Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Yehuwa Menyingkapkan Apa yang “Segera Harus Berlaku”

Yehuwa Menyingkapkan Apa yang “Segera Harus Berlaku”

Yehuwa Menyingkapkan Apa yang “Segera Harus Berlaku”

‘Tuhan memberitahukannya kepada Kristus, dan Kristus menunjukkan apa yang segera harus berlaku itu kepada hamba-hamba Tuhan.’​—WHY. 1:1.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

Bahagian manakah pada patung besar yang melambangkan kuasa dunia Inggeris Amerika?

Menurut Yohanes, apakah hubungan antara kuasa dunia Inggeris Amerika dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu?

Bagaimanakah Daniel dan Yohanes menggambarkan pemusnahan kerajaan manusia?

1, 2. (a) Nubuat di buku Wahyu dan Daniel membolehkan kita memahami apa? (b) Apakah yang dilambangkan oleh enam kepala binatang buas?

NUBUAT di buku Wahyu dan Daniel membantu kita memahami banyak peristiwa yang sedang dan akan berlaku. Apakah yang boleh kita pelajari dengan membandingkan penglihatan Yohanes mengenai binatang buas, penglihatan Daniel mengenai binatang mengerikan yang bertanduk sepuluh, dan penjelasan Daniel tentang patung besar? Dan apakah yang patut kita lakukan selepas memahami nubuat-nubuat ini?

2 Mari kita tumpukan perhatian pada penglihatan Yohanes mengenai binatang buas. (Why., bab 13) Seperti yang dibincangkan dalam rencana sebelum ini, enam kepala binatang buas itu melambangkan Mesir, Asyur, Babilon, Media Persia, Yunani, dan Roma. Semua kuasa ini membenci benih perempuan. (Kej. 3:15) Berabad-abad selepas Yohanes mencatatkan penglihatannya, Roma masih berkuasa. Tetapi kepala ketujuh akan menggantikan Roma. Kepala ketujuh ini merujuk kepada kuasa mana? Bagaimanakah kuasa ini akan memperlakukan benih perempuan?

KEBANGKITAN KUASA INGGERIS DAN AMERIKA

3. Apakah yang dilambangkan oleh binatang yang mengerikan dan sepuluh tanduknya?

3 Kita boleh mengenal pasti kepala ketujuh binatang buas dalam buku Wahyu bab 13 dengan membandingkannya dengan binatang bertanduk sepuluh yang mengerikan dalam penglihatan Daniel. * (Baca Daniel 7:7, 8, 23, 24.) Binatang yang dilihat Daniel melambangkan Empayar Roma. (Lihat carta pada muka 12-13.) Pada abad kelima M, Empayar Roma mula berpecah belah. Sepuluh tanduk pada kepala binatang itu melambangkan semua kerajaan yang muncul daripada empayar tersebut.

4, 5. (a) Apakah yang dilakukan oleh tanduk yang kecil? (b) Kepala ketujuh binatang buas merujuk kepada kuasa mana?

4 Empat tanduk, atau kerajaan muncul daripada binatang yang mengerikan itu. Tiga daripada tanduk itu disingkirkan oleh sebuah “tanduk yang kecil.” Hal ini digenapi apabila Inggeris, bekas kota pertahanan Empayar Roma, menjadi kuat. Pada abad ke-17, pengaruh Inggeris masih tidak besar. Tiga negara lain yang dulunya di bawah Empayar Roma, iaitu Sepanyol, Belanda, dan Perancis jauh lebih kuat. Kuasa Inggeris telah menyingkirkan mereka satu demi satu, dan melemahkan kedudukan mereka. Pada pertengahan abad ke-18, Inggeris menjadi semakin berkuasa. Namun, kuasa ini belum lagi menjadi kepala ketujuh binatang buas.

5 Tidak lama kemudian, tanah jajahan Inggeris di Amerika Utara telah mencapai kemerdekaan dan membentuk Amerika Syarikat. Namun, Amerika Syarikat terus bertambah kuat kerana masih dilindungi tentera laut Inggeris. Apabila hari Tuan bermula pada tahun 1914, kuasa Inggeris merupakan empayar yang paling besar, dan Amerika pula menjadi negara perindustrian yang terbesar. * Semasa Perang Dunia I, Amerika telah bersepakat dengan Inggeris. Maka muncullah gabungan kuasa Inggeris Amerika sebagai kepala ketujuh binatang buas. Bagaimanakah kuasa ini melayan benih perempuan?

