Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Sembahlah Tuhan yang Memberikan Kebebasan

Sembahlah Tuhan yang Memberikan Kebebasan

Sembahlah Tuhan yang Memberikan Kebebasan

‘Apabila kita mentaati perintah Tuhan, maka kita mengasihi Tuhan. Perintah-Nya pun tidak terlalu susah bagi kita.’​—1 YOH. 5:3, ABB.

CARILAH JAWAPANNYA

Apakah yang dilakukan Syaitan supaya hukum-hukum Tuhan kelihatan seperti beban?

Mengapakah kita perlu memilih sahabat dengan cermat?

Bagaimanakah kita boleh kekal setia kepada Tuhan yang membawa kebebasan?

1. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan kebebasan-Nya? Apakah kebebasan yang diberikan-Nya kepada Adam dan Hawa?

SELAIN Yehuwa, tiada sesiapa lagi yang memiliki kebebasan mutlak. Namun, Dia tidak menyalahgunakan kebebasan-Nya, atau mengongkong gerak-geri hamba-Nya. Sebaliknya, Tuhan mengurniai mereka kebebasan untuk membuat keputusan sendiri dan memuaskan keinginan yang sihat. Misalnya, Dia hanya memberi Adam dan Hawa satu larangan: Mereka tidak boleh makan buah daripada “pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat.” (Kej. 2:17) Ya, mereka boleh mentaati kehendak Pencipta sambil menikmati kebebasan yang besar!

2. Bagaimanakah Adam dan Hawa kehilangan kebebasan mereka?

2 Mengapakah Tuhan memberi Adam dan Hawa kebebasan yang begitu besar? Mereka diciptakan mengikut imej-Nya dan dikurniai hati nurani. Oleh itu, Pencipta berharap agar kasih mereka terhadap-Nya akan mendorong mereka untuk mengikut haluan yang benar. (Kej. 1:27; Rm. 2:15) Sedih sekali Adam dan Hawa tidak menghargai kebebasan yang dikurniakan oleh Pemberi Kehidupan. Mereka menginginkan lebih banyak kebebasan lalu memutuskan sendiri apa yang betul dan apa yang salah. Akibatnya mereka dan anak-anak mereka telah menjadi hamba dosa. Oleh itu, umat manusia terpaksa menderita dan mati.​—Rm. 5:12.

3, 4. Syaitan ingin membuat kita memupuk pandangan apa terhadap perintah Tuhan?

3 Syaitan berjaya menggoda dua insan sempurna dan ramai makhluk roh untuk menolak kedaulatan Yehuwa. Dia juga boleh menyesatkan kita dengan helah yang sama. Dia ingin kita berfikir bahawa perintah Tuhan terlalu membebankan dan menghalang kita daripada menikmati kehidupan. (1 Yoh. 5:3) Jika kita sering terdedah kepada pemikiran sebegini, kita mungkin akan terpengaruh. Seorang saudari yang berusia 24 tahun berkata bahawa pergaulan buruk telah banyak mempengaruhinya. Oleh itu dia terbabit dalam hubungan seks yang tidak bermoral. Katanya, “Saya takut pendirian saya berbeza daripada rakan sebaya.” Barangkali, anda juga pernah menghadapi tekanan sebegini.

4 Malangnya, segelintir ahli sidang juga menjadi sumber tekanan rakan sebaya. Seorang saudara muda berkata, “Ada kaum muda dalam sidang yang bercinta dengan orang yang tidak seiman. Lambat laun saya sedar bahawa semakin kerap saya bergaul dengan mereka, perangai saya menjadi semakin mirip dengan mereka. Kerohanian saya mula merosot. Saya kurang meminati makanan rohani di perjumpaan, dan saya jarang menginjil. Itulah tanda bahawa saya tidak patut bergaul dengan mereka lagi.” Adakah anda sedar betapa kuatnya pengaruh kawan-kawan anda? Fikirkan contoh Bible yang berikut.​—Rm. 15:4.

DIA MENGAMBIL HATI ORANG ISRAEL

5, 6. Bagaimanakah Absalom menyesatkan orang lain? Adakah muslihatnya berjaya?

5 Bible mengandungi banyak contoh tentang orang yang merupakan pengaruh buruk. Salah seorang ialah putera Raja Daud, Absalom. Dia sangat tampan, tetapi hatinya dikuasai ketamakan. Walaupun dia bukan pewaris yang dipilih, Absalom ingin merampas tahkta ayahnya. * Absalom berpura-pura mengambil berat terhadap rakyatnya, sambil menyiratkan bahawa kerajaan Daud tidak peduli dengan keperluan mereka. Seperti yang dilakukan oleh Iblis di Taman Eden, Absalom membuat orang lain berfikir bahawa dia prihatin terhadap mereka, dan pada masa yang sama memfitnah ayahnya dengan keji.​—2 Sam. 15:1-5.

