Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Aku Tidak Akan Gentar”

“Aku Tidak Akan Gentar”

“Aku Tidak Akan Gentar”

‘Walaupun musuhku menyerang aku, aku akan tetap percaya kepada Tuhan.’​—MZM. 27:3.

MENURUT AYAT-AYAT BERIKUT, BAGAIMANAKAH ANDA BOLEH MENJADI BERANI?

Mazmur 27:1

Mazmur 27:4

Mazmur 27:11

1. Apakah soalan-soalan yang akan dijawab dalam Mazmur 27?

SERAYA keadaan dunia semakin parah, mengapakah kita masih menggandakan usaha dalam kerja penyebaran? Sekarang ramai orang merasai kesan kegawatan ekonomi, tetapi mengapakah kita rela mengorbankan masa dan tenaga untuk menginjil? Bagaimanakah kita boleh tetap berani tatkala orang lain berasa gentar akan masa depan? Tuhan telah mengilhami Raja Daud untuk menggubah Mazmur 27. Mazmur ini akan memberi kita jawapannya.

2. Apakah yang akan berlaku kepada seseorang yang berasa gentar? Mengapakah kita tidak patut berasa gentar?

2 Ayat pertama mazmur Daud berbunyi, ‘Yehuwa adalah cahayaku dan penyelamatku; aku tidak akan takut kepada sesiapa pun. Yehuwa melindungi aku daripada segala bahaya; aku tidak akan gentar.’ (Mzm. 27:1, ABB) Rasa takut dan gentar boleh melemahkan seseorang sehingga dia tidak mampu melakukan apa-apa pun. Namun, orang yang yakin pada Yehuwa tidak patut dicengkam perasaan gentar. (1 Ptr. 3:14) Jika kita berlindung kepada Yehuwa, kita akan “hidup dengan aman dan tidak perlu takut.” (Ams. 1:33; 3:25) Mengapa?

‘YEHUWA ADALAH CAHAYAKU DAN PENYELAMATKU’

3. Bagaimanakah Yehuwa menjadi cahaya kita? Namun, apakah yang mesti kita lakukan?

3 Sebagai cahaya kita, Yehuwa membebaskan kita daripada kejahilan dan kegelapan rohani. (Mzm. 27:1) Cahaya lampu boleh membantu kita mengenal pasti bahaya atau halangan sepanjang perjalanan kita, tetapi cahaya tidak dapat menghilangkan ancaman tersebut. Kita sendiri perlu menghindari bahaya itu. Begitu juga, Yehuwa menerangkan erti di sebalik peristiwa yang terjadi di pentas dunia dan mengingatkan kita tentang bahaya sistem dunia ini. Dia memberikan prinsip-prinsip Bible yang sentiasa berfaedah, tetapi kita mesti menerapkannya. Dengan berbuat demikian, kita menjadi ‘lebih bijak daripada semua musuh’ atau ‘semua guru’ kita.​—Mzm. 119:98, 99, 130.

4. (a) Mengapakah Daud begitu yakin bahawa Yehuwa ialah penyelamatnya? (b) Bilakah Yehuwa akan menjadi penyelamat kita?

4 Kata-kata Daud di Mazmur 27:1 menunjukkan bahawa dia mengingati bagaimana Yehuwa telah menyelamatkannya. Contohnya, Yehuwa pernah menyelamatkannya “daripada singa dan beruang.” Yehuwa juga membantu Daud mengalahkan Goliat. Semasa Raja Saul mencuba membunuh Daud dengan tombak, Yehuwa turut menyelamatkannya. (1 Sam. 17:37, 49, 50; 18:11, 12; 19:10) Maka, Daud boleh berkata dengan yakin, ‘Yehuwa ialah penyelamatku.’ Pada masa hadapan, Yehuwa juga akan menyelamatkan hamba-hamba-Nya semasa kesengsaraan besar.​—Why. 7:14; 2 Ptr. 2:9.

KENANGAN YANG MELAHIRKAN KEBERANIAN

5, 6. (a) Bagaimanakah kenangan kita melahirkan keberanian? (b) Setelah mengingat bagaimana Yehuwa sentiasa menyelamatkan hamba-hamba-Nya, apakah kesannya terhadap anda?

