Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Carilah Kejayaan Sejati dalam Hidup Anda

Carilah Kejayaan Sejati dalam Hidup Anda

“Engkau akan makmur dan berjaya.”​—YOS. 1:8.

1, 2. (a) Apakah maksud kejayaan bagi ramai orang? (b) Bagaimanakah anda dapat mengetahui pandangan sendiri tentang maksud kejayaan?

APAKAH maksud hidup yang berjaya? Jika anda menanya orang soalan ini, anda akan mendapat jawapan yang berbeza-beza. Bagi ramai orang, kejayaan bermaksud seseorang itu sangat menonjol dari segi kewangan, kerjaya, atau pendidikan. Ada yang mengaitkan kejayaan seseorang berdasarkan hubungannya dengan ahli keluarga, sahabat, atau rakan kerja. Orang yang menyembah Tuhan bahkan mungkin mengukur kejayaan mengikut tanggungjawab yang dipikul dalam sidang atau hasil yang diperoleh dalam aktiviti penyebaran.

2 Apakah definisi anda untuk kejayaan? Cuba tuliskan nama beberapa orang yang berjaya dari sudut pandangan anda. Mereka haruslah orang yang paling anda sanjung dan hormati. Apakah beberapa persamaan antara mereka? Adakah mereka kaya atau terkenal? Adakah mereka berpengaruh? Jawapan anda akan menunjukkan isi hati anda, dan hal ini dapat mempengaruhi keputusan dan matlamat hidup anda.—Luk. 6:45.

3. (a) Apakah yang harus dilakukan oleh Yosua jika dia ingin berjaya? (b) Apakah yang akan kita bincang sekarang?

3 Pandangan Yehuwalah yang terpenting. Jika kita ingin terus hidup, kita mesti mendapat perkenan-Nya. Semasa Yehuwa memberi Yosua tugas berat untuk memimpin orang Israel ke Tanah yang Dijanjikan, Tuhan menyuruh Yosua membaca Hukum Musa “siang dan malam” serta mentaati segala perintah itu. “Dengan demikian engkau akan makmur dan berjaya,” kata Tuhan. (Yos. 1:7, 8) Kehidupan Yosua terbukti berjaya. Bagaimana pula dengan kita? Bagaimanakah kita tahu sama ada pandangan kita mengenai kejayaan selari dengan pandangan Tuhan? Mari kita membincangkan kisah hidup dua orang yang disebut dalam Bible.

ADAKAH SALOMO SEORANG YANG BERJAYA?

4. Apakah antara kejayaan-kejayaan Salomo?

4 Salomo telah mencapai kejayaan besar dalam banyak bidang. Mengapa? Selama bertahun-tahun, dia takut dan patuh kepada Yehuwa dan dilimpahi berkat-Nya. Ketika Yehuwa bertanya tentang keinginan Salomo, dia memohon kebijaksanaan supaya dapat memerintah rakyat. Hasilnya, Tuhan mengurniainya kebijaksanaan dan kekayaan. (Baca 1 Raja-Raja 3:10-14.) Salomo “lebih bijak daripada orang bijak di negeri Timur dan orang bijak di negeri Mesir.” Nama Salomo juga “termasyhur di semua negeri jiran.” (1 Raj. 4:30, 31) Setiap tahun, dia menerima lebih daripada 23 tan emas! (2 Taw. 9:13, 14) Dia sangat pintar dalam hubungan antarabangsa, pembinaan, dan perdagangan. Ya, selagi Salomo memelihara hubungan yang baik dengan Tuhan, dia seorang yang berjaya.​—2 Taw. 9:22-24.

5. Apakah kesimpulan Salomo tentang orang yang berjaya dalam mata Tuhan?

5 Kata-kata Salomo dalam buku Pengkhutbah menunjukkan bahawa dia tidak berfikir bahawa hanya orang yang kaya atau masyhur boleh berjaya dan bersukacita. Sebaliknya, dia menulis, ‘Aku insaf bahawa sebaik-baiknya yang dapat kita lakukan adalah bersukacita dan berusaha sedaya upaya semasa kita masih hidup. Kita semua harus makan dan minum serta menikmati hasil usaha kita kerana semua itu pemberian Tuhan.’ (Pkh. 3:12, 13, ABB) Dia juga sedar bahawa nikmat hidup akan benar-benar bermakna hanya jika seseorang mendapat perkenan Tuhan, iaitu mempunyai hubungan baik dengan-Nya. Maka, Salomo menyatakan, ‘Inilah kesimpulan daripada semuanya: Hormatilah Tuhan, dan taatilah segala perintah-Nya, kerana bagi maksud itulah manusia diciptakan.’​—Pkh. 12:13, ABB.

