Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bagaimana Dunia Ini akan Berakhir

Bagaimana Dunia Ini akan Berakhir

“Kamu tidak hidup dalam kegelapan. Hari itu tidak seharusnya mengejutkan kamu seperti kedatangan seorang pencuri.”​—1 TES. 5:4.

1. Apakah yang boleh membantu kita agar tetap berjaga-jaga dan menghadapi cubaan dengan tabah?

PERISTIWA yang menggemparkan bakal membuka tirai di pentas dunia. Penggenapan nubuat Bible membuktikan hakikat ini. Jadi kita harus sentiasa berjaga-jaga. Apakah yang dapat membantu kita? Paulus menggalakkan kita untuk “menumpukan perhatian kepada apa yang tidak kelihatan.” Tidak kira sama ada kita akan ke syurga atau akan tinggal di bumi, kita harus sentiasa ingat akan harapan kita. Surat Paulus kepada rakan seimannya menggalakkan mereka agar bertumpu pada harapan mereka. Dengan demikian, mereka dapat tetap setia meskipun menghadapi cubaan dan penganiayaan.​—2 Kor. 4:8, 9, 16-18; 5:7.

2. (a) Bagaimanakah kita dapat memelihara harapan yang teguh? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini dan rencana berikutnya?

2 Terdapat satu prinsip yang penting dalam nasihat Paulus: Jika kita ingin memelihara harapan yang teguh, kita tidak boleh melihat perkara di depan mata sahaja. Kita perlu bertumpu pada peristiwa-peristiwa besar yang tidak kelihatan. (Ibr. 11:1; 12:1, 2) Kita akan membincangkan sepuluh peristiwa pada masa depan yang berkait rapat dengan harapan kita untuk meraih hidup kekal. *

SEJURUS SEBELUM AKHIR TIBA

3. (a) Menurut 1 Tesalonika 5:2, 3, apakah satu peristiwa yang bakal berlaku? (b) Apakah yang akan dilakukan oleh para pemimpin politik? Siapakah yang mungkin menyertai mereka?

3 Satu peristiwa yang bakal berlaku disebutkan dalam surat Paulus kepada orang Tesalonika. (Baca 1 Tesalonika 5:2, 3.) Paulus menyebut tentang “hari kedatangan Tuhan,” atau hari Yehuwa. Tempoh masa ini bermula dengan kemusnahan agama palsu dan memuncak semasa perang Armagedon. Namun, sejurus sebelum hari Yehuwa bermula, para pemimpin dunia akan berkata bahawa “semuanya aman dan tenteram.” Perkara ini mungkin merujuk kepada satu peristiwa besar atau beberapa peristiwa yang berlaku secara berturut-turut. Bangsa-bangsa akan berfikir bahawa mereka hampir menyelesaikan masalah-masalah besar dunia. Bagaimana pula dengan para pemimpin agama? Mereka ialah sebahagian daripada dunia, jadi mereka mungkin terikut-ikut dengan pemimpin politik. (Why. 17:1, 2) Seperti nabi-nabi palsu di Yehuda kuno, para pemimpin agama berkata, “Semuanya baik dan aman,” padahal Yehuwa berkata semuanya tidak baik dan tidak aman.​—Yer. 6:14; 23:16, 17.

4. Tidak seperti kebanyakan orang, apakah yang kita tahu tentang peristiwa dunia?

4 Tidak kira siapa yang berkata “semuanya aman dan tenteram,” itulah tanda bahawa hari Yehuwa akan bermula. Maka Paulus berkata, “Kamu tidak hidup dalam kegelapan. Hari itu tidak seharusnya mengejutkan kamu seperti kedatangan seorang pencuri. Kamu semuanya orang yang hidup dalam cahaya.” (1 Tes. 5:4, 5) Tidak seperti kebanyakan orang, kita mengetahui erti di sebalik peristiwa dunia menerusi Bible. Kita tahu bahawa para pemimpin dunia akan berkata “semuanya aman dan tenteram.” Namun, bagaimanakah nubuat ini akan digenapi? Kita perlu tunggu dan lihat. Hal ini bermaksud “kita harus berjaga-jaga dan berwaspada.”​—1 Tes. 5:6; Zef. 3:8.