6 Muslihat Absalom nampaknya berjaya. Bible menyatakan, “Absalom mengambil hati orang Israel.” (2 Sam. 15:6) Namun, keangkuhan Absalom mengakibatkan kejatuhannya. Akhirnya, dia dan ribuan orang pengikutnya telah kehilangan nyawa.​—2 Sam. 18:7, 14-17.

7. Apakah yang boleh kita pelajari daripada kisah Absalom? (Lihat gambar pada muka 14.)

7 Mengapakah orang Israel begitu mudah diperdaya? Barangkali mereka tertarik dengan janji-janji Absalom, atau terpesona dengan lelaki kacak itu. Walau bagaimanapun, kita boleh pasti bahawa mereka tidak setia kepada Yehuwa dan raja yang dilantik-Nya. Hari ini, Syaitan terus menggunakan orang seperti Absalom untuk mengambil hati umat Yehuwa. Mereka mungkin berkata, “Hukum-hukum Yehuwa terlampau ketat. Tengoklah betapa seronoknya orang yang tidak menyembah Yehuwa!” Adakah anda akan sedar bahawa semua ini hanya tipu daya? Adakah anda akan tetap setia kepada Tuhan dan mengakui bahawa hanya ‘hukum yang sempurna,’ iaitu hukum Kristus, boleh membawa kebebasan sejati? (Yak. 1:25) Jika ya, hargailah hukum itu, dan janganlah tergoda untuk menyalahgunakan kebebasan Kristian anda.​—Baca 1 Petrus 2:16.

8. Apakah kisah benar yang menunjukkan bahawa melanggar hukum Yehuwa tidak membawa kebahagiaan?

8 Sasaran utama Syaitan ialah kaum muda. Seorang saudara yang kini berumur 30-an mengatakan bahawa semasa dia berusia belasan tahun, dia memandang piawaian moral Yehuwa sebagai sekatan dan bukan perlindungan. Akibatnya, dia terlibat dalam perbuatan seks yang tidak bermoral. Namun, dia tidak berasa bahagia. “Perasaan bersalah dan rasa malu telah menghantui saya selama bertahun-tahun,” katanya. Seorang saudari yang melakukan perbuatan yang tidak bermoral pada zaman remaja berkata, “Anda akan berasa sedih dan tidak berguna. Walaupun 19 tahun sudah berlalu, kisah silam ini masih mengekori saya.” Seorang saudari berkata, “Setelah mengetahui bahawa kelakuan saya telah menyakiti orang yang tersayang, saya rasa remuk-redam secara mental, emosi, dan rohani. Hidup tanpa perkenan Yehuwa langsung tidak bermakna.” Syaitan tidak mahu anda berfikir tentang akibat buruk yang mengiringi perbuatan dosa.

9. (a) Bagaimanakah kita boleh menilai pandangan kita sendiri terhadap Yehuwa serta hukum dan prinsip-prinsip-Nya? (b) Mengapakah kita perlu menjalin hubungan yang erat dengan Yehuwa?

9 Malangnya, dalam sidang Kristian, ramai kaum muda dan bahkan sebilangan orang dewasa terpaksa belajar melalui pengalaman pahit bahawa menurut hawa nafsu akan membawa padah. (Gal. 6:7, 8) Jadi, tanyalah diri: “Adakah saya sedar bahawa muslihat Syaitan bertujuan mencelakakan saya? Adakah saya memandang Yehuwa sebagai Sahabat akrab yang sentiasa bercakap benar dan mengambil berat terhadap saya? Adakah saya yakin bahawa Dia tidak akan menyembunyikan perkara yang benar-benar berfaedah bagi saya?” (Baca Yesaya 48:17, 18.) Untuk menjawab “ya” dengan ikhlas, anda perlu menjalin hubungan yang erat dengan Yehuwa. Anda juga perlu sedar bahawa Yehuwa memberikan hukum dan prinsip Bible kerana Dia mengasihi anda. Dia tidak ingin mengongkong kebebasan anda.​—Mzm. 25:14.

