilhami untuk menulis, “Setiap suami harus mengasihi isterinya seperti dia mengasihi dirinya sendiri, dan setiap isteri harus menghormati suaminya.” (Ef. 5:33) Nasihat ini ringkas dan jelas. Tetapi persoalannya ialah, “Adakah kita akan menerapkan nasihat Yehuwa?” Kita akan berbuat demikian jika kita menghargai aturan perkahwinan yang dikurniakan Tuhan. *

13. Apakah yang mungkin berlaku jika nasihat di 1 Petrus 3:7 tidak diamalkan?

13 Seorang suami harus menyayangi isterinya. Rasul Petrus berkata, ‘Demikian juga kamu, suami-suami harus hidup dengan isteri kamu dengan penuh pengertian, dan sedar bahawa mereka itu kaum yang lebih lemah. Perlakukanlah mereka dengan hormat, kerana mereka bersama-sama kamu, akan menerima anugerah hidup sejati dan kekal daripada Tuhan. Berbuatlah demikian supaya tiada sesuatu pun menghalangi doa kamu.’ (1 Ptr. 3:7, ABB) Doa seorang suami boleh menjadi sia-sia jika dia tidak mengamalkan nasihat Yehuwa. Hal ini boleh menjejaskan kerohanian suami isteri, menyebabkan hubungan mereka menjadi renggang, dan mencetuskan pertengkaran serta perbuatan yang saling menyakiti.

14. Apakah sumbangan seorang isteri yang penyayang kepada keluarganya?

14 Isteri yang dibimbing Firman Yehuwa dan daya aktif-Nya boleh menyumbang kepada kehidupan keluarga yang aman dan bahagia. Suami yang menghormati Tuhan memang akan mencintai dan melindungi isterinya dari segi fizikal mahupun rohani. Seorang isteri mendambakan cinta suaminya, tetapi dia juga haruslah mudah disayangi. Amsal 14:1 (ABB) menyatakan, “Wanita yang bijak membina rumah tangganya, tetapi wanita yang bodoh meruntuhkan rumah tangganya sendiri.” Isteri yang bijak dan penyayang akan menyumbang kepada kebahagiaan dan kejayaan keluarga. Dia juga menunjukkan bahawa dia menghargai institusi perkahwinan.

15. Apakah nasihat yang terdapat di Efesus 5:22-25?

15 Bagaimanakah suami isteri boleh menunjukkan bahawa mereka menghargai kurniaan perkahwinan? Mereka meniru cara Yesus melayani sidang. (Baca Efesus 5:22-25.) Jika suami isteri saling mencintai, mereka tidak akan merajuk lalu enggan bercakap, bersikap sombong, atau memperlihatkan sikap buruk lain yang boleh menjejaskan perkahwinan mereka. Dengan demikian, perkahwinan mereka pasti dicucuri berkat!

MEREKA TIDAK BOLEH DIPISAHKAN

16. Mengapakah sesetengah orang Kristian hidup membujang?

16 Kebanyakan orang mahu berkahwin. Namun sesetengah orang Kristian tidak berkahwin kerana tidak menjumpai jodoh yang sesuai. Yang lain pula hidup membujang kerana menganggap kelebihan ini sebagai kurniaan daripada Tuhan. Walau bagaimanapun, orang Kristian yang membujang masih dapat hidup bahagia kerana mereka boleh menghabiskan lebih banyak masa dan tenaga untuk khidmat Yehuwa.​—Mat. 19:10-12; 1 Kor. 7:1, 6, 7, 17.

17. (a) Apakah kata-kata Yesus yang harus kita ingat? (b) Jika seorang Kristian mula mendambakan pasangan hidup orang lain, apakah yang harus dilakukannya dengan serta-merta?

17 Orang yang bujang dan orang yang telah berkahwin perlu mengingat nasihat Yesus yang berikut: ‘Belum pernahkah kamu baca ayat Alkitab yang mengatakan bahawa pada mulanya Tuhan menjadikan orang lelaki dan perempuan? Kemudian Tuhan berfirman, “Itulah sebabnya seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu kedua-duanya menjadi satu.” Dengan demikian mereka bukan lagi dua orang, tetapi satu. Oleh itu mereka yang telah disatukan oleh Tuhan, tidak boleh dipisahkan oleh manusia.’ (Mat. 19:4-6, ABB) Mengingini suami atau isteri orang lain merupakan dosa. (Ul. 5:21) Jika keinginan sebegini mula berakar dalam hati seseorang, dia harus menyingkirkan nafsu ini dengan serta-merta. (Mat. 5:27-30) Sungguhpun hal ini akan menyebabkannya menderita, pemikiran dan keinginan berdosa sebegini mesti dikongkong.​—Yer. 17:9.

18. Bagaimanakah kita harus memandang perkahwinan?

18 Ramai orang tidak mengenal Yehuwa. Sungguhpun demikian, mereka menunjukkan bahawa mereka menghargai ikatan perkahwinan. Bagaimana pula dengan kita sebagai penyembah Yehuwa? Semoga kita bersukacita dan menunjukkan bahawa kita benar-benar menghargai perkahwinan sebagai anugerah daripada “Tuhan yang gembira”!​—1 Tim. 1:11, NW.

[Nota kaki]

^ per. 12 Untuk maklumat lanjut tentang perkahwinan, sila lihat bab 10 dan 11 dalam buku Terus Hidup di Bawah Naungan Kasih Tuhan.

[Soalan Pembelajaran]

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 5]

Rut menghargai institusi perkahwinan sebagai anugerah Tuhan

[Gambar pada muka surat 6]

Perkahwinan yang kukuh memuliakan Yehuwa dan membawa kebahagiaan kepada seluruh keluarga

[Gambar pada muka surat 7]

Adakah anda benar-benar menghargai perkahwinan sebagai anugerah Tuhan?