Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Penduduk Sementara” yang Bersatu dalam Ibadat Sejati

“Penduduk Sementara” yang Bersatu dalam Ibadat Sejati

‘Orang bangsa asing akan menjaga ternakan kamu dan bekerja di tanah dan ladang anggur kamu. Kamu akan dikenal sebagai imam-imam Yehuwa.’​—YES. 61:5, 6.

1. Apakah pandangan sesetengah orang terhadap orang asing? Namun, mengapakah pandangan itu tidak betul?

SEPERTI yang dibincangkan dalam rencana yang sebelumnya, orang memandang hina pada orang asing, dan ada yang bahkan membenci mereka. Memandang rendah pada bangsa lain ialah sikap yang tidak sopan dan merupakan pandangan yang salah. Buku The Races of Mankind menyatakan, “Seperti yang dikatakan Bible, semua bangsa merupakan saudara.” Adik-beradik mungkin berbeza, tetapi mereka tetap saudara.

2, 3. Apakah pandangan Yehuwa terhadap orang asing?

2 Orang Israel kuno menikmati hubungan yang istimewa dengan Tuhan menerusi perjanjian Hukum Musa. Walaupun orang bukan Israel yang hidup di kalangan mereka tidak diberikan hak-hak tertentu, orang Israel perlu bersikap hormat dan adil terhadap mereka. Begitulah seharusnya sikap kita terhadap orang asing. Prasangka atau perasaan perkauman tidak sekali-kali dibenarkan wujud di antara orang Kristian sejati. Mengapa? Rasul Petrus berkata, ‘Saya sedar bahawa Tuhan memperlakukan semua orang dengan sama rata. Sesiapa yang menghormati Tuhan dan berbuat apa yang benar, diterima olah Tuhan, walau apa pun bangsanya.’​—Kis. 10:34, 35, ABB.

3 Orang asing meraih manfaat daripada pergaulan mereka bersama bangsa Israel. Hal ini menunjukkan pandangan Yehuwa terhadap orang asing. Bertahun-tahun kemudian, rasul Paulus berkata, ‘Adakah Tuhan itu Tuhan orang Yahudi sahaja? Tentu tidak. Dia Tuhan orang bukan Yahudi juga!’​—Rm. 3:29; Yl. 2:32, ABB.

4. Mengapakah boleh dikatakan bahawa Israel milik Tuhan tidak mempunyai orang asing?

4 Selepas termeterainya perjanjian baru antara Tuhan dengan sidang Kristian terurap, hubungan istimewa antara Tuhan dengan bangsa Israel telah berakhir. Satu bangsa baru yang dipanggil Israel milik Tuhan telah muncul. (Gal. 6:16) Paulus menjelaskan bahawa dalam bangsa baru ini, ‘lenyaplah perbezaan antara orang bukan Yahudi dengan orang Yahudi, orang bersunat dengan orang yang tidak bersunat, orang asing, abdi, dan orang bebas. Kristuslah segala-galanya dan dia bersatu dengan mereka semua.’ (Kol. 3:11) Maka, boleh dikatakan bahawa sidang Kristian tidak mempunyai orang asing.

5, 6. (a) Apakah soalan yang mungkin timbul tentang Yesaya 61:5, 6? (b) Siapakah ‘imam-imam Yehuwa’ dan “orang bangsa asing” yang disebut oleh Yesaya? (c) Apakah persamaan antara dua kumpulan ini?

5 Namun, Yesaya bab 61 mungkin menarik perhatian sesetengah pihak. Ayat 6 menyebut tentang mereka yang menjadi ‘imam-imam Yehuwa.’ Ayat 5 pula menggambarkan “orang bangsa asing” yang bekerjasama dengan “imam-imam” tersebut. Memandangkan nubuat dalam ayat-ayat ini berkaitan dengan sidang Kristian, siapakah “orang bangsa asing” itu?

