Adakah Josephus Menulisnya?
Dalam buku Jewish Antiquities Buku XX, sejarawan abad pertama, Flavius Josephus merujuk kepada kematian “Yakobus, iaitu saudara Yesus yang dipanggil sebagai Kristus.” Banyak cendekiawan berpendapat pernyataan ini adalah benar. Namun, ada yang meragui kesahihan penyataan lain dalam buku tersebut. Pernyataan ini dikenali sebagai Testimonium Flavianum yang berbunyi:
“Pada masa itu, Yesus, seorang lelaki yang bijaksana, jika dia layak dipanggil lelaki biasa, telah melakukan banyak perbuatan hebat. Ramai orang gemar mendengar ajarannya. Orang Yahudi dan bukan Yahudi tertarik kepadanya. Dia ialah Kristus; dan sewaktu Pilatus mengikut cadangan para pemimpin agama kami untuk menggantungnya pada salib, orang yang mengasihi dia tidak meninggalkannya. Pada hari ketiga, dia hidup kembali lalu menampakkan diri kepada mereka. Nabi Tuhan menubuatkan perkara ini dan sepuluh ribu hal lain yang menakjubkan mengenainya. Oleh itu, gelaran orang Kristian hari ini berasal daripada namanya.”—Josephus—Jewish Antiquities, XVIII, 3, 3.
Sejak penghujung abad ke-16, suatu pertengkaran hebat berlangsung mengenai kesahihan tulisan Josephus. Satu kumpulan percaya bahawa Josephus adalah penulis kata-kata di atas manakala kumpulan yang satu lagi menentang idea itu. Serge Bardet, sejarawan Perancis dan pakar sastera klasik mencari jalan penyelesaian bagi pertengkaran itu yang sudah berlangsung selama empat abad. Oleh itu, dia menerbitkan hasil penyelidikannya dalam buku yang bertajuk Le Testimonium Flavianum—Examen historique considérations historiographiques (Testimonium Flavianum—Suatu Penyelidikan Bersejarah).
Josephus bukan beragama Kristian. Dia adalah sejarawan Yahudi. Jadi persoalannya adalah berkenaan pernyataannya bahawa Yesus “ialah Kristus.” Bardet menjelaskan bahawa hal ini disebabkan oleh tatabahasa bahasa Yunani. Bardet menambah bahawa dari segi pandangan orang Kristian dan Yahudi, “penggunaan kata Christos oleh Josephus bukanlah sesuatu yang mustahil,” tetapi merupakan suatu bukti “yang tidak dipedulikan oleh pengkritik.”
Mungkinkah seorang penulis lain meniru cara penulisan Josephus dan menokok tambah catatannya? Berdasarkan fakta sejarah dan penyelidikan atas teks tersebut, Bardet menyimpulkan bahawa penipuan sebegini hampir mustahil. Jika orang itu dapat meniru cara penulisan Josephus, dia merupakan peniru yang tiada bandingannya kerana tulisan Josephus mempunyai ciri-cirinya tersendiri.
Jadi mengapakah kesahihan Testimonium dipersoalkan? Dengan mengesan akar umbi masalahnya, Bardet berkata bahawa ramai lebih meragui Testimonium daripada tulisan lain. Dia mendapati bahawa pertengkaran ini berlangsung begitu lama kerana ada udang di sebalik batu. Namun, penyelidikan ke atas tulisan Josephus menyokong kesahihannya.
Sama ada analisis Bardet akan mengubah pandangan para cendekiawan terhadap Testimonium Flavianum masih tidak diketahui. Namun, Pierre Geoltrain, seorang pakar agama Yahudi dan Kristian kuno telah mengubah pandangannya. Sejak dulu lagi, dia menganggap Testimonium sebagai sesuatu yang palsu, bahkan menyindir mereka yang mempercayai kesahihannya. Walaupun begitu, selepas melihat hasil penyelidikan Bardet, dia mengisytiharkan, “Mulai sekarang, tiada sesiapa pun patut meragui tulisan Josephus.”
Sudah tentu, Saksi-Saksi Yehuwa memiliki bukti yang lebih kukuh untuk menerima Yesus sebagai Kristus—buktinya terdapat dalam Bible.—2 Tim. 3:16.