Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kisah Hidup

Yehuwa Mengajar Saya Melakukan Kehendak-Nya

Yehuwa Mengajar Saya Melakukan Kehendak-Nya

Diceritakan oleh Max Lloyd

Lewat suatu malam pada tahun 1955, saya dan seorang mubaligh lain berada di Paraguay, Amerika Selatan. Rumah yang kami kunjungi dikelilingi perusuh. Mereka menjerit, “Tuhan kami dahagakan darah. Dia mahu darah gringo.” Kami ialah gringo (orang asing) di situ. Bagaimanakah hal ini berlaku?

SAYA membesar di Australia dan di situlah Yehuwa mula mengajar saya melakukan kehendak-Nya. Pada tahun 1938, ayah menerima sebuah buku berjudul Enemies (“Musuh”) daripada seorang Saksi. Ayah dan ibu telah hilang minat dengan pihak gereja yang mengatakan bahawa sesetengah catatan Bible ialah kisah dongeng. Selepas setahun, ibu bapa saya telah membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis. Semenjak itu, melakukan kehendak Yehuwa menjadi perkara terpenting dalam keluarga kami. Kemudian, kakak saya, Lesley, yang lima tahun lebih tua daripada saya telah dibaptis. Saya pula dibaptis pada tahun 1940 sewaktu saya berumur sembilan tahun.

Sebaik sahaja bermulanya Perang Dunia II, kerajaan Australia telah melarang bahan bacaan Bible kita dicetak dan diedarkan. Jadi sejak muda lagi, saya belajar untuk menjelaskan pendirian saya dengan menggunakan Bible. Saya sering membawa Bible ke sekolah untuk menunjukkan sebabnya saya tidak menabik bendera dan tidak menyokong peperangan.​—Kel. 20:4, 5; Mat. 4:10; Yoh. 17:16; 1 Yoh. 5:21.

Ramai di sekolah enggan bergaul dengan saya kerana saya digelar sebagai “perisik Jerman.” Pada masa itu, filem ditayangkan di sekolah. Tetapi sebelum filem bermula, kami harus berdiri dan menyanyikan lagu kebangsaan. Apabila saya tidak berdiri, dua atau tiga orang pelajar mencuba menarik rambut saya dan memaksa saya untuk berdiri. Akhirnya, saya dibuang sekolah kerana mengekalkan pendirian Kristian saya. Namun saya terus belajar di rumah.

AKHIRNYA MATLAMAT SAYA TERCAPAI

Matlamat peribadi saya adalah untuk menjadi perintis semasa berumur 14 tahun. Jadi saya rasa sangat kecewa apabila ibu bapa menyuruh saya bekerja dahulu. Mereka mahu saya membayar sewa bilik dan makanan. Tetapi mereka berjanji bahawa saya boleh merintis apabila berumur 18 tahun. Saya sering bertikai dengan mereka kerana saya mahu menjimatkan wang untuk merintis, tetapi mereka pula mengambil wang saya.

Saatnya tiba untuk mula merintis. Tetapi sebelum itu, ibu bapa duduk dengan saya dan menjelaskan bahawa semua wang itu disimpan di dalam bank. Mereka mengembalikan wang itu agar saya boleh membeli baju dan barang keperluan untuk merintis. Sebenarnya mereka ingin melatih saya untuk berdikari. Ini merupakan latihan yang tidak ternilai!

Sewaktu saya dan Lesley membesar, para perintis sering menginap di rumah kami dan kami sangat gembira kerana dapat menginjil bersama mereka. Sepanjang hujung minggu, kami akan menginjil dari rumah ke rumah, di tempat awam, dan mengadakan pembelajaran Bible. Pada zaman itu, matlamat bagi seorang penyiar ialah 60 jam sebulan. Hampir setiap bulan, mak berjaya melakukannya. Teladannya telah menjadi dorongan bagi Lesley dan saya.

MERINTIS DI TASMANIA

Tugasan pertama saya adalah di Tasmania. Saya merintis di situ bersama kakak dan abang ipar saya. Tetapi tidak lama kemudian mereka telah dijemput ke kelas Gilead yang ke-15. Saya seorang pemalu dan tidak pernah meninggalkan rumah. Ada yang menjangkakan bahawa saya hanya akan bertahan selama tiga bulan. Namun, selepas setahun, iaitu pada tahun 1950, saya dilantik sebagai hamba sidang, yang sekarang digelar sebagai koordinator badan penatua. Kemudian, saya dilantik sebagai perintis khas bersama seorang saudara muda.

Kami ditugaskan ke sebuah pekan perlombongan. Tiada Saksi yang tinggal di situ. Selepas menaiki bas ke situ, kami menginap di sebuah hotel lama pada malam pertama. Keesokan harinya, kami menginjil sambil mencari tempat tinggal. Hampir penghujung hari, seorang lelaki mengatakan bahawa terdapat sebuah rumah kosong di sebelah gereja Presbyterian. Pembantu ketua gereja di situ ramah, dan mengizinkan kami tinggal di rumah itu. Setiap hari, kami berasa aneh kerana tinggal di rumah paderi sementara menginjil di pekan itu.