6 ‘Imam-imam Yehuwa’ ialah orang Kristian terurap yang akan “dibangkitkan pada tahap pertama.” Mereka ‘akan menjadi imam Tuhan dan imam Kristus’ serta ‘memerintah bersama-sama Kristus selama seribu tahun.’ (Why. 20:6) “Orang bangsa asing” pula merujuk kepada orang Kristian yang diberi harapan untuk terus hidup di bumi. Mereka bekerjasama dan bergaul dengan orang Kristian yang akan berkhidmat di syurga. Dengan sukacita, mereka menyokong dan berganding bahu dengan ‘imam-imam Yehuwa,’ serta ‘menjaga ternakan dan bekerja di ladang anggur mereka.’ Bagaimana? Mereka membantu ‘imam-imam Yehuwa’ dalam kerja penyebaran dan membawa pujian kepada Tuhan. Seperti yang dilakukan oleh orang Kristian terurap, “domba-domba lain” mengajarkan kebenaran dan membantu orang lain untuk hidup selaras dengannya.​—Yoh. 10:16.

“PENDUDUK SEMENTARA” SEPERTI ABRAHAM

7. Bagaimanakah orang Kristian hari ini seperti Abraham dan orang yang setia pada zaman dahulu?

7 Dalam rencana sebelumnya, kita telah mempelajari bahawa orang Kristian sejati adalah seperti orang asing atau penduduk sementara di dalam sistem dunia Syaitan. Seperti Abraham dan orang yang setia pada zaman dahulu, kita ialah “orang asing dan pengembara [“penduduk sementara,” NW] di bumi ini.” (Ibr. 11:13) Walau apa pun harapan kita pada masa depan, kita boleh menjadi seperti Abraham yang menikmati hubungan erat dengan Yehuwa. Yakobus menerangkan bahawa ‘“Abraham percaya kepada Tuhan, dan kerana imannya Tuhan menerima dia sebagai orang yang melakukan kehendak Tuhan.” Itulah sebabnya Abraham disebut sahabat Tuhan.’​—Yak. 2:23.

8. Apakah janji Tuhan kepada Abraham? Apakah pandangan Abraham terhadap penunaian janji itu?

8 Tuhan berjanji bahawa menerusi Abraham dan keturunannya, semua bangsa di dunia akan diberkati. (Baca Kisah 3:25.) Walaupun Abraham tidak melihat penunaian janji itu, dia tetap percaya pada Tuhan. Lebih daripada separuh hayatnya, Abraham dan keluarganya hidup berpindah-randah. Sepanjang masa itu, dia tetap menjadi sahabat Yehuwa.

9, 10. (a) Bagaimanakah kita boleh meniru teladan Abraham? (b) Apakah jemputan yang kita berikan kepada orang lain?

9 Walaupun Abraham tidak tahu bila harapannya akan menjadi kenyataan, kasih dan kesetiaannya kepada Yehuwa tidak pernah pudar. Dia tetap berfokus, dan tidak menjadi penduduk tetap di mana-mana negeri. (Ibr. 11:14, 15) Alangkah baiknya teladan Abraham! Kita patut menirunya dengan tidak terlalu mementingkan harta benda, kedudukan, atau kerjaya. Buat apa kita mengejar hidup yang “normal” dalam sistem dunia yang sudah tenat? Buat apa kita tergila-gilakan perkara yang sementara? Kita menantikan masa depan yang jauh lebih baik. Maka, kita perlu menunggu dengan sabar sehingga harapan kita menjadi kenyataan.​—Baca Roma 8:25.

Seperti Abraham, adakah anda juga berfokus pada penunaian janji Tuhan?

10 Yehuwa masih mengalu-alukan orang daripada segala bangsa untuk memperoleh berkat menerusi benih Abraham. ‘Imam-imam Yehuwa,’ iaitu kaum terurap, dan “orang bangsa asing,” iaitu domba-domba lain, sedang menghulurkan jemputan ini kepada penduduk bumi dalam lebih daripada 600 bahasa.

