Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Majalah Pembelajaran Edisi Mudah​—Apakah Tujuannya?

Majalah Pembelajaran Edisi Mudah​—Apakah Tujuannya?

SELAMA puluhan tahun, para pembaca majalah pembelajaran di serata dunia menghargai dan memanfaatkan maklumat Bible yang diterbitkan. Pada Julai 2011, edisi mudah pertama untuk majalah pembelajaran disediakan dalam bahasa Inggeris. Terbitan itu menjelaskan, “Edisi baru ini akan diterbitkan selama setahun. Jika kami mendapatinya berguna, edisi ini akan terus dicetak.”

Kini, kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa penerbitan edisi mudah akan diteruskan. Tambahan lagi, edisi mudah untuk bahasa Perancis, Portugis, dan Sepanyol juga akan disediakan tidak lama lagi.

MEREKA MENGHARGAINYA

Setelah menerima edisi mudah, laporan dari Pasifik Selatan menyatakan, “Kini, saudara saudari dapat memahami isi majalah pembelajaran dengan sepenuhnya.” Laporan lain menyatakan, “Masa yang sebelumnya digunakan untuk mencari maksud perkataan dan ungkapan sekarang digunakan untuk memahami ayat rujukan daripada Bible dan kaitannya dengan rencana.”

“Masa yang sebelumnya digunakan untuk mencari maksud perkataan dan ungkapan sekarang digunakan untuk memahami ayat rujukan daripada Bible dan kaitannya dengan rencana”

Seorang saudari yang merupakan graduan lulusan kolej di Amerika Syarikat berkata, “Selama 18 tahun, saya bercakap dan menulis dalam bahasa abstrak kerana pengaruh pendidikan tinggi. Saya sudah biasa bercakap dan berfikir dalam cara yang rumit. Sebenarnya hal itu tidak diperlukan, dan saya sedar saya perlu berubah.” Kini, dia seorang penyiar yang mahir. Dia menulis, “Edisi mudah sangat membantu saya. Corak bahasanya mengajar saya bagaimana menyampaikan maklumat dengan cara yang mudah difahami.”

Mengenai majalah pembelajaran edisi mudah, seorang saudari di England yang dibaptis pada tahun 1972 menulis, “Semasa saya membaca terbitan pertama, saya berasa seolah-olah Yehuwa melingkarkan lengan-Nya di bahu saya dan membacanya bersama-sama. Rasanya seperti seorang bapa yang membacakan cerita kepada anaknya sebelum tidur.”

Seorang saudari di Bethel Amerika Syarikat yang dibaptis lebih daripada 40 tahun lalu mengatakan bahawa edisi mudah ada kalanya membantunya memahami perkara baru. Sebagai contoh, kotak “Maksud Sesetengah Ungkapan” dalam terbitan 15 September 2011 menjelaskan maksud ungkapan “banyak saksi” di Ibrani 12:1. Dalam bahasa Inggeris, ungkapan ini diterjemahkan sebagai “saksi-saksi yang bagaikan awan.” Setelah mendapat penjelasan bahawa ungkapan ini merujuk kepada “saksi yang begitu banyak sehingga tidak terkira,” dia berkata, “Pemahaman saya tentang ayat itu bertambah jelas.” Mengenai perjumpaan, dia menambah, “Biarpun seorang kanak-kanak membacakan komen terus daripada edisi mudah, kata-katanya masih merupakan sesuatu yang baru kepada orang lain yang menggunakan edisi biasa.”

Seorang saudari yang juga dari Bethel menulis, “Saya suka mendengar komen adik-adik di sidang. Majalah edisi mudah telah membantu mereka memberi komen dengan yakin. Kata-kata mereka sangat menggalakkan saya.”

Seorang saudari yang dibaptis pada tahun 1984 menghargai edisi mudah. “Edisi ini seperti ditulis khas untuk saya. Sangat mudah untuk memahami apa yang saya baca. Sekarang, saya dapat menjawab dengan yakin semasa Pembelajaran Majalah.”

IBU BAPA MENGHARGAI MAJALAH INI

Ibu seorang budak lelaki berumur tujuh tahun berkata, “Sebelum ini, saya perlu menghabiskan banyak masa untuk menjelaskan kepadanya maksud kata-kata semasa menyiapkan majalah.” Bagaimanakah edisi mudah membantu ibu itu? Dia menulis, “Saya kagum kerana dia dapat membaca perenggan dan benar-benar memahaminya. Oleh sebab perkataan yang digunakan senang difahami dan ayatnya pendek, dia tidak takut untuk memberikan komen. Kini, dia dapat membuat persiapan tanpa bantuan saya dan menumpukan perhatian sepanjang perbincangan majalah.”

“Saya kagum kerana dia dapat membaca perenggan dan benar-benar memahaminya”

Ibu seorang budak perempuan berusia sembilan tahun menulis, “Dulu, kami perlu membantunya menyiapkan komen. Sekarang dia dapat melakukannya sendiri. Kami jarang perlu meluangkan masa untuk menjelaskan atau membantunya mengerti suatu maklumat. Oleh sebab dia dapat memahami rencana, dia berasa bahawa dia benar-benar menyertai Pembelajaran Majalah.”

APAKAH PERASAAN KANAK-KANAK?

Ramai kanak-kanak berasa bahawa majalah edisi mudah disediakan khas untuk mereka. Rebecca, 12 tahun, berkata, “Tolong meneruskan edisi baru ini! Saya suka kotak ‘Maksud Sesetengah Ungkapan.’ Kanak-kanak senang memahaminya.”

Nicolette yang berusia tujuh tahun berkata, “Dulu saya susah memahami majalah pembelajaran. Sekarang saya dapat memberikan lebih banyak komen tanpa bantuan orang lain.” Emma yang berusia sembilan tahun menulis, “Saya dan adik lelaki saya yang berusia enam tahun sangat menghargainya. Kami dapat memahami isinya dengan lebih baik! Terima kasih!”

Jelaslah, edisi mudah majalah pembelajaran telah membawa manfaat kepada ramai orang. Edisi ini diperlukan dan akan terus diterbitkan bersama edisi biasa yang sudah dihargai sejak tahun 1879.