Kami mendapat sambutan yang sangat baik di kawasan itu. Kami memulakan banyak pembelajaran Bible. Apabila pihak gereja di ibu negeri mengetahui bahawa ada Saksi yang tinggal di rumah paderi, mereka mengarahkan pembantu ketua gereja untuk segera menghalau kami. Sekali lagi kami tiada tempat tinggal!

Selepas menginjil sehingga petang pada keesokan hari, kami mencari tempat untuk bermalam. Kami menyembunyikan beg-beg kami di sebuah stadium, kemudian sambung menginjil. Walaupun hari sudah semakin gelap, kami terus menginjil kerana tinggal beberapa lagi rumah di lorong itu yang belum dikunjungi. Salah seorang penghuni itu membenarkan kami tinggal di sebuah rumah kecil dekat rumahnya!

KERJA LITAR DAN GILEAD

Selepas hampir lapan bulan di pekan ini, saya dijemput oleh pejabat cawangan Australia untuk menjadi penyelia litar. Saya sangat terkejut, kerana saya hanya berumur 20 tahun. Selepas dilatih selama dua minggu, saya mula mengunjungi dan menggalakkan sidang-sidang. Mereka yang lebih tua tidak memandang rendah terhadap saya tetapi mereka menghormati kerja yang saya lakukan.

Saya menaiki pelbagai kenderaan untuk mengunjungi sidang-sidang. Satu minggu, saya akan menaiki bas. Minggu yang lain, saya menggunakan trem atau kereta. Saya juga perlu duduk di belakang motosikal sambil memegang beg pakaian dan beg penyebaran. Saya sangat gembira semasa tinggal bersama saudara saudari. Seorang hamba sidang sangat ingin saya tinggal bersamanya walaupun rumahnya belum siap dibina. Jadi saya terpaksa tidur dalam tab mandi. Tetapi aktiviti rohani pada minggu itu membawa sukacita yang sangat besar kepada kami.

Pada tahun 1953, saya menerima satu lagi kejutan. Saya dijemput untuk menghadiri kelas Gilead yang ke-22. Saya gembira tetapi saya juga risau. Kakak dan ipar saya ditugaskan ke Pakistan selepas tamat Sekolah Gilead pada 30 Julai 1950. Tetapi kurang dari setahun, Lesley jatuh sakit lalu meninggal. Jika saya berkhidmat di tempat lain, bagaimana pula perasaan ibu bapa saya? Namun mereka berkata, “Berkhidmatlah kepada Yehuwa di mana sahaja yang disuruh-Nya.” Saya tidak dapat jumpa ayah lagi kerana dia meninggal pada tahun 1957.

Tidak lama kemudian, saya dan lima orang saudara saudari Australia yang lain berlayar ke Bandar Raya New York. Selama pelayaran enam minggu, kami berpeluang membaca dan mengkaji Bible, serta menginjil. Sebelum ke Sekolah Gilead di Lansing Selatan, New York, kami menghadiri konvensyen antarabangsa di Stadium Yankee pada Julai 1953. Seramai 165,829 orang yang hadir!

Di kelas Gilead kami terdapat 120 orang pelajar dari seluruh pelosok dunia. Kami tidak tahu ke mana kami akan ditugaskan sehingga pada hari penyampaian ijazah. Sejurus itu, kami bergegas ke perpustakaan untuk mencari maklumat tentang negara tersebut. Saya ditugaskan ke Paraguay yang mempunyai banyak revolusi politik. Selepas tiba di sana, saya menanya mubaligh lain “perayaan” apa yang berlaku pada malam sebelumnya. Mereka senyum dan berkata, “Itu ialah revolusi politik. Cuba lihat di luar.” Terdapat ramai askar di setiap sudut!

PENGALAMAN YANG SUKAR DILUPAKAN

Pernah sekali, saya menemani penyelia litar mengunjungi sebuah sidang terpencil dan menayangkan filem The New World Society in Action. Perjalanan kami memakan masa lapan atau sembilan jam. Kami menaiki kereta api, menggunakan kereta kuda, dan kemudiannya kereta lembu. Kami membawa sebuah mesin penjana elektrik dan projektor. Setelah tiba, kami meluangkan hari seterusnya untuk melawat ladang-ladang dan menjemput semua orang untuk menonton filem pada malam nanti. Seramai 15 orang yang hadir.

