Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Berwaspada Terhadap Perangkap Iblis!

Berwaspada Terhadap Perangkap Iblis!

Berwaspada terhadap Perangkap Iblis!

“Lalu mereka akan insaf dan terlepas daripada perangkap Iblis.”​—2 TIM. 2:26.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

Apakah yang harus kita lakukan jika kita cenderung mengkritik orang lain?

Contoh Pilatus dan Petrus mengajar kita apa tentang tekanan dan rasa takut akan manusia?

Bagaimanakah anda dapat menghindari rasa bersalah yang melampau?

1, 2. Apakah perangkap-perangkap Syaitan yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

SYAITAN suka menghendap dan mengekori hamba Yehuwa. Niatnya bukan untuk membunuh kita. Sebaliknya, dia mahu menangkap mangsanya hidup-hidup lalu memperalatkan mereka.​—Baca 2 Timotius 2:24-26.

2 Pemburu yang mahu menangkap binatang hidup-hidup mungkin menggunakan perangkap. Dia mungkin memasang perangkap yang sukar dikesan, atau mengumpan binatang itu untuk keluar dari tempat persembunyian lalu menangkapnya. Jika kita tidak mahu tertangkap, kita mesti peka terhadap tanda-tanda yang menunjukkan di mana perangkap Syaitan tersorok. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan 3 perangkap yang biasa digunakan oleh Syaitan: (1) pertuturan yang tidak terkekang, (2) rasa takut dan tekanan, dan (3) rasa bersalah yang melampau. Rencana yang berikut akan mengupas dua lagi perangkap Syaitan.

PADAMKAN API​—PERTUTURAN YANG TIDAK TERKEKANG

3, 4. Kegagalan untuk mengawal lidah boleh mengakibatkan apa? Berikan contoh.

3 Sesetengah pemburu membakar tumbuh-tumbuhan untuk memaksa binatang keluar daripada tempat persembunyian. Kemudian, pemburu akan menangkap binatang-binatang yang melarikan diri. Syaitan juga berhasrat “membakar” sidang agar saudara saudari meninggalkan sidang lalu masuk ke dalam perangkapnya. Jika kita tidak berwaspada, kita mungkin diperalatkan oleh Syaitan dan menjadi mangsanya.

4 Menurut Yakobus, lidah ibarat api. (Baca Yakobus 3:6-8.) Jika kita gagal mengekang lidah, kita mungkin menyalakan api besar dalam sidang. Bagaimana? Fikirkan situasi yang berikut: Pengumuman dibuat bahawa seorang saudari dilantik sebagai perintis biasa. Selepas perjumpaan, dua orang penyiar meluahkan pendapat masing-masing. Seorang penyiar berasa gembira dan berharap agar saudari itu akan berjaya. Seorang lagi mempersoalkan niat saudari itu dan mengatakan bahawa saudari itu hanya ingin dipuji. Adakah anda mahu berkawan dengan penyiar yang pertama atau yang kedua? Ya, kita semua tahu pertuturan penyiar mana yang boleh membangkitkan masalah dalam sidang.

5. Jika kita mahu memadamkan api pertuturan yang tidak terkekang, apakah yang harus kita lakukan?

5 Bagaimanakah kita dapat mengawal pertuturan kita? Yesus berkata, “Orang mengucapkan apa yang terkandung di dalam hati.” (Mat. 12:34) Jadi langkah pertama adalah dengan memeriksa hati kita. Adakah kita mengelakkan perasaan negatif yang boleh menjadi bahan api kepada pertuturan yang tidak membina? Contohnya, jika seorang saudara berusaha untuk memikul lebih banyak tanggungjawab dalam sidang, adakah kita cenderung mempersoalkan niat hatinya? Jika ya, ingatlah bahawa Syaitan juga mempersoalkan niat hati Ayub. (Ayb. 1:9-11) Kita tidak patut menaruh syak wasangka terhadap saudara kita. Sebaliknya, periksalah mengapa kita mengkritik dia. Adakah kita benar-benar mempunyai sebab yang baik? Atau adakah hati kita sudah diracuni sikap dingin yang berleluasa dewasa ini?​—2 Tim. 3:1-4.

6, 7. (a) Mengapakah kita cenderung mengkritik orang lain? (b) Apakah seharusnya reaksi kita jika kita dicerca?

