Mereka Rela Berkhidmat—Di Ecuador
Mereka Rela Berkhidmat—Di Ecuador
SEORANG saudara muda dari Itali berada dalam keadaan tertekan. Dia baru sahaja lulus dengan cemerlang dari sekolah menengah. Sekarang saudara-mara dan guru mendesaknya untuk mengejar pendidikan tinggi. Namun Bruno telah membaktikan diri kepada Yehuwa beberapa tahun dahulu dan berjanji untuk mengutamakan kehendak Tuhan. Apakah keputusannya? Dia menjelaskan, “Saya beritahu Yehuwa bahawa saya akan menunaikan janji pembaktian saya dan mengutamakan-Nya. Tapi, saya juga berdoa agar hidup saya tidak membosankan, sebaliknya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti teokratik.”
Beberapa tahun kemudian, Bruno berpindah ke Ecuador, Amerika Selatan. Dia berkata, “Cara Yehuwa menjawab doa saya memang menakjubkan.” Semasa Bruno tiba di Ecuador, dia tidak sangka bahawa begitu banyak orang muda juga telah berpindah ke situ untuk memperluas khidmat mereka kepada Yehuwa.
ORANG MUDA YANG ‘MENGUJI YEHUWA’
Yehuwa menghulurkan jemputan ini kepada para penyembah-Nya: “Ujilah Aku, maka kamu akan nampak Aku membuka tingkap-tingkap syurga dan melimpahi kamu dengan segala yang baik.” (Mal. 3:10) Bruno dan ribuan orang muda di seluas dunia telah menerima jemputan Yehuwa. Kerana mengasihi Tuhan, mereka rela mengorbankan masa, tenaga, dan harta benda bagi menyokong kerja penyebaran di negara yang memerlukan lebih banyak penyiar.
Setibanya mereka di situ, mereka dapat melihat bahawa “tuaian sungguh banyak, tetapi penuai hanya sedikit.” (Mat. 9:37) Contohnya, Jaqueline dari Jerman menulis kepada cawangan Ecuador: “Saya baru berkhidmat di Ecuador kira-kira dua tahun, tetapi saya sudah memiliki 13 pelajar Bible, dan 4 di antara mereka menghadiri perjumpaan dengan tetap. Saya rasa sangat gembira.” Chantal dari Kanada berkata, “Tahun 2008, saya berpindah ke kawasan pantai Ecuador. Di situ hanya ada sebuah sidang. Sekarang, terdapat 3 sidang dan lebih daripada 30 orang perintis. Saya sangat gembira melihat ramai orang baru yang melakukan kemajuan!” Dia bertambah, “Belakangan ini, saya berpindah ke sebuah bandar yang terletak pada ketinggian 9,000 kaki (2743 m) di Pergunungan Andes. Bandar itu mempunyai lebih daripada 75,000 penduduk tetapi hanya ada satu sidang. Saya sangat suka kawasan penyebaran yang subur di situ.”
CABARAN-CABARAN
Sudah tentu, memang tidak selalu mudah untuk berkhidmat di negara asing. Sebenarnya, sesetengah orang muda menghadapi halangan sebelum mereka berpindah. Kayla dari Amerika Syarikat berkata, “Saya berasa tawar hati setelah mendengar kata-kata negatif sesetengah saudara saudari. Mereka tidak faham mengapa saya ingin menjadi perintis di luar negara. Walaupun mereka berniat baik, saya tertanya-tanya, ‘Adakah keputusan saya betul?’” Namun demikian, Kayla akhirnya berpindah. Dia menjelaskan, “Saya selalu berdoa kepada Yehuwa dan berbual dengan saudara saudari yang matang. Hal ini membantu saya sedar bahawa Yehuwa akan memberkati orang yang rela berkhidmat.”
Ramai pula berasa bahawa mempelajari bahasa baru sangat susah. Siobhan dari Ireland masih ingat cabarannya. “Saya rasa susah hati kerana tidak dapat meluahkan pendapat saya. Saya perlu bersabar, belajar bahasa baru dengan tekun, dan ketawakan diri apabila saya tersilap.” Anna dari Estonia menambah, “Membiasakan diri dengan cuaca yang panas, keadaan berhabuk, dan air mandi yang sejuk jauh lebih senang daripada belajar bahasa Sepanyol! Kadangkala saya ingin putus asa. Saya perlu belajar untuk fokus pada kemajuan dan bukannya kesilapan sendiri.”
Rasa rindu akan kampung halaman sendiri juga mungkin menjadi batu penghalang. Jonathan dari Amerika Syarikat mengakui, “Tidak lama selepas saya tiba, saya menjadi tawar hati kerana berjauhan daripada keluarga dan sahabat. Saya mengatasi perasaan ini dengan bertumpu pada pembelajaran peribadi dan aktiviti penyebaran. Dalam masa yang pendek, saya bersukacita semula kerana mendapat hasil baik dalam kerja penyebaran dan sahabat baru dalam sidang.”