MEMOHON KEBIJAKSANAAN DAN KETAATAN

10. Mengapakah kita patut meniru teladan Raja Salomo?

10 Semasa Salomo masih muda, dia berdoa, “Aku masih sangat muda dan tidak tahu memerintah.” Dengan ikhlas, dia memohon Yehuwa agar membantunya menjadi bijak dan taat. (1 Raj. 3:7-9, 12) Yehuwa telah mengabulkan doanya, dan Dia juga boleh memberi anda kebijaksanaan dan hati yang taat. Memang, Yehuwa tidak akan mengurniai anda pemahaman dan kebijaksanaan yang luar biasa. Tetapi jika anda mengkaji Firman-Nya dengan tekun, memohon daya aktif, dan memanfaatkan bimbingan rohani yang disediakan menerusi sidang, anda akan menjadi bijak. (Yak. 1:5) Melalui pelbagai cara ini, bahkan hamba Yehuwa yang muda boleh menjadi lebih bijaksana daripada ‘orang bijak’ yang menolak nasihat Tuhan.​—Luk. 10:21; baca Mazmur 119:98-100.

11-13. (a) Apakah pengajaran penting yang terkandung dalam Mazmur 26:4, Amsal 13:20, dan 1 Korintus 15:33? (b) Bagaimanakah anda akan menerapkan prinsip-prinsip ini?

11 Mengkaji dan merenungi Bible sangat penting kerana usaha ini akan membantu kita benar-benar mengenal Yehuwa. Sebagai contoh, mari kita bincangkan beberapa ayat yang menunjukkan pentingnya memilih sahabat yang baik. “Aku tidak bergaul dengan orang yang tidak berguna; aku tidak berhubungan dengan orang yang berpura-pura.” (Mzm. 26:4, ABB) “Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak; orang yang bersahabat dengan orang bodoh akan celaka.” (Ams. 13:20, ABB) “Persahabatan yang buruk merosakkan akhlak baik.”​—1 Kor. 15:33.

12 Apakah pengajaran penting yang boleh kita peroleh daripada ayat-ayat tadi? (1) Yehuwa ingin kita memilih sahabat dengan cermat. Dia ingin melindungi kita secara moral dan rohani. (2) Sahabat kita boleh mempengaruhi kita untuk melakukan yang baik atau yang buruk. Itulah lumrah hidup. Cara ayat-ayat itu ditulis menunjukkan bahawa Yehuwa ingin mencapai hati kita. Bagaimana? Ayat-ayat tadi menyatakan kebenaran yang asas dan bukannya perintah seperti “engkau dilarang . . .” Yehuwa seolah-olah berfirman, “Inilah hakikatnya. Apakah pilihanmu? Apakah yang tersimpan dalam hatimu?”

13 Kebenaran asas dalam tiga ayat tadi mempunyai penerapan yang luas dan tidak akan luput ditelan masa. Maka, tanyalah diri: Bagaimanakah saya dapat menjauhi orang “yang berpura-pura”? Dalam situasi manakah saya akan berjumpa dengan mereka? (Ams. 3:32; 6:12) Siapakah “orang bijak” yang harus menjadi sahabat saya? Siapakah “orang bodoh” yang harus saya elakkan? (Mzm. 111:10; 112:1; Ams. 1:7) Jika saya memilih sahabat buruk, apakah “akhlak baik” yang akan dirosakkan? Adakah pergaulan buruk hanya terdapat di luar sidang? (2 Ptr. 2:1-3) Apakah jawapan anda kepada soalan-soalan ini?

14. Bagaimanakah anda boleh menjadikan malam Penyembahan Keluarga anda lebih bermakna?

14 Bolehkah anda juga merenungkan ayat Bible lain untuk mengetahui pandangan Yehuwa tentang perkara yang berkaitan dengan keluarga anda? * Ibu bapa, bincanglah topik-topik sebegini semasa malam Penyembahan Keluarga. Ingatlah bahawa tujuan anda adalah untuk membantu setiap ahli keluarga sedar bahawa hukum dan prinsip Tuhan mencerminkan kasih-Nya yang mendalam terhadap kita. (Mzm. 119:72) Pembelajaran ini dapat membantu ahli keluarga bertambah erat kepada satu sama lain dan kepada Yehuwa.

