Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Yehuwa—Tempat Perlindungan Kita

Yehuwa—Tempat Perlindungan Kita

‘Ya Yehuwa, Engkau tempat perlindungan kami, sampai selama-lamanya.’MZM. 90:1, ABB.

1, 2. Apakah perasaan hamba Tuhan terhadap sistem dunia ini, dan apakah rumah yang dimiliki mereka?

 ADAKAH anda berasa selesa dan selamat dalam dunia ini? Jika tidak, perasaan anda sama seperti hamba Yehuwa yang lain! Sejak dulu lagi, hamba Yehuwa berasa seperti orang asing dalam dunia ini. Contohnya, sewaktu penyembah Yehuwa yang setia berpindah-randah di Kanaan, “mereka mengaku dengan terang-terang bahawa mereka hanyalah orang asing dan pengembara di bumi ini.”—Ibr. 11:13.

2 Begitu juga dengan orang Kristian terurap yang memiliki ‘kewarganegaraan di syurga.’ Mereka mengaku diri sebagai “orang asing dan orang pelarian di dunia ini.” (Flp. 3:20; 1 Ptr. 2:11) Seperti Yesus, “domba-domba lain” juga “bukan milik dunia.” (Yoh. 10:16; 17:16) Namun, umat Tuhan masih mempunyai rumah. Rumah ini hanya boleh dilihat dengan mata rohani dan merupakan tempat selamat dengan penuh kasih. Musa menulis, ‘Ya Yehuwa, Engkau tempat perlindungan kami, sampai selama-lamanya.’ (Mzm. 90:1, ABB) Bagaimanakah Yehuwa menjadi tempat perlindungan bagi umat-Nya dahulu? Bagaimanakah Dia menjadi tempat perlindungan bagi kita dewasa ini? Dan bagaimanakah Dia akan terus melindungi kita pada masa depan?

YEHUWA—“TEMPAT PERLINDUNGAN” BAGI UMATNYA DAHULU

3. Yehuwa dibandingkan dengan apa di Mazmur 90:1, dan mengapa?

3 Dalam Bible, kadangkala Yehuwa dibandingkan dengan benda yang dapat dilihat untuk memudahkan kita memahami keperibadian-Nya. Contohnya, Mazmur 90:1 membandingkan Yehuwa dengan “tempat perlindungan,” atau seperti sebuah rumah. Perbandingan ini memang sesuai kerana Yehuwa memberikan perlindungan. Hal ini membuktikan bahawa Tuhan itu kasih. (1 Yoh. 4:8) Dia juga ialah Tuhan kedamaian yang ‘memelihara umat-Nya dengan aman.’ (Mzm. 4:9) Mari kita bincangkan bagaimana Yehuwa memberikan perlindungan kepada hamba-Nya Abraham, Ishak, dan Yakub.

4, 5. Bagaimanakah Yehuwa menjadi “tempat perlindungan” Abraham?

4 Bayangkan perasaan Abraham sewaktu Tuhan memberitahunya, “Tinggalkanlah negerimu, kaum keluargamu, . . . pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu.” Abraham mungkin berasa khuatir, tetapi Yehuwa menenangkan hatinya dengan berkata, “Aku akan memberi engkau keturunan yang banyak dan mereka akan menjadi satu bangsa yang besar. Aku akan memberkati engkau dan menjadikan namamu termasyhur, . . . Aku akan memberkati orang yang memberkati engkau, dan mengutuk orang yang mengutuk engkau.”—Kej. 12:1-3.

5 Dengan kata-kata tersebut, Yehuwa berjanji untuk melindungi Abraham dan keturunannya. (Kej. 26:1-6) Contohnya, Dia menghalang Firaun Mesir dan Raja Abimelekh dari Gerar daripada membunuh Abraham dan mengambil isterinya, Sarah. Ishak dan Ribka juga dilindungi dengan cara yang sama. (Kej. 12:14-20; 20:1-14; 26:6-11) Bible membuktikan bahawa, ‘Yehuwa tidak membiarkan sesiapa pun menindas mereka; kerana mereka, Dia memberikan amaran kepada raja-raja. Dia berfirman, “Jangan ganggu hamba-hamba pilihan-Ku; jangan cederakan nabi-nabi-Ku!”’—Mzm. 105:14, 15, ABB.

