Kisah Hidup
Saya Suka akan Saudara Saudari yang Lebih Tua
Diceritakan oleh Elva Gjerde
Lebih kurang 70 tahun dahulu, seorang pelawat memberikan cadangan yang telah mengubah hidup saya. Sejak hari itu, orang lain juga telah mempengaruhi kehidupan saya. Saya juga berpeluang memiliki seorang sahabat yang sangat istimewa. Izinkan saya untuk menceritakan kisah hidup saya.
SAYA dilahirkan di Sydney, Australia, pada tahun 1932. Ibu bapa saya percaya pada Tuhan tetapi tidak pergi ke gereja. Mak memberitahu saya bahawa Tuhan selalu melihat gerak-geri saya dan Dia akan menghukum saya jika saya nakal. Hal ini menyebabkan saya takut akan Tuhan. Namun, saya amat tertarik kepada Bible. Apabila mak cik saya melawat kami pada hujung minggu, dia memberitahu saya banyak cerita Bible yang menarik. Saya tidak sabar-sabar menantikan kunjungan mak cik saya.
Semasa saya masih remaja, bapa saya membaca satu siri buku yang diberikan oleh seorang saudari yang tua. Bapa saya suka kandungan buku itu dan mula mempelajari Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Suatu petang, saya mencuri dengar perbincangan Bible bapa saya. Bapa ternampak saya dan mahu saya balik ke bilik. Tetapi pelawat itu memberitahu bapa, “Biarlah Elva menyertai perbincangan kita.” Itulah cadangan yang telah mengubah hidup saya. Sejak masa itu, persahabatan saya dengan Tuhan Yehuwa mula bercambah.
Tidak lama selepas itu, saya dan bapa saya mula menghadiri perjumpaan. Bapa membuat perubahan dalam kehidupannya. Dia berusaha mengawal diri supaya tidak cepat marah. Oleh itu, mak dan abang saya, Frank, juga mula menghadiri perjumpaan. * Kami berempat membuat kemajuan dan akhirnya dibaptis. Sejak itu, ramai orang yang lebih tua dan berpengalaman telah mempengaruhi saya secara positif.
MEMILIH KERJAYA
Sejak remaja lagi, saya suka bergaul dengan orang yang lebih tua dalam sidang saya. Salah seorang saudari ialah Alice Place. Dialah saudari tua yang mula-mula mengunjungi kami. Dia seperti nenek bagi saya. Alice melatih saya untuk menginjil dan menggalakkan saya agar dibaptis. Saya dibaptis pada umur 15 tahun.
Saya juga rapat dengan sepasang suami isteri tua yang bernama Percy dan Madge [Margaret] Dunham. Pergaulan dengan mereka meninggalkan kesan yang besar ke atas masa depan saya. Sebenarnya, saya suka akan subjek matematik, dan saya bercita-cita menjadi guru matematik. Percy dan Madge pernah berkhidmat sebagai mubaligh di Latvia sekitar tahun 1930-an. Semasa Perang
Dunia Kedua tercetus di Eropah, mereka dijemput untuk berkhidmat di Bethel Australia. Mereka mengambil berat terhadap saya. Mereka menceritakan pengalaman mereka semasa menjadi mubaligh. Saya menyedari bahawa mengajar Bible jauh lebih memuaskan daripada mengajar matematik. Jadi saya memilih untuk menjadi seorang mubaligh.Pasangan Dunham menggalakkan saya untuk merintis dahulu. Jadi pada tahun 1948, semasa saya berumur 16 tahun, saya mula merintis bersama sepuluh orang muda lain di sidang saya di Hurstville, Sydney.
Empat tahun berikutnya, saya merintis di empat pekan yang berbeza di New South Wales dan Queensland. Salah seorang pelajar Bible saya yang pertama ialah Betty Law (sekarang Betty Remnant). Gadis yang penyayang ini berusia dua tahun lebih tua daripada saya. Dia kemudian menjadi rakan perintis saya di pekan Cowra yang terletak kira-kira 230 kilometer dari Sydney. Walaupun kami merintis bersama untuk masa yang singkat, kami masih rapat sehingga hari ini.
Kemudian saya ditugaskan sebagai perintis khas di Narrandera, sebuah pekan yang terletak 220 kilometer dari Cowra. Rakan baru saya, Joy Lennox (sekarang Joy Hunter), merupakan seorang perintis yang bersemangat, dan berusia dua tahun lebih tua daripada saya. Di pekan itu tiada Saksi lain. Saya dan Joy tinggal dengan Ray dan Esther Irons serta anak lelaki dan tiga anak perempuan mereka. Mereka semua berminat dalam kebenaran. Ray dan anak lelakinya bekerja di ladang gandum dan menjaga bebiri. Esther dan anak-anak perempuannya pula menguruskan sebuah rumah tumpangan. Untuk membayar sebahagian daripada sewa kami, Joy dan saya memasak setiap hari Ahad untuk keluarga Irons dan kira-kira 12 orang buruh landasan kereta api. Selepas makan, kami akan membincangkan majalah pembelajaran bersama keluarga Irons. Ray, Esther, dan empat orang anak mereka menjadi ahli sidang Narrandera yang pertama.
