Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kisah Hidup

Persahabatan 60 Tahun yang Seolah-olah Terjalin Kelmarin

Persahabatan 60 Tahun yang Seolah-olah Terjalin Kelmarin

Pada suatu petang musim panas tahun 1951, empat orang pemuda dalam lingkungan umur awal 20-an masing-masing berdiri dalam pondok telefon di Ithaca, New York, A.S. Mereka tidak sabar-sabar untuk membuat panggilan jarak jauh ke Michigan, Iowa, dan California. Ada berita baik yang ingin dikongsi!

PADA bulan Februari tahun itu, 122 orang perintis berkumpul di South Lansing, New York, untuk menghadiri kelas Gilead yang ke-17. Antara mereka ialah Lowell Turner, William (Bill) Kasten, Richard Kelsey, dan Ramon Templeton. Tidak lama kemudian, Lowell dan Bill dari Michigan, Richard dari Iowa, dan Ramon dari California menjadi kawan baik.

Kiri ke kanan: Richard, Lowell, Ramon, dan Bill mula menjalin persahabatan di Gilead

Lima bulan kemudian, semua pelajar Gilead sangat teruja kerana Saudara Nathan Knorr dari ibu pejabat akan berjumpa dengan mereka. Sebelum itu, empat saudara ini telah menyatakan bahawa jika boleh, mereka mahu ditugaskan ke negara yang sama. Adakah Saudara Knorr akan mengumumkan tugasan mereka? Sudah tentu!

Semasa Saudara Knorr mula mengumumkan tugasan para mubaligh, pelajar Gilead terasa berdebar-debar. Empat kawan ini adalah yang pertama sekali dijemput naik ke atas pentas. Walaupun gentar, mereka berasa lega kerana tahu bahawa mereka ditugaskan ke tempat yang sama. Mereka akan berkhidmat di mana? Di Jerman! Pengumuman itu disambut dengan tepukan gemuruh.

Banyak Saksi-Saksi Yehuwa berasa kagum dengan kesetiaan saudara saudari di bawah rejim Hitler sejak tahun 1933. Ramai pelajar Gilead pernah menghantar pakaian dan bantuan amal kepada rakan seiman di Eropah selepas Perang Dunia II. Umat Tuhan di Jerman menetapkan teladan yang baik kerana beriman, berani, dan bergantung pada Yehuwa. “Sekarang kami berpeluang untuk berjumpa dengan saudara saudari ini,” fikir Lowell pada masa itu. Itulah sebabnya mereka begitu teruja dan tidak sabar-sabar mahu membuat panggilan kepada keluarga dan kawan pada petang itu!

DALAM PERJALANAN KE JERMAN

Ramon mengendalikan Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik

Pada 27 Julai 1951, empat orang saudara ini menaiki kapal laut Homeland yang berlepas dari New York untuk ke Jerman. Pelayarannya mengambil masa 11 hari. Mereka telah belajar sedikit bahasa Jerman daripada Albert Schroeder, seorang pengajar Sekolah Gilead yang kemudiannya menjadi ahli Badan Pimpinan. Mereka ingin berlatih bahasa Jerman dengan beberapa orang Jerman di atas kapal. Namun, penumpang kapal ini bertutur dialek Jerman yang berbeza-beza. Susah betul!

Pada pagi hari Selasa, 7 Ogos, setelah muntah-muntah kerana mabuk laut, akhirnya mereka menjejakkan kaki di Hamburg, Jerman. Parut daripada peperangan yang berakhir 6 tahun lalu kelihatan di mana-mana. Dengan hati yang berat, mereka meneruskan perjalanan semalaman dengan menaiki kereta api ke Wiesbaden, tempat letaknya pejabat cawangan pada masa itu.

Richard menggunakan mesin cetak alamat di Bethel, Wiesbaden

Pada awal pagi Rabu, mereka berjumpa dengan Saksi Jerman yang pertama. Namanya Hans, nama yang sering digunakan di Jerman. Hans membawa mereka dari stesen kereta api ke Bethel. Di sana mereka berjumpa dengan seorang saudari tua yang tidak dapat bertutur dalam bahasa Inggeris. Namun, dia berfikir jika dia meninggikan suaranya, mereka mungkin faham. Tetapi apabila suaranya semakin lantang, dia dan empat saudara itu berasa semakin geram. Akhirnya, Saudara Erich Frost, pembantu cawangan di sana, datang dan menyambut mereka dalam bahasa Inggeris. Mereka berasa lebih lega.

Pada akhir bulan Ogos, mereka berempat menghadiri konvensyen “Ibadat Murni” di Frankfurt am Main. Semangat serta keinginan mereka untuk menginjil dikuatkan setelah melihat 47,432 hadirin dan 2,373 orang dibaptis. Namun, beberapa hari kemudian, Saudara Knorr berkata bahawa mereka akan berkhidmat di Bethel.

