Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Khazanah Rohani Kita

“Saya Makin Menyukai Kerja Peneraju Setiap Hari”

“Saya Makin Menyukai Kerja Peneraju Setiap Hari”

PADA tahun 1886, seratus buah buku Millennial Dawn, Jilid 1, dihantar dari Rumah Bible di Allegheny, Pennsylvania, A.S. ke Chicago, Illinois. Charles Taze Russell ingin mengedarkan jilid baru ini di kedai buku. Sebuah syarikat pengedar buku agama yang besar di Amerika setuju untuk mengedarkan buku Millennial Dawn. Tetapi dua minggu kemudian, semua buku itu dikembalikan ke Rumah Bible. Apakah yang berlaku?

Seorang penginjil gereja yang terkemuka naik marah kerana buku-bukunya dipamerkan bersama buku Millennial Dawn. Dia mengugut bahawa jika buku-buku itu tidak dikeluarkan, dia dan semua kawannya akan menarik balik buku mereka dan syarikat itu tidak boleh menjadi pengedar bagi buku mereka lagi. Terpaksalah syarikat itu mengembalikan semua buku Dawn. Selain itu, buku-buku itu juga diiklankan dalam akhbar. Tetapi, para penentang memastikan bahawa kontrak iklan itu dibatalkan. Jadi bagaimanakah buku yang baru ini boleh sampai ke tangan orang yang mencari kebenaran?

Para peneraju menjadi penyelesaiannya. * Pada tahun 1881, Zion’s Watch Tower menjemput 1,000 penyiar untuk menjadi peneraju. Walaupun hanya beberapa ratus orang menyahut seruan itu, bahan bacaan Bible tetap disebarkan ke merata tempat. Pada tahun 1897, kira-kira sejuta buku Dawn telah diedarkan oleh para peneraju. Sumbangan kewangan yang diterima daripada langganan Watch Tower atau buku yang ditawarkan membiayai kehidupan mereka.

Para peneraju terdiri daripada orang muda, tua, bujang, dan suami isteri tanpa anak. Ramai keluarga juga ikut bersama. Peneraju biasa akan menginjil sepanjang hari, manakala peneraju sokongan menginjil untuk satu atau dua jam sehari. Memang bukan semua penyiar dapat menjadi peneraju. Tetapi pada konvensyen tahun 1906, hadirin diingatkan bahawa seseorang tidak perlu “sangat terpelajar, atau berbakat, atau berucap seperti malaikat” untuk menjadi peneraju.

Para peneraju di hampir setiap benua mendapat sambutan yang baik. Seorang saudara yang berjaya menawarkan kira-kira 15,000 buah buku dalam masa tujuh tahun berkata, “Saya tidak menjadi seorang peneraju untuk menjual buku, sebaliknya saya mahu memberi kesaksian tentang Yehuwa dan kebenaran.” Di mana sahaja peneraju pergi, di situlah benih kebenaran bercambah dan menghasilkan banyak Pelajar Bible.

Pemimpin agama menghina para peneraju dan memanggil mereka penjual buku. Watch Tower tahun 1892 menyatakan, “Tidak ramai yang mengaku bahawa mereka ialah wakil sebenar Tuan Yesus, atau bahawa Tuan menganggap kerendahan hati dan pengorbanan mereka sebagai sesuatu yang mulia.” Memang, kehidupan peneraju tidak senang. Selalunya peneraju berjalan atau berbasikal. Apabila wang tidak mencukupi, mereka akan menukar buku untuk mendapatkan makanan. Selepas menginjil sehari suntuk, mereka akan kembali ke khemah atau bilik yang disewa. Kemudian muncullah Rumah Bergerak Peneraju yang dapat menjimatkan masa dan wang. *

Bermula pada tahun 1893, terdapat bahagian konvensyen di Chicago yang dikhaskan untuk para peneraju. Dalam bahagian ini, para peneraju saling berkongsi pengalaman, kaedah mengajar, dan nasihat yang berkesan. Pernah sekali, saudara Russell berkata bahawa peneraju perlu makan kenyang-kenyang sebelum keluar menginjil, berehat sebentar untuk minum susu, dan menikmati aiskrim bersama minuman berkarbonat jika cuaca panas.

Peneraju yang memerlukan teman menginjil memakai reben kuning. Peneraju baru akan bekerja dengan peneraju berpengalaman. Aturan ini memang diperlukan. Pernah sekali, peneraju baru yang gementar berkata kepada seorang wanita, “Saya rasa, kamu tidak mahu buku ini, bukan?” Mujurlah wanita tersebut menerima buku itu dan menjadi saudari kita.

Seorang saudara tertanya-tanya, “Patutkah saya terus bekerja dan menderma 1,000 dolar Amerika setiap tahun kepada kerja Tuhan, atau patutkah saya menjadi seorang peneraju?” Dia diberitahu bahawa Tuhan menghargai kedua-duanya tetapi jika dia menggunakan masanya untuk memajukan kerja Tuhan, dia akan menikmati lebih banyak berkat. Mary Hinds menyatakan bahawa kerja peneraju “merupakan cara terbaik untuk membawa manfaat yang terbesar kepada seberapa banyak orang yang boleh.” Dan Alberta Crosby yang bersifat pemalu berkata, “Saya makin menyukai kerja Peneraju setiap hari.”

Hari ini terdapat ramai perintis dalam kalangan kita yang merupakan anak atau pelajar Bible kepada peneraju. Mereka tetap berpegang pada warisan rohani sendiri. Jika tiada orang dalam keluarga anda yang pernah merintis, bolehkah anda mencuba untuk merintis? Jika anda berbuat demikian, anda juga akan makin menyukai kerja menginjil sepenuh masa.

[Nota kaki]

^ per. 5 Selepas tahun 1931, istilah “peneraju,” atau colporteur, diganti dengan istilah “perintis.”

^ per. 8 Rumah bergerak ini akan diterangkan dalam rencana yang akan datang.

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 32]

Peneraju tidak perlu “sangat terpelajar, atau berbakat, atau berucap seperti malaikat”

[Gambar pada muka surat 31]

Peneraju yang bernama A. W. Osei di Ghana, sekitar tahun 1930

[Gambar pada muka surat 32]

Atas: Dua orang peneraju, Edith Keen dan Gertrude Morris di England, sekitar 1918; bawah: Stanley Cossaboom dan Henry Nonkes di Amerika Syarikat, bersama kotak-kotak kosong selepas buku diedarkan