Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Janganlah Kita Menyalahgunakan Bible

Janganlah Kita Menyalahgunakan Bible

‘FIRMAN TUHAN itu hidup dan berkuasa.’ (Ibr. 4:12) Kata-kata rasul Paulus menunjukkan bahawa firman Tuhan mempunyai kuasa untuk mencapai hati dan mengubah hidup orang.

Namun, setelah kematian para rasul, golongan murtad mula memesongkan pandangan orang tentang kuasa mesej Bible. (2 Ptr. 2:1-3) Seraya masa berlalu, pemimpin gereja mula menganggap bahawa Firman Tuhan mempunyai kuasa sakti. Profesor Harry Y. Gamble menulis tentang “kuasa ajaib teks Kristian.” Dia juga berkata bahawa pada abad ketiga, Bapa Gereja yang bernama Origen mengajar bahawa “kata-kata suci yang kedengaran di telinga ada manfaat. Jika kata-kata mempunyai kuasa dalam ilmu sihir orang kafir, apatah lagi kata-kata ilahi dalam Alkitab.” Pada hujung abad keempat, John Chrysostom menulis bahawa “Iblis tidak berani mendekati rumah yang mempunyai Alkitab.” Dia juga melaporkan bahawa sesetengah orang memakai loket yang mengandungi ayat-ayat Injil sebagai azimat. Profesor Gamble juga menyatakan bahawa menurut Augustine, seorang ahli teologi Katolik, “orang yang sakit kepala boleh meletakkan Injil Yohanes di bawah bantalnya semasa tidur”! Dengan ini, ayat Bible digunakan sebagai kuasa ajaib. Bagi anda, adakah Bible merupakan azimat atau tangkal yang dapat melindungi pemiliknya?

Barangkali, bibliomancy ialah cara kebanyakan orang menyalahgunakan Bible. Bibliomancy merupakan amalan membuka Bible secara rawak dan membaca ayat pertama yang dilihat. Pembaca percaya bahawa apa yang dibaca ialah pedoman yang diperlukannya. Sebagai contoh, menurut Profesor Gamble, semasa Augustine mendengar seorang kanak-kanak di rumah jiran berkata, “Ambillah dan baca, ambillah dan baca,” Augustine menganggapnya sebagai perintah Tuhan untuk membuka Bible dan membaca ayat pertama yang dilihatnya.

Semasa menghadapi masalah, sesetengah orang berdoa kepada Tuhan dan membuka Bible secara rawak. Mereka percaya bahawa ayat pertama yang dilihat akan membantu mereka menyelesaikan masalah. Pernahkah anda mendengar amalan sebegini? Walaupun mereka berniat baik, ini bukanlah cara yang digunakan oleh orang Kristian untuk mendapatkan pedoman Bible.

Yesus berjanji akan mengutus “Penolong,” iaitu daya aktif Tuhan untuk mengajar murid-muridnya ‘dan mengingatkan mereka’ tentang segala ajarannya. (Yoh. 14:26) Sebaliknya, dalam amalan bibliomancy, seseorang tidak memerlukan pengetahuan Bible.

Ramai orang mengikut amalan bibliomancy atau menggunakan Bible mengikut kepercayaan karut. Namun, Firman Tuhan mengutuk perbuatan mencari petanda. (Im. 19:26; Ul. 18:9-12; Kis. 19:19) Firman Tuhan memang “hidup dan berkuasa,” namun kita mesti menggunakannya dengan mahir. Bantuan yang berguna diperoleh daripada pengetahuan Bible yang tepat, bukannya daripada “kuasa sakti” Bible. Ramai yang memperoleh pengetahuan ini dapat berpegang pada piawaian moral yang sihat, mengikis tabiat buruk, mengeratkan hubungan keluarga, dan bersahabat dengan Pengarang Bible.