“Aku tidak akan meninggalkan engkau”

6. Apakah yang diberitahu oleh Ishak kepada Yakub? Apakah mungkin perasaan Yakub?

6 Yehuwa juga melindungi cucu Abraham iaitu Yakub. Apabila tiba masa bagi Yakub untuk berkahwin, Ishak berkata kepadanya, “Janganlah berkahwin dengan gadis Kanaan. Pergilah ke Mesopotamia, kepada keluarga datukmu Betuel, dan berkahwinlah dengan salah seorang anak perempuan Laban.” (Kej. 28:1, 2) Yakub segera mematuhi bapanya, Ishak dan meninggalkan keluarganya di Kanaan. Dia mungkin berseorangan semasa melakukan perjalanan sejauh ratusan kilometer ke Haran. (Kej. 28:10) Yakub mungkin tertanya-tanya, “Berapa lamakah perjalanan saya? Adakah saya akan disambut dengan baik oleh bapa saudara saya? Adakah saya akan menemui isteri yang menyembah Yehuwa?” Hal-hal ini mungkin dikhuatiri Yakub, tetapi perhatikanlah apa yang telah berlaku sewaktu dia sampai di Lus, 100 km dari Bersyeba.

7. Bagaimanakah Tuhan melegakan hati Yakub?

7 Di Lus, Yehuwa muncul dalam mimpi Yakub dan berkata, “Ingatlah, Aku akan melindungi engkau dan menolongmu ke mana sahaja engkau pergi, lalu Aku akan membawa engkau kembali ke negeri ini. Aku tidak akan meninggalkan engkau sehingga Aku sudah melakukan segala sesuatu yang Kujanjikan kepadamu.” (Kej. 28:15, ABB) Kata-kata ini pasti telah meyakinkan dan melegakan hati Yakub! Bolehkah anda bayangkan perasaan Yakub yang sudah lama menunggu untuk melihat bagaimana Yehuwa akan menepati janji-Nya? Jika anda telah meninggalkan keluarga untuk berkhidmat di negara lain, anda tentu memahami perasaan Yakub. Sudah pasti, anda juga mendapati bahawa Yehuwa menjaga anda.

8, 9. Bagaimanakah Yehuwa terbukti sebagai “tempat perlindungan” bagi Yakub? Apakah pengajarannya bagi kita?

8 Sewaktu Yakub sampai di Haran, bapa saudaranya, Laban menyambutnya dengan baik dan kemudian memberikan Lea dan Rahel sebagai isterinya. Tetapi tidak lama kemudian, Laban mula memperlakukan Yakub dengan tidak adil dan mengubah upahnya sebanyak sepuluh kali! (Kej. 31:41, 42) Namun, Yakub tetap bertabah dan yakin bahawa Yehuwa akan menjaganya. Oleh itu, Yehuwa memberkati Yakub. Semasa Tuhan menyuruh Yakub pulang ke Kanaan, Yakub memiliki “banyak kawanan kambing dan domba, unta, keldai, serta hamba-hamba.” (Kej. 30:43) Dengan penuh syukur, Yakub berdoa, “Aku tidak layak menerima segala kasih dan kesetiaan yang sudah Engkau tunjukkan kepadaku, hamba-Mu. Pada masa aku berangkat menyeberangi Sungai Yordan, aku tidak membawa apa-apa selain sebatang tongkat. Sekarang aku datang kembali bersama dengan dua kumpulan ini.”—Kej. 32:10, ABB.

9 Betapa benarnya doa Musa yang berbunyi, ‘Ya Yehuwa, Engkau tempat perlindungan kami, sampai selama-lamanya.’ (Mzm. 90:1, ABB) Yehuwa adalah ‘Tuhan yang tidak berubah.’ Dia masih mengasihi kita dan akan menjadi tempat perlindungan bagi umat-Nya yang setia. (Yak. 1:17) Marilah kita bincangkan hal ini.