5 Satu faktor penting yang boleh melahirkan keberanian tercatat di Mazmur 27:2, 3. (Baca.) Daud mengingati bagaimana Yehuwa telah menyelamatkannya. (1 Sam. 17:34-37) Kenangan itu telah melahirkan keberanian dalam diri Daud sehingga dia sanggup menghadapi dugaan yang paling teruk. Adakah kenangan anda juga melahirkan keberanian? Misalnya, pernahkah anda berdoa dengan sungguh-sungguh tentang suatu masalah dan berjaya mengatasinya setelah menerima kebijaksanaan atau kekuatan daripada Yehuwa? Pernahkah Yehuwa membantu anda mengatasi halangan supaya anda dapat menyembah-Nya dengan sukacita? Pernahkah Dia membuka peluang bagi anda untuk berkhidmat kepada-Nya? (1 Kor. 16:9) Bagaimanakah kenangan sebegini mempengaruhi anda sekarang? Tidakkah anda lebih yakin bahawa Yehuwa boleh membantu anda untuk menghadapi cabaran atau halangan yang lebih besar?​—Rm. 5:3-5.

6 Bagaimana pula jika sebuah kerajaan berkomplot untuk melenyapkan Saksi-Saksi Yehuwa? Ramai penguasa zaman moden cuba berbuat demikian tetapi gagal. Apabila kita mengingat bagaimana Yehuwa telah membantu umat-Nya, kita boleh menghadapi masa depan dengan yakin.​—Dan. 3:28.

CINTAI IBADAT SEJATI

7, 8. (a) Menurut Mazmur 27:4, apakah yang diminta oleh Daud daripada Yehuwa? (b) Apakah aturan yang dilambangkan oleh Rumah Rohani Tuhan? Bagaimanakah kita boleh beribadat kepada Yehuwa di situ?

7 Cinta akan ibadat sejati juga boleh menghasilkan keberanian. (Baca Mazmur 27:4.) Pada zaman Daud, ‘Rumah Yehuwa’ merupakan khemah suci. Pembinaan Rumah Tuhan yang indah telah dirancang oleh Daud dan kemudiannya disiapkan oleh anaknya Salomo. Ratusan tahun kemudian, Yesus menyatakan bahawa akan tiba masanya, orang tidak lagi perlu ke Rumah Yehuwa di Yerusalem untuk menyembah Tuhan. (Yoh. 4:21-23) Rasul Paulus menyatakan dalam Ibrani bab 8 hingga 10 bahawa Rumah Rohani Tuhan telah wujud sejak tahun 29 M. Pada masa itu, Yesus dibaptis dan mempersembahkan dirinya untuk melakukan kehendak Tuhan. (Ibr. 10:10) Rumah Rohani Tuhan melambangkan aturan Yehuwa supaya ibadat kita diperkenankan-Nya. Tetapi kita harus beriman terhadap korban tebusan Yesus. Bagaimanakah kita beribadat kepada Yehuwa di situ? Melalui doa “yang tulus dan iman yang teguh,” dengan mengumumkan harapan kita tanpa gentar, dan dengan saling memperhatikan, mendorong, serta menggalakkan rakan seiman semasa perjumpaan atau penyembahan keluarga. (Ibr. 10:22-25) Cinta akan ibadat sejati akan menguatkan kita sepanjang hari-hari terakhir.

8 Di serata dunia, hamba-hamba Yehuwa giat menjalankan kerja penyebaran, mempelajari bahasa baru, dan berpindah ke tempat yang memerlukan lebih banyak penyiar. Usaha sebegini menunjukkan bahawa mereka sedang meniru penulis mazmur yang memohon satu perkara sahaja daripada Yehuwa: Mereka ingin menyaksikan segala kebaikan-Nya dan meneruskan khidmat suci tidak kira apa yang berlaku.​—Baca Mazmur 27:6.

YEHUWA PASTI MEMBANTU KITA

9, 10. Apakah jaminan yang diberikan di Mazmur 27:10?

9 Daud menegaskan bahawa Yehuwa pasti akan membantunya. “Sekalipun ibu dan bapaku meninggalkan aku, tetapi Tuhan akan memelihara aku.” (Mzm. 27:10, ABB) Catatan di 1 Samuel bab 22 menunjukkan bahawa ibu bapa Daud tidak meninggalkannya. Namun, ramai hamba Tuhan dewasa ini ditentang atau dipulaukan oleh ahli keluarga sendiri. Walaupun begitu, mereka mendapat bantuan dan jagaan daripada sidang Kristian yang pengasih.

