Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Utamakan Khidmat Yehuwa—Mengapa?

Utamakan Khidmat Yehuwa—Mengapa?

Utamakan Khidmat Yehuwa​—Mengapa?

“Aku akan mengisahkan kebaikan-Mu; sepanjang hari aku akan menceritakan penyelamatan daripada-Mu.”​—MZM. 71:15.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

Apakah faktor-faktor yang telah menentukan keutamaan hidup Nuh, Musa, Yeremia, dan Paulus?

Apakah yang boleh anda lakukan untuk menentukan keutamaan hidup anda?

Mengapakah anda bertekad untuk mengutamakan khidmat Yehuwa?

1, 2. (a) Apakah yang mungkin anda beritahu Yehuwa semasa membaktikan diri kepada-Nya? (b) Bagaimanakah contoh Nuh, Musa, Yeremia, dan rasul Paulus dapat membantu kita?

APABILA anda membaktikan diri dan dibaptis, anda mengambil suatu langkah yang sangat serius. Pembaktian anda merupakan keputusan yang paling penting dalam hidup. Anda seolah-olah memberitahu Yehuwa, “Yehuwa, jadilah Tuanku setiap hari dan setiap saat. Aku hamba-Mu. Aku mahu Engkau menentukan keutamaan hidupku. Tentukanlah bagaimana aku harus menggunakan masa, bakat, wang, dan tenagaku.”

2 Barangkali anda telah mengucapkan kata-kata sebegini semasa membaktikan diri kepada Yehuwa. Anda harus dipuji kerana anda membuat keputusan yang sangat bijak. Memandangkan Yehuwa ialah Tuan kita, bagaimanakah hal ini mempengaruhi cara kita menggunakan masa? Contoh Nuh, Musa, Yeremia, dan rasul Paulus dapat membantu kita menjawab soalan ini. Mereka semua memilih keutamaan hidup dengan bijak supaya dapat menyembah Yehuwa dengan segenap hati. Situasi kita juga mirip situasi mereka. Teladan mereka akan menggalakkan kita untuk meneliti bagaimana kita patut menggunakan masa.​—Mat. 28:19, 20; 2 Tim. 3:1.

SEBELUM BANJIR BESAR

3. Apakah persamaan zaman kita dengan zaman Nuh?

3 Yesus berkata, “Apabila Anak Manusia datang kelak, masa itu seperti zaman Nuh.” Orang pada masa itu “makan dan minum, lelaki dan perempuan berkahwin sehingga pada hari Nuh masuk ke dalam bahtera. Mereka tidak tahu akan apa yang sedang berlaku sehingga banjir membinasakan mereka semua.” (Mat. 24:37-39, ABB) Kebanyakan orang sekarang menjalani kehidupan seharian tanpa mengambil peduli bahawa kita sedang hidup pada masa yang genting. Mereka tidak menghiraukan amaran yang diberikan oleh hamba Tuhan. Seperti orang pada zaman Nuh, ramai yang percaya bahawa Tuhan tidak akan menghukum orang jahat. (2 Ptr. 3:3-7) Bagaimanakah Nuh menggunakan masanya walaupun dia menghadapi banyak cabaran?

4. Bagaimanakah Nuh menggunakan masanya setelah menerima tugas daripada Yehuwa, dan mengapa?

4 Selepas ditugaskan oleh Yehuwa, Nuh membina sebuah bahtera untuk menyelamatkan nyawa orang dan binatang-binatang. (Kej. 6:13, 14, 22) Nuh juga mengumumkan penghakiman Yehuwa. Rasul Petrus berkata bahawa ‘Nuh mengisytiharkan cara hidup yang dikehendaki Tuhan.’ Hal ini menunjukkan bahawa Nuh ingin membantu jirannya untuk mendapat penyelamatan. (Baca 2 Petrus 2:5.) Adakah Nuh dan keluarganya sibuk mengembangkan perniagaan sendiri, mendapatkan benda-benda terbaru di pasaran, atau mengejar kehidupan yang selesa? Sudah pasti tidak! Nuh dan keluarganya mengetahui apa yang bakal berlaku dan tidak membazirkan tenaga dan masa untuk hal-hal sebegini.

PILIHAN SEORANG PUTERA MESIR

5, 6. (a) Apakah tujuan pendidikan Musa di Mesir? (b) Mengapakah Musa menolak kesenangan hidup di Mesir?

