Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Biarlah Yehuwa Memberi Anda Kebebasan Sejati

Biarlah Yehuwa Memberi Anda Kebebasan Sejati

Biarlah Yehuwa Memberi Anda Kebebasan Sejati

‘Dalami hukum Tuhan yang sempurna dan yang dapat membebaskan manusia.’​—YAK. 1:25.

BOLEHKAH ANDA JELASKAN?

Apakah hukum yang membawa kebebasan sejati? Hukum itu membawa manfaat kepada siapa?

Apakah kunci untuk menikmati kebebasan sejati?

Apakah kebebasan yang menantikan semua yang menempuh jalan yang menuju kehidupan?

1, 2. (a) Apakah yang sedang berlaku kepada kebebasan orang? Apakah sebabnya? (b) Apakah kebebasan yang menantikan hamba-hamba Yehuwa?

KETAMAKAN, jenayah, dan keganasan kian bertambah dewasa ini. (2 Tim. 3:1-5) Oleh itu, pihak berkuasa perlu menetapkan lebih banyak undang-undang, meningkatkan bilangan anggota polis, dan memasang kamera keselamatan. Di sesetengah negara, orang memasang sistem penggera rumah, menambahkan bilangan mangga, dan bahkan menggunakan pagar elektrik. Ramai enggan keluar pada waktu malam atau membiarkan anak-anak bermain di luar tanpa diawasi. Jelaslah bahawa kebebasan manusia semakin berkurang, dan nampaknya keadaan ini akan bertambah parah.

2 Di Taman Eden, Syaitan menyatakan bahawa jika manusia mahu kebebasan sejati, mereka tidak harus mentaati Yehuwa. Dia memang pendusta yang keji! Sebenarnya, apabila orang enggan menghiraukan perintah Tuhan, masyarakat akan porak-peranda. Sebagai hamba Yehuwa, kita turut merasai kesannya. Namun, kita masih ada harapan. Bible menyatakan bahawa manusia akan dibebaskan daripada dosa, serta “menikmati kebebasan dan kemuliaan” sebagai anak-anak Tuhan. (Rm. 8:21) Sebenarnya, Yehuwa sudah mula membantu hamba-hamba-Nya bersiap sedia untuk menikmati kebebasan itu. Bagaimana?

3. Apakah hukum yang diberikan oleh Yehuwa kepada pengikut Kristus? Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

3 Yakobus telah menulis tentang ‘hukum Tuhan yang sempurna dan yang dapat membebaskan manusia.’ (Baca Yakobus 1:25.) Ada sesetengah Bible yang menggambarkannya sebagai “hukum kebebasan yang sempurna.” Biasanya, hukum atau undang-undang menyekat kebebasan. Jadi apakah ‘hukum Tuhan yang sempurna dan yang dapat membebaskan manusia’? Bagaimanakah hukum ini membebaskan kita?

HUKUM YANG MEMBEBASKAN KITA

4. Apakah ‘hukum Tuhan yang sempurna dan yang dapat membebaskan manusia’? Hukum ini membawa manfaat kepada siapa?

4 ‘Hukum Tuhan yang sempurna dan yang dapat membebaskan manusia’ bukanlah Hukum Musa. Hukum Musa menunjukkan pelanggaran manusia dan telah disempurnakan oleh Kristus. (Mat. 5:17; Gal. 3:19) Jadi, apakah hukum yang dimaksudkan oleh Yakobus? Dia sedang memaksudkan hukum, atau “perintah Kristus.” (Gal. 6:2) Maka, ‘hukum yang sempurna’ itu merangkumi segala perintah Yehuwa bagi kita. Hukum ini membawa manfaat kepada orang Kristian terurap dan “domba-domba lain.”​—Yoh. 10:16.

5. Mengapakah ‘hukum yang membebaskan manusia’ tidak membebankan?

5 Tidak seperti undang-undang banyak negara, ‘hukum yang sempurna’ ini tidak rumit dan tidak membebankan. Hukum ini hanya mengandungi perintah yang mudah dan prinsip-prinsip asas. (1 Yoh. 5:3) ‘Perintah yang aku berikan kepada kamu mudah diturut, dan beban yang aku berikan mudah dipikul,’ kata Yesus. (Mat. 11:29, 30, ABB) Selain itu, ‘hukum yang sempurna’ ini tidak terukir pada batu, mahupun mengandungi senarai denda yang panjang. Sebaliknya, hukum ini berteraskan kasih dan tertulis pada fikiran dan hati.​—Baca Ibrani 8:6, 10.

