Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Khazanah Rohani Kita

Mengembara Bersama Penyelia Lawatan Masa Awal

Mengembara Bersama Penyelia Lawatan Masa Awal

“SAYA tak pandai menginjil dari rumah ke rumah!” Ramai pelajar Bible baru berasa begitu. Tetapi, kata-kata ini diucapkan oleh seorang penceramah umum dan guru Bible yang berpengalaman. Dia seorang penyelia lawatan masa awal.

Ramai pembaca Zion’s Watch Tower yang sudah meninggalkan gereja mahu bergaul dengan mereka yang mendahagakan kebenaran. Majalah ini menggalakkan para pembaca untuk mencari orang seiman dan berkumpul untuk pembelajaran Bible yang tetap. Bermula tahun 1894, Watch Tower Society mengutus seorang wakil kepada kumpulan yang memerlukan kunjungan. Penyelia lawatan yang dihantar berpengalaman, bekerja keras, berpengetahuan Bible, beriman dalam tebusan, mahir berceramah dan mengajar, serta bersifat rendah hati. Panjang lawatan ini biasanya hanya 1 atau 2 hari. Ramai Pelajar Bible mula menginjil dengan mengedarkan surat jemputan sempena ceramah penyelia lawatan. Selepas ceramahnya di sebuah sekolah, Hugo Riemer, yang kemudian menganggotai Badan Pimpinan, menjawab soalan Bible hingga larut malam. Dia sangat letih tetapi gembira dan menyatakan bahawa perjumpaan itu sungguh “indah.”

The Watch Tower menyatakan bahawa tujuan utama penyelia lawatan adalah untuk menguatkan iman saudara saudari melalui perjumpaan. Pelajar Bible dari kawasan berhampiran juga menghadiri ceramah dan sesi soal jawab. Kemudian tibalah saatnya untuk memperlihatkan kemurahan hati. Semua hadirin akan menjamu selera di sebuah meja yang panjang. Maude Abbott yang menghadiri ceramah sebegini sejak kecil berkata, “Banyaknya makanan yang enak​—daging, ayam goreng, pelbagai jenis roti, pai, dan kek! Semua orang makan sampai kenyang, dan sekitar jam 2 petang kami berkumpul semula untuk mendengar ceramah seterusnya. Tetapi biasanya semua orang sangat mengantuk.” Benjamin Barton yang lama berkhidmat sebagai penyelia lawatan berkata, “Kalau saya makan semua makanan yang dihidangkan, dulu-dulu lagi saya sudah mati.” Ibu pejabat di Brooklyn kemudiannya menghantar surat yang menggalakkan saudari memasak “makanan seharian yang biasa” dan “jangan mengganggu masa tidur para penyelia lawatan.”

Penyelia lawatan mahir mengajar dan menggunakan carta atau bahan lain agar topik yang disampaikan menjadi hidup. Ceramah R. H. Barber “sentiasa berempah dari segi rohani.” W. J. Thorn bercakap “seperti seorang bapa pengasih.” Pada suatu hari, semasa Shield Toutjian ada dalam kereta, dia tiba-tiba berkata, “Berhenti!” Dia melompat keluar, memetik bunga liar, dan mengajar kawan-kawannya tentang ciptaan Tuhan.

Kerja seorang penyelia lawatan tidak mudah, terutamanya bagi saudara yang lebih tua. Tetapi cabaran yang terbesar bagi sesetengah orang ialah kini mereka perlu mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran. Majalah Watch Tower 15 Mac 1924 menyatakan bahawa “salah satu amanah utama” orang Kristian sejati adalah untuk menginjil. Inilah tugas utama seorang penyelia lawatan.

Sesetengah penyelia lawatan membenci perubahan ini lalu berhenti berkhidmat. Ada juga yang menubuhkan kumpulan agama sendiri. Robie D. Adkins menceritakan bahawa seorang penyelia lawatan yang pandai berucap mengeluh, “Saya hanya tahu berucap dari pentas. Saya tak pandai menginjil dari rumah ke rumah!” Saudara Adkins menyambung, “Semasa konvensyen pada tahun 1924 di Columbus, Ohio, saya nampak dia bersendirian di bawah sepohon pokok renek. Dia kelihatan pilu di antara ribuan saudara saudari yang bersukacita. Tidak lama kemudian, dia meninggalkan kebenaran.” Tetapi pada masa yang sama, “ramai saudara membawa buku ke kereta masing-masing dengan gembira” kerana tidak sabar-sabar ingin menginjil dari rumah ke rumah.​—Kis. 20:20, 21.

Ramai penyelia lawatan yang dihantar untuk melatih saudara saudari berasa gentar, begitu juga dengan mereka yang dilatih. Namun, mereka semua berusaha dengan sepenuh hati. Seorang penyelia lawatan yang boleh bercakap dalam bahasa Jerman, Maxwell G. Friend menulis bahawa kerja rumah ke rumah “membawa banyak berkat.” Penyelia lawatan John A. Bohnet melaporkan bahawa kebanyakan saudara saudari setuju untuk menumpukan usaha pada kerja penyebaran dan mempunyai “semangat yang membara untuk bertempur di barisan depan.”

Tahun demi tahun, saudara yang menjalankan kerja lawatan membawa banyak manfaat. “Dari kecil lagi saya sudah dapati bahawa kunjungan mereka membawa banyak kebaikan,” kata Norman Larson. “Mereka membantu saya mengikut jalan yang betul.” Sampai hari ini, penyelia lawatan terus membantu kita untuk berkata, “Kita boleh menginjil dari rumah ke rumah!”

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 32]

Kedatangan penyelia lawatan dinanti-nantikan!

[Gambar pada muka surat 31]

Jadual lawatan Benjamin Barton pada tahun 1905 merangkumi kira-kira 170 tempat

[Gambar pada muka surat 32]

Walter J. Thorn ialah penyelia lawatan yang dikenali dengan nama panggilan Pappy kerana dia seperti seorang bapa pengasih yang mencerminkan sikap Kristus

[Gambar pada muka surat 32]

J. A. Browne dihantar ke Jamaica sebagai penyelia lawatan sekitar tahun 1902 untuk menguatkan dan menggalakkan 14 kumpulan kecil

[Gambar pada muka surat 32]

Penyelia lawatan membina iman, menguatkan perpaduan Kristian, dan membantu rakan seiman berpaut pada organisasi Tuhan