6. Bagaimanakah contoh Salomo membantu kita memahami erti kejayaan sejati?

6 Selama bertahun-tahun, Salomo menghormati Tuhan. Dia ‘mengasihi Yehuwa dan menurut nasihat Raja Daud, ayahandanya.’ (1 Raj. 3:3) Bukankah itu kejayaan sejati? Di bawah bimbingan Tuhan, Salomo telah membina pusat ibadat sejati yang serba indah dan menulis tiga buah buku kecil Bible. Kita mungkin tidak berpeluang untuk melakukan hal yang sama, tetapi teladan Salomo semasa dia setia kepada Tuhan dapat membantu kita menilai apa itu kejayaan sejati. Jika kita ingin mencapai kejayaan sejati, ingatlah bahawa Tuhan mengilhami Salomo untuk menulis bahawa kekayaan, kebijaksanaan, kemasyhuran, dan pengaruh​—kayu ukur kejayaan bagi ramai orang hari ini—adalah sia-sia, dan ibarat “mengejar angin.” Tidakkah anda setuju bahawa orang yang cinta akan kekayaan tidak pernah berasa puas? Mereka sering risau tentang apa yang dimiliki. Tambahan lagi, kekayaan mereka akan menjadi milik orang lain suatu hari nanti.​—Baca Pengkhutbah 2:9-11, 17; 5:9-11.

7, 8. Apakah yang dilakukan oleh Salomo pada kemudian hari? Apakah kesudahannya?

7 Anda juga tahu bahawa Salomo kemudiannya tidak setia kepada Yehuwa. Semasa dia sudah tua, isteri-isterinya berjaya memujuknya menyembah tuhan-tuhan lain. Salomo tidak menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati seperti ayahandanya Raja Daud. Raja Salomo berdosa terhadap Yehuwa.—1 Raj. 11:4-6.

8 Yehuwa murka terhadap Salomo. Dia berfirman, “Oleh sebab engkau dengan sengaja telah melanggar perjanjianmu dengan Aku, dan telah melanggar perintah-Ku, Aku bersumpah bahawa Aku akan mengambil kerajaanmu dan memberikannya kepada salah seorang pegawaimu.” (1 Raj. 11:11) Sungguh menyedihkan! Walaupun Salomo berjaya dalam banyak perkara, dia gagal dalam hal yang terpenting: Dia tidak setia kepada Tuhan dan mengecewakan-Nya. Kita masing-masing boleh bertanya, “Adakah saya akan mengambil iktibar daripada kisah hidup Salomo dan berusaha agar berjaya dalam hidup?”

DIA BENAR-BENAR BERJAYA

9. Dalam kaca mata dunia, adakah Paulus seorang yang berjaya? Jelaskan.

9 Kehidupan rasul Paulus jauh berbeza daripada kehidupan Raja Salomo. Paulus tidak memiliki takhta gading atau bersantap dengan raja. Sebaliknya, dia pernah kelaparan, dahaga, kesejukan, dan kekurangan pakaian. (2 Kor. 11:24-27) Sebaik sahaja dia menerima Yesus sebagai Mesias, Paulus kehilangan kedudukan yang dihormati dalam agama Yahudi. Para pemimpin agama membencinya. Dia dipenjarakan, dicambuk, disesah, dan direjam. Paulus menyatakan bahawa dia dan rakan-rakannya telah dihina, dianiaya, dan dipermalukan. “Kami dianggap seperti sampah masyarakat; hingga saat ini kami masih dianggap sebagai sampah dunia.”​—1 Kor. 4:11-13.