6. Apakah yang dilakukan oleh kepala ketujuh itu terhadap umat Tuhan?

6 Selepas permulaan hari Tuan, kepala ketujuh itu menyerang saudara-saudara terurap Kristus yang masih berada di bumi. (Mat. 25:40) Yesus menunjukkan bahawa golongan terurap di bumi akan aktif semasa kehadirannya. (Mat. 24:45-47; Gal. 3:26-29) Kuasa Inggeris Amerika telah menindas golongan terurap ini. (Why. 13:3, 7) Semasa Perang Dunia I, kuasa ini telah menganiaya umat Tuhan, mengharamkan bahan bacaan mereka, dan memenjarakan wakil golongan hamba. Kepala ketujuh ini hampir berjaya menghentikan kerja penyebaran. Yehuwa telah menyingkapkan peristiwa-peristiwa ini kepada Yohanes, dan memberitahunya bahawa bahagian sekunder benih wanita akan bangkit semula dan bergiat dalam aktiviti rohani. (Why. 11:3, 7-11) Apa yang dikatakan oleh Yehuwa benar-benar telah berlaku.

KUASA DUNIA INGGERIS AMERIKA, KAKI BESI DAN TANAH LIAT

7. Apakah yang boleh kita pelajari tentang kepala ketujuh binatang buas daripada kaki patung besar?

7 Apakah yang boleh kita pelajari tentang kepala ketujuh binatang buas dan kaki patung besar? Kuasa Inggeris, dan kemudiannya kuasa Amerika, merupakan cabang Empayar Roma. Kuasa-kuasa ini digambarkan oleh campuran besi dan tanah liat pada kaki patung besar itu. (Baca Daniel 2:41-42.) Penjelasan ini menunjukkan bahawa semasa kuasa Inggeris Amerika muncul sebagai kepala ketujuh, kekuatan kuasa dunia ini seperti “besi bercampur tanah liat.” Sepertimana besi bercampur tanah liat lebih lemah daripada besi tulen, kuasa Inggeris Amerika juga lebih lemah daripada kuasa dunia sebelumnya, iaitu Roma. Bagaimanakah hal ini berlaku?

8, 9. (a) Bagaimanakah kuasa dunia ketujuh membuktikan kuasanya yang seperti besi? (b) Apakah yang dilambangkan oleh tanah liat dalam kaki patung besar itu?

8 Ada masanya, kepala ketujuh ini memperlihatkan ciri-ciri besi, contohnya dengan memenangi Perang Dunia I dan Perang Dunia II. * Selepas itu, kuasa Inggeris Amerika masih menunjukkan kekuatan yang bagaikan besi. Namun sejak kemunculannya, besi sudah pun bercampur dengan tanah liat.

9 Penyembah Yehuwa telah lama ingin memahami apa yang dilambangkan oleh kaki patung besar itu. Daniel 2:41 menunjukkan bahawa kaki besi yang bercampur tanah liat mewakili sebuah kerajaan sahaja. Tanah liat melambangkan “keturunan manusia” atau rakyat biasa. (Baca Daniel 2:43. *) Dalam lingkungan kuasa Inggeris Amerika, orang telah bangkit untuk melawannya menerusi perjuangan hak-hak sivil, kesatuan sekerja, dan gerakan kemerdekaan. Selain itu, fahaman politik yang bertentangan dan pilihan raya yang sengit menyebabkan para pemimpin sukar melaksanakan dasar-dasar mereka. Semua faktor ini menjejaskan kekuatan Inggeris Amerika. Oleh itu, kekuatannya tidak setanding kuasa Roma yang bagaikan besi. Ya, apa yang dinubuatkan Daniel memang benar, “Sebahagian daripada kerajaan itu kuat dan sebahagian lagi lemah.”​—Dan. 2:42; 2 Tim. 3:1-3.

10, 11. (a) Apakah yang akan berlaku kepada kaki patung? (b) Apakah yang boleh kita simpulkan tentang bilangan jari kaki patung itu?

10 Pada abad ke-21, Inggeris dan Amerika terus bersepakat dalam hal ehwal dunia. Nubuat-nubuat mengenai binatang buas dan patung besar menunjukkan bahawa Inggeris Amerika tidak akan digantikan oleh kuasa dunia yang lain. Kuasa dunia Inggeris Amerika mungkin lebih lemah daripada Empayar Roma, namun kuasa ini tidak akan terlerai begitu sahaja.