Apabila filem itu berlangsung selama 20 minit, kami diberitahu untuk segera masuk ke dalam rumah. Kami terus ambil projektor dan masuk. Selepas itu, terdapat lelaki yang berteriak, melepaskan tembakan, dan berkata, “Tuhan kami dahagakan darah. Dia mahu darah gringo.” Saya adalah antara dua gringo di situ! Mereka yang menonton filem itu menghalang kumpulan perusuh daripada menyerbu masuk ke dalam rumah. Tetapi perusuh itu kembali lagi pada jam tiga subuh, melepaskan tembakan sambil mengugut akan menangkap kami semasa kami pulang ke bandar nanti.

Selepas dihubungi, syerif datang pada waktu petang bersama dua ekor kuda untuk mengiring kami ke bandar. Setiap kali terdapat kawasan semak samun, syerif itu akan mengeluarkan pistolnya dan memeriksa kawasan itu. Saya mendapati bahawa kuda merupakan pengangkutan yang penting. Oleh itu, saya membeli seekor kuda.

MUBALIGH LAIN TIBA

Kerja menginjil masih berjalan lancar meskipun ditentang oleh pihak gereja. Pada tahun 1955, lima orang mubaligh dari kelas Gilead yang ke-25 tiba di Paraguay. Antaranya ialah Elsie Swanson, seorang saudari muda dari Kanada. Saya bekerja bersamanya buat seketika di pejabat cawangan sebelum dia ditugaskan ke pekan lain. Dia telah menggunakan kehidupannya untuk berkhidmat kepada Yehuwa tanpa sokongan ibu bapa yang tidak seiman. Pada 31 Disember 1957, saya dan Elsie berkahwin. Kami berpindah ke sebuah rumah di bahagian selatan Paraguay.

Rumah kami tiada paip air, sebaliknya terdapat perigi di belakang rumah. Jadi rumah kami tiada tempat mandi, tandas, ataupun mesin basuh baju. Kami perlu membeli makanan setiap hari kerana tiada peti sejuk. Tetapi kehidupan sederhana, dan hubungan akrab dengan saudara saudari yang pengasih telah memberi kami kebahagiaan yang besar.

Pada tahun 1963, sebaik sahaja kami tiba di Australia untuk melawat ibu saya, dia diserang sakit jantung kerana terlalu gembira melihat anaknya kembali selepas sepuluh tahun. Saat untuk kembali ke Paraguay semakin dekat, dan kami menghadapi pilihan yang sangat susah. Patutkah kami kembali ke Paraguay dan meninggalkan ibu di hospital di bawah jagaan orang lain? Selepas doa yang sungguh-sungguh, saya dan Elsie memilih untuk menjaga ibu sambil meneruskan khidmat sepenuh masa sehingga ibu meninggal pada tahun 1966.

Saya berpeluang berkhidmat sebagai penyelia litar dan penyelia distrik di Australia serta mengajar di Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik. Kemudian hidup kami berubah sekali lagi setelah saya ditugaskan untuk berkhidmat dalam Jawatankuasa Cawangan Australia yang pertama. Seterusnya, semasa pejabat cawangan baru dibina, saya dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa pembinaan. Ramai pekerja yang berpengalaman memberi kerjasama untuk menyiapkan sebuah pejabat cawangan yang indah.

Kemudian saya berkhidmat di Bahagian Kerja Penyebaran yang menguruskan aktiviti penyebaran di sesebuah negara. Saya juga berpeluang menjadi penyelia zon yang membantu dan menggalakkan banyak cawangan di seluas dunia. Iman saya diperkukuhkan semasa mengunjungi rakan seiman yang telah menghabiskan banyak tahun dalam penjara dan kem Nazi kerana tetap setia kepada Yehuwa.

TUGASAN KAMI SEKARANG

Selepas kembali daripada lawatan zon yang memenatkan pada tahun 2001, saya menerima surat jemputan ke Brooklyn, New York, untuk berkhidmat dalam Jawatankuasa Cawangan yang baru dibentuk. Saya dan Elsie berdoa semasa mempertimbangkan jemputan itu, dan kami sangat gembira menerima tugasan tersebut. Selepas lebih dari 11 tahun, kami masih berkhidmat di Brooklyn.

Saya sangat bangga kerana saya memiliki seorang isteri yang gembira melakukan apa sahaja yang disuruh oleh Yehuwa. Saya dan Elsie sekarang sudah berumur 81 tahun dan masih memiliki keadaan kesihatan yang agak baik. Kami ingin sekali menikmati ajaran Yehuwa buat selama-lamanya serta menerima berkat yang akan dinikmati oleh mereka yang terus melakukan kehendak-Nya.

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 19]

Satu minggu, saya akan menaiki bas. Minggu yang lain, saya menggunakan trem atau kereta. Saya juga perlu duduk di belakang motosikal sambil memegang beg pakaian dan beg penyebaran

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 21]

Kami ingin sekali menikmati ajaran Yehuwa buat selama-lamanya

[Gambar pada muka surat 18]

Kiri: Semasa menjalankan kerja litar di Australia

Kanan: Bersama dengan ibu bapa saya

[Gambar pada muka surat 20]

Hari perkahwinan kami, 31 Disember 1957