Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Menghadapi Kesusahan dengan Berani

Menghadapi Kesusahan dengan Berani

‘Tuhan perlindungan dan kekuatan kita; Dia selalu bersedia menolong kita pada masa kesusahan.’​—MZM. 46:2, ABB.

1, 2. Apakah bencana yang dialami ramai orang? Apakah yang ingin dilakukan oleh hamba-hamba Tuhan?

ZAMAN kita sarat dengan keperitan. Manusia merana kerana gempa bumi, tsunami, kebakaran, banjir, gunung berapi, puting beliung, taufan, dan ribut. Selain itu, masalah keluarga dan masalah peribadi menyebabkan orang menjadi takut dan sedih. Ya, kita semua “ditimpa bencana dengan tidak disangka-sangka.”​—Pkh. 9:12.

2 Secara keseluruhannya, hamba-hamba Tuhan telah mengharungi musibah sedemikian dengan tabah. Namun, seraya akhir sistem ini kian mendekat, kita ingin bersedia untuk menghadapi apa sahaja kesusahan yang mungkin menimpa. Bagaimanakah kita boleh menghadapi cabaran dengan jayanya dan tidak ditewaskan? Apakah yang dapat membantu kita menghadapi kesusahan dengan berani?

TELADANI KEBERANIAN MEREKA

3. Menurut Roma 15:4, apakah yang dapat membantu kita semasa mengalami kesusahan?

3 Walaupun kita menghadapi jauh lebih banyak masalah sekarang, manusia memang dibelenggu masalah sejak dahulu lagi. Mari kita lihat bagaimana hamba-hamba Tuhan pada masa lampau berjaya menangani cabaran dengan berani.​—Rm. 15:4.

4. Apakah kesusahan yang dialami Daud, dan apakah yang menolongnya?

4 Fikirlah tentang Daud. Dia terpaksa menghadapi kemurkaan seorang raja serta ancaman musuh. Selain itu, isteri-isterinya pernah dilarikan musuh. Dia pernah dikhianati dan mengalami tekanan emosi. (1 Sam. 18:8, 9; 30:1-5; 2 Sam. 17:1-3; 24:15, 17; Mzm. 38:5-9) Catatan Bible menunjukkan bahawa meskipun kesusahan-kesusahan ini telah menghiris hati Daud, kerohaniannya tetap utuh. Dengan iman yang teguh, dia berkata, ‘Yehuwa melindungi aku daripada segala bahaya; aku tidak akan gentar.’​—Mzm. 27:1; baca Mazmur 27:5, 10.

5. Apakah yang membantu Abraham dan Sara tabah menghadapi cabaran hidup?

5 Abraham dan Sara menghabiskan sebahagian besar hidup mereka dalam khemah di negeri asing. Namun, mereka tabah menghadapi masalah kebuluran dan ancaman daripada bangsa-bangsa di sekeliling mereka. (Kej. 12:10; 14:14-16) Apakah yang membantu mereka? Firman Tuhan menyatakan bahawa Abraham “menantikan kota yang kekal, kota yang dirancang dan dibina” oleh Tuhan. (Ibr. 11:8-10) Abraham dan Sara tidak patah semangat walaupun menghadapi kesusahan. Sebaliknya, mereka selalu mengingati janji Tuhan.

6. Bagaimanakah kita boleh meneladani Ayub?

6 Ayub pernah menghadapi tekanan yang besar apabila seluruh hidupnya tunggang terbalik. (Ayb. 3:2-3, 11) Lebih teruk lagi, dia tidak tahu mengapa semua masalah ini melandanya. Tetapi dia tidak berputus asa. Dia tetap mengekalkan integriti dan percaya kepada Tuhan. (Baca Ayub 2:3.) Bukankah Ayub teladan yang baik?