“RATU” YANG TIBA-TIBA BINASA

5. (a) Bagaimanakah kesengsaraan besar akan bermula? (b) Siapakah “ratu” yang menyangka dirinya tidak akan dijatuhkan?

5 Apakah yang akan berlaku seterusnya? Paulus menulis, “Apabila orang berkata, ‘Semuanya aman dan tenteram,’ pada waktu itulah mereka akan ditimpa kebinasaan dengan tiba-tiba.” Mula-mulanya, “Babel yang besar,” iaitu empayar agama palsu yang juga dikenali sebagai “pelacur,” akan “ditimpa kebinasaan dengan tiba-tiba.” (Why. 17:5, 6, 15) Serangan ke atas semua agama palsu, termasuk agama Kristian palsu, ialah permulaan kesengsaraan besar. (Mat. 24:21; 2 Tes. 2:8) Ramai yang akan terperanjat ketika itu. Mengapa? Kerana selama ini, pelacur itu memandang dirinya sebagai ‘ratu yang tidak akan mengalami kesedihan.’ Namun, sangkaannya sudah silap. Babilon Besar akan dimusnahkan dengan cepat, bagaikan “dalam sehari.”​—Why. 18:7, 8.

6. Siapakah yang akan membinasakan agama palsu?

6 Buku Wahyu menyatakan bahawa seekor binatang buas dengan “sepuluh tanduk” akan menyerang pelacur itu. Binatang buas ini melambangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). “Sepuluh tanduk” mewakili semua kuasa politik yang menyokong “binatang berwarna merah.” * (Why. 17:3, 5, 11, 12) Seteruk manakah serangan ini? Anggota PBB akan merampas segala harta pelacur itu, mendedahkan sifat sebenarnya, membahamnya, dan “membinasakan dia dengan api.” Babilon Besar akan dimusnahkan selama-lamanya.​—Baca Wahyu 17:16.

7. Apakah yang akan menyebabkan binatang buas menyerang pelacur?

7 Nubuat Bible juga menunjukkan sebabnya pemimpin politik akan memusnahkan pelacur itu: Yehuwa akan menggerakkan hati mereka “untuk melaksanakan rancangan-Nya.” (Why. 17:17) Agama-agama yang suka berperang masih mengganggu keamanan dunia. Bangsa-bangsa yang ingin mengatasi masalah ini akan berfikir bahawa mereka perlu memusnahkan pelacur itu. Namun, mereka sebenarnya digunakan oleh Tuhan untuk menyingkirkan semua agama palsu. Dalam perubahan yang mengejutkan ini, satu bahagian sistem Syaitan akan menyerang bahagian yang satu lagi, dan Syaitan tidak berdaya menghalangnya.​—Mat. 12:25, 26.

UMAT TUHAN DISERANG

8. Apakah yang akan dilakukan oleh Gog dari Magog terhadap umat Tuhan?

8 Selepas agama palsu dihapuskan, hanya hamba-hamba Tuhan “hidup dengan aman dan tenteram di kota-kota yang tidak bertembok.” (Yeh. 38:11, 14) Umat Yehuwa bagaikan tidak mampu mempertahankan diri. Apakah yang akan berlaku? Nampaknya mereka akan diserang secara besar-besaran oleh pasukan tentera Gog dari Magog. (Baca Yehezkiel 38:2, 15, 16.) Apakah pandangan kita terhadap serangan ini?

9. (a) Apakah yang lebih penting bagi orang Kristian? (b) Apakah yang boleh kita lakukan sekarang untuk mengukuhkan iman sendiri?

