Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Anda “Rajin Berbuat Baik”?

Adakah Anda “Rajin Berbuat Baik”?

‘Yesus Kristus mengorbankan nyawa untuk menyucikan kita, dan menjadikan kita miliknya sahaja, serta menjadikan kita rajin berbuat baik.’ —TIT. 2:13, 14.

1, 2. Sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa, kita berbesar hati untuk melakukan apa? Apakah perasaan anda?

RAMAI orang berbesar hati apabila mendapat penghormatan atas sesuatu pencapaian. Contohnya, ada yang dianugerahi Hadiah Nobel kerana berjuang menjaga keamanan negara. Namun, penghormatan kita jauh lebih besar kerana kita merukunkan orang dengan Tuhan.

2 Kita diamanahkan oleh Tuhan dan Yesus untuk membantu orang ‘menjadi sahabat Tuhan.’ Hanya Saksi-Saksi Yehuwa diberikan penghormatan yang besar ini. (2 Kor. 5:20) Yehuwa menggunakan kita untuk menarik orang kepada-Nya. Jutaan orang di lebih daripada 235 negara dibantu untuk menjadi sahabat Tuhan serta berpeluang menikmati kehidupan kekal. (Tit. 2:11) Dengan bersemangat dan rajin, kita menjemput semua untuk menerima “air yang memberikan hidup.” (Why. 22:17) Oleh sebab kita sangat menyukai tugas yang berharga ini, kita digelar orang yang “rajin berbuat baik.” (Tit. 2:14) Bagaimanakah kita menunjukkan kita rajin berbuat baik? Salah satu cara adalah melalui kerja penyebaran.

TIRULAH SEMANGAT YEHUWA DAN YESUS

3. Apakah yang boleh kita yakin mengenai Yehuwa?

3 Yesaya 9:6 memberitahu kita bahawa Anak Tuhan akan menjadi Raja dan akan membawa berkat kepada manusia. Semua ini boleh berlaku kerana ‘Yehuwa Yang Maha Kuasa pasti melakukan segala perkara.’ Ayat ini meyakinkan kita bahawa Yehuwa benar-benar ingin menyelamatkan manusia. Oleh itu, teladan Yehuwa patut mempengaruhi kita untuk menyokong kerja penyebaran dengan bersemangat dan sepenuh hati. Sebagai seorang rakan sekerja Tuhan, adakah anda menginjil dengan bersungguh-sungguh?—1 Kor. 3:9.

4. Bagaimanakah Yesus menunjukkan teladan yang baik dalam kerja penyebaran?

4 Fikirkan juga tentang Yesus. Dia merupakan teladan baik kerana bersemangat dalam kerja penyebaran. Walaupun dia menghadapi penganiayaan yang kejam, dia terus menginjil dengan bersemangat sehingga ke akhir hayatnya. (Yoh. 18:36, 37) Seraya hari kematiannya mendekat, Yesus melipatgandakan usaha untuk membantu orang ramai mengenal Yehuwa.

5. Mengapakah Yesus seperti pekebun dalam perumpamaan pokok ara itu?

5 Pada 32 M, Yesus menceritakan satu perumpamaan tentang seorang lelaki yang mempunyai pokok ara di kebun anggurnya yang tidak berbuah selama tiga tahun. Lelaki tersebut menyuruh pekebunnya untuk menebang pokok ara itu. Tetapi pekebun meminta izin agar memberinya masa untuk menaruh baja dahulu. (Baca Lukas 13:6-9.) Hanya sekumpulan kecil orang yang menjadi pengikut Yesus. Tetapi seperti pekebun itu, Yesus berusaha sedaya upaya untuk menyebar di Yudea dan Perea selama enam bulan sebelum dia mati. Beberapa hari sebelum kematiannya, Yesus menangis kerana kebanyakan orang menolak ajarannya.—Mat. 13:15; Luk. 19:41.

