Berwaspadalah terhadap Niat Hati
Bible menyatakan, “Hati manusia lebih licik daripada segala-galanya, dan penyakitnya terlalu parah.” (Yer. 17:9) Apabila hati kita mendambakan sesuatu, adakah kita mencari alasan untuk memuaskan niat itu?
Bible memberi amaran, “Dari hatilah timbul fikiran jahat, yang menyebabkan seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, merompak, memberikan kesaksian palsu, dan memfitnah.” (Mat. 15:19, ABB) Hati kiasan dapat memperdaya kita dan memberi alasan untuk melakukan sesuatu yang berlawanan dengan kehendak Tuhan. Kita mungkin tidak sedar akan akibatnya sehingga sudah terlambat. Apakah yang dapat membantu kita mengenal pasti niat hati sebelum kita tersilap langkah?
MENGENAL PASTI NIAT ANDA—BAGAIMANA?
Membaca dan merenungi kata-kata Bible setiap hari.
Rasul Paulus menulis, ‘Firman Tuhan itu hidup dan berkuasa, lebih tajam daripada pedang bermata dua. Firman itu menusuk sampai ke batas antara jiwa dan roh.’ Bible dapat “menghakimi fikiran dan niat hati manusia.” (Ibr. 4:12) Bible memang membantu kita mengenal pasti niat hati. Betapa pentingnya untuk membaca dan merenungi Firman Tuhan setiap hari lalu menerapkan pemikiran dan pandangan Yehuwa!
Jika kita menerapkan nasihat dan prinsip Bible, hati nurani kita akan dilatih. (Rm. 9:1) Suara hati nurani dapat menghalang kita daripada mencari seribu dalih untuk membuat kesalahan. Bible juga mengandungi contoh yang dapat dijadikan “amaran bagi kita.” (1 Kor. 10:11) Kita dapat mengelak daripada tersilap langkah jika kita belajar daripada pengalaman mereka. Apakah yang harus kita lakukan?
Berdoalah kepada Tuhan untuk mengenal pasti niat hati anda.
Yehuwa “menguji hati setiap orang.” (1 Taw. 29:17) Dia ‘lebih besar dari hati kita, dan tahu segala-galanya.’ (1 Yoh. 3:20, Berita Baik Untuk Manusia Moden) Tuhan tidak dapat diperdaya. Jika kita meluahkan kekhuatiran, perasaan, dan keinginan kita dengan terbuka dalam doa, Yehuwa dapat membantu mengenal pasti niat hati kita. Kita juga dapat meminta supaya Tuhan ‘menciptakan hati yang murni bagi kita.’ (Mzm. 51:12) Maka, doa sangat penting untuk mengenal pasti kecenderungan hati kita.
Memberi perhatian yang sepenuhnya semasa perjumpaan.
Dengan berbuat demikian, kita dapat menilai hati kita dengan jujur. Kita tidak belajar perkara baru pada setiap perjumpaan. Namun kita akan lebih memahami prinsip Bible dan menerima peringatan yang membantu kita memeriksa niat hati. Komen saudara saudari juga berharga. (Ams. 27:17) Mengasingkan diri tanpa bergaul dengan sidang Kristian dapat memudaratkan kita. Kita akan “mementingkan diri sendiri.” (Ams. 18:1) Maka, tanyalah diri, “Adakah saya biasanya menghadiri semua perjumpaan dan menerima manfaat daripadanya?”—Ibr. 10:24, 25.
APAKAH HALA TUJU HATI KITA?
Hati kita yang licik dapat menyesatkan kita dalam pelbagai aspek kehidupan. Marilah kita memeriksa empat aspek itu: mengejar hal kebendaan, pengambilan minuman beralkohol, memilih pergaulan, dan memilih rekreasi.
Mengejar hal kebendaan.
Keinginan untuk memenuhi keperluan fizikal adalah biasa. Namun contoh yang diberikan Yesus merupakan amaran agar kita tidak terlalu mementingkan kebendaan. Dalam satu perumpamaan, Yesus menjemput kita untuk merenungi kisah seorang hartawan yang mempunyai gudang yang penuh. Maka, dia tidak mempunyai tempat untuk menyimpan hasil tuaiannya. Hartawan itu merancang untuk merobohkan gudang-gudangnya lalu mendirikan gudang yang lebih besar. Dia memberi alasan, ‘Dengan demikian aku dapat menyimpan hasil tanahku dan segala hartaku yang lain di situ. Setelah itu barulah aku berkata kepada diriku sendiri, “Kamu sungguh bertuah! Kamu mempunyai segala yang baik bagi keperluanmu selama bertahun-tahun. Nikmatilah hidup! Makan, minum, dan bersukacitalah!”’ Tetapi, hartawan ini lupa satu fakta: Nyawanya mungkin berakhir pada malam itu juga.—Luk. 12:16-20, ABB.