6 Fikirkan sebab-sebab lain mengapa kita cenderung mengkritik orang lain. Mungkinkah kita ingin menonjolkan kelebihan sendiri? Adakah kita ingin meninggikan diri dengan merendahkan orang lain? Adakah kita mencari alasan kerana kita lalai melakukan kewajipan sendiri? Tidak kira sama ada sikap sombong, iri hati, atau kurang harga diri yang mendorong kita, hasilnya amat memudaratkan.

7 Mungkin kita pernah menjadi mangsa pertuturan yang tidak terkekang. Tetapi membalas buruk dengan buruk bukanlah penyelesaiannya kerana tindakan itu umpama mencurahkan minyak ke atas api. Hal ini juga menunjukkan bahawa kita bersubahat dengan Syaitan dan melawan kehendak Tuhan. (2 Tim. 2:26) Adalah lebih baik jika kita meniru teladan Yesus. Apabila dicerca, Yesus tidak membalas dengan cercaan ‘tetapi dia mempercayakan diri kepada Tuhan, Hakim yang adil itu.’ (1 Ptr. 2:21-23) Yesus berasa yakin bahawa Yehuwa akan menyelesaikan masalah yang timbul mengikut cara dan masa yang terbaik. Jika kita menggunakan pertuturan kita untuk menggalakkan orang, kita sedang memelihara perpaduan sidang.​—Baca Efesus 4:1-3.

ELAKKAN RASA TAKUT DAN TEKANAN

8, 9. Mengapakah Pilatus menjatuhkan hukuman mati ke atas Yesus?

8 Seekor binatang yang terjerat hilang kebebasan untuk bergerak ke sana sini. Begitu juga, seseorang yang terjerat oleh tekanan atau rasa takut boleh menjadi seperti boneka yang dikawal oleh orang. (Baca Amsal 29:25.) Sekarang, mari kita lihat contoh dua orang lelaki yang rebah di bawah tekanan dan takut akan manusia.

9 Gabenor Roma yang bernama Pontius Pilatus tahu bahawa Yesus tidak bersalah. Pilatus bahkan mengatakan bahawa Yesus “tidak melakukan sesuatu pun sehingga dia patut dijatuhi hukuman mati.” Tetapi, Pilatus akhirnya menjatuhkan hukuman mati ke atas Yesus. Mengapa? Dia telah tunduk kepada tekanan kumpulan perusuh. (Luk. 23:15, 21-25) Kumpulan perusuh itu meningkatkan bahang tekanan dengan berkata, “Jika tuan membebaskan dia, tuan bukan sahabat Kaisar.” (Yoh. 19:12) Pilatus mungkin takut bahawa dia akan kehilangan kedudukan atau nyawanya jika dia berpihak kepada Kristus. Maka dia membiarkan dirinya diperalatkan oleh Si Iblis.

10. Apakah yang menyebabkan Petrus menyangkal Kristus?

10 Rasul Petrus ialah salah seorang sahabat Yesus yang terdekat. Dia tidak berasa takut untuk memberitahu orang lain bahawa Yesus ialah Mesias. (Mat. 16:16) Semasa pengikut-pengikut Yesus tidak memahami maksud kata-katanya lalu meninggalkan Yesus, Petrus tetap setia kepada Yesus. (Yoh. 6:66-69) Apabila musuh datang menangkap Yesus, Petrus menggunakan sebilah pedang untuk melindungi Tuannya. (Yoh. 18:10, 11) Namun, Petrus kemudiannya tunduk kepada perasaan takut dan bahkan menafikan bahawa dia mengenal Yesus. Ketika itu, Petrus terjerat kerana takut akan manusia. Akibatnya, dia tidak dapat melakukan perkara yang benar dengan berani.​—Mat. 26:74, 75.

11. Apakah pengaruh negatif yang mungkin kita hadapi?

11 Sebagai orang Kristian, kita perlu melawan tekanan untuk melanggar perintah Tuhan. Majikan atau orang lain mungkin memujuk kita untuk menipu atau melakukan perbuatan yang tidak bermoral. Murid-murid mungkin perlu berdepan dengan tekanan rakan sebaya untuk meniru dalam peperiksaan, melihat bahan lucah, merokok, menyalahgunakan dadah dan minuman keras, atau melakukan maksiat. Jadi apakah yang harus kita buat supaya tidak terjerat oleh tekanan dan rasa takut sehingga melakukan perkara yang mendukakan hati Yehuwa?