YEHUWA—“TEMPAT PERLINDUNGAN” KITA HARI INI

10. Mengapakah kita boleh yakin bahawa Yehuwa akan sentiasa menjadi “tempat perlindungan” kita?

10 Bayangkan, anda berada di mahkamah untuk memberi keterangan menentang sebuah organisasi jenayah. Ketuanya adalah seorang yang pintar dan berkuasa, serta seorang penipu dan pembunuh yang tidak berhati perut. Bagaimanakah perasaan anda selepas meninggalkan mahkamah itu? Adakah anda berasa selamat? Tentu tidak! Bahkan anda mungkin merayu untuk mendapat perlindungan. Situasi ini mencerminkan keadaan kita. Kita sedang memberikan kesaksian menentang musuh ketat Yehuwa, iaitu Syaitan! (Baca Wahyu 12:17.) Adakah Syaitan berjaya untuk menghentikan umat Tuhan? Tidak! Sebenarnya, kita terus memberikan kesaksian kepada semua orang di seluruh dunia. Hal ini adalah kerana Yehuwa adalah “tempat perlindungan” bagi kita, terutamanya pada hari-hari terakhir ini. (Baca Yesaya 54:14, 17.) Asalkan kita tidak membenarkan Syaitan menggoda kita, Yehuwa akan sentiasa menjadi “tempat perlindungan” kita.

Malaikat menyokong dan melindungi hamba Tuhan

11. Apakah yang boleh kita pelajari daripada teladan Abraham, Ishak, dan Yakub?

11 Apakah pengajaran yang boleh kita terima daripada Abraham, Ishak, dan Yakub? Walaupun mereka tinggal di Kanaan, mereka tetap menjauhkan diri daripada orang di sana yang jahat dan tidak bermoral. (Kej. 27:46) Mereka berpegang pada prinsip Tuhan dan bukannya bergantung pada senarai peraturan yang panjang mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Bagi mereka, yang terpenting adalah mengetahui apa yang disukai dan dibenci oleh Yehuwa. Mereka menjauhkan diri daripada dunia ini sejauh yang mungkin kerana mereka sedar bahawa Yehuwa ialah tempat perlindungan mereka. Mereka telah meninggalkan teladan yang baik bagi kita! Adakah anda berusaha untuk meniru teladan mereka semasa memilih pergaulan dan hiburan? Malangnya, sesetengah orang Kristian berasa selesa untuk hidup di dunia Syaitan. Jika anda berasa begitu biarpun sedikit, berdoalah kepada Tuhan. Ingatlah bahawa dunia ini di bawah kuasa Syaitan yang bersikap dingin dan mementingkan diri.—2 Kor. 4:4; Ef. 2:1, 2.

12. (a) Apakah pemberian rohani yang disediakan oleh Yehuwa? (b) Bagaimanakah perasaan anda tentang pemberian ini?

12 Kita patut memanfaatkan segala pemberian rohani daripada Yehuwa agar dapat melawan muslihat Syaitan. Pemberian rohani ini termasuklah perjumpaan Kristian, malam penyembahan keluarga, dan “kurnia kepada manusia,” iaitu para penatua yang menggalakkan dan menyokong kita semasa dalam kesusahan. (Ef. 4:8-12) Saudara George Gangas, yang pernah berkhidmat sebagai seorang ahli Badan Pimpinan untuk masa yang lama telah menulis bahawa apabila dia berada dengan umat Tuhan, dia berasa selesa, selamat, dan dikasihi seperti dengan keluarganya sendiri. Adakah anda juga berasa demikian?

13. Apakah pengajaran penting daripada Ibrani 11:13?

13 Terdapat satu lagi sikap baik pada Abraham, Ishak, dan Yakub. Mereka tidak takut untuk menunjukkan bahawa mereka berbeza daripada orang lain. Seperti yang tercatat dalam  perenggan 1, mereka “mengaku dengan terang-terang bahawa mereka hanyalah orang asing dan pengembara di bumi ini.” (Ibr. 11:13) Adakah anda juga menunjukkan bahawa anda berbeza daripada orang lain? Sudah tentu, hal ini tidak senang untuk dilakukan. Tetapi ingatlah, anda tidak berseorangan. Dengan bantuan Tuhan dan galakkan daripada rakan seiman, anda boleh berjaya. Semua orang yang ingin menyembah Yehuwa perlu melawan dunia Syaitan. (Ef. 6:12) Kita boleh memenangi perjuangan ini jika kita menjadikan Yehuwa tempat perlindungan kita.

14. Apakah “kota” yang dinantikan oleh hamba-hamba Yehuwa?

14 Abraham juga menumpukan perhatiannya kepada berkat yang akan dinikmati. (2 Kor. 4:18) Rasul Paulus berkata bahawa Abraham ‘menantikan kota yang kekal, kota yang dirancang dan dibina oleh Tuhan.’ (Ibr. 11:10) “Kota” itu merupakan Kerajaan Mesias. Walaupun Abraham perlu menantikan Kerajaan ini, kita tidak perlu berbuat demikian. Mengapa? Kerana Kerajaan Mesias sedang memerintah di syurga. Nubuat Bible menunjukkan bahawa tidak lama lagi Kerajaan ini akan memerintah di bumi juga. Adakah Kerajaan ini benar-benar nyata dalam hidup anda? Adakah anda mengutamakan Kerajaan Tuhan dan menjauhkan diri daripada dunia ini?—Baca 2 Petrus 3:11.

