Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Yehuwa “Menyatakan Segala Rahsia”

Yehuwa “Menyatakan Segala Rahsia”

Yehuwa “Menyatakan Segala Rahsia”

“Sesungguhnya Tuhanmu agung antara semua dewa . . . dan Dia menyatakan segala rahsia.”​—DAN. 2:47.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

Apakah yang disingkapkan oleh Yehuwa mengenai masa depan?

Apakah yang dilambangkan oleh enam kepala binatang buas yang dibincangkan dalam rencana ini?

Apakah kaitan antara binatang buas dan patung yang dimimpikan Nebukadnezar?

1, 2. Apakah yang telah disingkapkan oleh Yehuwa? Mengapakah dia berbuat demikian?

KERAJAAN-KERAJAAN manakah yang akan memerintah bumi semasa Kerajaan Tuhan memusnahkan semua kerajaan manusia? Yehuwa yang “menyatakan segala rahsia” memberitahu kita jawapannya. Dia membantu kita mengenal pasti kerajaan-kerajaan tersebut melalui nubuat yang ditulis oleh nabi Daniel dan rasul Yohanes.

2 Yehuwa menyingkapkan kepada mereka beberapa penglihatan yang melibatkan binatang-binatang simbolik. Dia juga memberitahu Daniel maksud di sebalik mimpi mengenai sebuah patung logam yang besar. Yehuwa memastikan penglihatan itu dicatat dalam Bible untuk faedah kita. (Rm. 15:4) Dia berbuat demikian supaya kita bertambah yakin bahawa Kerajaan Tuhan akan memusnahkan semua kerajaan manusia tidak lama lagi.​—Dan. 2:44.

3. Apakah yang perlu kita faham sebelum kita boleh memahami nubuat-nubuat lain? Mengapa?

3 Semua penglihatan Daniel dan Yohanes membantu kita mengenal pasti lapan orang raja, atau kerajaan manusia, mengikut susunan kemunculan mereka di pentas dunia. Namun, kita dapat memahami nubuat-nubuat itu hanya jika kita memahami nubuat Bible yang pertama. Mengapa? Penggenapan nubuat yang pertama itu mempunyai kaitan dengan tema Bible. Nubuat itulah yang menjadi tunjang kepada semua nubuat yang lain.

BENIH ULAR DAN BINATANG BUAS

4. Siapakah yang membentuk benih perempuan, dan apakah yang akan dilakukan oleh benih itu?

4 Tidak lama selepas pemberontakan di Taman Eden, Yehuwa berjanji bahawa seorang “perempuan” akan menghasilkan ‘keturunan,’ atau benih, yang akhirnya akan “meremukkan kepala” Syaitan. * (Baca Kejadian 3:15.) Yehuwa menyingkapkan bahawa benih ini merupakan keturunan Abraham dan Raja Daud, dan juga berasal dari suku Yehuda di Israel. (Kej. 22:15-18; 49:10; Mzm. 89:4, 5; Luk. 1:30-33) Bahagian utama benih itu ialah Yesus Kristus. (Gal. 3:16) Bahagian sekunder pula ialah orang Kristian terurap. (Gal. 3:26-29) Yesus dan kaum terurap membentuk Kerajaan Tuhan yang akan menghancurkan Syaitan.​—Luk. 12:32; Rm. 16:20.

5, 6. (a) Penglihatan Daniel dan Yohanes menyebut tentang berapa kuasa besar? (b) Apakah yang diwakili oleh kepala-kepala binatang buas?

5 Nubuat pertama di Taman Eden menyatakan bahawa Syaitan juga akan menghasilkan benih sendiri. Benihnya akan membenci benih perempuan. Siapakah benih ular ini? Semua orang yang meniru Syaitan, membenci Tuhan, dan menentang umat-Nya. Selama ini, kuasa-kuasa politik atau kerajaan-kerajaan digunakan oleh Syaitan sebagai benihnya. (Luk. 4:5, 6) Tetapi dalam penglihatan Daniel dan Yohanes, hanya lapan kuasa besar disebut. Mengapa? Kerana penglihatan yang diberikan hanya melibatkan kerajaan-kerajaan yang mempengaruhi umat Tuhan, sama ada bangsa Israel kuno atau sidang Kristian terurap.