5 Sekarang mari kita lihat contoh Musa. Dia membesar di istana Mesir sebagai anak angkat puteri Firaun. Sepanjang masa itu, “segala ilmu bangsa Mesir diajarkan kepada Musa.” (Kis. 7:22; Kel. 2:9, 10) Barangkali, pendidikan di Mesir bertujuan untuk membantunya berkhidmat di istana Firaun. Maka, dia berpeluang menjadi pemimpin yang terkemuka di Mesir, kuasa dunia pada masa itu, serta mendapat banyak kemewahan dan kesenangan hidup. Tetapi adakah hal-hal ini menjadi tumpuan Musa?

6 Sejak kecil lagi, Musa dididik oleh ibu bapa kandungnya. Maka Musa mungkin tahu tentang janji-janji Yehuwa kepada Abraham, Ishak, dan Yakub. Musa mempercayai janji-janji itu. Dan dia mungkin telah berfikir tentang masa depannya serta kesetiaannya kepada Yehuwa. Jadi apakah yang telah dilakukan Musa semasa dia berdepan dengan pilihan untuk menjadi seorang putera Mesir atau menjadi seorang hamba Israel? Musa memilih untuk ‘menderita bersama-sama umat Tuhan daripada menikmati kesenangan hidup berdosa untuk sementara waktu.’ (Baca Ibrani 11:24-26.) Kemudian, dia telah menjalani kehidupannya sebagaimana yang diperintahkan oleh Yehuwa. (Kel. 3:2, 6-10) Mengapakah Musa berbuat demikian? Sebab dia menaruh kepercayaan terhadap janji Tuhan dan tidak mahu membazirkan usahanya di Mesir. Tidak lama kemudian, Yehuwa telah menghukum Mesir dengan membawa sepuluh tulah. Memandangkan kita telah membaktikan diri kepada Yehuwa, apakah pengajarannya bagi kita? Kita tidak patut bertumpu pada kerjaya atau keseronokan sistem dunia ini, sebaliknya kita mesti berkhidmat kepada Yehuwa dengan sedaya upaya.

YEREMIA TAHU APA YANG AKAN BERLAKU

7. Bagaimanakah situasi Yeremia mirip dengan situasi kita?

7 Nabi Yeremia juga mengutamakan khidmat Yehuwa. Yehuwa menyuruh Yeremia mengkhabarkan berita penghakiman-Nya terhadap penduduk Yerusalem dan Yehuda yang murtad. Maka, Yeremia bagaikan hidup pada “hari-hari terakhir” zamannya. (Yer. 23:19, 20, NW) Yeremia tahu bahawa tidak lama lagi, Yerusalem dan Yudea akan dibinasakan.

8, 9. (a) Mengapakah pemikiran Barukh tidak wajar? (b) Apakah yang harus kita ingat apabila membuat rancangan?

8 Jadi apakah yang tidak dilakukan oleh Yeremia? Dia tidak mencuba membina masa hadapan dalam dunia yang bakal musnah. Hal sedemikian sememangnya tidak masuk akal. Namun buat satu tempoh masa, Barukh, iaitu setiausaha Yeremia, hilang tumpuannya. Maka, Tuhan menyuruh Yeremia memberitahu Barukh, ‘Aku, Yehuwa, sedang merobohkan apa yang telah Aku bina; Aku sedang mencabut apa yang telah Aku tanam. Aku akan melakukan perkara itu kepada seluruh bumi ini. Adakah engkau ingin diistimewakan? Jangan, kerana Aku mendatangkan bencana kepada semua umat manusia. Tetapi bagi engkau, setidak-tidaknya, ke mana sahaja engkau pergi, engkau akan selamat dan tetap hidup.’​—Yer. 45:4, 5, ABB.

9 Kita tidak tahu bagaimana Barukh “ingin diistimewakan.” Tetapi kita tahu bahawa apa yang diinginkannya merupakan hal-hal sementara yang akan lenyap semasa kuasa Babilon menawan kota Yerusalem pada tahun 607 SM. Jadi apakah pengajarannya bagi kita? Ya, kita harus merancang untuk memenuhi keperluan hidup. (Ams. 6:6-11) Tetapi wajarkah kita menggunakan banyak masa dan tenaga untuk mengejar perkara yang sementara? Memang organisasi Yehuwa membuat perancangan untuk membina Dewan Perjumpaan yang baru, bangunan pejabat cawangan, dan projek pembinaan yang lain. Namun, hal-hal ini berkaitan dengan kepentingan Kerajaan Tuhan. Kerajaan Tuhan juga harus menjadi keutamaan semua hamba Yehuwa. Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda sedang ‘mengutamakan Kerajaan Tuhan dan kehendak-Nya’?​—Mat. 6:33.

