Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Terima Kelegaan, Beri Kelegaan

Terima Kelegaan, Beri Kelegaan

Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita pernah menghidapi penyakit, mungkin juga penyakit parah. Bagaimanakah kita boleh berjaya menghadapi situasi sebegini?

Kelegaan hati yang dibawa oleh keluarga, sahabat, dan rakan seiman dapat membantu kita.

Kata-kata lembut daripada sahabat yang penyayang boleh menyegarkan dan melegakan hati kita. (Ams. 16:24; 18:24; 25:11) Orang Kristian sejati bukan sahaja ingin menerima pertolongan. Malahan, ‘dengan pertolongan yang diterima daripada Tuhan, mereka pun dapat menolong semua orang yang mengalami kesusahan.’ (2 Kor. 1:4; Luk. 6:31) Inilah yang dipelajari oleh Antonio, seorang penyelia distrik di Mexico.

Apabila dia disahkan menghidapi limfoma, sejenis kanser darah, Antonio berasa sangat sengsara. Namun dia berusaha mengatasi perasaan negatifnya. Bagaimana? Dia cuba menghafal lagu-lagu teokratik dan menyanyikannya sambil merenungkan seni katanya. Dia juga mendapat kelegaan hati semasa berdoa dengan bersuara serta membaca Bible.

Kemudian, Antonio sedar bahawa salah satu pertolongan besar datangnya daripada rakan seiman. Katanya, “Apabila saya dan isteri berasa khuatir, kami akan meminta seorang saudara-mara yang juga penatua untuk berdoa bersama kami. Hal ini membantu kami berasa tenang. Oleh sebab kami mendapat bantuan daripada keluarga dan rakan seiman, kami dapat mengatasi perasaan negatif dalam jangka masa yang singkat.” Betapa bersyukurnya Antonio kerana mempunyai sahabat yang penyayang!

Satu lagi pertolongan ialah daya aktif Tuhan. Rasul Petrus berkata bahawa daya aktif merupakan ‘pemberian Tuhan’ yang percuma. (Kis. 2:38) Hal ini terbukti benar semasa ramai orang diurapi pada Pentakosta 33 M. Tetapi pemberian ini juga dihulurkan kepada kita semua. Pemberian daya aktif tidak terhad, jadi teruslah minta daya aktif daripada Yehuwa.—Yes. 40:28-31.

PRIHATIN KEPADA ORANG YANG MENDERITA

Rasul Paulus mengalami banyak kesusahan, bahkan berhadapan dengan maut. (2 Kor. 1:8-10) Namun, Paulus tidak terlalu takut. Dia berasa lega kerana tahu bahawa Yehuwa menyokongnya. Dia menulis, ‘Marilah kita bersyukur kepada Tuhan, Bapa Tuan kita Yesus Kristus. Dia Bapa yang berbelas kasihan dan Dia Tuhan yang sentiasa menolong kita. Dia menolong kita semasa kita mengalami kesusahan.’ (2 Kor. 1:3, 4, ABB) Paulus tidak mengasihani dirinya dengan keterlaluan. Sebaliknya, penderitaan yang dialami membolehkannya memahami perasaan rakan seiman dan membantu mereka.

Selepas sembuh, Antonio kembali menjadi penyelia distrik. Dia memang mengambil berat terhadap rakan seiman. Tetapi sekarang dia dan isterinya memberikan perhatian yang lebih kepada orang yang sakit dengan melawat dan menggalakkan mereka. Contohnya, Antonio telah melawat seorang saudara yang menghidapi penyakit yang serius. Saudara ini tidak ingin pergi ke perjumpaan. Antonio menjelaskan, “Bukannya dia tidak mengasihi Yehuwa dan rakan seimannya, tetapi penyakitnya telah memberikan kesan yang buruk terhadapnya sehingga dia berasa tidak berguna.”

Antonio telah menggalakkan saudara yang sakit itu dengan menjemputnya untuk memberikan doa semasa jamuan. Walaupun saudara itu berasa kurang layak, dia telah berdoa. Antonio berkata, “Doanya begitu indah sekali. Kemudian, dia berubah kerana berasa berguna semula.”

Ya, kita semua terpaksa menghadapi kesusahan tertentu. Namun, seperti yang dikatakan Paulus, penderitaan sebegini mempersiapkan kita untuk membantu orang lain semasa mereka menghadapi kesusahan. Maka, marilah kita beri perhatian kepada penderitaan rakan seiman dan mencontohi Yehuwa dengan menjadi sumber kelegaan bagi mereka.