Bagi orang lain, Saulus bagaikan meniti tangga kejayaan

10. Mengapakah orang lain mungkin berasa bahawa Paulus menghancurkan kejayaan sendiri?

10 Pada usia yang muda, rasul Paulus, yang sebelumnya bernama Saulus nampaknya sedang meniti tangga kejayaan. Dia mungkin dilahirkan dalam keluarga yang berada, dan bergurukan Gamaliel, seorang tokoh yang disegani. Dia menulis, “Aku lebih maju daripada kebanyakan orang Yahudi yang sebaya dengan aku dalam hal mengamalkan agama Yahudi.” (Gal. 1:14) Saulus fasih dalam bahasa Ibrani dan Yunani, serta memiliki hak istimewa sebagai warganegara Roma yang diingini oleh ramai. Jika dia memilih untuk memburu kejayaan duniawi, dia dapat menjadi lebih kaya dan masyhur. Namun, dia telah memilih haluan hidup yang nampaknya bodoh dalam mata orang lain dan saudara-maranya. Mengapa?

11. Apakah yang dihargai oleh Paulus dan apakah matlamatnya? Mengapa?

11 Paulus mengasihi Yehuwa. Baginya, perkenan Tuhan lebih penting daripada kekayaan atau kemasyhuran. Setelah mengetahui kebenaran, Paulus menghargai tebusan, aktiviti penyebaran Kristian, dan harapan untuk hidup di syurga​—hal yang sering diketepikan oleh dunia. Dia sedar bahawa terdapat isu yang perlu diselesaikan. Syaitan menuduh bahawa dia dapat menyebabkan semua orang berhenti menyembah Tuhan. (Ayb. 1:9-11; 2:3-5) Tidak kira apa cubaan yang bakal melanda, Paulus bertekad untuk setia kepada Tuhan dan berpegang teguh pada ibadat sejati. Matlamat ini sesungguhnya ramuan penting yang tidak wujud dalam resipi kejayaan dunia.

Paulus memang seorang yang berjaya

12. Mengapakah anda memilih untuk berharap kepada Tuhan?

12 Adakah anda bertekad untuk meniru Paulus? Walaupun memelihara kesetiaan tidak selalunya mudah, usaha ini akan membawa berkat dan perkenan Yehuwa, dan itulah kunci kejayaan sejati. (Ams. 10:22) Kita akan meraih manfaatnya kini dan pada masa depan. (Baca Markus 10:29, 30.) Maka, kita ada sebab yang baik agar tidak “bergantung kepada barang-barang yang tidak tetap, seperti kekayaan.” Sebaliknya kita ‘berharap kepada Tuhan yang mengurniai kita segala sesuatu untuk dinikmati.’ Kita “mengumpulkan harta yang akan menjadi asas yang kukuh untuk masa depan” supaya mendapat hidup sejati. (1 Tim. 6:17-19) Ya, biar seratus ataupun seribu tahun kemudian, kita dapat menoleh ke belakang dan berkata, “Saya memang telah memilih jalan yang membawa kejayaan sejati!”

DI MANAKAH HARTA ANDA?

13. Apakah nasihat Yesus mengenai usaha mengumpul harta?

13 Yesus berkata, “Jangan kumpulkan harta di dunia, kerana di situ gegat dan karat merosakkannya, dan pencuri datang untuk mencurinya. Kumpulkanlah harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya, dan pencuri tidak datang untuk mencurinya. Lakukanlah hal itu, kerana perhatian kamu sentiasa tertumpu kepada hartamu!”​—Mat. 6:19-21, ABB.

14. Mengapakah tidak bijak untuk menimba harta di bumi?

14 “Harta” seseorang di bumi tidak terhad kepada wang sahaja. Harta itu boleh merangkumi kedudukan, kemasyhuran, atau kuasa yang sering dikaitkan dengan kejayaan. Seperti Salomo, Yesus menegaskan bahawa harta duniawi tidak berkekalan. Dalam dunia di sekitar kita, harta sebegini boleh rosak atau hilang begitu sahaja. Profesor F. Dale Bruner menulis, “Semua orang tahu bahawa kemasyhuran tidak berkekalan. Wira yang disanjung pada Sabtu lalu hanyalah kelibat pada musim yang akan datang. Orang yang menjadi kaya tahun ini akan muflis pada tahun depan. . . . [Yesus] mengasihi manusia. Dia menasihati mereka agar tidak mengejar kemuliaan yang tidak berkekalan. Yesus tidak ingin para [pengikutnya] dikecewakan. ‘Orang yang berdiri megah di puncak kejayaan hari ini akan jatuh hari esok.’” Ramai orang setuju dengan kata-kata ini. Namun berapa ramaikah yang mengubah jalan hidup mereka berdasarkan hakikat ini? Bagaimana pula dengan anda?