Pada tahun 1951, saya menghadiri konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa di Sydney. Saya menghadiri mesyuarat khas bagi perintis yang berminat menjadi mubaligh. Lebih daripada 300 orang hadir. Kami memasang telinga semasa Nathan Knorr dari Bethel Brooklyn menegaskan pentingnya untuk menyebarkan berita baik ke serata dunia. Ramai perintis yang hadir dalam mesyuarat itu kemudiannya membawa berita baik ke negara-negara di Pasifik Selatan dan kawasan yang lain. Saya bersyukur kerana menjadi antara 17 orang Australia yang dijemput ke kelas Gilead ke-19 pada tahun 1952. Saya baru berumur 20 tahun dan impian saya untuk menjadi seorang mubaligh telah menjadi kenyataan!
MEMBUAT PERUBAHAN
Sekolah Gilead membantu saya meningkatkan pengetahuan Bible, menguatkan iman, serta memperbaik personaliti saya. Saya amat muda dan tidak realistik. Saya sering mengharapkan kesempurnaan daripada orang lain dan juga diri sendiri. Kadangkala, pandangan saya terlalu sempit. Sebagai contoh, saya amat terkejut semasa ternampak Saudara Knorr bermain bola dengan sekumpulan ahli Bethel yang muda.
Pengajar di Gilead tentu nampak pergelutan saya. Mereka mengambil berat terhadap saya dan membantu saya mengubah cara berfikir. Lambat-laun, saya mula memahami bahawa Yehuwa Tuhan yang pengasih dan Dia menghargai kita. Dia tidak terlalu tegas atau suka mendesak. Beberapa orang teman sekelas saya juga membantu saya.
Seorang saudari pernah memberitahu saya, “Elva, Yehuwa bukannya menggunakan rotan untuk memimpin kita. Janganlah tegas sangat dengan dirimu!” Kata-katanya yang jujur telah menyentuh hati saya.Selepas Gilead, saya dan empat orang rakan sekelas ditugaskan ke Namibia, Afrika. Tidak lama kemudian, kami mempunyai 80 pembelajaran Bible. Saya suka Namibia dan kehidupan sebagai mubaligh, tetapi saya telah jatuh cinta dengan rakan kelas Gilead yang ditugaskan ke Switzerland. Selepas setahun di Namibia, saya menyertai tunang saya di Switzerland. Selepas berkahwin, saya menyertainya dalam kerja litar.
MENGHADAPI KEKECEWAAN
Selepas lima tahun dalam kerja litar, kami dijemput untuk berkhidmat di Bethel Switzerland. Saya berasa sangat gembira kerana dikelilingi saudara saudari yang lebih tua dan matang.
Tidak lama kemudian, saya mendapat berita yang amat mengejutkan. Suami saya berlaku curang dan tidak lagi setia kepada Yehuwa. Selepas itu, dia meninggalkan saya. Hati saya bagai dihiris sembilu. Saya tidak dapat bayangkan keadaan saya tanpa bantuan saudara saudari di Bethel. Mereka mendengar luahan hati saya dan mengizinkan saya untuk berehat apabila perlu. Kata-kata dan perbuatan baik mereka menguatkan saya dan membantu saya lebih menghampiri Yehuwa.
Saya juga ingat akan nasihat daripada kawan-kawan yang telah banyak menempuh asam garam kehidupan. Pernah sekali, Madge Dunham memberitahu saya, “Elva, dalam khidmat kepada Yehuwa, kamu akan menghadapi banyak cubaan. Tetapi, cubaan yang paling susah mungkin datang daripada orang yang terdekat. Pada saat-saat itu, hampirilah Yehuwa. Ingatlah, kamu berkhidmat kepada Dia dan bukannya kepada manusia yang tidak sempurna.” Nasihatnya telah membantu saya mengemudikan hidup saya pada detik-detik yang gelap itu. Saya bertekad untuk berpaut kepada Yehuwa tidak kira apa yang telah dilakukan oleh suami saya.
Tidak lama kemudian, saya menaiki kapal laut untuk kembali ke Australia dan merintis dekat dengan keluarga saya. Dalam perjalanan pulang, saya menikmati perbualan Bible yang menarik dengan sekumpulan penumpang lain. Antara mereka ialah seorang lelaki pendiam yang bernama Arne Gjerde dari Norway. Dia suka apa yang didengarinya. Arne kemudian melawat saya dan keluarga saya di Sydney. Dia membuat kemajuan rohani yang pesat dan memeluk kebenaran. Pada tahun 1963, saya dan Arne berkahwin. Dua tahun kemudian, saya melahirkan anak lelaki kami, Gary.