7. Apakah yang dihadapi Paulus dalam khidmatnya kepada Tuhan? Mengapakah dia berani menghadapi segalanya?

7 Fikirkan juga tentang Paulus. Dia mengalami ‘bahaya di bandar, di gurun, dan di laut.’ Dia juga ‘tidak minum, lapar, dan kesejukan kerana kurang pakaian.’ Selain itu, dia pernah “terapung-apung di laut selama dua puluh empat jam,” mungkin kerana kapal yang dinaikinya karam. (2 Kor. 11:23-27) Walaupun Paulus hampir mati kerana menyembah Tuhan, dia berkata, ‘Sebenarnya perkara itu berlaku, supaya kami tidak bergantung kepada diri sendiri, melainkan kepada Tuhan yang membangkitkan orang mati. Dia sudah menyelamatkan kami daripada bahaya kematian yang besar itu, dan Dia akan menyelamatkan kami.’ (2 Kor. 1:8-10) Kita mungkin tidak pernah mengalami begitu banyak pengalaman buruk seperti Paulus. Namun, kita boleh memahami perasaannya dan meneladani keberaniannya.

JANGAN DITEWASKAN OLEH KESUSAHAN

8. Bagaimanakah masalah yang dihadapi mempengaruhi kita? Berikan contoh.

8 Ramai berasa seolah-olah mereka sedang tenggelam dalam dunia sekarang yang sarat dengan bencana, cabaran, dan tekanan. Orang Kristian pun berasa begitu. Lani * dan suaminya menikmati khidmat sepenuh masa di Australia. Namun Lani telah menerima tamparan yang besar ketika mendapat tahu bahawa dia menghidap kanser payudara. Dia berkata, “Selepas menjalani rawatan, saya sangat lemah, dan saya hilang maruah diri.” Lebih teruk lagi, dia perlu menjaga suaminya yang telah menjalani pembedahan tulang belakang. Apakah yang akan anda lakukan jika hal ini berlaku kepada anda?

9, 10. (a) Kita tidak harus membenarkan Syaitan membuat apa? (b) Apakah seharusnya pandangan kita selepas memahami kata-kata di Kisah 14:22?

9 Semasa mengalami kesusahan, ingatlah bahawa Syaitan mahu mengambil kesempatan untuk melemahkan iman kita. Tetapi jangan biarkan Syaitan berjaya! Amsal 24:10 (NW) menyatakan, “Adakah kamu tawar hati pada hari kesusahan? Kekuatanmu akan kurang.” Kita boleh menghadapi kesusahan dengan berani jika kita merenungkan teladan-teladan Bible seperti yang dibincangkan tadi.

10 Ingatlah juga bahawa kita tidak dapat menyelesaikan semua masalah. Sebenarnya, kita harus menduga bahawa kita akan mengalami masalah. (2 Tim. 3:12) Kisah 14:22 menyatakan, ‘Kita harus mengalami banyak penderitaan supaya kita dapat menikmati Pemerintahan Tuhan.’ Jadi janganlah tawar hati. Sebaliknya, bolehkah anda menganggap penderitaan sebagai peluang untuk membuktikan keberanian dan kepercayaan anda terhadap kuasa penyelamatan Yehuwa?

11. Apakah yang boleh kita lakukan supaya tidak ditewaskan oleh kesusahan?

11 Kita harus berfokus pada perkara-perkara yang positif. Firman Tuhan memberitahu kita, “Hati yang gembira membuat wajah berseri-seri; hati yang sedih mematahkan semangat.” (Ams. 15:13, ABB) Para penyelidik sedar bahawa pemikiran positif baik untuk kesihatan kita. Ramai pesakit yang diberikan pil gula (plasebo) berasa lebih sihat kerana mereka percaya bahawa pil itu berkesan. Namun, jika pesakit diberitahu bahawa ubat tertentu akan membawa kesan buruk, mereka berasa bahawa kesihatan mereka sedang merosot. Begitu juga, jika kita asyik runsing tentang situasi yang tidak dapat diubah, kita hanya akan patah semangat. Namun, kita bersyukur kerana Tuhan memberi kita bantuan yang berkesan. Semasa kita menderita, Tuhan membantu kita melalui Firman-Nya dan persaudaraan Kristian yang penyayang, serta menguatkan kita dengan daya aktif. Jika kita berfokus pada bantuan Tuhan, kita akan berasa lebih bahagia. Janganlah selalu renungkan perkara-perkara buruk yang berlaku. Sebaliknya lakukan apa yang terdaya untuk menangani masalah yang dihadapi, dan hargailah perkara-perkara positif dalam hidup anda.​—Ams. 17:22.