15. Kita harus berusaha mencapai kejayaan apa?

15 Sesetengah pemimpin agama mengajar bahawa kita tidak harus berusaha mencapai apa-apa kejayaan. Namun, Yesus tidak mengutuk usaha sedemikian. Sebaliknya, dia menggesa pengikutnya agar berusaha mengumpulkan “harta di syurga.” Kita patut berusaha menjadi orang yang berjaya dalam mata Yehuwa. Itulah hal yang terpenting. Kata-kata Yesus mengingatkan kita bahawa kita boleh memilih keutamaan hidup sendiri. Apa yang tersemat di hati kita, itulah yang bernilai buat kita.

16. Apakah keyakinan kita?

16 Jika kita sungguh-sungguh ingin menyenangkan hati Yehuwa, Dia pasti menjaga keperluan kita. Ada masanya, kita mungkin akan lapar atau dahaga seperti rasul Paulus. (1 Kor. 4:11) Sungguhpun demikian, percayalah pada kata-kata Yesus, ‘Jangan khuatir tentang apa yang akan kamu makan, atau apa yang akan kamu minum, atau apa yang akan kamu pakai. Semua perkara itu sentiasa dikhuatiri orang yang tidak mengenal Tuhan. Bapa kamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua itu. Sebaliknya utamakanlah Pemerintahan Tuhan dan lakukanlah kehendak-Nya, lalu Tuhan akan memberikan semua itu kepada kamu.’​—Mat. 6:31-33, ABB.

BERJAYA DALAM MATA TUHAN

17, 18. (a) Kejayaan sejati bergantung pada apa? (b) Kejayaan tidak bergantung pada apa?

17 Ingatlah, kejayaan sejati tidak bergantung pada pencapaian atau kedudukan kita di dunia ini. Tanggungjawab yang dipikul dalam sidang juga bukan pengukur kejayaan sejati. Sebaliknya, ketaatan dan kesetiaan kepada Tuhan ialah tangga kejayaan. ‘Inilah sifat utama yang harus dimiliki oleh seorang hamba: Dia harus setia kepada tuannya.’ (1 Kor. 4:2) Kesetiaan kita juga mesti bertahan, kerana Yesus berkata, “Sesiapa bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.” (Mat. 10:22) Tidakkah anda setuju bahawa orang yang diselamatkan ialah orang yang berjaya?

18 Ya, orang yang setia kepada Tuhan tidak perlu masyhur, berpendidikan tinggi, kaya, atau berpangkat. Kecerdikan, bakat, atau kebolehan juga tidak berkaitan dengan kesetiaan. Dalam situasi apa pun, kita dapat setia kepada Tuhan. Paulus menasihati orang Kristian pada abad pertama yang kaya “supaya berbuat baik, supaya rajin berbuat kebajikan, murah hati, dan suka memberi.” Namun, baik yang kaya mahupun yang miskin boleh “mendapat hidup kekal.” (1 Tim. 6:17-19) Nasihat Paulus juga penting untuk kita. Kita semua diberi peluang dan tanggungjawab yang sama: Kita mesti setia dan rajin “berbuat baik.” Dengan ini, kita akan menjadi orang yang berjaya dalam mata Pencipta dan membuat hati-Nya gembira.​—Ams. 27:11.

19. Apakah tekad anda?

19 Anda mungkin tidak dapat mengawal situasi hidup, tetapi anda dapat mengawal pandangan sendiri. Tidak kira apa yang berlaku, janganlah menggadaikan kesetiaan anda. Usaha anda memang berbaloi kerana anda akan dilimpahi berkat Yehuwa—kini dan untuk selama-lamanya. Biarlah kata-kata Yesus kepada orang Kristian terurap terpahat dalam ingatan anda, ‘Hendaklah kamu setia sampai mati, dan aku akan mengurniai kamu hidup sejati dan kekal.’ (Why. 2:10) Itulah kejayaan yang sejati!