Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bagaimana Kita Hidup sebagai “Penduduk Sementara”

Bagaimana Kita Hidup sebagai “Penduduk Sementara”

“Kamu seperti orang asing dan orang pelarian [“penduduk sementara,” NW] di dunia ini! Oleh itu, aku menggesa kamu supaya tidak menuruti hawa nafsu manusia.”​—1 PTR. 2:11.

1, 2. Siapakah ‘umat pilihan Tuhan’ yang disebut oleh Petrus? Mengapakah dia berkata bahawa mereka ialah “penduduk sementara”?

KIRA-KIRA 30 tahun selepas Yesus naik ke syurga, rasul Petrus telah menulis sepucuk surat ‘kepada umat pilihan Tuhan, yang tinggal sebagai orang pelarian [“penduduk sementara,” NW] yang tercerai-cerai di seluruh daerah Pontus, Galatia, Kapadokia, Asia, dan Bitinia.’ (1 Ptr. 1:1) Jelaslah, ‘umat pilihan Tuhan’ merujuk kepada orang yang diurapi daya aktif Tuhan seperti Petrus. Mereka ‘dikurniai hidup yang baru’ untuk memerintah di syurga bersama Kristus. (Baca 1 Petrus 1:3, 4.) Namun, mengapakah Petrus menyatakan bahawa mereka ialah “orang pelarian,” atau “penduduk sementara”? (1 Ptr. 2:11) Apakah maksud kata-kata Petrus bagi kita, memandangkan hanya kira-kira 1 dalam setiap 650 Saksi merupakan kaum terurap?

2 Orang Kristian terurap pada abad pertama sesungguhnya merupakan “penduduk sementara.” Baki kaum terurap hari ini juga tidak akan menetap di bumi buat selama-lamanya. Rasul Paulus yang juga seorang Kristian terurap menjelaskan, ‘Kewarganegaraan kita di syurga. Dengan penuh harapan kita menanti-nantikan kedatangan Penyelamat kita, Tuan Yesus Kristus dari syurga.’ (Luk. 12:32; Flp. 3:20) Memandangkan ‘kewarganegaraan mereka di syurga,’ orang Kristian terurap yang meninggal akan mendapat hidup yang tidak boleh mati di syurga. (Baca Filipi 1:21-23.) Maka, secara harfiah, mereka ialah “penduduk sementara” di dunia Syaitan.

3. Apakah soalan yang timbul tentang “domba-domba lain”?

3 Bagaimana pula dengan “domba-domba lain”? (Yoh. 10:16) Bukankah Bible menyatakan dengan jelas bahawa mereka berpeluang hidup selama-lamanya di bumi? Ya, hal itu memang benar! Namun, mereka juga boleh dianggap sebagai penduduk sementara pada masa sekarang. Mengapa?

SEMUA CIPTAAN “MERINTIH KESAKITAN”

4. Apakah masalah yang tidak dapat dicegah oleh para pemimpin dunia?

4 Selagi dunia Syaitan belum berakhir, semua orang, termasuk orang Kristian akan menghadapi kesusahan yang berpunca daripada pemberontakan Syaitan. Roma 8:22 menyatakan, “Kita tahu bahawa sehingga saat ini alam semesta merintih kesakitan.” Para pemimpin dunia, ahli sains, dan sukarelawan kemanusiaan yang berniat baik pun tidak berdaya mencegahnya.

5. Apakah langkah yang diambil oleh jutaan orang sejak tahun 1914? Mengapa?

5 Oleh yang demikian, sejak tahun 1914, jutaan orang telah memilih untuk menjadi rakyat Kerajaan Tuhan yang dipimpin oleh Kristus Yesus. Mereka tidak ingin menjadi sebahagian daripada sistem dunia Syaitan. Mereka enggan menyokong dunia Syaitan. Sebaliknya, mereka menggunakan kehidupan dan aset sendiri untuk menyokong dan mengutamakan Kerajaan Tuhan.​—Rm. 14:7, 8.

6. Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa bagaikan orang asing?