6. Mengapakah kita harus gigih dalam kerja penyebaran?

6 Kita sedang hidup pada hari-hari terakhir. Maka, kita perlu menjalankan kerja penyebaran dengan lebih gigih. (Baca Daniel 2:41, 42, 44, 45.) Kita berbesar hati untuk menjadi salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Mengapa? Kerana hanya kita yang dapat menjelaskan bagaimana segala masalah umat manusia akan diselesaikan. Seorang penulis akhbar pernah mengatakan bahawa soalan, “Mengapakah perkara buruk berlaku kepada orang baik?” tidak mempunyai jawapan. Maka, mengongsi jawapan Bible kepada soalan-soalan sebegini adalah tanggungjawab kita. Oleh sebab kita diberi penghormatan ini, kita harus melakukannya “dengan rajin.” (Rm. 12:11) Yehuwa pasti memberkati kerja kita untuk membantu orang mengenal Dia.

HORMATI YEHUWA DENGAN SEMANGAT RELA BERKORBAN

7, 8. Bagaimanakah semangat rela berkorban memuliakan Yehuwa?

7 Seperti Paulus, kerja penyebaran kita mungkin menyebabkan kita “kurang tidur” dan “kurang makan.” (2 Kor. 6:5) Saudara dan saudari kita juga rela membuat pengorbanan demi kerja penyebaran. Walaupun para perintis perlu bekerja secara sekular, mereka mengutamakan kerja penyebaran. Fikirkan juga tentang perintis seberang laut di negara-negara asing yang rela “menjadi seperti persembahan yang dicurahkan di atas korban.” (Flp. 2:17) Bagaimana pula dengan para penatua yang bekerja keras? Mereka kadangkala tidak makan atau kurang tidur kerana menjaga kawanan domba Yehuwa. Ada juga yang lanjut usia dan sakit. Mereka juga berusaha untuk menghadiri setiap perjumpaan dan menyertai aktiviti penyebaran. Semangat rela berkorban mereka sudah tentu menyentuh hati kita. Pengorbanan seperti ini juga boleh mempengaruhi pandangan orang lain terhadap kerja penyebaran kita.

8 Dalam sebuah akhbar di United Kingdom, seorang pembaca bukan Saksi mengatakan, “Ramai orang hilang kepercayaan terhadap agama . . . Apakah yang dilakukan pihak gereja sepanjang hari? Sememangnya mereka tidak keluar menginjil seperti Yesus . . . Satu-satunya agama yang prihatin dan benar-benar terlibat dalam menyebarkan kebenaran ialah Saksi-Saksi Yehuwa.” Dunia hari ini dipenuhi orang yang mementingkan kepuasan diri. Oleh itu, semangat rela berkorban kita memang membawa kemuliaan kepada Yehuwa.—Rm. 12:1.

Semasa orang melihat anda menginjil, anda sedang memberikan kesaksian yang baik

9. Apakah yang boleh mendorong kita untuk tetap bersemangat dalam kerja penyebaran?

9 Apakah yang harus kita lakukan jika kita kurang bersemangat dalam aktiviti penyebaran? Fikirlah tentang hasil baik yang boleh dicapai melalui kerja penyebaran. (Baca Roma 10:13-15.) Orang yang berseru kepada Yehuwa akan diselamatkan. Tetapi bagaimanakah mereka dapat berseru kepada Yehuwa jika mereka tidak mendengar perkhabaran tentang-Nya? Oleh itu, kita patut terus menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan dengan bersemangat.

KELAKUAN BAIK MENDORONG ORANG MENGENAL TUHAN

Kejujuran dan kerajinan anda selalu diperhatikan

10. Bagaimanakah kelakuan baik kita mendorong orang mengenal Yehuwa?

10 Sekadar bersemangat dalam kerja penyebaran tidak mencukupi. Hal kedua yang patut ditunjukkan ialah kelakuan baik kita sebagai orang Kristian. Paulus menegaskan hal ini dengan menulis, “Kami tidak mahu seorang pun mencela kerja kami. Oleh itu kami berusaha supaya orang tidak mempunyai alasan untuk mencela kami.” (2 Kor. 6:3, ABB) Pertuturan dan kelakuan kita yang baik mendorong orang untuk menyembah Tuhan. (Tit. 2:10) Sememangnya, kita sering mendengar laporan baik daripada orang lain mengenai kelakuan kita.