Sukacita yang dinikmati semasa bertugas meyakinkan mereka bahawa Yehuwa tahu apa yang terbaik

Ramon lebih suka menjadi mubaligh dan pernah menolak tawaran untuk berkhidmat di Bethel Amerika Syarikat. Richard dan Bill pula tidak pernah terfikir tentang khidmat Bethel. Namun, sukacita yang diraih mereka semasa di Bethel menunjukkan bahawa pilihan Yehuwalah yang paling bagus. Adalah lebih bijak untuk mengikut bimbingan Yehuwa daripada mengikut keinginan sendiri. Sesiapa yang sedar akan hal ini akan berkhidmat dengan sukacita tidak kira di mana atau bagaimana dia berkhidmat.

VERBOTEN!

Ramai ahli Bethel Jerman gembira kerana dapat berlatih bahasa Inggeris dengan empat orang saudara ini. Namun pada suatu hari, Saudara Frost membuat pengumuman di ruang makan. Dengan bersemangat dia bercakap dalam bahasa Jerman tentang suatu perkara serius. Suasana menjadi diam dan semua orang termenung memandang pinggan di depan mereka. Empat saudara ini tidak memahami apa yang dikatakan, namun mereka mula sedar bahawa Saudara Frost sedang bercakap tentang mereka. Jadi apabila dia berulang kali berkata “VERBOTEN!” (“Dilarang!”) dengan kuat, mereka berasa kurang selesa. Apakah yang terjadi?

Saudara Frost (kanan) dan yang lain dengan Saudara Knorr (kiri)

Selepas makan, semua ahli Bethel bergegas ke bilik masing-masing. Kemudian, seorang saudara menjelaskan kepada mereka, “Kamu harus belajar bahasa Jerman untuk membantu kami. Sebab itulah Saudara Frost kata selagi kamu belum pandai berbahasa Jerman, bercakap bahasa Inggeris kepada kamu adalah VERBOTEN.”

Keluarga Bethel segera mengikut arahan itu. Hal ini membantu saudara-saudara baru mempelajari bahasa Jerman. Mereka juga belajar bahawa teguran daripada saudara penyayang sering kali membawa manfaat walaupun sukar diterima. Teguran Saudara Frost menunjukkan bahawa dia mengambil berat tentang organisasi Yehuwa dan mengasihi rakan seimannya. * Patutlah mereka berempat semakin mengasihinya!

BELAJAR DARIPADA SAHABAT KITA

Bercuti di Switzerland, 1952

Banyak yang boleh kita belajar daripada sahabat seiman. Hal ini dapat mengeratkan persahabatan kita dengan Yehuwa. Empat orang saudara ini telah banyak belajar daripada ramai saudara saudari di Jerman, dan juga daripada satu sama lain. Richard berkata, “Lowell tahu sedikit bahasa Jerman dan menggunakannya dengan baik, tetapi yang lain masih tidak pandai. Memandangkan dia yang paling tua dalam kalangan kami, kami selalu meminta bantuannya dalam bahasa dan untuk memimpin kami.” Ramon berkata, “Apabila seorang saudara menawarkan kami chaletnya di Switzerland, saya sangat gembira. Inilah kali pertama kami bercuti selepas setahun berada di Jerman! Dua minggu tanpa bahasa Jerman! Tapi saya tidak sangka Lowell mahu kami membincangkan ayat harian setiap pagi dalam bahasa Jerman! Dia berkeras supaya kami berbuat demikian. Saya berasa kecewa, tetapi pengalaman ini membawa manfaat pada kemudian hari. Kami belajar bahawa kami harus mengikut nasihat mereka yang mengambil berat tentang kami, walaupun ada kalanya kami tidak setuju. Sikap sebegini membantu kami tunduk kepada arahan teokratik.”

Empat saudara ini juga belajar untuk menghargai kelebihan satu sama lain seperti yang dinyatakan di Filipi 2:3, “Dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri sendiri.” Mereka sering meminta bantuan Bill apabila mereka bertiga setuju bahawa dialah orang yang dapat melaksanakan tugas tertentu dengan paling cekap. Lowell berkata, “Apabila langkah yang sukar perlu diambil untuk menangani situasi yang mencabar, kami mengharapkan Bill. Dia pandai menangani situasi yang kurang menyenangkan. Biasanya kami tahu apa yang harus dilakukan, tetapi tidak mampu atau tidak berani untuk bertindak.”

PERKAHWINAN YANG BAHAGIA

Seorang demi seorang, mereka telah berkahwin. Persahabatan mereka berdasarkan kasih kepada Yehuwa dan khidmat sepenuh masa. Jadi mereka bertekad untuk mencari isteri yang sanggup mengutamakan Yehuwa. Khidmat sepenuh masa mengajar mereka bahawa memberi membawa lebih banyak berkat daripada menerima dan keinginan peribadi tidak boleh menjadi lebih penting daripada Kerajaan Tuhan. Maka, mereka memilih isteri yang telah pun menceburi khidmat sepenuh masa. Hasilnya, perkahwinan mereka kukuh dan bahagia.