11 Adakah bilangan jari kaki pada patung besar melambangkan sesuatu? Nampaknya tidak. Dalam penglihatan lain, Daniel menyebutkan beberapa angka yang penting, misalnya bilangan tanduk atas kepala binatang. Tetapi semasa menggambarkan patung besar, Daniel tidak menyebut tentang bilangan jari kaki. Bilangan jari kaki, seperti bilangan lengan, tangan, jari tangan, paha, atau kaki patung, tidak melambangkan apa-apa. Namun, Daniel menyatakan bahawa jari kaki itu merupakan besi bercampur tanah liat. Maka, kita boleh menyimpulkan bahawa Inggeris Amerika ialah kuasa dunia yang memerintah apabila “batu” yang mewakili Kerajaan Tuhan menimpa kaki patung itu.​—Dan. 2:45.

INGGERIS AMERIKA DAN BINATANG BUAS BERTANDUK DUA

12, 13. Apakah yang dilambangkan oleh binatang buas bertanduk dua? Apakah yang dilakukannya?

12 Walaupun kuasa Inggeris Amerika bagaikan besi bercampur tanah liat, penglihatan Yohanes menunjukkan bahawa kuasa ini akan terus memainkan peranan yang penting sepanjang hari-hari terakhir. Bagaimanakah kita tahu hal ini? Yohanes mendapat penglihatan mengenai binatang buas bertanduk dua yang suaranya seperti suara naga. Apakah yang dilambangkan oleh binatang aneh ini? Dua tanduknya melambangkan kuasa gabungan. Binatang ini melambangkan kuasa Inggeris Amerika yang memainkan peranan berbeza.​—Baca Wahyu 13:11-15.

13 Binatang buas bertanduk dua ini ‘menyuruh orang membuat’ sebuah patung binatang buas. Yohanes menulis bahawa patung binatang buas ini akan muncul, hilang, dan bangkit semula. Binatang ini mewakili sebuah organisasi yang disokong oleh kuasa Inggeris Amerika. Organisasi ini bertujuan menyatukan semua kerajaan di bumi. * Semasa Perang Dunia I, organisasi ini dikenali sebagai Liga Bangsa-Bangsa. Semasa Perang Dunia II bermula, organisasi ini hilang dari pentas dunia. Pada masa itu, hamba-hamba Yehuwa telah pun mengisytiharkan bahawa organisasi itu akan bangkit semula. Tepat seperti yang telah dinubuatkan dalam buku Wahyu, patung binatang buas ini bangkit semula sebagai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.​—Why. 17:8.

14. Mengapakah patung binatang buas merupakan “raja kelapan”?

14 Yohanes menggambarkan patung binatang buas itu sebagai “raja kelapan.” Apakah maksudnya? Binatang buas yang pertama tidak mempunyai lapan kepala. Raja kelapan ini sebenarnya patung sahaja. Kuasanya datang daripada negara-negara yang menganggotainya, terutamanya kuasa dunia Inggeris Amerika. (Why. 17:10, 11) Tetapi patung binatang buas ini diberi kuasa sebagai raja untuk menjalankan tugas tertentu. Raja kelapan ini bakal mencetuskan peristiwa yang akan mengubah sejarah manusia.

PATUNG BINATANG BUAS MEMBAHAM PELACUR

15, 16. Apakah yang dilambangkan oleh pelacur dalam buku Wahyu? Apakah yang berlaku kepada para penyokongnya?

15 Menurut Yohanes, seorang pelacur duduk di atas binatang buas berwarna merah, yang juga merupakan patung binatang buas. Pelacur ini dinamakan “Babel yang besar.” (Why. 17:1-6) Pelacur ini sebenarnya melambangkan semua agama palsu, terutamanya gereja-gereja Kristian. Agama palsu menyokong patung binatang buas itu dan mencuba mengawalnya.

16 Semasa hari Tuan, “sungai-sungai,” iaitu orang ramai yang menyokong Babel yang besar, menjadi kering. (Why. 16:12; 17:15) Contohnya, semasa patung binatang buas ini mula muncul, gereja-gereja Kristian mempunyai pengaruh yang besar di negara-negara Barat. Namun hari ini, pihak gereja dan ketua-ketua gereja tidak lagi dihormati dan disokong oleh orang ramai. Ramai yang berfikir bahawa agamalah yang menyebabkan atau menyumbang kepada masalah di dunia. Suara-suara golongan terpelajar di Barat yang menuntut agar agama disingkirkan daripada masyarakat semakin lantang kedengaran.