11. Mengapakah kita harus berfikir dan berdoa tentang kelakuan kita?

11 Kelakuan baik kita boleh memberikan kesan positif kepada orang lain. Sebaliknya, kelakuan yang buruk boleh menghalang orang daripada menyembah Yehuwa. Tidak kira di tempat kerja, sekolah, atau di rumah, kita harus memastikan bahawa kelakuan kita tidak menghindari orang daripada menyembah Yehuwa. Jika kita sengaja melakukan dosa, kita akan menerima padahnya. (Ibr. 10:26, 27) Oleh itu, kita harus berfikir dan berdoa mengenai cara kelakuan kita mempengaruhi orang lain. Memandangkan nilai moral dunia semakin merosot, orang yang berhati jujur dapat ‘melihat perbezaan antara orang yang mengabdikan diri kepada Tuhan dan yang tidak.’ (Mal. 3:18) Ya, kelakuan baik kita memainkan peranan penting dalam membantu orang menjadi sahabat Tuhan.

12-14. Bagaimanakah ketabahan kita semasa dianiaya mempengaruhi pandangan orang lain terhadap kebenaran? Berikan contoh.

12 Dalam suratnya kepada sidang Korintus, Paulus menulis bahawa dia telah menanggung segala macam kesusahan, disesah, dan dipenjarakan. (Baca 2 Korintus 6:4, 5.) Orang lain mungkin akan menerima kebenaran apabila melihat ketabahan kita semasa menghadapi kesusahan. Contohnya di Angola, terdapat orang yang ingin membanteras Saksi-Saksi Yehuwa. Dua Saksi yang sudah dibaptis serta 30 orang yang menghadiri perjumpaan telah dikepung. Kemudian mereka disebat di khalayak ramai sehingga berdarah. Wanita dan kanak-kanak pun tidak dikecualikan. Tujuannya adalah untuk menakutkan orang supaya tidak mendengar Saksi-Saksi Yehuwa. Walaupun demikian, banyak orang datang kepada Saksi dan meminta untuk belajar Bible! Hasilnya, kerja penyebaran terus dijalankan dan diberkati dengan peningkatan yang pesat.

13 Pengalaman ini menunjukkan bahawa keberanian kita semasa menghadapi penganiayaan boleh mempengaruhi orang untuk menerima kebenaran. Keberanian yang ditunjukkan oleh Petrus dan rasul-rasul lain mungkin telah mendorong orang untuk menyembah Tuhan. (Kis. 5:17-29) Hari ini, rakan sekolah, rakan kerja, atau ahli keluarga mungkin menerima kebenaran apabila mereka melihat bahawa kita berani menghadapi tentangan.

14 Setiap hari, terdapat Saksi-Saksi Yehuwa mengalami penganiayaan. Contohnya, di Armenia, kira-kira 40 saudara dipenjarakan kerana tidak mahu menyertai khidmat tentera. Dan banyak lagi akan dipenjarakan pada masa yang akan datang. Di Eritrea, 55 hamba Yehuwa dipenjarakan, ada yang berumur lebih daripada 60 tahun. Di Korea Selatan, lebih kurang 700 Saksi dipenjarakan kerana kepercayaan mereka. Hal ini sudah berlaku selama 60 tahun. Marilah kita berdoa supaya kesetiaan saudara saudari kita akan terus memuliakan Yehuwa dan mendorong orang untuk menerima kebenaran.—Mzm. 76:9-11.