BAGAIMANA ‘HUKUM TUHAN YANG SEMPURNA’ MEMBEBASKAN KITA

6, 7. Apakah yang boleh kita katakan tentang piawaian Yehuwa? ‘Hukum yang membebaskan manusia’ membolehkan kita melakukan apa?

6 Hukum-hukum yang diberikan oleh Yehuwa adalah untuk melindungi ciptaan-Nya. Sebagai contoh, tenaga dan jirim dikawal oleh pelbagai hukum fizik seperti graviti. Kita tidak rasa dikongkong, sebaliknya kita sedar bahawa hukum alam semula jadi penting dan bermanfaat. Begitu juga, piawaian moral dan rohani Yehuwa yang terkandung dalam hukum Kristus yang sempurna adalah untuk melindungi kita.

7 Tambahan lagi, ‘hukum yang membebaskan manusia’ membolehkan kita memuaskan segala keinginan yang sihat tanpa menyakiti diri sendiri atau menceroboh hak dan kebebasan orang lain. Maka, kunci untuk menikmati kebebasan sejati adalah dengan memupuk keinginan yang sihat, iaitu keinginan yang selaras dengan sifat-sifat dan piawaian Yehuwa. ‘Hukum yang membebaskan manusia’ akan membantu kita mencintai apa yang dicintai Yehuwa, dan membenci apa yang dibenci-Nya.​—Am. 5:15.

8, 9. Apakah manfaat dinikmati oleh mereka yang mematuhi ‘hukum yang membebaskan manusia’? Berikan contoh.

8 Memandangkan kita tidak sempurna, kita perlu bergelut dengan keinginan yang salah. Namun, jika kita mematuhi ‘hukum yang membebaskan manusia,’ kita boleh dibebaskan bahkan sekarang. Contohnya, semasa Jay mempelajari Bible, dia mengetahui bahawa merokok tidak disenangi Tuhan. Oleh itu, dia perlu memutuskan sama ada untuk menurut hawa nafsu sendiri atau menurut kehendak Yehuwa. Dia telah membuat pilihan yang bijak. Walaupun tubuhnya mendahagakan rokok, dia berusaha menyenangkan hati Tuhan. Setelah membuang tabiat ini, apakah perasaannya? Jay berkata, “Saya berasa sangat bebas dan gembira.”

9 Walaupun kebebasan dunia membolehkan seseorang hidup menurut kehendak sendiri, pengalaman Jay menunjukkan bahawa orang itu akhirnya akan menjadi hamba dosa. Sebaliknya, mereka yang mentaati hukum Yehuwa dan ‘hidup menurut daya aktif-Nya’ akan dibebaskan serta menikmati “hidup dan kedamaian.” (Rm. 8:5, 6) Dari manakah Jay mendapat kekuatan untuk mengikis tabiat buruknya? Tuhanlah yang memberinya kekuatan. Jay berkata, “Saya mengkaji Bible dengan tetap, memohon daya aktif, dan menerima bantuan daripada sidang Kristian.” Semasa kita mencari kebebasan sejati, kita juga boleh berbuat demikian.

MENDALAMI FIRMAN TUHAN

10. Bagaimanakah kita boleh “mendalami” hukum Tuhan?

10 Yakobus 1:25 menyatakan bahawa kita ‘akan diberkati Tuhan’ jika kita terus “mendalami hukum itu dan melakukannya.” Dalam bahasa Yunani, perkataan “mendalami” bermaksud “membongkok dan meneliti.” Jika kita ingin minda dan hati sendiri dibimbing oleh ‘hukum yang membebaskan manusia,’ kita mesti mencurahkan usaha untuk mendalami Firman Tuhan. Kita harus mengkaji Bible dengan tekun dan berdoa sambil merenungi apa yang kita baca.​—1 Tim. 4:15.

11, 12. (a) Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa kebenaran harus sebati dengan hidup kita? (b) Berdasarkan contoh yang diberikan, apakah bahaya yang harus dielakkan terutamanya oleh kaum muda?