“AKU MENGANGGAP SEMUA ITU SEBAGAI SAMPAH SAHAJA”

10, 11. (a) Apakah keutamaan hidup Paulus sebelum dia menjadi orang Kristian? (b) Mengapakah dia mengubah keutamaan hidupnya?

10 Sekarang mari kita melihat teladan Paulus. Sebelum dia menjadi orang Kristian, dia nampaknya mempunyai masa hadapan yang cerah. Dia belajar hukum Yahudi daripada seorang guru yang terkenal pada zamannya. Dia juga diberikan kuasa oleh imam agung. Dan dia lebih maju daripada kebanyakan orang Yahudi yang sebaya dengannya. (Kis. 9:1, 2; 22:3; 26:10; Gal. 1:13, 14) Tetapi hidup Paulus berubah apabila dia sedar bahawa Yehuwa tidak lagi memberkati bangsa Yahudi.

11 Paulus sedar bahawa dalam pandangan Yehuwa, mengejar kerjaya dalam sistem orang Yahudi tidak berfaedah dan tidak berkekalan. (Mat. 24:2) Bekas Farisi ini bahkan mengatakan bahawa setelah memahami tujuan Tuhan dan diberi peluang untuk mengkhabarkan berita baik, apa yang dahulunya dianggap penting kini menjadi “sebagai sampah sahaja.” Paulus meninggalkan agama Yahudi lalu menghabiskan seumur hidupnya untuk mengkhabarkan berita baik.​—Baca Filipi 3:4-8, 15; Kis. 9:15.

APAKAH KEUTAMAAN HIDUP ANDA?

12. Apakah keutamaan hidup Yesus selepas dibaptis?

12 Nuh, Musa, Yeremia, Paulus, dan ramai hamba Yehuwa yang lain menggunakan sebahagian besar masa dan tenaga mereka untuk hal-hal teokratik. Mereka menyediakan teladan yang baik bagi kita. Sudah tentu teladan yang paling baik ialah Yesus Kristus. (1 Ptr. 2:21) Apakah keutamaan hidup Yesus selepas dia dibaptis? Dia menyebarkan berita baik dan memuliakan Yehuwa dengan sepenuh hati. Maka orang Kristian yang mengakui Yehuwa sebagai Tuan perlu sedar bahawa khidmat-Nya patut diutamakan. Apakah keutamaan hidup anda? Dan bagaimanakah anda boleh menyeimbangkan aktiviti teokratik dengan aktiviti seharian?​—Baca Mazmur 71:15; 145:2.

13, 14. (a) Semua orang Kristian yang telah membaktikan diri digalakkan untuk membuat apa? (b) Bagaimanakah seorang Kristian dapat berpuas hati?

13 Organisasi Yehuwa sering kali menggalakkan orang Kristian untuk berdoa dan memikirkan sama ada mereka dapat merintis. Namun, situasi sesetengah hamba Yehuwa yang setia tidak mengizinkan mereka untuk meluangkan 70 jam sebulan dalam kerja penyebaran. Mereka tidak patut berasa susah hati. (1 Tim. 5:8) Tetapi bagaimana pula dengan anda? Adakah situasi anda mengizinkan anda untuk merintis?

14 Fikirkanlah sukacita besar yang diraih oleh ramai penyiar semasa musim Peringatan tahun ini. Pada bulan Mac, aturan khas telah dibuat supaya para penyiar dapat meluangkan sebanyak 30 atau 50 jam sebagai perintis sokongan. (Mzm. 110:3) Jutaan penyiar menjadi perintis sokongan pada masa itu, dan sidang-sidang dipenuhi sukacita. Bolehkah anda membuat aturan supaya menjadi perintis sokongan dengan lebih kerap? Bayangkan jika anda dapat berkata kepada Yehuwa pada akhir setiap hari, “Yehuwa, aku telah melakukan kerja-Mu dengan sepenuh jiwa raga.” Anda tentu akan berasa puas hati.