Persahabatan ataupun perkahwinan akan berkekalan sekiranya Yehuwa menjadi sebahagian daripadanya. (Pkh. 4:12) Walaupun Bill dan Ramon sedih atas kematian isteri mereka, mereka berdua telah merasai sukacita dan sokongan daripada isteri yang setia. Lowell dan Richard masih merasai sokongan isteri mereka. Bill yang berkahwin semula membuat keputusan yang bijak kerana memilih pasangan hidup yang membolehkannya terus menceburi khidmat sepenuh masa.

Dalam tahun-tahun yang berikutnya, mereka ditugaskan ke negara berlainan seperti Jerman, Austria, Luxembourg, Kanada, dan Amerika Syarikat. Oleh itu, mereka tidak dapat menghabiskan banyak masa bersama seperti dahulu. Walaupun berjauhan, mereka sentiasa menghubungi satu sama lain, bersukacita bersama atas berkat yang dinikmati, serta menangis bersama ketika berdukacita. (Rm. 12:15) Sahabat sebegini merupakan kurniaan Yehuwa dan patut dihargai sepenuhnya. (Ams. 17:17) Sahabat sejati memang jarang ditemui! Tetapi sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, kita menikmati persahabatan sejati bersama rakan Kristian di serata dunia dan terutamanya, dengan Yehuwa dan Yesus Kristus.

Ya, ada masanya mereka pun mengalami pengalaman yang pahit seperti kita. Contohnya, mereka pernah kehilangan pasangan hidup, menangani masalah kesihatan yang serius, khuatir tentang ibu bapa yang lanjut usia, membesarkan anak sambil menjalankan khidmat sepenuh masa, dan risau semasa menerima tugasan teokratik baru. Kini mereka juga perlu menghadapi masalah yang mengiringi umur yang meningkat. Tetapi pengalaman mereka menunjukkan bahawa sahabat​—yang tinggal dekat atau jauh—​boleh membantu kita untuk menghadapi setiap cabaran hidup dengan jayanya.

SAHABAT BUAT SELAMA-LAMANYA

Lowell, Ramon, Bill, dan Richard masing-masing membaktikan diri kepada Yehuwa pada umur 18, 12, 11, dan 10 tahun. Sungguh bagus teladan mereka! Mereka juga mula menceburi khidmat sepenuh masa sejak mereka berumur antara 17 hingga 21 tahun. Mereka mengikut nasihat di Pengkhutbah 12:1 yang menyatakan, “Ingatlah Pencipta kamu semasa kamu masih muda.”

Adakah anda seorang saudara muda? Terimalah undangan Yehuwa untuk menyertai khidmat sepenuh masa jika keadaan anda mengizinkan. Mudah-mudahan Yehuwa akan memberi anda peluang untuk merasai sukacita empat saudara ini yang pernah berkhidmat sebagai penyelia litar, distrik, atau zon; berkhidmat di Bethel, termasuk sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan; mengajar di Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik dan Sekolah Latihan Perintis; menyampaikan ceramah di konvensyen yang besar dan kecil. Betapa gembiranya mereka setelah mengetahui bahawa kerja keras mereka telah membawa manfaat kepada berpuluh ribu orang. Mereka menikmati semua berkat ini kerana telah menyahut undangan Yehuwa untuk menyembah-Nya dengan sepenuh hati sejak muda lagi.​—Kol. 3:23.

Kiri ke kanan: Richard, Bill, Lowell, dan Ramon menghadiri pentahbisan bangunan Bethel yang baru di Selters, 1984

Hari ini, Lowell, Richard, dan Ramon sekali lagi berkhidmat di pejabat cawangan Selters, Jerman. Sedih sekali, Bill telah meninggal pada tahun 2010 semasa berkhidmat sebagai perintis khas di Amerika Syarikat. Maut telah memisahkan persahabatan yang terjalin kira-kira 60 tahun itu. Namun, Yehuwa tidak lupa akan sahabat-Nya. Di bawah pemerintahan Kerajaan-Nya, semua sahabat Kristian yang terpisah akibat maut pasti akan disatukan.

“Selama 60 tahun ini, tiada satu detik pun yang tidak menyenangkan”

Sebelum Bill meninggal, dia menulis, “Selama 60 tahun ini, tiada satu detik pun yang tidak menyenangkan. Saya sangat menghargai persahabatan kami.” Tiga sahabatnya menambah, “Persahabatan kami seolah-olah terjalin kelmarin.” Ya, mereka akan terus menjadi sahabat baik di dunia baru.

^ per. 17 Pengalaman Saudara Frost yang mendebarkan dicetak dalam The Watchtower 15 April 1961, muka 244-249.