11 Kita juga mesti terus menerapkan Firman Tuhan dan hidup sehaluan dengan kebenaran. Yesus pernah memberitahu pengikutnya bahawa jika mereka terus mentaati ajarannya, mereka “akan mengetahui kebenaran” dan dibebaskan. (Yoh. 8:31, 32, nota kaki, ABB) Menurut sebuah karya rujukan, “mengetahui” juga bermaksud kita menghargai sesuatu kerana mengetahui nilai dan kepentingannya. Maka, kita benar-benar “mengetahui” kebenaran apabila kita menjadikannya sebati dengan hidup kita. Dengan itu kita dapat mengatakan bahawa firman Tuhan sedang “bekerja dalam diri” kita, dan membantu kita meniru keperibadian Bapa kita yang di syurga.​—1 Tes. 2:13.

12 Tanyalah diri anda, “Adakah saya betul-betul mengetahui kebenaran? Sudahkah kebenaran sebati dengan hidup saya? Atau adakah saya masih ingin merasai sedikit ‘kebebasan’ dunia?” Seorang saudari yang membesar dalam keluarga Kristian masih ingat apa yang berlaku semasa dia masih muda. Katanya, “Yehuwa sentiasa wujud bagi saya. Namun, saya tidak pernah berusaha mengenal-Nya. Saya tidak membenci apa yang dibenci-Nya. Saya tidak percaya bahawa kelakuan saya penting bagi-Nya. Saya juga tidak bergantung pada-Nya semasa menghadapi kesusahan. Saya bergantung pada pengertian sendiri padahal saya langsung tidak tahu apa-apa.” Saudari itu akhirnya sedar bahawa fikirannya salah sama sekali. Dia membuat perubahan besar dan bahkan menjadi perintis biasa.

DAYA AKTIF TUHAN BOLEH MEMBEBASKAN ANDA

13. Bagaimanakah daya aktif Tuhan membebaskan kita?

13 Ayat di 2 Korintus 3:17 menyatakan, “Sesiapa mempunyai Roh [daya aktif] Tuhan, orang itu bebas.” Bagaimanakah daya aktif Tuhan membebaskan kita? Salah satu cara adalah dengan membantu kita memupuk “kasih, sukacita, kedamaian, kepanjangsabaran, kebaikan hati, kebaikan, iman, kelemahlembutan, kawalan diri.” (Gal. 5:22, 23, NW) Keadaan dunia sekarang menunjukkan bahawa tanpa sifat-sifat ini, terutamanya kasih, manusia tidak boleh menikmati kebebasan sejati. Selepas menyenaraikan buah daya aktif Tuhan, rasul Paulus menambah, “Tidak ada hukum yang melarang perkara-perkara seperti itu.” Ya, tiada hukum yang boleh menyekat perkembangan buah daya aktif Tuhan. (Gal. 5:18) Yehuwa ingin kita sentiasa memupuk sifat-sifat Kristian dan menunjukkannya tanpa halangan.

14. Bagaimanakah orang yang menuruti semangat dunia menjadi hamba kepadanya?

14 Orang yang terpukau dengan semangat dunia dan yang melayan gelojak nafsu sendiri mungkin berasa bebas. (Baca 2 Petrus 2:18, 19.) Pada hakikatnya, hukum dan peraturan yang melambak diperlukan untuk mengekang nafsu dan perbuatan jahat mereka. Paulus berkata, “Hukum diadakan bukan untuk orang baik, tetapi untuk orang jahat dan pelanggar hukum.” (1 Tim. 1:9, 10) Orang sebegini telah menjadi hamba dosa yang “melakukan segala sesuatu yang dikehendaki tubuh dan fikiran.” (Ef. 2:1-3) Mereka seperti serangga yang merangkak ke dalam mangkuk berisi madu lalu terperangkap kerana menuruti nafsu sendiri.​—Yak. 1:14, 15.

DIBEBASKAN DALAM SIDANG KRISTIAN

15, 16. Apakah manfaat yang kita peroleh daripada sidang? Apakah kebebasan yang kita nikmati dalam sidang?

15 Sidang Kristian yang anda sertai bukanlah kelab atau persatuan. Sebaliknya, Yehuwa telah memimpin anda ke dalam sidang. (Yoh. 6:44) Adakah Dia berbuat demikian kerana anda seorang yang alim dan salih? Anda mungkin berkata, “Tidak!” Jadi, apakah sebabnya? Tuhan mendapati bahawa anda seorang yang sanggup mentaati hukum-Nya dan menerima bimbingan-Nya. Di sidang, Yehuwa memberi anda makanan rohani yang berkhasiat, membebaskan anda daripada ajaran palsu dan kepercayaan karut, serta mengajar anda untuk memupuk sifat Kristian. (Baca Efesus 4:22-24.) Hasilnya, anda diberi penghormatan untuk menyertai satu-satunya kumpulan orang yang bebas.​—Yak. 2:12.