10 Memandangkan Yehuwa sedia menolong hamba-hamba-Nya yang ditinggalkan, Dia pasti akan menghulurkan bantuan semasa mereka menghadapi kesusahan yang lain. Umpamanya, jika kita khuatir tentang keperluan keluarga kita, jangan lupa bahawa Yehuwa pasti membantu kita. (Ibr. 13:5, 6) Dia memahami keadaan dan keperluan semua hamba-Nya.

11. Bagaimanakah keyakinan kita terhadap Yehuwa boleh mempengaruhi orang lain? Berikan contoh.

11 Fikirkan contoh Victoria, seorang pelajar Bible di Liberia yang mempunyai tiga orang anak. Semasa dia berusaha memenuhi syarat pembaptisan, lelaki yang duduk serumah dengannya telah meninggalkannya. Victoria telah kehilangan tempat tinggal dan menganggur. Namun, dia terus maju secara rohani. Setelah dia dibaptis, anak perempuannya yang berusia 13 tahun menjumpai dompet yang berisi banyak wang. Mereka enggan mengira wang itu kerana tidak mahu tergoda. Dengan segera, mereka menghubungi askar yang merupakan pemilik dompet itu. Askar itu berkata bahawa jika semua orang bersikap jujur seperti Saksi-Saksi Yehuwa, seluruh dunia akan menjadi tempat yang lebih baik dan aman. Victoria membuka Bible dan menunjukkan janji Yehuwa tentang dunia baru. Askar itu kagum dengan iman Victoria dan memberinya agak banyak wang sebagai ganjaran. Ya, kejujuran Saksi-Saksi Yehuwa cukup terkenal kerana mereka yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa akan menjaga keperluan mereka.

12. Mengapakah kita terus menyembah Yehuwa meskipun kita mungkin kehilangan mata pencarian atau harta benda? Berikan contoh.

12 Thomas ialah seorang penyiar belum baptis di Sierra Leone. Dia seorang cikgu di sekolah menengah, tetapi hampir setahun, dia tidak menerima gaji. Untuk menerima wangnya, dia perlu berjumpa dengan pentadbir sekolah yang merupakan seorang paderi. Paderi itu menjelaskan bahawa kepercayaan Saksi-Saksi Yehuwa bercanggah dengan pendirian sekolah. Jika Thomas ingin terus mengajar di situ, dia tidak boleh menjadi Saksi. Thomas telah meletak jawatan dan kehilangan gajinya. Selepas itu, Thomas mencari nafkah dengan membaiki radio dan telefon bimbit. Dewasa ini, ramai orang mungkin takut dan khuatir bahawa mereka akan kehilangan keperluan asas. Namun, banyak contoh menunjukkan bahawa kita tidak patut gentar kerana kita yakin pada Pencipta dan Pelindung kita.

13. Mengapakah penyiar di negara-negara miskin sangat aktif dalam kerja penyebaran?

13 Di negara-negara miskin, para penyiar biasanya sangat aktif dalam kerja penyebaran. Mengapa? Sebuah pejabat cawangan menulis, “Ramai penghuni rumah yang belajar Bible menganggur, oleh itu mereka ada lebih banyak masa untuk belajar. Para penyiar juga mempunyai lebih banyak masa untuk menginjil. Di tempat yang paling miskin, orang tidak perlu diberitahu bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir. Mereka boleh lihat keadaan sekeliling dengan mata sendiri.” Di sebuah negara, penyiar secara purata mengadakan lebih daripada 3 pembelajaran Bible. Seorang perintis seberang laut yang berkhidmat lebih daripada 12 tahun di situ berkata, “Banyak penyiar hidup sederhana. Tanpa gangguan lain, mereka boleh meluangkan lebih banyak masa untuk menginjil dan mengadakan pembelajaran Bible.”

