Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Khazanah Rohani Kita

‘Itulah Berita yang Terbaik’

‘Itulah Berita yang Terbaik’

“SEMUA ini untuk apa?” tanya George Naish yang berada di dalam sebuah gedung di Saskatoon, Saskatchewan, Kanada. Terdapat selonggok kayu balak yang panjangnya 18 m. Dia diberitahu bahawa kayu balak itu pernah digunakan untuk membina menara isyarat semasa Perang Dunia Pertama. Saudara Naish berkata, “Terlintas dalam fikiran saya bahawa kami boleh menggunakannya untuk membina menara radio. Maka lahirlah idea untuk stesen radio teokratik.” Setahun kemudian, pada tahun 1924, CHUC mula beroperasi. Itulah antara stesen radio pertama di Kanada yang menyiarkan rancangan agama.

(1) Stesen di Edmonton, Alberta (2) Seorang saudara sedang mengendalikan pemancar radio di Toronto, Ontario

Memandangkan keluasan Kanada hampir sama dengan Eropah, kesaksian menerusi radio terbukti berkesan. “Kami sangat bersyukur kerana melalui penyiaran radio, ramai orang yang tidak dapat kami temui berpeluang mendengar kebenaran,” kata Florence Johnson, yang bekerja di stesen di Saskatoon. “Oleh sebab radio merupakan sesuatu yang baru, orang amat berminat untuk mendengar apa-apa sahaja yang disiarkan.” Pada tahun 1926, Pelajar Bible (nama Saksi-Saksi Yehuwa pada masa itu) sudah mempunyai stesen radio sendiri di empat bandar di Kanada. *

(3) Studio CHUC di Saskatoon, Saskatchewan

Apakah rancangan yang disiarkan di stesen radio teokratik? Penyanyi daripada sidang tempatan sering mempersembahkan lagu yang diiringi alat-alat muzik atau orkestra kecil. Sudah pasti, rancangan mereka merangkumi khutbah dan perbincangan Bible. Amy Jones, yang pernah menyertai perbincangan sebegini berkata, “Sewaktu menginjil, selepas saya memperkenalkan diri, penghuni rumah kadangkala berkata, ‘Oh, ya, saya pernah dengar suara kamu di radio.’”

“Kami menerima begitu banyak panggilan telefon sehingga tidak dapat menjawab semuanya”

Pelajar Bible di Halifax, Nova Scotia telah melakukan sesuatu yang baru, iaitu mengadakan rancangan temu bual. Para pendengar boleh menelefon mereka untuk menanyakan soalan Bible. “Orang sangat suka akan rancangan radio ini,” kata seorang saudara. “Kami menerima begitu banyak panggilan telefon sehingga tidak dapat menjawab semuanya.”

Seperti yang dialami rasul Paulus, para Pelajar Bible juga menerima berbagai-bagai reaksi. (Kis. 17:1-5) Ada yang suka mendengar berita mereka. Misalnya, semasa Hector Marshall terdengar tentang buku Studies in the Scriptures di radio, dia telah memesan enam jilid buku itu. Dia menulis, “Saya fikir buku itu akan membantu saya untuk mengajar semasa sekolah minggu di gereja.” Tetapi selepas dia membaca Jilid 1, Hector meninggalkan gerejanya. Dia kemudian menginjil dengan bersemangat dan setia kepada Yehuwa sehingga kematiannya pada tahun 1998. Di bahagian timur Nova Scotia, selepas ceramah bertajuk “Kerajaan Tuhan—Harapan bagi Dunia Ini” disiarkan, Kolonel J. A. MacDonald berkata kepada seorang saudara, “Kelmarin, penduduk Pulau Cape Breton telah mendengar berita yang terbaik.”

Namun, pihak gereja berasa marah. Sesetengah orang Katolik di Halifax mengugut akan meletupkan stesen yang menyiarkan rancangan Pelajar Bible. Atas hasutan ketua agama, pihak kerajaan tiba-tiba mengumumkan pada tahun 1928 bahawa lesen bagi stesen radio Pelajar Bible tidak akan dibaharui. Saudara saudari mengedarkan risalah “Siapakah yang Berkuasa atas Udara?” untuk membantah tindakan yang tidak adil ini. Sungguhpun demikian, para pegawai masih enggan membaharui lesen siaran Pelajar Bible.

Adakah hal ini memudarkan semangat kumpulan kecil penyembah Yehuwa di Kanada? “Pada mulanya, pihak musuh nampaknya sudah menang,” kata Isabel Wainwright. “Tetapi jika Yehuwa mahu kami terus menginjil menerusi radio, Dia pasti akan melakukan sesuatu. Maksudnya, kami harus mencari cara lain yang lebih bagus untuk mengkhabarkan berita baik Kerajaan Tuhan.” Jadi, Pelajar Bible di Kanada mula beralih daripada kesaksian di radio ke kesaksian dari rumah ke rumah. Namun, kita yakin bahawa radio telah memainkan peranan penting pada masa itu untuk menyiarkan ‘berita yang terbaik.’​—Khazanah rohani kita di Kanada.

^ per. 4 Saudara-saudara di Kanada juga menyewa kemudahan stesen radio komersial untuk siaran berita baik.