12, 13. (a) Apakah yang telah membantu hamba Tuhan untuk menghadapi malapetaka? Berikan contoh. (b) Bagaimanakah bencana menyedarkan kita tentang perkara yang seharusnya menjadi keutamaan hidup?

12 Belakangan ini, sesetengah negara dilanda bencana yang dahsyat. Walaupun keadaannya susah, semangat kental saudara saudari amat mengagumkan. Pada awal tahun 2010, sebuah gempa bumi dan tsunami yang besar telah melanda Chile. Ramai saudara saudari kehilangan rumah, harta benda, dan pekerjaan. Namun, mereka tetap teguh secara rohani. Samuel, yang rumahnya hancur musnah, berkata, “Walaupun keadaannya teruk sekali, saya dan isteri tidak mengabaikan perjumpaan dan kerja penyebaran. Saya percaya hal ini membantu kami supaya tidak hilang harapan.” Meskipun ditimpa malapetaka, mereka tidak putus asa. Mereka terus bergiat dalam khidmat Yehuwa.

13 Pada bulan September 2009, lebih daripada 80 peratus bandar Manila, Filipina, diliputi air kerana hujan lebat. Seorang lelaki kaya yang kehilangan banyak harta benda dalam banjir itu berkata, “Baik yang kaya mahupun yang miskin dilanda kesusahan dan penderitaan.” Hal ini mengingatkan kita tentang nasihat Yesus, “Kumpulkanlah harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya, dan pencuri tidak datang untuk mencurinya.” (Mat. 6:20, ABB) Harta benda boleh lenyap dalam sekelip mata. Jika hidup kita berpusat pada harta benda, kita akan kecewa. Sebaliknya, tiada bencana atau malapetaka yang boleh merosakkan hubungan kita dengan Yehuwa. Jadi, utamakanlah hubungan anda dengan Yehuwa. Itulah pilihan yang bijak.​—Baca Ibrani 13:5, 6.

MENGAPA KITA BOLEH BERANI

14. Mengapakah kita boleh bersikap berani?

14 Yesus berkata bahawa banyak masalah akan berlaku semasa kehadirannya. Tetapi dia berkata, “Jangan takut.” (Luk. 21:9) Kita boleh bersikap berani kerana Raja Yesus dan Pencipta alam semesta sedang menyokong kita. Paulus telah menggalakkan Timotius dengan berkata, ‘Roh [daya aktif] yang diberikan oleh Tuhan kepada kita tidak menjadikan kita penakut, sebaliknya Roh [daya aktif] Tuhan melengkapi kita dengan kuasa, kasih, dan kekuatan untuk mengawal diri.’​—2 Tim. 1:7, ABB.

15. Apakah kata-kata sesetengah penyembah Yehuwa? Bagaimanakah kita boleh menjadi berani seperti mereka?

15 Perhatikan kata-kata beberapa penyembah Tuhan dahulukala. Daud berkata, ‘Yehuwa melindungi dan membela aku; aku percaya kepada-Nya. Dia menolong aku dan menggirangkan hatiku.’ (Mzm. 28:7) Paulus menyingkapkan keyakinannya dengan berkata, “Dalam semuanya kita mendapat kemenangan yang sempurna daripada Dia yang mengasihi kita!” (Rm. 8:37) Semasa Yesus menghadapi keadaan bahaya, dia berkata dengan penuh yakin, ‘Aku tidak sendirian, kerana Bapa bersama-sama aku.’ (Yoh. 16:32) Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata mereka? Mereka semua mempercayai Yehuwa dengan sepenuh hati. Jika kita berbuat demikian, kita akan berasa berani tidak kira apa jua yang berlaku.​—Baca Mazmur 46:2-4.