Semasa kita meningkat dalam usia, kita mungkin khuatir tentang keadaan kewangan semasa kita menjadi tua. Kita mungkin memberi alasan untuk bekerja lebih masa pada hari perjumpaan ataupun mula mengabaikan tanggungjawab Kristian. Tidakkah kita patut berhati-hati dengan niat sebegitu? Ataupun kita kini dalam usia muda dan sedar bahawa khidmat sepenuh masa ialah kerjaya yang terbaik. Namun adakah kita menangguhkan rancangan untuk merintis kerana ingin menjadi stabil dari segi kewangan dahulu? Bukankah kita harus memberi Tuhan yang
terbaik sekarang supaya menjadi kaya di sisi-Nya? Siapakah yang tahu sekiranya kita masih hidup keesokan hari?Pengambilan minuman beralkohol.
“Jangan bergaul dengan pemabuk,” kata Amsal 23:20. Jika seseorang mempunyai keinginan yang kuat untuk meminum minuman keras, barangkali dia akan memberi alasan untuk meminumnya dengan kerap. Dia mungkin berkata bahawa dia minum alkohol untuk menenangkan hati dan bukannya sampai mabuk. Jika seseorang selalu memerlukan alkohol untuk relaks, dia perlu memeriksa niat hatinya dengan jujur.
Memilih pergaulan.
Kita berjumpa dengan orang yang bukan seiman semasa di sekolah, di tempat kerja, dan aktiviti penyebaran. Hal ini berbeza jika kita ingin bergaul atau menjalin persahabatan dengan mereka. Adakah kita memberikan alasan bahawa mereka mempunyai sifat-sifat yang baik? Bible memberi amaran, “Janganlah kamu tertipu! ‘Persahabatan yang buruk merosakkan akhlak baik.’” (1 Kor. 15:33, ABB) Bak kata pepatah, sebab nila setitik, rosak susu sebelanga. Maka persahabatan dengan orang yang tidak menyembah Yehuwa boleh merosakkan kerohanian kita. Kita mungkin terikut-ikut memiliki pandangan dunia terhadap pakaian, pertuturan, kelakuan, dan sebagainya.
Memilih rekreasi.
Dengan teknologi terkini, amat senang untuk mendapat pelbagai jenis hiburan, kebanyakannya tidak sesuai untuk orang Kristian. Paulus menulis, ‘Perbuatan tidak senonoh tidak patut disebut di antara kamu.’ (Ef. 5:3, Manusia Moden) Tetapi, bagaimana jika hati kita tertarik untuk menonton atau mendengar sesuatu yang tidak senonoh? Kita mungkin memberi alasan bahawa semua orang memerlukan sedikit rekreasi, dan cara kita berbuat demikian merupakan pilihan peribadi. Namun, marilah kita mengikut nasihat Paulus dengan tidak melihat mahupun mendengar perkara yang tidak senonoh.
KITA DAPAT MEMBUAT PERUBAHAN
Jika kita pernah menjadi mangsa kepada hati yang licik dan mempunyai kebiasaan untuk memberi alasan terhadap perbuatan yang salah, kita dapat membuat perubahan. (Ef. 4:22-24) Renunglah dua contoh moden ini.
Miguel * harus mengubah pandangannya terhadap hal kebendaan. Dia berkata, “Saya, bersama isteri dan anak berasal dari negara yang mementingkan keselesaan hidup serta alat teknologi terkini dan terbaik. Saya fikir saya boleh mendapatkan semua ini tanpa menjadi materialistik. Tetapi usaha mengejar kebendaan seperti jalan yang tiada penghujungnya. Saya berdoa kepada Yehuwa mengenai pandangan dan niat hati saya. Saya memberitahu-Nya bahawa sebagai sebuah keluarga, kami ingin menyembah-Nya dengan sepenuh hati. Kami membuat keputusan untuk menyederhanakan hidup dan berpindah ke tempat yang memerlukan penyiar. Kemudian, kami mula merintis. Kami sedar bahawa kehidupan yang gembira tidak bergantung pada harta benda.”
Pengalaman Lee menunjukkan bagaimana pemeriksaan hati yang jujur membantunya untuk meninggalkan pergaulan buruk. Lee berkata, “Semasa bekerja, saya sentiasa bergaul dengan pembekal dari luar negara. Saya tahu pertemuan dengan mereka melibatkan meminum alkohol secara berlebihan, tetapi saya teruja untuk menghadirinya. Banyak kali saya hampir mabuk, tetapi kemudian saya berasa kesal. Saya memeriksa hati dengan jujur. Nasihat Bible dan cadangan daripada penatua membuat saya sedar bahawa saya sebenarnya suka bergaul dengan orang yang tidak mengasihi Yehuwa. Kini, saya menjalankan perniagaan melalui telefon sebanyak yang mungkin dan mengehadkan pertemuan dengan para pembekal.”
Kita perlu jujur dengan diri dan mengenal pasti niat hati. Semasa berbuat demikian, kita harus meminta bantuan Yehuwa melalui doa. Ingatlah bahawa ‘Dia mengetahui rahsia hati manusia.’ (Mzm. 44:22) Tuhan telah memberi Firman-Nya, yang seperti cermin untuk kita. (Yak. 1:22-25) Betapa berharganya peringatan dan nasihat yang kita dapat melalui bahan bacaan Kristian dan perjumpaan! Dengan pemberian sebegitu, kita dapat menjaga hati dan terus berjalan dalam laluan keadilbenaran.
^ per. 18 Nama telah diubah.