15. Mengapakah kaum muda Kristian menerima pendidikan sekular?

15 Adakah anda bakal meninggalkan bangku sekolah? Jika anda sihat dan tidak mempunyai banyak tanggungjawab, pernahkah anda mempertimbangkan sama ada anda dapat menjadi seorang perintis biasa? Mungkin guru kaunseling di sekolah percaya bahawa anda patut mengejar pendidikan tinggi supaya mendapat kerjaya yang bagus. Namun, semua itu bertapak atas sistem sosial dan kewangan yang tidak berkekalan. Sebaliknya, jika anda mengejar kerjaya teokratik, anda akan mengejar matlamat yang berbaloi dan berkekalan. Anda juga akan mengikuti teladan Yesus yang sempurna. Keputusan bijak ini akan membawa sukacita kepada anda dan melindungi anda. Anda dapat membuktikan bahawa anda bertekad untuk hidup selaras dengan pembaktian anda kepada Yehuwa.​—Mat. 6:19-21; 1 Tim. 6:9-12.

16, 17. Apakah soalan-soalan yang timbul mengenai kerja sekular dan matlamat lain?

16 Ramai hamba Yehuwa hari ini bekerja keras untuk menjaga keperluan asas keluarga. Namun, ada yang sebenarnya dapat mengurangkan masa bekerja. (1 Tim. 6:8) Dunia komersial mencuba meyakinkan kita bahawa kita tidak dapat hidup tanpa membeli barangan terbaru yang diiklankan. Tetapi, dunia Syaitan tidak berhak menentukan keutamaan orang Kristian sejati. (1 Yoh. 2:15-17) Jika anda sudah bersara, bolehkah anda mengutamakan khidmat Tuhan dengan menjadi seorang perintis?

17 Semua orang yang sudah membaktikan diri kepada Yehuwa harus bertanya: Apakah keutamaan hidup saya? Adakah saya mengutamakan Kerajaan Tuhan? Adakah saya rela membuat pengorbanan seperti Yesus? Adakah saya sentiasa mengikut teladan Yesus? Bolehkah saya mengubah jadual waktu supaya dapat meluangkan lebih banyak masa dalam kerja penyebaran dan aktiviti teokratik yang lain? Jika buat masa ini situasi saya tidak mengizinkan saya mengembangkan khidmat kepada Yehuwa, adakah saya masih menunjukkan bahawa saya rela membuat pengorbanan bagi-Nya?

“MAHU DAN SANGGUP” MELAKUKAN KEHENDAK TUHAN

18, 19. Apakah yang boleh anda doakan, dan mengapakah doa sedemikian diperkenankan Yehuwa?

18 Semangat umat Tuhan yang berkobar-kobar menggembirakan hati kita. Namun, ada yang tidak menjadi perintis walaupun mereka mampu berbuat demikian. Mungkin mereka tidak berminat atau berasa tidak layak. (Kel. 4:10; Yer. 1:6) Jadi apakah yang dapat dilakukan? Berdoalah. Paulus memberitahu rakan seimannya, ‘Tuhan sentiasa bekerja di kalangan kamu untuk membuat kamu mahu dan sanggup melakukan apa yang dikehendaki-Nya.’ (Flp. 2:13, ABB) Jadi jika anda tidak berminat untuk mengembangkan khidmat anda, mohonlah kepada Yehuwa supaya anda mahu dan sanggup berbuat demikian.​—2 Ptr. 3:9, 11.

19 Nuh, Musa, Yeremia, Paulus, dan Yesus telah mengutamakan khidmat Yehuwa. Mereka menumpukan masa dan tenaga untuk mengumumkan berita penghakiman Yehuwa. Tiada apa-apa yang boleh mengalihkan perhatian mereka. Akhir sistem dunia ini sudah di ambang pintu. Sebagai orang Kristian yang telah membaktikan diri kepada Yehuwa, berikhtiarlah untuk terus meniru suri teladan mereka. (Mat. 24:42; 2 Tim. 2:15) Dengan demikian, kita akan menyenangkan hati Yehuwa dan menuai berkat-Nya yang melimpah.​—Baca Maleakhi 3:10.

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 21]

Orang tidak mengendahkan amaran Nuh

[Gambar pada muka surat 24]

Pernahkah anda mempertimbangkan sama ada anda dapat menjadi perintis biasa?