Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Sebelum mengetahui kebenaran, saya dan isteri menggunakan kaedah persenyawaan in vitro untuk mendapatkan bayi. Sesetengah embrio yang terhasil masih dibekukan dan disimpan. Adakah kami mesti menyimpan embrio itu, atau bolehkah kami membuangnya?

Inilah salah satu isu moral/​etika penting yang dihadapi pasangan suami isteri yang memilih persenyawaan in vitro (IVF). Setiap pasangan bertanggungjawab kepada Yehuwa atas keputusan mereka. Namun, adalah baik jika mereka memahami sedikit sebanyak tentang teknologi pembiakan ini.

Pada tahun 1978, seorang wanita di England telah melahirkan “bayi tabung uji” yang pertama. Kedua-dua tiub Fallopionya tersumbat dan menghalang persenyawaan. Menerusi pembedahan, ahli perubatan telah mengambil sel telurnya yang matang dan membiarkannya disenyawakan oleh sperma suaminya dalam piring makmal. Embrio itu diberikan nutrien sebelum dimasukkan ke dalam rahimnya, di mana penempelan berlaku. Wanita tersebut telah melahirkan seorang anak perempuan. Kaedah ini, dan kaedah lain yang berdasarkan prinsip ini dikenali sebagai persenyawaan in vitro (dalam kaca), atau IVF.

Terdapat pelbagai cara untuk melakukan IVF, tetapi biasanya kaedahnya adalah seperti berikut: Isteri akan diberi ubat kesuburan selama beberapa minggu supaya dia menghasilkan banyak sel telur. Suami mungkin disuruh untuk menyediakan sperma. Sel telur dan sperma yang dibersihkan akan dibiarkan bersenyawa di dalam makmal. Jika beberapa sel telur disenyawakan, embrio-embrio akan terbentuk. Kira-kira sehari kemudian, semua embrio itu akan diperiksa sama ada terdapat kecacatan atau cukup sihat. Kira-kira pada hari ketiga, embrio yang paling baik dipindahkan ke dalam rahim isteri. Dua atau tiga embrio dipindahkan untuk meningkatkan peluang kehamilan. Jika penempelan berlaku, isteri akan hamil dan akhirnya bersalin.

Apakah yang akan berlaku kepada embrio lain, termasuk embrio yang nampaknya kurang sihat atau mempunyai kecacatan? Jika dibiarkan begitu sahaja, embrio itu tidak dapat berkembang lagi. Jadi, embrio tersebut dibekukan dalam cecair nitrogen. Mengapa? Jika cubaan IVF pertama gagal, embrio yang disimpan itu boleh digunakan lagi dengan kos yang lebih rendah. Namun, hal ini membangkitkan isu etika. Seperti pasangan yang menanyakan soalan di atas, ramai yang tidak tahu apa yang hendak dilakukan dengan embrio beku mereka. Mereka mungkin tidak ingin menambahkan bilangan anak lagi. Usia atau faktor kewangan mungkin menjadi masalah. Mereka mungkin takut dengan risiko kandungan berganda. * Jika suami atau isteri meninggal atau berkahwin semula, hal ini akan menjadi rumit. Memandangkan ada banyak faktor yang perlu dipertimbangkan, sesetengah pasangan membayar kos penyimpanan embrio selama bertahun-tahun.

Pada tahun 2008, seorang pakar embrio menyatakan dalam The New York Times bahawa ramai ibu bapa benar-benar tidak tahu apa yang sepatutnya dilakukan dengan embrio berlebihan. ‘Terdapat sekurang-kurangnya 400,000 embrio beku yang disimpan di klinik dalam negara ini dan bilangannya bertambah setiap hari. Embrio yang dibekukan dengan baik dapat disimpan lebih daripada satu dekad. Namun, bukan semua embrio beku akan hidup apabila dinyahbekukan.’ Oleh itu, orang Kristian harus berhenti sejenak dan berfikir tentang hal ini. Mengapa?

