Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kanak-kanak yang Saling Memberi Galakan

Kanak-kanak yang Saling Memberi Galakan

Pada bulan Disember 2009, Mahkamah Agung di Rusia telah membuat keputusan untuk membubarkan organisasi Saksi-Saksi Yehuwa di Taganrog, Rusia. Selain itu, mereka juga merampas Dewan Perjumpaan, dan mengumumkan bahawa 34 daripada bahan bacaan kita bersifat ekstremis. Perkembangan yang mengejutkan ini dipaparkan pada laman Web rasmi Saksi-Saksi Yehuwa berserta gambar Saksi-Saksi yang terbabit, termasuk kanak-kanak.

Kanak-kanak di Australia

Beberapa bulan kemudian, Pusat Pentadbiran Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia menerima sebuah bungkusan dan sepucuk surat daripada keluarga Saksi di Queensland, Australia. Mereka telah membaca tentang keputusan mahkamah di Rusia. Surat tersebut bertulis, “Saudara saudari yang dikasihi, Dua orang anak kami, Cody dan Larissa sangat tersentuh dengan iman Saksi-Saksi yang menghadapi cubaan di Rusia. Anak kami menulis kad dan surat, dan kami mengirim beberapa bungkusan hadiah kepada kanak-kanak di Taganrog. Kami ingin mereka tahu bahawa kanak-kanak di negara lain yang menyembah Yehuwa sedang berfikir tentang mereka. Terimalah salam kasih yang mesra daripada kami.”

Kanak-kanak di Taganrog menunjukkan penghargaan dengan melukis gambar-gambar pada surat dan menghantarnya kepada keluarga Saksi di Australia. Seorang Saksi yang berkhidmat di cawangan Rusia sangat tersentuh dengan galakan Cody dan Larissa lalu menulis kepada mereka: “Kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak bersalah tentu berasa susah hati apabila dihukum. Saudara saudari kami di Taganrog tidak melakukan apa-apa yang salah tetapi sedihnya, Dewan Perjumpaan mereka telah dirampas. Mereka sangat digalakkan kerana mengetahui bahawa ada orang yang mengambil berat tentang mereka. Terima kasih atas kebaikan hatimu!”​—Mzm. 8:3.

Kanak-kanak di Rusia (kiri) yang menerima hadiah daripada kanak-kanak di Australia (kanan)

Sememangnya, kita mempunyai keluarga rohani antarabangsa yang mengasihi dan membantu satu sama lain mengharungi cabaran hidup. Meskipun Saksi-Saksi Yehuwa dituduh menggalakkan kebencian, kanak-kanak kita dari negara dan budaya yang berbeza saling mengasihi dan mengambil berat. Mereka telah membuktikan kebenaran kata-kata Yesus, ‘Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-pengikutku.’​—Yoh. 13:35, ABB.