17. Apakah yang bakal berlaku kepada agama palsu, dan mengapa?

17 Agama palsu tidak akan lenyap begitu sahaja. Pelacur itu masih berpengaruh dan cuba berusaha menguasai para pemerintah dunia. Namun Yehuwa akan menggerakkan hati mereka untuk bertindak. (Baca Wahyu 17:16, 17.) Tidak lama lagi Yehuwa akan menyebabkan unsur politik dunia Syaitan, yang diwakili oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menyerang agama palsu. Kuasa agama palsu akan lenyap dan kekayaannya akan hilang. Beberapa dekad dahulu, orang mungkin berfikir bahawa perkara ini mustahil. Meskipun pelacur itu masih duduk di atas binatang buas berwarna merah itu, kedudukannya bagaikan telur di hujung tanduk yang akan jatuh dan hancur berkecai secara tiba-tiba.​—Why. 18:7, 8, 15-19.

BINATANG-BINATANG ITU DIBINASAKAN

18. (a) Binatang buas akan melakukan apa? Apakah kesudahannya? (b) Kerajaan manakah yang akan dibinasakan seperti yang tercatat di Daniel 2:44? (Lihat kotak di muka 17.)

18 Selepas agama palsu dimusnahkan, binatang buas, iaitu kuasa-kuasa politik di bumi, akan menyerang Kerajaan Tuhan. Memandangkan Kerajaan Tuhan terletak di syurga, mereka akan melepaskan geram pada hamba Tuhan di bumi. Maka, tercetuslah perang antara mereka dengan Tuhan. (Why. 16:13-16; 17:12-14) Daniel menceritakan apa yang akan berlaku semasa pertempuran terakhir ini. (Baca Daniel 2:44.) Binatang buas yang disebut di Wahyu 13:1, patung binatang itu, dan binatang buas bertanduk dua, akan dibinasakan.

19. Apakah keyakinan kita, dan apa yang harus kita lakukan sekarang?

19 Kepala ketujuh sedang memerintah sekarang. Tiada kepala lain yang akan muncul pada binatang buas. Kuasa Inggeris Amerika merupakan kuasa dunia semasa agama palsu dimusnahkan. Nubuat-nubuat Daniel dan Yohanes telah digenapi dengan tepat sekali. Maka kita boleh yakin bahawa agama palsu akan lenyap dan Armagedon akan datang. Tuhan telah menyingkapkan semua hal ini kepada kita. Adakah kita akan mendengar amaran dalam Firman Tuhan? (2 Ptr. 1:19) Sekaranglah masanya untuk berpihak kepada Yehuwa dan menyokong Kerajaan-Nya.​—Why. 14:6, 7.

[Nota kaki]

^ per. 3 Dalam Bible, angka sepuluh sering kali mewakili sebuah kumpulan yang lengkap. Dalam konteks ini, angka sepuluh merujuk kepada semua kerajaan yang muncul dari Empayar Roma.

^ per. 5 Walaupun Inggeris dan Amerika telah wujud sejak abad ke-18, penglihatan Yohanes mengenai kuasa dunia ketujuh digenapi pada hari Tuan. (Why. 1:10) Hanya semasa Perang Dunia I, kedua-dua kuasa ini bergabung untuk menjadi kepala ketujuh binatang buas.

^ per. 8 Daniel menubuatkan bahawa kuasa dunia ini ‘akan menyebabkan pembinasaan yang mengerikan.’ (Dan. 8:24) Contohnya, Amerika Syarikat telah menggugurkan dua butir bom atom pada musuhnya yang menyebabkan kemusnahan yang dahsyat.

^ per. 9 Daniel 2:43 (NW): “Tuanku nampak besi yang bercampur tanah liat. Begitu juga, mereka akan bercampur dengan keturunan manusia. Namun, kedua-duanya tidak dapat sebati, sebagaimana besi tidak dapat sebati dengan tanah liat.”

^ per. 13 Lihat buku “Wahyu—Kemuncaknya” (Revelation—Its Grand Climax at Hand!), muka 240, 241, 253.

[Soalan Pembelajaran]

[Kotak pada muka surat 17]

“SEMUA KERAJAAN INI” MELAMBANGKAN APA?

Nubuat di Daniel 2:44 (NW) menyatakan bahawa Kerajaan Tuhan akan memusnahkan “semua kerajaan ini.” Nubuat itu hanya merujuk kepada kerajaan-kerajaan yang diwakili oleh patung besar.

Bagaimana pula dengan kerajaan yang lain di dunia? Nubuat di Wahyu menyatakan bahawa “semua raja di seluruh dunia” akan berkumpul untuk menentang Yehuwa pada ‘hari Tuhan Yang Maha Kuasa.’ (Why. 16:14; 19:19-21) Maka, kerajaan-kerajaan yang dilambangkan oleh patung besar itu dan semua kerajaan di dunia akan dibinasakan.