SATU LAGI CUBAAN
Arne, Gary, dan saya hidup bahagia. Tidak lama kemudian, Arne menambahkan bilik di rumah kami agar ibu bapa saya yang sudah lanjut usia dapat menetap bersama kami. Selepas enam tahun berumah tangga dengan Arne, doktor memberitahunya bahawa dia menghidap barah otak dan memerlukan rawatan radiasi. Tiap-tiap hari, saya melawatnya di hospital. Dia mula sembuh tetapi kemudian keadaannya merosot sehingga dia terkena strok. Saya diberitahu bahawa dia hanya
dapat hidup untuk beberapa minggu. Tetapi Arne mula pulih dan akhirnya dapat kembali ke rumah. Saya menjaganya sehingga dia dapat berjalan dan memikul tanggungjawab semula sebagai seorang penatua. Sikapnya yang ceria dan suka berjenaka membantunya cepat sembuh dan memudahkan saya untuk menjaganya.Pada tahun 1986, Arne sakit tenat sekali lagi. Pada masa itu, ibu bapa saya telah meninggal dan kami telah berpindah dari Sydney ke Blue Mountains yang lebih dekat dengan kawan-kawan kami. Gary telah berkahwin dengan seorang saudari matang yang bernama Karin dan mereka menjemput saya dan Arne untuk tinggal bersama mereka. Dalam masa beberapa bulan, kami semua berpindah ke sebuah rumah yang berhampiran.
Selama setahun setengah sebelum Arne meninggal, dia terlantar di katil dan memerlukan penjagaan sepenuh masa. Pada masa itu, saya terpaksa berada di rumah. Jadi saya meluangkan masa dua jam setiap hari untuk mempelajari Bible dan bahan bacaan Bible. Oleh itu, saya mendapat banyak nasihat yang bijak tentang cara untuk menangani masalah yang sedang saya hadapi. Ramai saudara saudari yang lebih tua dan pernah mengalami cubaan serupa datang untuk melawat saya. Lawatan mereka menaikkan semangat saya. Arne meninggal pada April 2003 dengan harapan untuk dibangkitkan kelak.
PENOLONG YANG AGUNG
Semasa saya muda, saya tidak bersikap realistik. Tetapi, saya telah mempelajari bahawa hidup tidak selalunya seperti yang kita impikan. Saya menikmati banyak berkat dan juga mengalami dua tragedi yang besar—seorang suami berlaku curang dan seorang lagi diragut maut. Sepanjang hidup, saya mendapat bimbingan dan kelegaan hati daripada pelbagai sumber. Tetapi bantuan terbesar diberikan oleh Tuhan Yehuwa—Tuhan “yang hidup selama-lamanya.” (Dan. 7:9) Nasihat-Nya membentuk personaliti saya dan membolehkan saya menikmati hidup sebagai mubaligh. Apabila masalah timbul, ‘kasih Tuhan menopang saya. Dia menghiburkan dan menggembirakan hati saya.’ (Mzm. 94:18, 19) Saya juga merasai kasih dan dukungan keluarga serta sahabat sejati pada masa kesusahan. (Ams. 17:17) Ramai antara kawan saya terdiri daripada orang yang lebih tua dan bijak.
“Hikmat ada pada orang tua . . . Pengertian ada pada orang tua,” kata Ayub. (Ayb. 12:12, 13) Semasa mengimbas kembali hidup saya, saya setuju dengan kata-kata Ayub. Nasihat mereka yang lebih tua dan bijak telah membantu, melegakan, dan menguatkan saya. Persahabatan mereka juga telah menjadikan hidup saya lebih bermakna. Saya bersyukur kerana dapat menikmati pergaulan mereka.
Saya kini berumur 80 tahun, dan saya juga sudah tua. Pengalaman saya membantu saya peka terhadap keperluan warga emas yang lain. Saya masih suka melawat dan membantu mereka. Tetapi saya juga gemar bergaul dengan orang muda yang bertenaga dan bersemangat. Apabila kaum muda meminta bimbingan atau sokongan saya, saya berasa sangat gembira untuk membantu mereka.
[Nota kaki]
^ per. 7 Abang Elva, Frank Lambert, kemudiannya menjadi seorang perintis yang bersemangat di kawasan pedalaman Australia.
[Gambar pada muka surat 14]
Merintis dengan Joy Lennox di Narrandera
[Gambar pada muka surat 15]
Elva bersama ahli Bethel Switzerland pada tahun 1960
[Gambar pada muka surat 16]
Menjaga Arne semasa dia sakit