12. Apakah yang boleh kita pelajari daripada Pilatus dan Petrus?

12 Apakah yang boleh kita pelajari daripada Pilatus dan Petrus? Walaupun Pilatus kurang mengenal Kristus, dia tahu bahawa Yesus tidak bersalah dan bukan orang sembarangan. Namun begitu, Pilatus tidak rendah hati dan tidak mengasihi Tuhan yang benar. Oleh itu, Si Iblis dapat memperalatkan Pilatus dengan mudah sekali. Petrus pula mempunyai pengetahuan yang tepat dan mengasihi Tuhan. Namun dia kadang-kadang tidak sedar akan keterbatasan sendiri, menjadi takut, lalu rebah di bawah tekanan. Sebelum Yesus ditangkap, Petrus bercakap besar. Dia berkata, “Meskipun semua yang lain meninggalkan Guru, saya tidak akan berbuat begitu.” (Mrk. 14:29) Jika Petrus bersikap seperti penulis mazmur yang bergantung pada Yehuwa, dia dapat menghadapi cubaan dengan lebih baik. Penulis mazmur pernah berkata, “Aku tidak takut kerana Tuhan menyertai aku; Apakah yang dapat dilakukan manusia terhadap aku?” (Mzm. 118:6, ABB) Pada malam terakhir Yesus di bumi, dia membawa Petrus dan dua rasul lain ke Taman Getsemani. Semasa Petrus dan rakan-rakannya tertidur, Yesus mengejutkan mereka lalu berkata, “Berjaga-jagalah dan berdoalah supaya kamu tidak mengalami cubaan.” (Mrk. 14:38) Namun, Petrus terlelap sekali lagi. Ekoran itu, dia tunduk kepada tekanan dan rasa takut.

13. Bagaimanakah kita boleh melawan tekanan untuk melanggar perintah Tuhan?

13 Contoh Pilatus dan Petrus mengajar kita bahawa jika kita ingin berjaya melawan tekanan, kita perlu mempunyai pengetahuan yang tepat, bersikap rendah hati, sedar akan keterbatasan sendiri, mengasihi Tuhan, dan takut kepada Yehuwa, bukan manusia. Iman yang berasaskan pengetahuan Bible membolehkan kita menyuarakan kepercayaan sendiri dengan yakin dan berani. Dengan demikian, kita boleh melawan tekanan dan mengatasi rasa takut akan manusia. Sudah pasti, kita tidak patut bergantung pada kekuatan sendiri. Sebaliknya, kita harus menyedari bahawa kita memerlukan kuasa Tuhan untuk melawan tekanan. Kita perlu memohon daya aktif Tuhan. Kasih kepada Tuhan harus mendorong kita untuk menjunjung nama dan piawaian-Nya. Tambahan lagi, kita perlu menyediakan payung sebelum hujan. Misalnya, jika kita membuat persiapan dan berdoa bersama anak-anak, mereka dapat memberikan jawapan yang baik semasa menghadapi pengaruh buruk rakan sebaya.​—2 Kor. 13:7. *

ELAKKAN PERANGKAP YANG MEREMUKKAN​—RASA BERSALAH YANG MELAMPAU

14. Bagaimanakah Si Iblis boleh menggunakan kesilapan lampau kita sebagai perangkap?

14 Sesetengah perangkap dibuat daripada kayu atau batu berat yang tergantung di atas tempat yang sering dilalui oleh mangsa. Binatang yang tidak berhati-hati akan dihempap oleh kayu atau batu yang jatuh ke atasnya. Jika kita asyik menyalahkan diri atas kesilapan lampau, perasaan bersalah boleh menghempap kita sehingga kita “remuk-redam dan kehabisan tenaga.” (Baca Mazmur 38:4-6, 9.) Si Iblis ingin anda menyimpulkan bahawa anda tidak layak menerima belas kasihan Yehuwa atau bahawa anda langsung tidak dapat hidup selaras dengan piawaian-piawaian-Nya.

15, 16. Bagaimanakah anda boleh mengelakkan perangkap rasa bersalah yang melampau?