15. Apakah caranya untuk mengetahui sama ada anda sedang menjadi bijak dan taat?

15 Apakah caranya untuk mengetahui sama ada anda sedang menjadi bijak dan taat? Satu cara adalah dengan membandingkan fikiran anda dengan hamba setia pada zaman Bible. Misalnya, Raja Daud menulis, ‘Aku suka melakukan kehendak-Mu, ya Tuhanku! Aku menyimpan segala ajaran-Mu dalam hatiku.’ (Mzm. 40:9, ABB) Penulis Mazmur 119 juga berkata, “Aku sangat mencintai Taurat-Mu! Aku merenungkannya sepanjang hari.” (Mzm. 119:97, ABB) Kasih sedemikian perlu dipupuk. Maka, kita perlu mengkaji dan merenungi Bible secara mendalam, berdoa, dan merasai berkat yang diperoleh apabila kita mematuhi hukum Tuhan.​—Mzm. 34:9.

BERJUANG DEMI KEBEBASAN KRISTIAN!

16. Semasa berjuang demi kebebasan sejati, apakah yang harus kita ingat?

16 Sepanjang sejarah, bangsa-bangsa telah berperang demi kemerdekaan. Maka, tidakkah anda harus berjuang dengan lebih keras lagi demi kebebasan Kristian anda? Ingatlah bahawa anda bukan sahaja perlu melawan Syaitan dan semangat dunia ini yang beracun. Anda juga perlu bergelut dengan ketidaksempurnaan dan hati yang licik. (Yer. 17:9; Ef. 2:3) Namun, Yehuwa boleh membantu anda. Bukan itu sahaja, setiap kali anda berjaya, anda sekurang-kurangnya mencapai dua kesan positif. Pertama, anda akan menggembirakan hati Yehuwa. (Ams. 27:11) Kedua, apabila anda memperoleh manfaat kerana mematuhi ‘hukum Tuhan yang sempurna,’ anda akan lebih bertekad agar terus berada di ‘jalan sempit’ yang menuju kehidupan kekal. Pada masa hadapan, anda akan menikmati kebebasan besar yang disediakan bagi semua hamba Yehuwa yang setia.​—Yak. 1:25; Mat. 7:13, 14.

17. Mengapakah kita tidak patut berasa kecewa atas ketidaksempurnaan sendiri? Bagaimanakah Yehuwa akan membantu kita?

17 Dari semasa ke semasa, kita akan berbuat silap. (Pkh. 7:20) Namun, janganlah terlalu menyalahkan diri atau berasa diri anda tidak berguna. Jika anda tersandung, bangkitlah semula dan maralah ke depan. Kiranya perlu, dapatkan bantuan para penatua. Yakobus menulis, “Doa yang diucapkan dengan iman, akan menyembuhkan orang sakit itu. Tuhan akan memulihkan kesihatannya dan dosa yang sudah dilakukannya akan diampunkan.” (Yak. 5:15, ABB) Ingatlah bahawa Tuhan berbelas kasihan. Dialah yang memimpin anda ke dalam sidang kerana Dia tahu potensi anda. (Baca Mazmur 103:8, 9.) Selagi anda menyembah-Nya dengan tulus ikhlas, Yehuwa akan terus membantu anda.​—1 Taw. 28:9.

18. Apakah yang harus kita lakukan agar dilindungi Yehuwa?

18 Pada malam terakhir Yesus di bumi, dia telah berdoa bersama 11 orang rasulnya yang setia. Dia memohon kepada Yehuwa, “Aku meminta Engkau menjaga mereka daripada Si Jahat.” (Yoh. 17:15) Dewasa ini, Yesus juga mengambil berat terhadap semua pengikutnya. Oleh itu, Yehuwa pasti akan mendengar doa Yesus dan melindungi kita sepanjang masa yang genting ini. Yehuwa ‘memberikan pertolongan kepada orang yang tulus hati dan jujur. Dia melindungi orang yang setia kepada-Nya.’ (Ams. 2:7, 8, ABB) Ya, kita akan menghadapi pelbagai cabaran semasa menempuh haluan integriti. Namun, inilah satu-satunya jalan yang membawa kehidupan kekal dan kebebasan sejati. (Rm. 8:21) Maka, janganlah tinggalkan haluan ini!

[Nota kaki]

^ per. 5 Tuhan telah berjanji bahawa seorang putera Daud akan mewarisi takhtanya. Memandangkan janji itu diberikan selepas kelahiran Absalom, dia sepatutnya tahu bahawa Yehuwa tidak memilihnya sebagai waris.​—2 Sam. 3:3; 7:12.

^ per. 14 Misalnya, di 1 Korintus 13:4-8, Paulus menggambarkan kasih, dan Mazmur 19:8-12 menyatakan pelbagai berkat yang dinikmati oleh orang yang mentaati Yehuwa.

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 14]

Dewasa ini, siapakah orang yang bersikap seperti Absalom? Bagaimanakah kita boleh mengelakkan jerat mereka?