6 Pada akhir abad pertama, Yesus memberi Yohanes beberapa penglihatan yang luar biasa. (Why. 1:1) Dalam satu penglihatan, Yohanes nampak Syaitan, yang dilambangkan oleh naga yang berdiri di pantai. (Baca Wahyu 12:18–13:2.) Yohanes juga nampak seekor binatang aneh yang keluar dari laut. Binatang itu mempunyai tujuh kepala dan mendapat kuasa yang besar daripada Iblis. Kemudian Yohanes nampak seekor binatang berwarna merah yang juga mempunyai tujuh kepala. Binatang ini merupakan imej binatang aneh yang disebut di Wahyu 13:1. Satu malaikat memberitahu Yohanes bahawa tujuh kepala binatang yang berwarna merah itu mewakili “tujuh orang raja,” atau kerajaan. (Why. 13:14, 15; 17:3, 9, 10) Pada masa Yohanes menulis tentang perkara itu, lima orang antara mereka sudah tiada, seorang lagi masih memerintah, dan seorang lagi “belum datang.” Siapakah raja-raja ini? Mari kita kupas siapa yang diwakili oleh setiap kepala binatang buas yang disebut dalam buku Wahyu. Kita juga akan melihat bagaimana nubuat Daniel memberikan maklumat lanjut tentang beberapa kuasa dunia ini berabad-abad sebelum mereka muncul.

MESIR DAN ASYUR​—KEPALA YANG PERTAMA DAN KEDUA

7. Apakah yang dilambangkan oleh kepala pertama, dan mengapa?

7 Kepala pertama binatang itu melambangkan Mesir. Mengapa? Kerana Mesir merupakan kuasa dunia pertama yang membenci umat Tuhan. Benih perempuan akan datang melalui keturunan Abraham. Tetapi apabila keturunan Abraham menjadi ramai di Mesir, orang Mesir mula menindas mereka. Syaitan ingin mencegah kelahiran benih ini lalu mendorong Firaun untuk membunuh semua bayi lelaki orang Israel. Tetapi Yehuwa menyelamatkan umat-Nya dengan membebaskan mereka dari Mesir. (Kel. 1:15-20; 14:13) Kemudian Dia membawa mereka ke Tanah yang Dijanjikan.

8. Apakah yang dilambangkan oleh kepala kedua? Apakah yang ingin dilakukannya?

8 Kepala kedua binatang itu melambangkan Asyur. Kerajaan yang berkuasa ini juga mencuba membanteras umat Tuhan. Walaupun Yehuwa telah menggunakan Asyur untuk menghukum sepuluh suku bangsa Israel yang memberontak dan menyembah berhala, serangan Asyur ke atas Yerusalem bertentangan dengan tujuan-Nya. Syaitan tahu bahawa benih yang dijanjikan akan datang melalui keturunan raja Yerusalem. Oleh itu Syaitan mungkin menggunakan Asyur untuk melenyapkan keturunan Daud. Maka, Yehuwa mengutus malaikat-Nya untuk memusnahkan tentera Asyur.​—2 Raj. 19:32-35; Yes. 10:5, 6, 12-15.

BABILON​—KEPALA YANG KETIGA

9, 10. (a) Yehuwa membenarkan orang Babilon membuat apa? (b) Apakah yang perlu berlaku supaya nubuat tentang Mesias digenapi?

9 Dalam penglihatan Yohanes, kepala ketiga binatang itu melambangkan kerajaan Babilon. Yehuwa telah memberitahu orang Israel yang mengingkari-Nya bahawa Dia akan membenarkan orang Babilon untuk menakluki dan menawan mereka. (2 Raj. 20:16-18) Selepas Tuhan mengizinkan hal itu berlaku, buat suatu jangka masa yang panjang, bangsa Israel tidak mempunyai raja di ‘takhta yang telah ditetapkan oleh-Nya.’ (1 Taw. 29:23) Yehuwa menubuatkan bahawa keadaan ini akan berterusan sehingga seorang raja yang baru muncul daripada keturunan Raja Daud.​—Yes. 11:1.

10 Satu nubuat menunjukkan bahawa Rumah Tuhan di Yerusalem masih digunakan sebagai pusat ibadat orang Yahudi apabila Mesias, atau Individu Yang Terurap datang. (Dan. 9:24-27) Sebelum orang Israel menjadi tawanan di Babilon, Tuhan juga menubuatkan bahawa Mesias akan dilahirkan di Betlehem. (Mi. 5:1) Orang Yahudi harus dibebaskan, kembali ke tanah air, dan membina semula Rumah Tuhan supaya nubuat-nubuat ini digenapi. Tetapi, orang Babilon biasanya tidak membebaskan tawanan mereka. Jadi apakah yang berlaku? Yehuwa memberikan jawapannya kepada para nabi.​—Am. 3:7.