MERENTASI SEMPADAN BANGSA

11. Apakah yang didoakan oleh Salomo berkenaan bangsa-bangsa lain?

11 Semasa pentahbisan Rumah Tuhan pada tahun 1026 SM, Salomo sedar bahawa orang dari pelbagai bangsa akan memuji Yehuwa bersama-sama. Melalui cara ini, mereka akan mendapat manfaat daripada janji Tuhan kepada Abraham. Salomo berdoa, “Apabila seorang bangsa asing yang tinggal di negeri jauh mendengar tentang kebesaran-Mu, dan juga tentang mukjizat-mukjizat yang telah Engkau lakukan bagi umat-Mu, lalu datang menyembah-Mu dan berdoa di Rumah ini, dengarkanlah doanya. Dengarkanlah dia dari tempat kediaman-Mu di syurga, dan kabulkanlah permintaannya supaya semua bangsa di dunia mengenal Engkau dan taat kepada-Mu, seperti umat-Mu Israel.”​—1 Raj. 8:41-43, ABB.

12. Mengapakah sesetengah orang memandang Saksi-Saksi Yehuwa sebagai “orang asing”?

12 Secara ringkas, orang asing ialah seseorang yang berada di tempat yang bukan negara asalnya, atau seseorang yang bukan orang tempatan. Gambaran ini memang sesuai dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Oleh sebab mereka taat setia kepada Kerajaan Tuhan di syurga, mereka bersikap neutral dalam hal ehwal politik dunia. Jadi, sesetengah orang di dunia berasa bahawa mereka seperti orang asing dalam masyarakat tempatan.

Dalam pandangan Yehuwa, tiada seorang pun ialah orang asing

13. (a) Mengapakah kita boleh mengatakan bahawa maksud istilah “orang asing” sering kali bergantung pada sudut pandangan seseorang? (b) Adakah tujuan asal Yehuwa merangkumi konsep orang asing? Jelaskan.

13 Bangsa asing mempunyai ciri-ciri tertentu. Bahasa, budaya, penampilan, dan pakaian mereka mungkin berbeza. Namun, persamaan di antara semua bangsa jauh lebih penting daripada ciri-ciri itu. Jika kita berfikir tentang perbezaan seseorang dengan kita, dia akan menjadi orang asing dalam mata kita. Sebaliknya, jika kita belajar untuk mengetepikan perbezaan ini, dia tidak akan begitu “asing” lagi. Sekiranya semua orang di bumi hidup di bawah satu kerajaan sahaja, orang asing tidak akan wujud. Sebenarnya, tujuan asal Yehuwa adalah supaya segenap manusia menjadi satu keluarga di bawah satu pemerintahan—pemerintahan Tuhan. Mungkinkah semua bangsa dalam dunia ini mencapai perpaduan sedemikian?

14, 15. Sebagai satu kumpulan, apakah yang telah dilakukan oleh Saksi-Saksi Yehuwa?

14 Dalam dunia yang mementingkan diri dan bersifat nasionalistik, tidak mudah untuk mengatasi masalah prasangka. Namun, kita berasa senang hati kerana terdapat orang yang kasihnya merentasi sempadan bangsa. Pengasas rangkaian televisyen CNN, Ted Turner telah bekerja bersama individu-individu yang berbakat dari pelbagai bangsa. Dia berkata, “Saya sangat gembira dapat berjumpa dengan mereka. Saya belajar untuk tidak memandang mereka sebagai ‘orang asing’ dari negara lain, tetapi sebagai warganegara bumi ini. Saya mula berpandangan bahawa istilah ‘orang asing’ tidak sesuai digunakan lalu menetapkan peraturan agar istilah ini tidak digunakan semasa siaran atau dalam perbualan di pejabat. Sebaliknya, perkataan ‘antarabangsa’ harus digunakan.”