6 Saksi-Saksi Yehuwa tinggal di lebih daripada 200 negara. Walaupun mereka mematuhi undang-undang, mereka hidup seperti orang asing. Mereka tetap bersikap neutral dalam isu politik dan sosial. Bahkan sekarang, mereka memandang diri sebagai warganegara dunia baru yang diciptakan Tuhan. Mereka ialah penduduk sementara dalam dunia jahat yang bakal dihancurkan.

Kita tidak bertungkus lumus menyelamatkan dunia Syaitan. Kita menyebarkan berita tentang dunia baru Tuhan

7. Bagaimanakah hamba-hamba Tuhan menjadi penduduk tetap dan di mana?

7 Tidak lama lagi, Kristus akan menggunakan kuasanya untuk menutup tirai sistem jahat Syaitan. Kerajaannya yang sempurna akan melenyapkan dosa dan kesedihan dari muka bumi, dan sesiapa sahaja yang menentang kedaulatan Yehuwa. Selepas itu, hamba-hamba Tuhan akan menjadi pemastautin tetap di bumi Firdaus. (Baca Wahyu 21:1-5.) Ciptaan akan “dibebaskan daripada kuasa yang menghancurkannya, lalu menikmati kebebasan dan kemuliaan” sebagai anak-anak Tuhan.​—Rm. 8:21.

CARA HIDUP ORANG KRISTIAN SEJATI

8, 9. Apakah maksud Petrus sewaktu dia berkata, “tidak menuruti hawa nafsu”?

8 Petrus menjelaskan bagaimana orang Kristian harus hidup, “Sahabat-sahabatku, kamu seperti orang asing dan orang pelarian [“penduduk sementara,” NW] di dunia ini! Oleh itu, aku menggesa kamu supaya tidak menuruti hawa nafsu manusia, yang sentiasa berlawanan dengan jiwa.” (1 Ptr. 2:11, ABB) Walaupun nasihatnya ditujukan kepada orang Kristian terurap, domba-domba lain juga harus memanfaatkannya.

9 Memang tidak salah untuk memuaskan nafsu dengan cara yang ditentukan oleh Pencipta. Menjamu selera, menyertai kegiatan yang menarik, dan menikmati pergaulan yang sihat merupakan nikmat hidup. Hubungan asmara suami isteri juga sesuai dan ada tempatnya. (1 Kor. 7:3-5) Namun, Petrus menjelaskan bahawa “hawa nafsu” yang “berlawanan dengan jiwa” harus dihindari. Apakah maksudnya? Sesetengah Bible menggunakan ungkapan “keinginan berdosa.” Ya, kita mesti mematikan apa-apa keinginan yang bertentangan dengan tujuan Yehuwa dan yang dapat merosakkan hubungan baik kita dengan-Nya. Jika tidak, seseorang Kristian mungkin kehilangan harapan untuk memelihara jiwanya.

10. Apakah cara-cara yang digunakan oleh Syaitan supaya orang Kristian terserap ke dalam dunianya?

10 Tujuan Syaitan adalah untuk melemahkan tekad orang Kristian sejati yang menganggap diri sebagai “penduduk sementara” sistem dunia ini. Materialisme, perbuatan tidak bermoral yang menggoda, kedudukan tinggi yang diidamkan, sikap mendahulukan diri, dan daya tarikan nasionalisme—semuanya merupakan jerat Syaitan yang harus kita jauhi. Jika kita berazam untuk mematikan keinginan berdosa sebegini, kita menunjukkan bahawa kita enggan diserap ke dalam dunia jahat Syaitan. Dengan demikian, kita membuktikan bahawa kita hanyalah penduduk sementara di dunia Syaitan. Kita ingin dan sedang berusaha untuk menjadi warganegara dunia baru Tuhan yang adil benar.

KELAKUAN BAIK

11, 12. Apakah pandangan orang terhadap orang asing? Bagaimana pula dengan Saksi-Saksi Yehuwa?