11. Bagaimanakah buku Daniel dan buku Wahyu menggambarkan kuasa dunia Babilon? (Lihat nota kaki.)

11 Nabi Daniel merupakan antara tawanan yang dibawa ke Babilon. (Dan. 1:1-6) Menerusi Daniel, Yehuwa menunjukkan kuasa-kuasa dunia yang akan muncul selepas kejatuhan Babilon. Yehuwa menyingkapkan rahsia ini dengan menggunakan beberapa lambang. Contohnya Yehuwa memberi Raja Babilon, iaitu Nebukadnezar, sebuah mimpi tentang patung besar yang diperbuat daripada pelbagai logam. (Baca Daniel 2:1, 19, 31-38.) Yehuwa menyingkapkan kepada Daniel bahawa kepala emas patung itu melambangkan Empayar Babilon. * Dada dan lengan perak patung itu melambangkan kuasa dunia yang seterusnya. Apakah kuasa dunia yang dimaksudkan? Bagaimanakah kuasa dunia itu akan melayan umat Tuhan?

MEDIA PERSIA​—KEPALA YANG KEEMPAT

12, 13. (a) Apakah yang disingkapkan oleh Yehuwa mengenai kejatuhan Babilon? (b) Mengapakah kepala keempat binatang buas itu tepat menggambarkan Media Persia?

12 Lebih daripada seabad sebelum zaman Daniel, Yehuwa memberitahu Yesaya cara Babilon akan ditawan dan nama pemerintah yang akan menawannya. Pemerintah itu ialah Kores dari Persia. (Yes. 44:28–45:2) Daniel juga mendapat dua penglihatan mengenai kuasa dunia Media Persia. Dalam satu penglihatan, seekor beruang yang melambangkan kuasa ini disuruh, “Makanlah daging sebanyak yang kausuka!” (Dan. 7:5) Dalam penglihatan yang lain pula, gabungan kuasa Media dan Persia dilambangkan oleh domba jantan yang bertanduk dua.​—Dan. 8:3, 20.

13 Yehuwa telah menggunakan kuasa Media Persia untuk menggulingkan Babilon lalu membawa orang Israel balik ke tanah air mereka. (2 Taw. 36:22, 23) Walau bagaimanapun, Media Persia kemudiannya hampir-hampir melenyapkan umat Tuhan. Buku Ester mencatatkan rancangan perdana menteri Persia, iaitu Haman. Dia berkomplot untuk membunuh semua orang Yahudi di kerajaan Persia. Namun, Yehuwa telah menyelamatkan orang Yahudi sekali lagi daripada benih Syaitan. (Est. 1:1-3; 3:8, 9; 8:3, 9-14) Maka kepala keempat binatang buas itu tepat menggambarkan Media Persia.

YUNANI​—KEPALA YANG KELIMA

14, 15. Apakah butiran yang disingkapkan oleh Yehuwa mengenai Empayar Yunani?

14 Kepala kelima binatang buas mewakili kuasa Yunani. Pinggang dan pinggul gangsa patung besar dalam mimpi Raja Nebukadnezar juga melambangkan kuasa ini. Selain itu, Daniel mendapat dua penglihatan lain tentang kuasa dunia ini dan pemerintahnya yang terkenal.

15 Dalam satu penglihatan, kuasa Yunani yang menakluki dunia dengan pantas dilambangkan oleh seekor harimau bintang yang bersayap empat. (Dan. 7:6) Dalam penglihatan lain pula, Daniel menceritakan bahawa seekor kambing jantan dengan sebuah tanduk yang menonjol merempuh lalu membunuh seekor domba jantan bertanduk dua. Yehuwa memberitahu Daniel bahawa domba jantan itu melambangkan Media Persia. Kambing itu melambangkan kuasa Yunani dan tanduknya melambangkan salah seorang raja Yunani. Kemudian Daniel menyatakan bahawa tanduk ini akan patah dan digantikan oleh empat tanduk kecil. Semua yang dinubuatkan terbukti benar kira-kira dua abad kemudian. Iskandar Agung, raja Yunani yang terkenal, telah menyerang Media Persia. Namun “tanduk yang menonjol” ini patah semasa Iskandar Agung mati pada usia 32 tahun. Empat orang panglimanya kemudian membahagikan Empayar Yunani sesama sendiri.​—Baca Daniel 8:20-22.