9 Kita tidak terlalu risau tentang penyelamatan sendiri. Sebaliknya, kita lebih berminat untuk melihat nama Yehuwa disucikan dan kedaulatan-Nya ditegakkan. Lebih daripada 60 kali, Yehuwa mengisytiharkan, ‘Mereka akan mengakui bahawa Akulah Yehuwa.’ (Yeh. 6:7) Kita boleh menanti-nantikan penggenapan nubuat ini, kerana kita yakin bahawa “Tuhan tahu akan cara menyelamatkan orang salih daripada cubaan.” (2 Ptr. 2:9) Sebelum itu, kita ingin menggunakan setiap peluang yang ada untuk mengukuhkan iman sendiri, supaya kita tetap berintegriti tidak kira apa dugaan yang menimpa kita. Apakah yang boleh kita lakukan sekarang? Kita patut berdoa, mengkaji serta merenungi Firman Tuhan, dan memberitahu orang lain tentang berita Kerajaan Tuhan. Usaha ini akan meneguhkan harapan kita “seperti sauh.”​—Ibr. 6:19; Mzm. 25:21.

BANGSA-BANGSA TERPAKSA MENGAKUI YEHUWA

10, 11. Bagaimanakah perang Armagedon akan bermula? Apakah yang berlaku ketika itu?

10 Apakah yang akan berlaku semasa umat Yehuwa diserang? Yehuwa akan mengutus Yesus dan malaikat-Nya di syurga untuk menolong umat-Nya. (Why. 19:11-16) Hal ini akan mencetuskan perang Armagedon, iaitu perang ‘hari Tuhan Yang Maha Kuasa.’​—Why. 16:14, 16.

11 Tentang perang ini, Yehuwa mengisytiharkan, “Aku akan menakutkan Gog dengan segala macam bencana. Aku, Tuhan Raja telah berfirman. Anak buahnya akan menyerang satu sama lain dengan pedang.” Konco-konco Syaitan akan kacau-bilau lalu saling membunuh. Syaitan sendiri juga akan dilanda malapetaka. Yehuwa berfirman, ‘Api dan belerang akan menimpa Gog dan tenteranya, serta bangsa-bangsa yang memihaknya.’ (Yeh. 38:21, 22, ABB) Apakah kesudahannya?

12. Bangsa-bangsa terpaksa mengakui apa?

12 Bangsa-bangsa akan sedar bahawa mereka sedang kalah teruk di bawah tangan Yehuwa. Seperti orang Mesir dahulu yang mengejar orang Israel di Laut Merah, pengikut Syaitan mungkin berkata, “Yehuwa sedang berperang demi umat-Nya!” (Kel. 14:25) Ya, bangsa-bangsa terpaksa mengakui bahawa Yehuwa ialah Tuhan. (Baca Yehezkiel 38:23.) Adakah peristiwa-peristiwa ini masih jauh di masa depan?

TIADA KUASA DUNIA LAIN YANG AKAN MENYUSUL

13. Apakah yang kita tahu tentang kaki patung yang disebut dalam buku Daniel?

13 Nubuat dalam buku Daniel menunjukkan bahawa kesengsaraan besar akan berlaku tidak lama lagi. Daniel menggambarkan sebuah patung besar yang dibuat daripada pelbagai logam. (Dan. 2:28, 31-33) Patung ini menunjukkan turutan kuasa dunia yang telah mempengaruhi umat Tuhan, iaitu Babilon, Media Persia, Yunani, Roma, dan kuasa dunia terakhir yang wujud pada zaman kita. Kuasa dunia terakhir dilambangkan oleh kaki dan jari kaki patung itu. Semasa Perang Dunia I, Amerika Syarikat telah bersepakat dengan Inggeris. Maka muncullah Kuasa Dunia Inggeris Amerika sebagai kaki, atau bahagian terakhir patung itu. Maksudnya, tiada kuasa dunia lain akan muncul. Besi dan tanah liat dalam kaki patung melambangkan Kuasa Dunia Inggeris Amerika yang sudah lemah.

14. Semasa perang Armagedon tercetus, kuasa dunia manakah yang sedang memerintah?

14 Dalam nubuat yang sama, Kerajaan Tuhan dilambangkan oleh sebuah batu besar yang keluar dari sebuah gunung pada tahun 1914. Gunung itu melambangkan kedaulatan Yehuwa. Batu besar itu sedang meluru ke arah kaki patung itu. Semasa Armagedon, kaki dan seluruh patung itu akan hancur berkecai. (Baca Daniel 2:44, 45.) Maka, perang Armagedon akan tercetus semasa Kuasa Dunia Inggeris Amerika masih memerintah. Penggenapan nubuat ini pasti sangat mengagumkan! * Namun, apakah yang akan terjadi kepada Syaitan?