Satu lagi cabaran ialah taraf hidup yang berbeza daripada tempat asal anda. Beau dari Kanada menceritakan, “Di negara asal, anda tidak perlu risau tentang bekalan elektrik dan air. Tetapi di
sini kemudahan sebegitu kejap ada kejap tiada.” Negara-negara membangun biasanya menghadapi masalah kemiskinan, pendidikan, dan pengangkutan awam. Ines dari Austria menangani masalah sedemikian dengan berfokus pada sifat-sifat baik orang tempatan. Katanya, “Mereka begitu ramah, lembut, rela membantu, dan rendah hati. Penting sekali, mereka amat berminat untuk mengenal Tuhan.”‘DILIMPAHI DENGAN SEGALA YANG BAIK’
Walaupun semua orang muda ini telah membuat pengorbanan untuk berkhidmat di Ecuador, berkat yang diterima oleh mereka “jauh lebih banyak” daripada yang dijangkakan. (Ef. 3:20, 21) Sesungguhnya, mereka menyedari bahawa Yehuwa ‘melimpahi mereka dengan segala yang baik.’ (Mal. 3:10) Apakah perasaan mereka?
Bruno: “Apabila saya tiba di Ecuador, saya mula berkhidmat di kawasan Amazon yang cukup menarik. Kemudian, saya menyertai pembinaan pejabat cawangan di Ecuador. Sekarang, saya berkhidmat di Bethel. Semasa di Itali, saya memutuskan untuk mengutamakan Yehuwa, dan Dia memang memberi saya kehidupan yang diwarnai dengan pelbagai kegiatan rohani.”
Beau: “Di Ecuador, hubungan saya dengan Yehuwa menjadi sangat erat, kerana saya boleh menghabiskan semua masa saya dalam kegiatan rohani. Saya juga mempunyai berkat lain: Impian saya untuk melawat tempat-tempat yang menarik telah tercapai.”
Anna: “Saya tidak sangka bahawa saudari bujang seperti saya berpeluang menikmati kehidupan sebagai mubaligh. Tetapi sekarang hasrat saya sudah tercapai. Kerana berkat Yehuwa, saya dapat mengajar orang tentang Bible, membina Dewan Perjumpaan, dan mengenal sahabat baru.”
Elke: “Semasa di Austria, saya sering meminta Yehuwa untuk memberi saya seorang pelajar Bible. Di sini pula, saya boleh mengadakan 15 pembelajaran Bible! Saya sangat puas ketika melihat kegembiraan yang terukir pada muka pelajar Bible yang membuat kemajuan.”
Joel: “Berkhidmat kepada Yehuwa di tempat baru ialah pengalaman yang sangat bagus. Anda akan lebih bergantung pada Yehuwa, dan berasa teruja sekali semasa Dia memberkati usaha anda. Apabila saya baru datang dari Amerika Syarikat, kumpulan kami hanya mempunyai 6 penyiar. Dalam setahun, kami sudah mempunyai 21 penyiar dan terdapat 110 orang yang menghadiri Peringatan.”
BAGAIMANA PULA DENGAN ANDA?
Saudara dan saudari yang muda, mampukah anda berkhidmat di kawasan yang memerlukan lebih banyak penyiar? Sudah tentu, anda perlu merancang dengan teliti sebelum membuat keputusan. Penting sekali, keputusan anda harus didorong oleh kasih yang dalam terhadap Yehuwa dan orang lain. Jika anda memiliki kasih tersebut dan boleh berpindah, berdoalah kepada Yehuwa tentang hal ini. Bincanglah dengan ibu bapa dan penatua sidang tentang hasrat anda. Barangkali, anda juga boleh menyembah Yehuwa dengan cara yang menarik dan memuaskan ini.
[Petikan daripada perenggan pada muka surat 3]
“Saya selalu berdoa kepada Yehuwa dan berbual dengan saudara saudari yang matang. Hal ini membantu saya sedar bahawa Yehuwa akan memberkati orang yang rela berkhidmat.”—Kayla dari Amerika Syarikat
[Kotak/Gambar pada muka surat 6]
Cara melakukan persiapan untuk berkhidmat di luar negara
• Pupuk tabiat pembelajaran peribadi yang baik
• Rujuk Kerja Teokratik Kita Ogos 2011, muka 4-6
• Berbincang dengan mereka yang pernah berkhidmat di luar negara
• Kaji budaya dan sejarah negara itu
• Menyertai kursus bahasa yang asas
[Kotak/Gambar pada muka surat 6]
Cara menampung diri semasa berkhidmat di luar negara . . .
• bekerja beberapa bulan setahun di negara asal
• menyewakan rumah atau perniagaan sendiri kepada orang lain
• bekerja di Internet
[Gambar pada muka surat 4, 5]
1 Jaqueline dari Jerman
2 Bruno dari Itali
3 Beau dari Kanada
4 Siobhan dari Ireland
5 Joel dari Amerika Syarikat
6 Jonathan dari Amerika Syarikat
7 Anna dari Estonia
8 Elke dari Austria
9 Chantal dari Kanada
10 Ines dari Austria