Pasangan Kristian yang menghadapi isu yang dibangkitkan oleh IVF boleh memikirkan situasi ini: Seorang Kristian mungkin perlu memutuskan apa yang harus dilakukan sekiranya orang tersayangnya sakit tenat dan bergantung pada mesin sokongan hayat, misalnya mesin bantuan pernafasan. Orang Kristian sejati menentang pengabaian perubatan. Seperti yang dinyatakan di Keluaran 20:13 dan Mazmur 36:10, mereka sangat menghormati nyawa. Majalah berita terbitan 8 Mei 1974 menyatakan, “Mereka menghormati pandangan Tuhan bahawa darah itu suci. Demi hati nurani sendiri dan demi mentaati undang-undang kerajaan, orang yang ingin hidup berpandukan prinsip Bible tidak akan menggunakan amalan eutanasia,” iaitu sengaja mempercepatkan kematian pesakit. Namun, dalam sesetengah situasi, orang tersayang perlu bergantung sepenuhnya pada mesin sokongan hayat. Jika begitu, ahli-ahli keluarga perlu memutuskan sama ada mereka ingin meneruskan atau menghentikan mesin sokongan hayat itu.

Memang, situasi tadi berbeza daripada suami isteri yang menggunakan kaedah IVF dan menyimpan embrio beku. Namun, mereka boleh memilih untuk mengeluarkan embrio daripada cecair nitrogen. Embrio itu akan nyah beku sehingga tidak mempunyai daya hidup lagi. Pasangan yang terlibat perlu memutuskan sama ada mereka akan mengizinkan hal itu berlaku.​—Gal. 6:7.

Pasangan yang memutuskan untuk mendapat bayi menerusi IVF mungkin sudi membayar kos untuk menyimpan embrio beku atau menggunakannya kelak untuk mendapat anak. Namun, pasangan lain boleh memutuskan untuk tidak menyimpan embrio beku dan memandang bahawa embrio itu bergantung pada mesin sokongan hayat. Orang Kristian dalam situasi ini bertanggungjawab kepada Tuhan dan perlu membuat keputusan berdasarkan hati nurani yang dilatih Bible. Keputusan yang dibuat haruslah tidak mengganggu hati nurani sendiri dan orang lain.​—1 Tim. 1:19.

Orang Kristian perlu bertanggungjawab kepada Tuhan dan membuat keputusan berdasarkan hati nurani yang dilatih Bible

Seorang pakar dalam bidang endokrinologi pembiakan mendapati bahawa kebanyakan pasangan “keliru tetapi memandang berat keputusan mengenai embrio [beku] mereka.” Dia menyimpulkan, “Ramai pasangan rasa mereka tidak dapat membuat keputusan yang baik.”

Jelaslah, orang Kristian sejati yang mempertimbangkan IVF perlu memikirkan semua faktor yang terlibat. Bible menyatakan, “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang bodoh membiarkan diri ditimpa malapetaka dan menyesal kemudian.”​—Ams. 22:3, ABB.

Satu pasangan yang belum berkahwin mempelajari Bible dan ingin dibaptis. Namun, mereka tidak boleh berkahwin secara sah kerana pihak lelaki ialah pendatang tanpa izin. Memandangkan kerajaan tempatan tidak mendaftarkan perkahwinan pendatang tanpa izin, bolehkah mereka menandatangani Perakuan Ikrar Kesetiaan dan dibaptis?

Nampaknya cara ini berguna, tetapi menurut Bible, jalan penyelesaian ini tidak sesuai. Mengapa? Mari kita ketahui sedikit sebanyak tentang Perakuan Ikrar Kesetiaan (Declaration Pledging Faithfulness). Apakah tujuannya? Bilakah dan bagaimanakah perakuan ini digunakan?

Perakuan ini merupakan dokumen bertulis yang ditandatangani di hadapan saksi oleh pasangan yang tidak boleh mendaftarkan perkahwinan atas sebab tertentu. Dalam dokumen ini, mereka berikrar akan setia kepada satu sama lain, dan mendaftarkan perkahwinan mereka sebaik sahaja mereka boleh melakukannya. Dalam mata sidang, mereka sudah bersumpah di hadapan Tuhan dan manusia. Maka, perkahwinan mereka boleh dianggap sah.