15 Di serata dunia, hanya Saksi-Saksi Yehuwa telah memupuk fikiran dan pandangan Tuhan sebagai satu kumpulan. Hal ini mengubah fikiran dan perasaan mereka terhadap bangsa lain. Walaupun mereka berasal daripada pelbagai bangsa yang mempunyai sifat dan kebolehan tersendiri, mereka tidak menaruh syak wasangka atau membenci bangsa yang lain. Sebaliknya, mereka belajar untuk menghayati keindahan yang terhasil daripada kepelbagaian ini. Pernahkah anda merenungkan pencapaian ini dan berfikir tentang kesannya ke atas cara anda melayan orang lain?

DUNIA TANPA ORANG ASING

16, 17. Apakah perasaan anda apabila kata-kata dalam Wahyu 16:16 dan Daniel 2:44 menjadi kenyataan?

16 Tidak lama lagi, semua bangsa di dunia akan berperang dengan Yesus Kristus dan malaikat-malaikatnya. Pertempuran terakhir ini “dalam bahasa Ibrani dinamakan Harmagedon.” (Why. 16:14, 16; 19:11-16) Lebih daripada 2,500 tahun yang lalu, nabi Daniel diilhami untuk menuliskan kesudahan kerajaan-kerajaan yang menentang tujuan Tuhan: ‘Pada masa pemerintahan penguasa-penguasa itu, Tuhan penguasa di syurga akan mendirikan sebuah kerajaan yang kekal dan yang tidak dapat dikalahkan. Sebaliknya kerajaan itu akan memusnahkan sama sekali semua kerajaan yang lain, lalu kerajaan itu akan memerintah selama-lamanya.’​—Dan. 2:44, ABB.

17 Bayangkan keadaannya selepas itu: Sempadan-sempadan antarabangsa yang melabelkan manusia sebagai orang asing akan dipadamkan. Perbezaan dari segi penampilan atau ciri-ciri fizikal hanya akan menunjukkan kepelbagaian ciptaan Tuhan. Masa depan yang begitu cerah harus mendorong kita semua untuk terus memuji dan memuliakan Tuhan Yehuwa dengan sedaya upaya.

Adakah anda menantikan masanya apabila tiada lagi sempadan antarabangsa, dan istilah “orang asing” menjadi perkara silam?

18. Apakah perkembangan akhir-akhir ini yang menunjukkan bahawa konsep “orang asing” dapat dilenyapkan?

18 Adakah perubahan sebesar ini mustahil? Tidak. Hal ini pasti terjadi. Konsep “orang asing” sudah lama terkubur di antara Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka jarang mengambil kira perbezaan bangsa antara satu sama lain. Sebagai contoh, kebelakangan ini, beberapa pejabat cawangan yang lebih kecil telah digabungkan untuk memudahkan kerja penyeliaan dan meningkatkan usaha untuk menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. (Mat. 24:14) Penggabungan ini telah dilakukan tanpa mengira sempadan negara, kecuali jika dituntut undang-undang. Inilah satu lagi bukti yang jelas bahawa Yesus Kristus, Raja Kerajaan Tuhan, sedang merobohkan benteng yang memisahkan manusia, dan dia pasti akan menjadi “seorang penakluk yang menang”!​—Why. 6:2.

19. Apakah yang dinikmati oleh hamba Tuhan melalui kebenaran?

19 Walaupun Saksi-Saksi Yehuwa berbilang bangsa dan bahasa, kebenaran Bible telah menyatukan mereka. Perpaduan ini tidak akan dirosakkan. (Baca Zefanya 3:9.) Kita merupakan satu keluarga antarabangsa. Walaupun kita hidup di dalam sistem dunia Syaitan yang jahat, kita bukan sebahagian daripadanya. Perpaduan ini menggambarkan apa yang akan kita nikmati pada masa depan​—dunia tanpa orang asing. Pada masa itu, semua akan bersetuju dengan kebenaran yang tercatat dalam The Races of Mankind di awal rencana ini: “Seperti yang dikatakan Bible, semua bangsa merupakan saudara.”