16 Fikirkanlah: Semasa anda bergaul dengan orang yang mengasihi Yehuwa dengan sepenuh hati, adakah anda berasa takut? Perlukah anda sentiasa berwaswas? Ketika berbual dengan saudara saudari di Dewan Perjumpaan, adakah anda perlu menjaga keselamatan harta benda sendiri? Langsung tidak! Sebaliknya, anda berasa senang hati dan bebas. Adakah anda akan berasa begitu di tempat yang lain? Mungkin tidak. Tambahan lagi, umat Tuhan akan menikmati kebebasan yang jauh lebih besar pada masa hadapan.

“KEBEBASAN DAN KEMULIAAN” SEBAGAI ANAK-ANAK TUHAN

17. Mengapakah kebebasan umat manusia berkaitan dengan masa Tuhan “menunjukkan anak-anak-Nya”?

17 Semasa membincangkan kebebasan yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada hamba-Nya di bumi, Paulus menulis, “Dengan penuh kerinduan, alam semesta menanti-nantikan masanya Tuhan menunjukkan anak-anak-Nya.” Dia menambah, “Alam semesta akan dibebaskan daripada kuasa yang menghancurkannya, lalu menikmati kebebasan dan kemuliaan [sebagai] anak-anak Tuhan.” (Rm. 8:19-21, ABB) “Alam semesta” merujuk kepada manusia yang berpeluang untuk hidup kekal di bumi. Bilakah Tuhan akan “menunjukkan anak-anak-Nya”? Hal ini akan bermula semasa “anak-anak Tuhan” yang sudah bangkit ke syurga menyertai Kristus untuk melenyapkan kejahatan dan membawa “lautan manusia yang luar biasa banyaknya” ke dalam dunia baru.​—Why. 7:9, 14.

18. Apakah kebebasan yang bakal dinikmati oleh manusia yang taat? Apakah “kebebasan dan kemuliaan” yang akan mereka peroleh akhirnya?

18 Alangkah besarnya kebebasan yang menantikan umat manusia! Mereka akan bebas daripada pengaruh Syaitan dan roh-roh jahat. (Why. 20:1-3) Kemudian, 144,000 raja dan imam yang berkhidmat bersama Kristus akan menggunakan korban tebusan Yesus untuk membantu manusia menjadi sempurna secara beransur-ansur. (Why. 5:9, 10) Manusia yang tetap setia di bawah cubaan akhirnya akan mendapat kebebasan yang sempurna, iaitu “kebebasan dan kemuliaan” sebagai anak-anak Tuhan. Bayangkan: Pada masa itu, tidak susah lagi untuk melakukan apa yang benar di sisi Tuhan, kerana jiwa dan raga anda akan menjadi sempurna. Ketika itu, anda boleh mencerminkan sifat-sifat Yehuwa tanpa cacat cela!

19. Apakah yang mesti kita terus lakukan sekarang agar berpeluang menikmati kebebasan sejati?

19 Inginkah anda memperoleh “kebebasan dan kemuliaan” sebagai anak-anak Tuhan? Jika ya, biarlah fikiran dan hati anda dibimbing oleh ‘hukum yang membebaskan manusia.’ Kajilah Bible dengan rajin. Jadikanlah kebenaran sebagai pegangan hidup anda. Mohonlah daya aktif Tuhan. Manfaatkan aturan sidang dan makanan rohani daripada Yehuwa. Janganlah diperdaya oleh Syaitan seperti Hawa, dan berfikir bahawa hukum-hukum Tuhan terlalu ketat. Syaitan memang sangat licik, tetapi dia “tidak berpeluang untuk menguasai kita, kerana kita mengetahui rancangannya.” Rencana berikut akan membincangkan hal ini.​—2 Kor. 2:11.

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 9]

Adakah saya masih menginginkan sedikit “kebebasan” dunia?

[Gambar pada muka surat 9]

Sudahkah kebenaran sebati dengan hidup saya?