11 Petrus meneruskan penjelasannya tentang kehidupan orang Kristian sebagai “penduduk sementara” di ayat 12, (ABB), ‘Kelakuan kamu antara orang yang tidak mengenal Tuhan, hendaklah begitu baik sehingga apabila mereka menuduh kamu sebagai orang jahat, mereka terpaksa mengakui perbuatan kamu yang baik, dan memuji Tuhan pada hari Tuhan datang untuk menghukum orang.’ Orang asing yang merupakan penduduk sementara kadangkala dikritik. Mereka mungkin dipandang sebagai penjahat semata-mata kerana mereka berbeza. Pertuturan, kelakuan, pakaian, dan bahkan rupa mereka mungkin nampaknya berbeza. Namun, kelakuan baik mereka dapat menyangkal kata-kata buruk daripada orang lain.

12 Begitu juga, orang Kristian sejati berbeza daripada orang ramai. Misalnya, tutur kata, hiburan yang dipilih, serta pakaian dan dandanan mereka biasanya tidak sama dengan kebanyakan orang. Perbezaan ini ada masanya menyebabkan orang lain salah faham dan menuduh mereka sebagai penjahat. Namun, ada juga yang memuji cara hidup mereka.

13, 14. Bagaimanakah ‘kebijaksanaan dibuktikan benar oleh perbuatan’? Berikan contoh.

13 Ya, kelakuan baik dapat merobohkan dakwaan-dakwaan palsu. Walaupun Yesus ialah satu-satunya orang yang mentaati Tuhan dengan sempurna, dia juga pernah dituduh tentang hal yang bukan-bukan. Ada yang berkata dia “rakus, pemabuk, sahabat pemungut cukai, dan sahabat orang berdosa.” Sungguhpun demikian, Yesus tetap menyembah Tuhan dengan setia. Kelakuannya telah menafikan tuduhan yang tidak berasas itu. ‘Kebijaksanaan dibuktikan benar oleh perbuatan,’ kata Yesus. (Mat. 11:19) Kata-katanya memang betul. Misalnya, sesetengah penduduk tempatan berpandangan buruk terhadap saudara saudari yang berkhidmat di Bethel Jerman. Namun, datuk bandar kawasan itu membela para Saksi. Dia berkata, “Saksi-Saksi yang berkhidmat di situ ada cara hidup tersendiri, tetapi mereka langsung tidak mengganggu kehidupan orang lain.”

Kebenaran Bible telah menyatukan keluarga dari Rusia ini

14 Saksi-Saksi Yehuwa di Moscow, Rusia juga dituduh terlibat dalam beberapa salah laku. Namun pada Jun 2010, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) di Strasbourg, Perancis mengumumkan, “Mahkamah mendapati bahawa [Moscow] tidak patut campur tangan dalam hak pemohon [Saksi-Saksi Yehuwa] untuk mendapat kebebasan beragama dan bergaul. Mahkamah tempatan tidak mengemukakan bukti ‘yang relevan dan mencukupi’ untuk menunjukkan bahawa pemohon” bersalah atas tuduhan menghancurkan keluarga, menghasut orang untuk membunuh diri, atau menolak rawatan perubatan. ECHR menyatakan bahawa mahkamah-mahkamah ini menggunakan undang-undang Moscow yang tegas untuk menindas Saksi-Saksi Yehuwa.

KETUNDUKAN YANG WAJAR

15. Apakah prinsip Bible yang ditaati oleh orang Kristian sejati di serata dunia?

15 Petrus juga menjelaskan satu lagi tanggungjawab orang Kristian sejati, “Demi Tuhan, hendaklah kamu taat kepada pemerintah, baik kepada Kaisar yang menjadi penguasa yang terutama, mahupun kepada gabenor.” (1 Ptr. 2:13, 14, ABB) Saksi-Saksi Yehuwa di Moscow dan di serata dunia mematuhi prinsip ini. Walaupun mereka bukan sebahagian daripada dunia, mereka tunduk kepada pihak berkuasa selagi hal itu tidak bercanggahan dengan hukum Tuhan.​—Baca Roma 13:1, 5-7.