15 Bagaimanakah anda boleh mengelakkan perangkap yang meremukkan ini? Jika anda telah terjebak dalam dosa yang serius, bertindaklah untuk memulihkan hubungan anda dengan Yehuwa. Dapatkanlah bantuan para penatua. (Yak. 5:14-16) Berusahalah untuk memperbaiki kesilapan itu. (Mat. 3:8) Jika anda diberi disiplin, janganlah berasa kecewa. Disiplin merupakan tanda kasih Yehuwa terhadap anda. (Ibr. 12:6) Bertekadlah untuk menjauhi perkara-perkara yang akan menggoda anda untuk mengulangi kesilapan itu. Setelah bertaubat dan berpaling daripada dosa, yakinlah bahawa korban tebusan Yesus Kristus boleh menutupi kesilapan anda.​—1 Yoh. 4:9, 14.

16 Ada yang tetap berasa bersalah walaupun dosa mereka telah diampunkan. Jika anda berasa demikian, ingatlah bahawa Yehuwa mengampuni Petrus dan rasul-rasul lain yang meninggalkan Yesus ketika dia paling memerlukan bantuan mereka. Terdapat seorang lelaki di sidang Korintus yang disingkirkan kerana terlibat dalam perbuatan tidak bermoral yang teruk. Namun, selepas dia bertaubat, Yehuwa mengampuninya. (1 Kor. 5:1-5; 2 Kor. 2:6-8) Bible memberitahu kita tentang orang yang melakukan dosa besar, bertaubat, dan kemudian diampuni Tuhan.​—2 Taw. 33:2, 10-13; 1 Kor. 6:9-11.

17. Bagaimanakah iman dalam korban tebusan dapat membantu kita?

17 Yehuwa akan memaafkan dan melupakan kesilapan dahulu jika anda bertaubat dengan ikhlas dan menerima belas kasihan-Nya. Jangan sekali-kali berasa bahawa korban tebusan Yesus tidak dapat menutupi dosa anda. Fikiran sedemikian menunjukkan bahawa kita telah diperangkap oleh Syaitan. (Ams. 24:16) Iman dalam korban tebusan boleh membantu anda supaya tidak dibelenggu rasa bersalah yang melampau. Dengan demikian, anda dapat berkhidmat kepada Tuhan dengan segenap jiwa raga.​—Mat. 22:37.

KITA MENGETAHUI MUSLIHAT SYAITAN

18. Bagaimanakah kita boleh mengelakkan perangkap Iblis?

18 Syaitan tidak peduli bagaimana kita terjerat. Yang penting baginya adalah kita jatuh dalam jeratnya. Namun kita boleh mengelakkan jerat Syaitan. (2 Kor. 2:10, 11) Bagaimana? Dengan berdoa untuk kebijaksanaan Tuhan. Yakobus berkata, ‘Jika ada sesiapa antara kamu kurang bijaksana, hendaklah dia berdoa kepada Tuhan supaya Tuhan memberikan kebijaksanaan kepadanya; kerana Tuhan memberikan dengan murah hati dan dengan sukacita kepada setiap orang.’ (Yak. 1:5, ABB) Selepas berdoa, kita juga perlu mengadakan pembelajaran peribadi yang tetap dan mengamalkan prinsip Bible. Bahan bacaan daripada hamba yang setia dan bijaksana dapat mendedahkan perangkap Syaitan dan menerangi haluan hidup kita.

19, 20. Mengapakah kita harus membenci apa yang jahat?

19 Doa dan pembelajaran Bible membantu kita untuk mencintai apa yang baik. Tetapi kita juga perlu membenci apa yang jahat. (Mzm. 97:10) Kita dapat menghindari nafsu yang salah dengan merenungkan kesan tindakan kita. (Yak. 1:14, 15) Dengan demikian, kita tidak akan tergoda oleh umpan Syaitan kerana kita jijik terhadapnya.

20 Tidakkah anda bersyukur kerana Tuhan membantu kita agar tidak terjerat oleh Syaitan? Melalui daya aktif, Firman, dan organisasi-Nya, Yehuwa ‘menyelamatkan kita daripada kuasa Si Jahat.’ (Mat. 6:13) Rencana yang berikut akan membincangkan dua lagi perangkap yang digunakan oleh Syaitan.

[Nota kaki]

^ per. 13 Ibu bapa harus membincangkan dengan anak-anak “Lembar Kerja” dalam buku “Pertanyaan Kaum Muda” (Questions Young People Ask​Answers That Work), Jilid 2, muka 132-133. Maklumat ini boleh digunakan semasa mengadakan malam Penyembahan Keluarga.

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 21]

Pertuturan yang tidak terkekang boleh mencetus api yang besar dalam sidang

[Gambar pada muka surat 24]

Janganlah diremukkan oleh rasa bersalah yang melampau