14. Bagaimanakah kumpulan besar dilindungi oleh Yehuwa?

14 Yehuwa telah berjanji akan membantu, melindungi, dan memelihara organisasi-Nya. Dia pasti akan menunaikan janji-Nya. (Mzm. 37:28; 91:1-3) Sudah pasti, orang yang selamat mengharungi kesengsaraan besar akan “luar biasa banyaknya.” (Why. 7:9, 14) Kumpulan besar itu akan dilindungi sepanjang hari-hari terakhir. Mereka akan diberikan bantuan yang secukupnya untuk bertahan di bawah dugaan dan mengekalkan hubungan baik dengan Yehuwa. Semasa Armagedon, Yehuwa akan menjadi naungan umat-Nya.

“AJARILAH AKU KEHENDAKMU”

15, 16. Jika kita mentaati ajaran Tuhan, apakah berkat yang akan kita nikmati? Berikan contoh.

15 Kita perlu terus menerima ajaran Tuhan agar kekal berani. Daud merayu, “Ajarilah aku kehendak-Mu, ya Tuhan, dan pimpinlah aku pada jalan yang selamat, kerana musuhku amat banyak.” (Mzm. 27:11, ABB) Jika kita ingin diajar Tuhan, kita mesti memberi perhatian sepenuhnya terhadap ajaran Bible dan petunjuk daripada organisasi Tuhan lalu segera menerapkannya. Misalnya, ramai orang telah mendengar nasihat untuk hidup sederhana. Hasilnya, mereka tidak berhutang keliling pinggang semasa krisis ekonomi belakangan ini. Tanpa barangan dan hutang yang tidak diperlukan, mereka dapat menghabiskan lebih banyak masa dalam kerja penyebaran. Kita masing-masing boleh bertanya, “Adakah saya cepat menerapkan apa yang saya pelajari dalam Bible dan bahan bacaan hamba yang setia dan bijaksana? Sanggupkah saya berbuat demikian walaupun saya harus membuat pengorbanan?”​—Mat. 24:45.

16 Jika kita mendengar ajaran Yehuwa dan membiar-Nya memimpin kita pada jalan yang selamat, kita tidak perlu berasa gentar. Seorang perintis biasa di Amerika Syarikat memohon kerja yang akan membolehkan seisi keluarganya meneruskan khidmat sepenuh masa. Pengarahnya berkata bahawa tanpa ijazah, dia tidak mungkin mendapat jawatan itu. Jika hal ini berlaku kepada anda, adakah anda akan menyesal kerana memilih khidmat sepenuh masa dan bukannya pendidikan tinggi? Dua minggu kemudian, pengarah itu dihentikan kerja. Pengurus yang lain bertanya kepada saudara itu tentang matlamatnya. Saudara kita menjelaskan bahawa dia dan isterinya ialah penginjil sepenuh masa dan ingin meneruskan khidmat sepenuh masa. Pengurusnya mencelah, “Patutlah kamu berbeza daripada orang lain! Semasa ayah saya tengah nazak, dua orang saudari kamu menziarahinya setiap hari dan membaca Bible kepadanya. Kerana itu, saya berjanji akan membantu Saksi-Saksi Yehuwa jika ada kesempatan.” Pagi esok, saudara ini telah diberikan jawatan yang sebelumnya enggan diberikan oleh bekas pengarahnya. Ya, jika kita mengutamakan Kerajaan Yehuwa, Dia pasti akan menjaga keperluan kita.​—Mat. 6:33.

IMAN DAN HARAPAN SANGAT PENTING

17. Apakah yang dapat membantu kita untuk menghadapi masa depan dengan yakin?

17 Seterusnya, Daud menekankan pentingnya iman dan harapan. Katanya, “Aku yakin bahawa aku akan mengalami kebaikan Tuhan dalam hidupku di dunia ini.” (Mzm. 27:13, ABB) Bolehkah kita bayangkan kehidupan sendiri jika kita tidak mempunyai harapan daripada Tuhan dan tidak memahami apa yang terkandung dalam Mazmur 27? Semoga kita terus memohon kekuatan dan penyelamatan seraya kita menantikan Armagedon.​—Baca Mazmur 27:14.

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 23]

Kenangan Daud tentang penyelamatan Yehuwa telah memberinya kekuatan

[Gambar pada muka surat 25]

Adakah kita memandang masalah ekonomi sebagai peluang untuk menggandakan usaha dalam kerja penyebaran?