KESUDAHAN MUSUH KETAT TUHAN

15. Selepas Armagedon, apakah yang akan berlaku kepada Syaitan dan roh-roh jahat?

15 Mula-mula, Syaitan terpaksa melihat bagaimana organisasinya di bumi dilenyapkan satu demi satu. Rasul Yohanes melaporkan apa yang berlaku kepada Syaitan selepas itu. (Baca Wahyu 20:1-3.) Yesus Kristus, malaikat yang “memegang kunci jurang maut” akan menangkap Syaitan dan roh-roh jahat dan mengurung mereka di dalam jurang itu untuk seribu tahun. (Luk. 8:30, 31, nota kaki; 1 Yoh. 3:8) Dengan demikian, kepala ular mula diremukkan. *​—Kej. 3:15.

16. Apakah yang akan berlaku kepada Syaitan semasa dia dikurung dalam “jurang maut”?

16 Apakah yang dilambangkan oleh “jurang maut” itu? Perkataan Yunani yang digunakan oleh Yohanes untuk “jurang” ialah aʹbys·sos dan menggambarkan lubang yang tidak terduga dalamnya. Tiada sesiapa yang boleh sampai ke tempat itu kecuali Yehuwa dan malaikat yang “memegang kunci jurang maut.” Di situ, Syaitan seolah-olah sudah mati dan “tidak dapat menipu bangsa-bangsa lagi.” “Singa yang mengaum” itu akan dibungkam!​—1 Ptr. 5:8.

PERISTIWA SEBELUM LAHIRNYA ZAMAN KEAMANAN

17, 18. (a) Apakah peristiwa-peristiwa “tidak kelihatan” yang telah kita bincang setakat ini? (b) Apakah yang dapat kita nikmati selepas peristiwa-peristiwa ini?

17 Peristiwa-peristiwa yang menggemparkan dunia akan terjadi tidak lama lagi. Kita ingin lihat bagaimana para pemimpin dunia akan berkata “semuanya aman dan tenteram.” Kemudian, Babilon Besar akan dimusnahkan, Gog dari Magog akan melancarkan serangannya, perang Armagedon akan tercetus, dan Syaitan serta roh-roh jahat akan dilemparkan ke dalam jurang yang dalam. Setelah kejahatan dibasmi, kita akan membuka lembaran hidup yang baru: Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. Tatkala itu, kita bakal menikmati “kemakmuran yang berlimpah-limpah.”​—Mzm. 37:10, 11.

18 Kita masih perlu menumpukan perhatian pada lima perkara lain yang “tidak kelihatan.” Rencana yang berikut akan membincangkannya.

^ per. 2 Sepuluh peristiwa ini dibincangkan dalam rencana ini dan rencana berikutnya.

^ per. 6 Lihat buku “Wahyu​Kemuncaknya” (Revelation—Its Grand Climax at Hand!) muka 251-258.

^ per. 14 Nubuat di Daniel 2:44 (NW) menyatakan bahawa Kerajaan Tuhan akan memusnahkan “semua kerajaan ini.” Nubuat itu hanya merujuk kepada kerajaan-kerajaan yang diwakili oleh patung besar. Namun, nubuat di Wahyu menyatakan bahawa “semua raja di seluruh dunia” akan berkumpul untuk menentang Yehuwa pada ‘hari Tuhan Yang Maha Kuasa.’ (Why. 16:14; 19:19-21) Maka, kerajaan-kerajaan yang dilambangkan oleh patung besar itu dan semua kerajaan di dunia akan dibinasakan semasa Armagedon.

^ per. 15 Kepala ular akan dihancurkan sepenuhnya selepas seribu tahun itu apabila Syaitan dan roh-roh jahat “dibuang ke dalam lautan api dan belerang.”​—Why. 20:7-10; Mat. 25:41.