Bilakah dan mengapakah Perakuan Ikrar Kesetiaan digunakan? Sebagai Pengasas perkahwinan, Yehuwa memandang tinggi perkahwinan. Anak-Nya berkata, ‘Mereka yang telah disatukan oleh Tuhan, tidak boleh dipisahkan oleh manusia.’ (Mat. 19:5, 6; Kej. 2:22-24) Yesus menambah, “Sesiapa menceraikan isterinya, kecuali kerana perzinaan [perbuatan seksual yang tidak bermoral], orang itu berzina jika dia berkahwin lagi dengan wanita lain.” (Mat. 19:9) Ya, menurut Bible, seseorang boleh bercerai hanya atas sebab perzinaan, iaitu perbuatan seksual yang tidak bermoral. Sebagai contoh, jika seorang lelaki melakukan hubungan seks di luar nikah, isterinya yang tidak bersalah boleh memutuskan sama ada dia ingin bercerai dan berkahwin semula.

Di sesetengah negara, gereja utama tidak menerima pendirian Bible dalam hal ini dan mengajar bahawa perceraian tidak boleh dilaksanakan atas apa pun alasan. Di bawah pengaruh gereja, undang-undang tempatan tidak membenarkan perceraian walaupun salah satu pihak telah berzina. Sesetengah negara pula mengizinkan perceraian, tetapi prosesnya sangat rumit, memakan masa bertahun-tahun, dan menyusahkan. Pihak gereja atau kerajaan seolah-olah “menghalang” perkara yang dibenarkan Tuhan.​—Kis. 11:17.

Contohnya, satu pasangan mungkin tinggal di negara di mana perceraian mustahil atau prosesnya terlalu susah dan memakan banyak masa. Jika mereka sudah berusaha sedaya upaya untuk mengakhiri perkahwinan sebelumnya dan memenuhi syarat Tuhan untuk berkahwin semula, pasangan itu boleh menandatangani Perakuan Ikrar Kesetiaan. Ini merupakan aturan yang disediakan oleh sidang Kristian di negara-negara sedemikian. Namun, aturan ini bukan untuk mereka di negara-negara yang membolehkan perceraian, walaupun prosesnya mungkin agak mahal atau rumit.

Oleh sebab sesetengah orang tidak memahami Perakuan Ikrar Kesetiaan, mereka telah bertanya sama ada mereka boleh menandatangani dokumen ini. Mereka hanya ingin mengelakkan prosedur yang rumit atau sulit biarpun negara yang didiami mereka membolehkan perceraian.

Dalam kes ini, lelaki dan wanita yang bersekedudukan tanpa berkahwin ingin berkahwin secara sah. Mereka tidak terikat kepada perkahwinan lain dan bebas berkahwin menurut Bible. Tetapi, lelaki itu ialah pendatang tanpa izin, dan pihak kerajaan tidak akan mengesahkan perkahwinannya. (Di banyak negara, pihak berkuasa mengizinkan perkahwinan antara dua orang walaupun salah seorang atau kedua-duanya merupakan pendatang haram.) Selain itu, lelaki dan wanita dalam kes ini berada di negara yang mengizinkan perceraian. Namun, mereka tidak perlu bercerai dan tidak dihalang daripada bercerai. Kedua-duanya bebas untuk berkahwin. Oleh itu, mereka tidak boleh menandatangani Perakuan Ikrar Kesetiaan. Jadi, apakah yang boleh dilakukan memandangkan lelaki itu ialah pendatang tanpa izin? Jika lelaki itu berusaha mendapatkan kewarganegaraan yang sah, mereka mungkin diizinkan untuk berkahwin di negara itu. Atau mereka mungkin perlu berkahwin di negara lain yang boleh mengesahkan perkahwinan mereka.

Ya, pasangan tersebut dapat berusaha menyelaraskan kehidupan mereka dengan piawaian Tuhan dan hukum Kaisar. (Mrk. 12:17; Rm. 13:1) Semoga mereka berbuat demikian dan setelah itu layak untuk dibaptis.—Ibr. 13:4.

^ per. 6 Apakah yang harus dilakukan jika janin dalam rahim nampaknya mempunyai kecacatan, atau beberapa janin berjaya menempel pada dinding rahim? Sengaja memberhentikan perkembangan janin merupakan pengguguran anak. Kaedah IVF telah meningkatkan kemungkinan kandungan berganda (kembar dua, tiga, atau lebih). Hal ini meningkatkan risiko seperti kelahiran pra-matang dan pendarahan. Jika terdapat banyak janin, seorang ibu mungkin didesak untuk mengurangkan bilangan janin. Namun, sengaja menggugurkan janin merupakan perbuatan membunuh.—Kel. 21:22, 23, NW; Mzm. 139:16.