16. Apakah yang telah dilakukan oleh Antiochus IV?

16 Selepas menakluki Persia, kuasa Yunani memerintah umat Tuhan. Pada masa itu, orang Yahudi sudah kembali ke Tanah yang Dijanjikan dan mereka telah membina semula Rumah Tuhan di Yerusalem. Mereka masih merupakan umat yang dipilih Tuhan, dan Rumah Tuhan masih merupakan pusat ibadat sejati. Namun, pada abad kedua SM, kepala kelima binatang buas, iaitu kuasa Yunani telah menyerang umat Tuhan. Antiochus IV, salah seorang pewaris kerajaan Iskandar Agung, menempatkan sebuah mazbah dewa palsu di Rumah Tuhan. Dia juga menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka yang menganut agama Yahudi. Bukankah benih Syaitan ini menunjukkan kebenciannya terhadap umat Tuhan? Tetapi tidak lama kemudian kuasa Yunani telah digantikan. Kuasa manakah yang menjadi kepala keenam binatang buas?

ROMA​—KEPALA KEENAM YANG ‘DAHSYAT DAN MENGERIKAN’

17. Bagaimanakah kepala keenam binatang buas memainkan peranan penting dalam penggenapan Kejadian 3:15?

17 Semasa Yohanes mendapat penglihatan mengenai binatang buas berkepala tujuh, Roma merupakan kuasa dunia. (Why. 17:10) Kepala keenam ini memainkan peranan yang besar dalam penggenapan nubuat di Kejadian 3:15. Syaitan menggunakan kuasa Roma untuk “mematuk tumit” benih. Bagaimana? Kerajaan Roma telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Yesus setelah dia dituduh menghasut. (Mat. 27:26) Tetapi “luka” itu kemudiannya sembuh apabila Yehuwa membangkitkan Yesus.

18. (a) Apakah bangsa baru yang dipilih Tuhan, dan mengapa? (b) Selepas Yesus mati dan dibangkitkan, bagaimanakah benih Syaitan terus bermusuhan dengan benih perempuan?

18 Pemimpin agama Israel berkomplot dengan Roma untuk membunuh Yesus. Kebanyakan rakyat Israel juga menolak Yesus. Maka, Yehuwa tidak lagi menerima orang Israel sebagai umat-Nya. (Mat. 23:38; Kis. 2:22, 23) Dia memilih sebuah bangsa yang baru, iaitu Israel milik Tuhan. (Gal. 3:26-29; 6:16) Bangsa ini merupakan sidang Kristian terurap yang terdiri daripada orang Yahudi dan orang bukan Yahudi. (Ef. 2:11-18) Selepas Yesus mati dan dibangkitkan, benih Syaitan terus bermusuhan dengan benih perempuan. Roma berkali-kali mencuba menghapuskan sidang orang Kristian yang merupakan bahagian sekunder benih. *

19. (a) Apakah penjelasan Daniel tentang kuasa dunia yang keenam? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana pada muka surat 14?

19 Paha dan betis besi patung besar dalam mimpi Nebukadnezar melambangkan kerajaan Roma. (Dan. 2:33) Tetapi Daniel juga mendapat penglihatan lain yang menerangkan dengan lebih lanjut tentang Empayar Roma serta kuasa dunia yang muncul daripada Roma. (Baca Daniel 7:7, 8.) Selama berabad-abad, Roma merupakan kuasa yang “sangat kuat, dahsyat, dan mengerikan.” Namun Daniel diberitahu bahawa “sepuluh buah tanduk” akan muncul daripada Empayar Roma dan kemudian sebuah tanduk yang kecil akan muncul dan menjadi kuasa besar. Sepuluh buah tanduk dan tanduk yang kecil itu melambangkan apa? Apakah kaitan antara tanduk kecil itu dengan patung yang dimimpikan Nebukadnezar? Rencana pada muka surat 14 akan menjelaskannya.

[Nota kaki]

^ per. 4 Perempuan ini melambangkan organisasi Yehuwa di syurga yang bagaikan isteri-Nya. Organisasi ini terdiri daripada makhluk-makhluk roh.​—Yes. 54:1; Gal. 4:26; Why. 12:1, 2.

^ per. 11 Kepala patung yang disebut dalam buku Daniel dan kepala ketiga binatang buas yang disebut dalam buku Wahyu melambangkan kerajaan Babilon. Sila lihat carta pada muka 12-13.

^ per. 18 Walaupun Roma telah membinasakan Yerusalem pada tahun 70 M, peristiwa itu tidak menggenapi nubuat di Kejadian 3:15. Pada masa itu, orang Israel bukan lagi bangsa pilihan Tuhan.

[Soalan Pembelajaran]