YEHUWA BANTU KITA TETAP BERANI

16. Mengapakah penting bagi kita untuk mempelajari Bible?

16 Kita tidak dapat memupuk keberanian dengan bergantung pada diri sendiri. Kita perlu mengenal Tuhan dan bergantung pada-Nya. Untuk berbuat demikian, kita harus mengkaji Firman-Nya. Seorang saudari yang mengalami kemurungan menyatakan bahawa dia berasa sangat lega setelah membaca ayat-ayat Bible berulang kali. Adakah kita mengadakan malam penyembahan keluarga setiap minggu? Mempelajari Bible dapat membantu kita bersikap seperti pemazmur yang berkata, “Aku sangat mencintai Taurat-Mu! Aku merenungkannya sepanjang hari.”​—Mzm. 119:97, ABB.

17. (a) Apakah bantuan lain yang menolong kita bersikap berani? (b) Berikan contoh kisah hidup yang telah menggalakkan anda.

17 Bahan bacaan Bible juga dapat menguatkan keyakinan kita terhadap Yehuwa. Ramai saudara saudari mendapati bahawa kisah hidup yang diterbitkan sangat menggalakkan. Seorang saudari di Asia yang menghidapi penyakit bipolar (sejenis gangguan emosi) berasa sangat lega apabila membaca kisah hidup seorang saudara yang pernah menjadi mubaligh dan berjaya menangani masalah kesihatan ini. Dia menulis, “Kisah ini membantu saya memahami masalah sendiri, dan memberi saya harapan.”

Semasa mengalami kesusahan, terimalah bantuan Tuhan

18. Mengapakah kita harus kerap berdoa?

18 Doa boleh membantu kita menghadapi bermacam-macam situasi. Paulus menunjukkan betapa pentingnya doa dengan berkata, ‘Janganlah khuatir akan apa pun. Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Tuhan apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Tuhan, hendaklah kamu selalu mengucap syukur. Kesejahteraan daripada Tuhan yang tidak mungkin difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu.’ (Flp. 4:6, 7, ABB) Semasa mengalami kesusahan, adakah anda berdoa dengan lebih kerap lagi? Alex, seorang saudara di Britain yang sudah lama mengalami kemurungan berkata, “Bercakap kepada Tuhan melalui doa dan mendengar-Nya melalui Firman-Nya merupakan talian hayat bagi saya.”

19. Apakah seharusnya pandangan kita terhadap perjumpaan?

19 Kita juga menerima bantuan melalui perjumpaan. Seorang pemazmur berkata, ‘Aku sangat rindu tinggal di Rumah Yehuwa.’ (Mzm. 84:3) Adakah anda juga berasa begitu? Lani, yang disebut tadi, berkata bahawa pergaulan di perjumpaan sangat penting baginya. Dia berkata, “Saya tahu saya harus berada di situ jika saya mahu Tuhan membantu saya.”

20. Bagaimanakah aktiviti penyebaran membantu kita?

20 Aktiviti penyebaran juga menbantu kita menjadi berani. (1 Tim. 4:16) Seorang saudari di Australia yang dilanda banyak masalah berkata, “Saya tidak mahu menginjil, tetapi seorang penatua mengajak saya menginjil bersamanya. Jadi saya pun ikut. Setiap kali saya menginjil, saya berasa sangat gembira. Ini pasti bantuan Yehuwa.” (Ams. 16:20) Ramai yang giat membantu orang lain untuk beriman kepada Yehuwa mendapati bahawa iman mereka sendiri menjadi lebih teguh. Mereka tidak terlalu berfokus pada masalah sendiri tetapi berfokus pada perkara-perkara yang lebih penting.​—Flp. 1:10, 11.

21. Mengapakah kita tidak terlalu khuatir semasa mengalami kesusahan?

21 Yehuwa telah menyediakan banyak bantuan supaya kita dapat menghadapi kesusahan dengan berani. Dengan menggunakan semua bantuan ini dan merenungkan teladan baik hamba Yehuwa yang berani, kita pasti dapat menangani masalah dengan jayanya. Walaupun kita mungkin dilanda banyak kesusahan seraya mendekati akhir sistem dunia ini, kita boleh berasa seperti Paulus yang berkata, “Meskipun kami sering dianiaya, kami tidak binasa. . . . Kami tidak tawar hati.” (2 Kor. 4:9, 16) Dengan bantuan Yehuwa, kita akan berani dan tabah menghadapi kesusahan.​—Baca 2 Korintus 4:17, 18.

^ per. 8 Nama telah diubah.