15. Berikan contoh yang menunjukkan bahawa kejujuran kita mendorong orang untuk menerima kebenaran.

15 Kejujuran kita boleh mendorong orang untuk menerima kebenaran. (Baca 2 Korintus 6:4, 6, 7.) Contohnya, seorang saudari sedang membayar tambang di dalam bas. Kawannya memberitahu bahawa dia tidak perlu membayar tambang kerana perjalanannya singkat. Namun saudari itu menerangkan bahawa adalah baik untuk membayar tambang walaupun perjalanan dekat. Selepas kawannya turun dari bas, pemandu bas bertanya kepadanya, “Adakah kamu seorang Saksi-Saksi Yehuwa?” Saudari itu menjawab, “Ya, bagaimana kamu tahu?” Pemandu itu berkata, “Saya terdengar perbualan kamu tentang membayar tambang bas tadi dan saya tahu bahawa Saksi-Saksi Yehuwa bersikap jujur dalam segala hal.” Beberapa bulan kemudian, seorang lelaki berjumpa dengan saudari itu di perjumpaan dan berkata, “Adakah kamu ingat saya? Saya ialah pemandu bas yang bercakap dengan kamu hari itu. Selepas melihat kejujuran kamu saya mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa.” Ya, kejujuran kita mendorong orang untuk mempercayai berita baik yang disampaikan.

SENTIASA MENCERMINKAN KELAKUAN YANG MEMULIAKAN TUHAN

16. Bagaimanakah sifat-sifat seperti kesabaran, kasih, dan kebaikan hati menggerakkan orang? Berikan contoh apa yang dilakukan oleh pemimpin agama.

16 Semasa kita menunjukkan kesabaran, kasih, dan kebaikan hati, kita mungkin menggerakkan orang lain untuk mengenal Yehuwa, tujuan-Nya, serta umat-Nya. Beberapa pemimpin agama berpura-pura memiliki sifat dan kelakuan yang baik. Mereka sebenarnya menipu pengikut mereka agar dapat menjadi kaya. Ada yang membeli rumah dan kereta mewah. Ada pula yang membina rumah anjing yang dilengkapi penghawa dingin. Mereka langsung tidak mengikut perintah Yesus untuk memberi “tanpa meminta bayaran.” (Mat. 10:8) Sebaliknya, mereka bertindak seperti imam bangsa Israel purba yang “mentafsirkan Taurat untuk mendapat upah.” Malahan, mereka mengajar perkara-perkara yang palsu mengenai Tuhan. (Mi. 3:11) Kelakuan sedemikian tidak dapat membantu orang menjadi sahabat Tuhan.

17, 18. (a) Bagaimanakah kita boleh memuliakan Tuhan melalui kelakuan kita? (b) Apakah yang mendorong anda untuk terus bersemangat dan rajin berbuat baik?

17 Orang digerakkan untuk menjadi sahabat Tuhan apabila mereka melihat kebenaran yang kita ajarkan dan kelakuan baik kita terhadap orang lain. Contohnya, seorang saudara perintis pernah menginjil kepada seorang balu. Namun, balu itu berkata bahawa dia tidak berminat. Sebenarnya balu itu sedang berdiri di atas tangga untuk menggantikan mentol lampu semasa perintis itu menekan loceng rumahnya. Perintis itu berkata, “Adalah tidak selamat untuk berbuat begitu sendiri.” Saudara itu pun membantu balu itu menukar mentol lampu, lalu menyambung kerja penyebarannya. Apabila anak lelaki balu itu mengetahui tentang kejadian ini, dia berasa kagum. Dia cuba menghubungi perintis tersebut untuk berterima kasih kepadanya. Akhirnya, dia menerima pembelajaran Bible.

18 Mengapakah anda harus bersemangat dan rajin berbuat baik? Mungkin anda sedar bahawa menginjil dengan bersemangat dan berkelakuan baik akan memuliakan Yehuwa dan membantu orang lain meraih penyelamatan. (Baca 1 Korintus 10:31-33.) Satu lagi sebab adalah kerana kita mengasihi Yehuwa dan orang lain. (Mat. 22:37-39) Jika kita bersemangat dan rajin berbuat baik, kita akan diberkati dengan sukacita dan kepuasan hati sekarang. Kita juga sedang menantikan masanya apabila semua manusia akan menyembah dan memuliakan Yehuwa dengan gembira.