YEHUWA—“TEMPAT PERLINDUNGAN” KITA PADA MASA DEPAN

15. Apakah kesudahannya bagi mereka yang menaruh kepercayaan dalam sistem dunia ini?

15 Masalah-masalah di dunia ini semakin menular. (Mat. 24:7, 8) Dan apabila kesengsaraan besar berlaku, keadaan dunia akan bertambah teruk. Dunia akan diselubungi kemusnahan dan kekeliruan. Oleh itu orang akan berasa takut. (Hab. 3:16, 17) Bible menyatakan bahawa mereka akan berasa begitu takut sehingga mereka bersembunyi “dalam gua-gua dan di celah-celah batu di gunung.” (Why. 6:15-17) Tetapi, tiada gua atau badan politik dan perdagangan yang dapat melindungi mereka.

16. Apakah seharusnya pandangan kita terhadap sidang Kristian, dan mengapa?

16 Namun, Yehuwa akan melindungi kita semasa kesengsaraan besar. Seperti nabi Habakuk, kita akan berkata, ‘Aku akan bersukacita dan bergembira selalu, kerana Engkau Yehuwa Tuhan yang menyelamatkan aku.’ (Hab. 3:18, ABB) Bagaimanakah Yehuwa menjadi “tempat perlindungan” kita semasa kesengsaraan besar? Kita belum mengetahui jawapannya. Namun kita boleh yakin bahawa Yehuwa akan membimbing kita sepertimana Dia membimbing umat Israel keluar dari Mesir. (Baca Keluaran 13:18; Why. 7:9) Bimbingan teokratik ini mungkin disediakan melalui sidang-sidang Kristian. Yesaya 26:20 berkata bahawa untuk mendapat perlindungan, kita perlu ‘masuk ke dalam rumah.’ Kemungkinan besar hal ini ada kaitan dengan sidang-sidang di serata dunia. (Baca Yesaya 26:20.) Adakah anda menghargai perjumpaan sidang? Adakah anda segera mengikut bimbingan Yehuwa yang dipelajari semasa perjumpaan?—Ibr. 13:17.

17. Bagaimanakah Yehuwa menjadi “tempat perlindungan” bagi umat-Nya yang sudah meninggal?

17 Yehuwa sentiasa menjadi “tempat perlindungan” umat-Nya meskipun mereka meninggal sebelum kesengsaraan besar. Bagaimana? Lama selepas kematian Abraham, Ishak, dan Yakub, Yehuwa memberitahu Musa, ‘Akulah Tuhan yang disembah Abraham, Ishak, dan Yakub.’ (Kel. 3:6) Yesus juga mengutip kata-kata itu dan menambah, ‘Tuhan itu Tuhan orang hidup, bukan Tuhan orang mati, kerana Tuhan menganggap mereka semua hidup.’ (Luk. 20:38) Ya, pembangkitan bagi umat Yehuwa yang setia adalah begitu pasti. Dalam pandangan Yehuwa, mereka seperti sudah hidup kembali.—Pkh. 7:1.

18. Bagaimanakah Yehuwa akan menjadi “tempat perlindungan” bagi umat-Nya di dunia baru?

18 Di dunia baru, Yehuwa akan menjadi “tempat perlindungan” bagi umat-Nya dalam cara yang lain. Wahyu 21:3 menyatakan, ‘Sekarang Tuhan tinggal bersama-sama manusia! Dia akan hidup bersama-sama mereka.’ Yehuwa akan melantik Yesus Kristus untuk memerintah seluruh bumi selama seribu tahun. Setelah Yesus menyempurnakan tujuan Tuhan bagi bumi, dia akan mengembalikan Kerajaan Tuhan kepada Bapanya. (1 Kor. 15:28) Pada masa itu, Yesus tidak lagi perlu menjadi perantara. Yehuwa akan memerintah manusia yang sempurna secara langsung. Bukankah harapan ini menggembirakan hati kita? Marilah kita meniru teladan hamba Tuhan yang setia dahulukala dengan menjadikan Yehuwa “tempat perlindungan” kita.