16, 17. (a) Apakah yang membuktikan bahawa kita bukan penentang kerajaan? (b) Apakah pandangan sesetengah pemimpin politik terhadap Saksi-Saksi Yehuwa?

16 Saksi-Saksi Yehuwa hidup seperti “penduduk sementara” dalam sistem dunia ini. Namun, cara hidup mereka bukan satu bentuk bantahan senyap. Mereka juga tidak menentang atau mengganggu orang yang menyertai kegiatan politik atau sosial. Tidak seperti sesetengah kumpulan agama, Saksi-Saksi Yehuwa tidak campur tangan dalam hal ehwal politik. Mereka tidak mendesak pihak berkuasa untuk melaksanakan polisi tertentu. Jadi, idea bahawa mereka berkomplot untuk mengganggu ketenteraman awam atau menjatuhkan kerajaan memang tidak berasas!

17 Petrus menasihati orang Kristian, “Hormatilah Kaisar.” Sehubungan itu, orang Kristian menghormati pihak berkuasa. (1 Ptr. 2:17) Kadang-kadang, sesetengah pegawai kerajaan menyatakan bahawa mereka tiada sebab untuk berasa waswas terhadap Saksi-Saksi Yehuwa. Sebagai contoh, ahli politik Jerman, Steffen Reiche berkata, “Tingkah laku Saksi-Saksi Yehuwa dalam kem dan penjara merangkumi sifat-sifat murni yang penting pada hari ini dan juga masa lalu telah menyumbang kepada kewujudan perlembagaan negara demokratik. Mereka berdiri teguh di bawah kuasa [Nazi] dan bersikap baik terhadap banduan lain. Sifat baik mereka harus dipupuk oleh penduduk negara kita, memandangkan masyarakat kita semakin bersikap kejam terhadap orang asing dan orang yang berpegang pada fahaman politik atau ideologi yang berbeza.”

MENUNJUKKAN KASIH

18. (a) Mengapakah kita mengasihi seluruh persaudaraan Kristian? (b) Apakah yang diperhatikan oleh sesetengah orang yang bukan Saksi?

18 Rasul Petrus menulis, ‘Kasihilah sesama saudara seiman, takutlah akan Tuhan.’ (1 Ptr. 2:17) Saksi-Saksi Yehuwa takut akan Tuhan dan tidak ingin menyakiti hati-Nya. Oleh itu, mereka terdorong untuk melakukan kehendak-Nya. Mereka gembira kerana dapat berkhidmat kepada Yehuwa bersama saudara saudari dari seluruh pelosok dunia. Maka, tidak hairanlah mereka ‘mengasihi sesama saudara seiman.’ Kasih ini jarang ditemui dalam dunia yang mementingkan diri. Ada kalanya, orang yang bukan Saksi berasa hairan melihat kasih persaudaraan kita. Setelah menyaksikan bagaimana Saksi-Saksi menunjukkan kasih kepada tetamu dari negara lain yang berkunjung ke Jerman untuk menghadiri konvensyen antarabangsa tahun 2009, seorang pemandu pelancong yang bekerja dengan agen pelancongan Amerika berasa sangat kagum. Menurutnya, dia tidak pernah melihat hal sedemikian selama dia bekerja sebagai pemandu pelancong. Seorang saudara kemudiannya berkata, “Dia cukup kagum dan bersemangat apabila bercakap tentang kita.” Semasa anda menghadiri konvensyen, pernahkah anda melihat reaksi sedemikian daripada orang yang memperhatikan Saksi-Saksi?

19. Apakah seharusnya tekad kita? Mengapa?

19 Menerusi cara-cara yang dibincangkan tadi, Saksi-Saksi Yehuwa menunjukkan bahawa mereka ialah “penduduk sementara” dalam sistem dunia Syaitan. Mereka bersukacita dan bertekad untuk mengekalkan status ini. Dengan harapan yang kukuh, mereka menantikan masanya mereka menjadi penduduk tetap di dunia baru Tuhan yang adil benar. Adakah itu harapan anda juga?